Rabu, 16 Januari 2013

ISU SOSIAL : TLDM tidak guna wang awam bayar ah long


Oleh : LAKSAMANA TAN SRI ABDUL AZIZ JAAFAR

Saya ingin menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamed Idris dalam ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia 15 Januari 2013 di halaman 12 yang mendakwa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan 'wang awam' untuk menyelesaikan hutang ah long yang diambil anggotanya.

Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan beliau telah menyalah tafsir laporan akhbar yang mendedahkan TLDM berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram atau ah long yang melibatkan 102 anggota yang dikeluarkan baru-baru ini.

Tindakan SM Mohamed menyelar tanpa usul periksa dan bersifat spekulatif boleh menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap perkhidmatan TLDM.

Kita sedia maklum bahawa setiap individu dalam sesebuah organisasi pasti tidak lari daripada masalah hutang. Menyedari hakikat ini, TLDM telah mengambil pendekatan yang proaktif untuk menangani masalah hutang ah long yang membelenggu warganya.

Masalah ini sekiranya tidak dibendung boleh menjejaskan fokus warga yang bermasalah dalam melaksanakan kerja seharian dan tanggungjawab yang digalas.

Pendekatan yang diambil TLDM merupakan satu daripada amalan 'best practices' TLDM iaitu memberi bantuan kepada anggota yang bermasalah. Bantuan ini berbentuk pembiayaan pendahuluan yang ditampung oleh Tabung Kebajikan TLDM.

Tabung ini bukan merupakan dana awam dan tidak melibatkan sebarang sumbangan daripada kerajaan. Ia ditubuhkan khusus untuk menyelesaikan masalah kebajikan serta memberi bantuan kepada warga TLDM yang memerlukannya.

Tabung ini telah digunakan untuk mendahulukan bayaran bagi menyelesaikan hutang warga dengan bantuan pihak ketiga pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding sekiranya bantuan tidak diberikan.

Jumlah sebenar warga TLDM yang terlibat dengan masalah pinjaman tidak berlesen ini ialah seramai 176 orang. Hasil siasatan terperinci yang dilakukan oleh Tim Pengurusan TLDM, didapati bahawa seramai 74 warga yang terlibat telah membayar lebih daripada jumlah yang sepatutnya dibayar.

Mereka ini telah ditindas oleh ah long yang memberi pinjaman sehingga terpaksa membayar jumlah yang terlampau. Penindasan ini dipandang serius oleh perkhidmatan TLDM.

Hasil rundingan yang dijalankan, individu terbabit tidak perlu menjelaskan baki hutang mereka.

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh TLDM sebelum ini, seramai 102 warga yang dinyatakan didapati perlu diselesaikan hutang mereka. Jumlah hutang termasuk faedah yang dikenakan oleh ah long ke atas mereka ialah RM370,000. Hasil rundingan lanjut pihak ah long bersetuju agar mereka ini hanya membayar baki sejumlah RM139,000.

Walau bagaimanapun, warga yang terlibat dalam hutang ini masih tertakluk kepada arahan yang telah ditetapkan di mana potongan gaji tetap dilakukan pada setiap bulan dalam jangka masa yang singkat dan tidak membebankan individu terbabit untuk membayar balik kepada Tabung Kebajikan TLDM.

Langkah yang diambil oleh pihak TLDM dalam menangani masalah kewangan ini seharusnya tidak dijadikan isu dan sebaliknya pihak CAP perlu menyokong usaha dan pendekatan ini.

Jika dilihat dari sudut positif, pendekatan yang diambil TLDM ini bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah kewangan anggota malah dapat melepaskan warga yang terlibat daripada menjadi mangsa penindasan ah long.

Secara tidak langsung penyelesaian ini turut akan dapat meningkatkan moral dan prestasi kerja mereka.

Melalui penyelesaian tersebut, masalah sosial di kalangan warga TLDM yang melibatkan keruntuhan disiplin, melakukan kerja part-time, tidak hadir tanpa cuti serta masalah rumah tangga dapat diatasi.

Tindakan TLDM ini sebenarnya merupakan langkah yang terbaik dalam membantu warganya yang terlibat dalam kes hutang.

Bebanan hutang menyebabkan seseorang individu yang terlibat tidak fokus kepada tanggungjawab sehingga membawa kesan buruk kepada organisasi. Oleh itu, TLDM sentiasa berusaha membantu menangani sebarang permasalahan yang dihadapi demi kesejahteraan dan kebajikan warganya.

TLDM telah belajar melalui kes ini dalam menyediakan mekanisme dan sistem bantuan khidmat nasihat bagi mencegah peminjaman daripada pihak ah long.

Melalui penyelesaian ini, TLDM dapat membendung kes hutang terlampau dan secara langsung akan mendapat memotivasikan warga TLDM dalam pengurusan kewangan agar perkara ini tidak berulang.

Dalam kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi yang terlibat iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang membantu serta pihak yang memberikan kerjasama dalam menangani isu ini.

Penulis ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Pulihkan semangat golongan gelandangan, bantu mereka berdikari


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

“LANGIT sebagai atap rumahku dan bumi sebagai lantainya, Hidupku menyusuri jalan, sisa orang yang aku makan”, itulah petikan lirik lagu Gelandangan oleh Rhoma Irama.

Menghayati bait-bait lirik ini menjadikan kita tertanya-tanya di manakah keluarga mereka? Mengapa memilih jalan begini sanggup meneruskan hidup sebatang kara? Tidur di kaki lima, makan sisa makanan, mengemis dengan wajah yang penuh dengan keperitan dan ketagihan dadah dan sebagainya tetapi kita tidak tahu apa puncanya.

Golongan yang dikenali sebagai gelandangan ini bergantung harap pada lantai simen di kaki jalan buat peneman tidur di kala malam. Pemandangan yang tidak sihat ini akan mencerminkan imej negara kita dan menjadi persepsi masyarakat luar terutama pelancong-pelancong. Ini akan menjejaskan imej ibu kota dan ekonomi apabila melibatkan industri pelancongan negara. Berdasarkan sistem maklumat golongan gelandangan yang mula digunakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2007 hingga 2011, terdapat seramai 7,833 orang gelandangan yang telah diselamatkan.

Golongan gelandangan ini adalah individu yang hidup dalam keadaan tidak sesuai dengan norma kehidupan yang layak dalam masyarakat setempat. Mereka juga tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan yang tetap di wilayah tertentu dan hidup mengembara di tempat umum. Persoalan di sini, Malaysia adalah negara yang pemurah dan sering membantu dan menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Usaha murni seperti membantu rakyat di luar negara seperti Palestin di Gaza, membantu rakyat Rohingya dan sebagainya memang sangat baik. Namun, rakyat kita sendiri sepatutnya didahulukan untuk dibantu dalam semua aspek khususnya golongan gelandangan ini. Selepas gelandangan dibantu dan jalan diberi makan, mereka perlu belajar berdikari bukan sentiasa duduk dan tunggu tanpa usaha.

JKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius isu golongan gelandangan. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga prihatin dengan isu gelandangan. Syabas diucapkan kerana menganjurkan program Salam Ramadan bagi membantu gelandangan di bulan puasa. Program Midnight Run yang disertai 120 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Sahabat Motor telah mengagihkan 200 bungkusan makanan untuk bersahur kepada golongan gelandangan.

Dalam pada itu KPWKM telah menubuhkan Pusat Sehenti Intervensi yang pertama bagi membantu golongan ini yang mula beroperasi pada 9 April 2011. Sejak memulakan operasi hingga 29 Februari 2012, seramai 458 orang gelandangan mendapat perkhidmatan di Anjung Singgah. Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan bantuan dan perkhidmatan kepada golongan gelandangan harus bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui Program Bantuan Bersepadu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan dua buah Anjung Singgah masih tidak mencukupi dan mengharapkan NGO dapat membantu lebih daripada itu termasuk pencarian kerja. Bukan setakat itu, mereka juga mengikuti latihan vokasional, pertanian, kraf tangan, bimbingan agama, dan juga rekreasi.

Toh Puan Seri Wan Hibatul Hidayah Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Projek Khas Anjung Singgah berusaha membantu golongan ini berniaga dengan cuba mendapatkan lesen daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Usaha murni kerajaan ini turut melatih penghuninya untuk berdikari. Sehingga 20 Disember 2012 sejak ditubuhkan April lalu, 150 orang gelandangan sudah mendapat pekerjaan.

Saya merasakan golongan pendidik dan profesional serta NGO perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam menyelesaikan secara proaktif isu orang gelandangan atau mereka yang tidak berumah. Bagaimanapun, kita patut bersyukur kerana keadaan golongan tersebut di negara ini tidak seteruk negara lain. Ia berikutan langkah progresif kerajaan yang berjaya mengurangkan jumlah golongan itu menerusi program-program yang mampu meringankan beban mereka.

Sebenarnya banyak program dan pelbagai pihak telah membantu golongan gelandangan ini. Usaha Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) umpamanya perlu dipuji dengan mengadakan kerjasama dengan NGO, Reach Out Malaysia untuk memberi bantuan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota.

Selama 12 bulan tahun lepas, Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat menyatakan 500 bungkusan makanan diagihkan setiap bulan untuk golongan tersebut dan ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR). Apa kata, jika bank-bank di Malaysia dapat bergabung, bersatu dan membantu golongan gelandangan. Bukan setakat memberikan makanan tetapi membantu lebih daripada itu seperti menyediakan kursus-kursus kepakaran untuk mereka belajar berdikari daripada hanya menunggu untuk diberi.

Program Roti 1Malaysia dilancarkan baru-baru ini juga satu usaha yang perlu kita puji dan selepas tempoh percubaan pada Ogos 2011 amat membanggakan. Kita mengharapkan banyak syarikat korporat dan individu boleh menyumbangkan roti serta pastri berkualiti kepada golongan kurang bernasib baik ini.

Di sebalik program Roti 1Malaysia, terdapat beberapa hotel, bakeri, sukarelawan, penaja, pertubuhan belia dan beberapa syarikat yang turut bergabung tenaga menjayakan aktiviti kebajikan itu dan Rosmah mengharapkan program ini diperluas untuk meliputi semua pusat pendidikan awal kanak-kanak Permata.

Semoga kerajaan dapat perluaskan lagi kepada golongan gelandangan di setiap negeri turut menikmati Roti1Malaysia.

Salah seorang profesor dari sebuah universiti tempatan sudah lama beramal dengan menghantar makanan kepada gelandangan pada setiap hari Jumaat. Namun saya menanyakan soalan kepada beliau kenapa tidak membantu mereka dengan memberikan pancing ikan bukannya ikan.

Beliau menyatakan bukan mudah gelandangan didekati kerana sesetengahnya sensitif dan cadangan beliau memerlukan sesi kaunseling untuk memulihkan semangat mereka yang hilang ataupun mencari semula kekuatan diri. Beliau berharap pihak yang lebih berkemampuan sewajarnya juga tampil contohnya memberikan pekerjaan sehingga mereka boleh menampung kehidupan dengan lebih baik.

Rata-rata gelandangan yang beliau temui adalah orang baik daripada segi kemanusiaannya namun nasib tidak menyebelahi mereka. Biasalah, roda-roda kehidupan.

Maklumat yang saya terima, segelintir gelandangan mengambil kesempatan dan tidak mahu berusaha dengan menunggu semuanya diberi nanti. Mengambil kesempatan dengan berlakon sementara dan berpura-pura demi menikmati segala kemudahan disediakan. Itu perkara sensitif untuk dijawab. Golongan gelandangan, tepuk dada tanyalah hati sendiri. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/