Oleh : Ruhaiza Rusmin dan
Ihsan Noorzali
APABILA sesi pengajian baru
institusi pengajian tinggi negara bermula dua minggu lalu, antara tumpuan utama
pastinya terarah kepada mahasiswa Bumiputera yang bakal memulakan cabaran baru
di menara gading.
Biarpun dari segi kelayakan
akademik membuktikan mereka layak, masih ada pihak sangsi keupayaan golongan
itu.
Tidak tahu di mana silapnya, isu
pencapaian mahasiswa Bumiputera sering menjadi polemik seolah-olah penawaran
tempat adalah menerusi sistem kuota sedangkan kini pengambilan adalah menerusi
meritokrasi yang berpaksikan kelayakan pencapaian akademik.
Kemampuan mereka terbukti namun
persoalannya, mengapa mereka masih dipertikaikan?
Naib Canselor Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata
pencapaian mahasiswa terutama Bumiputera sering kali menjadi perhatian kerana
pandangan skeptikal segelintir pihak yang tidak mahu berubah.
Beliau berkata, tidak wajar
membuat ulasan atau tafsiran sendiri mengenai mahasiswa Bumiputera kerana
kecemerlangan mereka setanding dengan lain.
“Biarpun syarat kemasukan semakin
diperketatkan selain mengambil ciri-ciri tertentu, mahasiswa Bumiputera tetap
layak dan mampu ‘mengatasi’ jumlah kemasukan kaum lain.
“Ini bukan isu mengenai
keistimewaan tapi kemampuan. Mahasiswa Bumiputera membuktikan mereka bukan
calang-calang pelajar.
“Sistem meritokrasi bertujuan
memberi keadilan kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa. Dan ini bukan mudah
bagi yang tidak cemerlang,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan ketat
itu bukan saja dilaksanakan IPTA di negara ini, malah kebanyakan universiti
terkenal di dunia.
“Sistem pendidikan tinggi negara
kita kini pantas ke menuju antarabangsa sebagai satu mekanisme persaingan
pendidikan globalisasi.
“Jadi, tentu standard diberikan
tinggi bagi mengisi kapasiti persaingan itu termasuk kelayakan akademik bakal
mahasiswa.
“Ini juga cabaran kepada
mahasiswa termasuk Bumiputera bagi membuktikan kemampuan, sekali gus menutup
persepsi bahawa mereka selalu gagal menunjukkan persaingan yang baik,” katanya.
Malah, beliau tidak menafikan,
pertikaian mengenai pencapaian mahasiswa Bumiputera sering menjadi polemik dan
bualan masyarakat.
“Tidak dinafikan, ramai pihak
suka mempertikaikan kemampuan mahasiswa Bumiputera. Ini sudah seperti tradisi.
“Pada saya, ia tidak adil kerana
golongan itu membuktikan mereka memang cemerlang menerusi keputusan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Cuma, kekurangan itu agak ketara
dari segi kemahiran, namun itu bukan alasan terus melabelkan mereka tidak
berkelayakan menjadi graduan yang baik,” katanya mengakui kekurangan sedia ada
itu boleh dianggap cabaran bagi menjadikan diri mahasiswa alat transformasi
moden dunia pendidikan baharu.
“Kita tidak pernah membiarkan
kepincangan sedia ada untuk terus ‘membenamkan’ pencapaian mahasiswa
Bumiputera, malah segala kepincangan sentiasa mendapat pemerhatian.
“Malah, pengenalan pelbagai
mekanisme adalah antara usaha dilakukan bagi menaikkan taraf pencapaian agar
lebih memberikan impak tinggi melebihi sasaran ditetapkan.
“Usaha ini bukan berat sebelah
tapi bagi menjawab pertuduhan pihak tertentu yang beranggapan mahasiswa Bumiputera
mendapat banyak kelebihan berbanding bangsa lain,” katanya.
Beliau kesal apabila isu bangsa
dijadikan polemik dan dipolitikkan.
“Saya tekankan, perkara berkaitan
pendidikan tidak boleh dijadikan alat untuk menimbulkan isu lain. Ini adalah
pendidikan yang memberi akses sama rata kepada semua untuk menimba dan
memperoleh ilmu.
“Jangan jadikan isu pendidikan
atau mahasiswa Bumiputera sebagai satu senjata untuk mengkucar kacir atau
menghangatkan sentimen lain.
“Pendidikan di IPTA atau
mana-mana institusi perlu berlangsung secara harmoni demi satu matlamat iaitu
melahirkan masyarakat berilmu dan mampu menjadi pemimpin negara yang baik suatu
hari nanti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan
mahasiswa yang baru ditawarkan tempat pengajian agar menggunakan sepenuhnya
peluang diberikan itu dengan bijak.
“Ramai beranggapan, jika belajar
di menara gading, semuanya selamat.
“Itu tanggapan salah kerana di
universiti, semuanya perlu dilakukan sendiri. Jika mahu gagal atau berjaya,
buatlah pilihan masing -masing.
“Di kampus, cabaran akan bermula
seterusnya ke peringkat pekerjaan dan kehidupan. Kalau dipersiakan peluang
diberikan ini, mereka sendiri boleh meramalkan kemungkinan yang bakal berlaku,”
katanya.
Mengenai tanggapan mahasiswa
Bumiputera kurang kompeten terutama dalam aspek kemahiran serta pengukuhan jati
diri, beliau berkata ia subjektif dan tidak tertakluk pada mana-mana pihak.
“Kompetensi boleh dibentuk
melalui latihan, kesedaran dan aktiviti kampus. Soalnya, adakah mereka ada
kemahuan melakukannya?
“Setiap aspek kemahiran atau
pengukuhan jati diri tertakluk pada kemahuan individu. Sediakan aktiviti
terbaik di dunia mahupun mentor mentee paling handal, kalau tiada kemahuan
diri, semuanya gagal.
“Kemahiran dan jati diri
dimantapkan dengan pembabitan dalam program dan aktiviti yang dirangka khas
untuk mereka bukan bangsa,” katanya.
Tidak juga menafikan bakal wujud
budaya kejutan dalam sistem pengajian peringkat tinggi, beliau berkata ia boleh
diatasi jika menumpukan perhatian pada peringkat awal pengajian.
“Peringkat ini memudahkan mereka
memperoleh keputusan cemerlang kerana pengenalan modul adalah asas sebelum
membuat pengkhususan.
“Tapi, di sini juga kesilapan
terbesar kerana mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh mahu mengumpulkan
markah yang baik.
“Berdasarkan pemerhatian, andai
kata sekali mereka sudah terleka, selalunya kelekaan itu akan berterusan hingga
menyebabkan keputusan tidak cemerlang,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/