Oleh : Mior Kamarul Shahid
Menyaksikan aksi dua pergaduhan
kumpulan kongsi gelap tempatan dalam video milik Polis Diraja Malaysia (PDRM)
berbeza dengan melihat adegan dalam filem aksi. Dalam pergaduhan benar, tidak
ada aksi yang dibuat-buat untuk menunjukkan kehebatan seseorang seperti yang
ditetapkan skrip. Aksi dalam video itu ibarat kita terserempak dengan peristiwa
pergaduhan di depan mata. Tidak ada penggunaan teknik kamera ketika menikam
atau menetak dengan senjata tajam, memukul dengan kayu, menumbuk, menendang dan
sebagainya ketika masing-masing bertindak untuk menewaskan lawan. Tayangan
video itu ditunjukkan kepada peserta wacana bertajuk ‘Masyarakat dan Jenayah –
Di mana kita?’ siri 1 anjuran Majlis Profesor Negara dan BH, di Kuala Lumpur,
Khamis lalu.
Aksi sekumpulan anggota kongsi
gelap membelasah musuh mereka yang dirakam melalu kamera tersembunyi itu amat
menakutkan, mengerikan dan menyeramkan kerana ia adalah pergaduhan benar
berlaku. Darah yang keluar dari tubuh mangsa adalah darah manusia, bukan dakwat
merah, tangan yang terkulai dibelasah dengan kayu bukan dibuat-buat dan jeritan
dan raungan didengar bukan rakaman studio. MPN dan BH menganjurkan wacana
bersiri ini untuk matlamat melihat jenayah dari pelbagai perspektif secara
ilmiah, beralih dari aspek stereotaip perbincangan mengenai jenayah sebagaimana
yang sering dilakukan sebelum ini.
Kesan daripada perbuatan jenayah
bukanlah kepada mangsa semata-mata tetapi juga kepada setiap individu
masyarakat. Kes rompakan di kedai emas bukan saja memberi kesan psikologi
kepada pemilik dan jurujual kedai emas, malah kepada pembeli atau setiap kali kita
berjalan di depan kedai emas. Begitu juga kes rompakan di stesen petrol atau
bank yang turut memberi kesan kepada ramai. Ibu bapa sentiasa berasakan
keselamatan anak mereka terancam. Jika anak lewat pulang, mereka kian resah.
Kes jenayah dilihat dari pelbagai aspek – sosioekonomi, kaum dan etnik,
persekitaran, pergaulan, tahap pendidikan, pengalaman peribadi, pengaruh
material dan sebagainya.
Sikap masyarakat yang pasif
Kesan kemasukan pendatang asing
dalam sektor tertentu, juga dikaitkan dengan jenayah. Mengenal punca saja tidak
dapat menyelesaikan masalah. Jenayah perlu diselesaikan dengan kaedah yang
berkesan. Jika dulu kawasan Chow Kit, Pudu, Sentul, Kepong di Kuala Lumpur
adalah sarang jenayah, tetapi dengan pembangunan pesat, kegiatan jenayah sudah
dapat dikurangkan walaupun ada pandangan mengatakan pembangunan seiring dengan
peningkatan masalah sosial dan kes jenayah.
Tidak terlepas pandang juga ialah
penguatkuasaan undang-undang dan kebajikan pihak yang ditugaskan untuk menjaga
ketenteraman awam. Pihak polis memerlukan ‘alat’ tertentu, merujuk kepada kuasa
dan undang-undang bagi membanteras jenayah. Jika tangan mereka juga diikat
untuk bertindak, penjenayah akan lebih berani. Hari ini, bila beberapa
peraturan dan undang-undang dimansuhkan, penjenayah kian berani. Anggota kongsi
gelap sudah berani berarak dengan membawa lambang pertubuhan atau geng mereka
dengan tujuan mencabar pihak polis. Wacana ini juga melihat sikap masyarakat
yang pasif terhadap kegiatan jenayah dengan tidak mengambil apa-apa bahagian
bila terserempak dengan perbuatan jenayah. Mereka tidak melakukan apa juga
tindakan sekali pun melihat kegiatan jenayah berlaku di depan mata kerana tidak
mahu terbabit dengan kegiatan yang tidak ada kena mengena dengan kehidupan
keluarga dan dirinya. Itulah yang disebut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid
Abu Bakar bahawa seseorang penyeluk saku di negara ini boleh melarikan diri
dengan mudah di celah-celah orang ramai sedangkan di negara lain, penyeluk saku
akan ditangkap orang ramai tidak sampai 10 meter dari tempat dia menyeluk saku.
Punca sikap masyarakat yang pasif ini juga perlu dilihat dari aspek ilmiah.
Satu lagi masalah ialah tindakan
pihak tertentu mempolitikkan kegiatan jenayah, kononnya atas alasan hak asasi
manusia dan sebagainya. Tidak ada pihak sepatutnya mencampuri tugas polis
membanteras jenayah atas alasan apa sekali pun jika mahu melihat mereka
menguatkuasakan undang-undang.
Pemaparan kegiatan jenayah di
media juga tidak terlepas daripada kajian yang perlu dijalankan. Sememangnya
media mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dalam mendekati
peristiwa atau kegiatan jenayah – daripada sekecil-kecil kes mencuri telur ayam
di kampung hinggalah kepada kes pembunuhan kekerasan bersiri yang zalim. Saban
hari media melaporkan kes jenayah yang muncul dalam pelbagai bentuk dan rupa.
Ditangani dengan iltizam,
keberanian
Tidak ada rakyat mahu negaranya
begitu rencam dengan kegiatan jenayah. Kita tidak mahu kegiatan seluk saku atau
ragut menjadi perkara biasa dalam masyarakat, kes curi bermaharajalela, tidak
ada orang kisah soal dadah, kes rompak sebagai peristiwa harian yang tiada
kesudahannya, kes culik sekadar mainan, rogol sebagai lumrah, pemilikan senjata
berbahaya hanya ibarat memiliki senjata mainan, kongsi gelap disamakan
pertubuhan sosial, kes bunuh dan tembak-menembak sebagai normal dalam
masyarakat dan sebagainya. Jenayah menakutkan sesiapa juga kerana kegiatan itu
tidak mengenal mangsa dan ketika. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja dan pada
bila-bila masa.
Media tidak boleh menyembunyikan
berita jenayah kerana ia hanya akan menimbulkan suasana berbeza pula.
Adakalanya berita pergaduhan kecil yang tidak dilaporkan menjadi berita yang
boleh mencetuskan pertelingkahan kaum. Setiap hari media menerima banyak berita
jenayah, hinggakan banyak daripadanya tidak boleh disiarkan kerana ketiadaan
ruang. Ini menunjukkan kes jenayah memerlukan penyelesaian. Kes dan kejadian
jenayah perlu ditangani dengan penguatkuasaan undang-undang dan lebih penting
lagi ialah iltizam dan keberanian.
Hanya dengan satu wacana tidak
boleh menyelesaikan semua masalah jenayah. Diharapkan pada siri wacana seterusnya,
ia dapat melihat perspektif yang berbeza pula.
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan