Selasa, 8 Mei 2012

ISU SEJARAH : Hang Tuah wujud, asal Singapura?


Oleh Chairul Fahmy Hussaini Dan Ervina Mohd Jamil

HANG Tuah bukan saja wujud, bahkan dipercayai berasal dari Singapura berdasarkan Catatan Okinawa mengenai dua pucuk surat yang dipercayai dikirim Laksamana Melaka itu kepada Kerajaan Jepun pada 1480 dan 1481.

Kedua-dua surat itu tersimpan di Arkib Budaya Ryukyu di Jepun.

Demikian menurut seorang sejarawan yang juga mahaguru arkeologi bagi Program Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Dr John Miksic, dalam satu wawancara bersama Berita Harian semalam.

'Pada pandangan saya, Hang Tuah wujud. Ini berdasarkan Catatan Okinawa (Jepun) yang menyebut tentang seorang laksamana hebat, keterampilannya menyerlah pada zaman Kesultanan Melaka pada pertengahan 1400-an.

'Catatan Okinawa ini penting dan agak boleh dipercayai kerana ia memenuhi kekosongan apabila tidak terdapat Catatan China setelah (China) memutuskan hubungan (dengan dunia luar) selepas 1430,' terang beliau.

Kenyataan Dr Miksic itu sekali gus menepis pandangan ahli sejarah Malaysia, Tan Sri Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, yang berkata Hang Tuah tidak wujud dan lebih merupakan tokoh mistik.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Miksic berkata salah satu surat itu menyatakan seorang laksamana ada mengerahkan sebuah kapal ke Champa, iaitu Vietnam sekarang, dan menyelamatkan dua lelaki Ryukyu yang terselamat daripada satu pergaduhan dengan warga Vietnam.

'Laksamana memohon kepada pemerintah Ryukyu supaya menghantarkan kepadanya sebilah pedang, sebuah alat membaiki busur dan sebuah pelana kuda,' kata Dr Miksic, 55 tahun.

Kelmarin, Dr Miksic menyampaikan ceramah 'Dunia Melayu dan Singapura: Dari Sudut Arkeologi' anjuran Taman Warisan Melayu di Muzium Negara Singapura.

Menurut beliau lagi, pada 1481 pula Laksamana menandatangani sepucuk surat sebagai mengesahkan penerimaan hadiah dan utusan luar negara, dan senarai hadiah yang dikirimkan sebagai balasan.

'Surat ini selalunya dikirimkan oleh Sultan sendiri, tetapi dengan Laksamana sendiri menulisnya bagi pihak raja menunjukkan ketinggian kedudukan beliau,' ujarnya.

Dalam hal ini, kata Dr Miksic, seseorang itu akan berasa teruja memikirkan apakah laksamana yang menulis surat itu ialah orang yang sama menulis kepada Ryukyu pada 1480 dan 1481 dan merupakan Hang Tuah.

Menurut Dr Miksic lagi, Laksamana tentera laut Portugis, Afonso D'Alboquerque, mengesahkan kewujudan laksamana itu.

Ini termuat dalam Commentaries of the Great Afonso D'Alboquerque (Komentari Afonso D'Alboquerque Yang Hebat) yang ditulis tidak lama selepas kejatuhan empayar Melaka ke tangan Portugis pada 1511.

'Laksamana itu disifatkan sebagai pahlawan terbilang, seorang yang ulung, berusia sekitar 80 tahun dan bertempat di Singapura,' kata Dr Miksic.

Dalam wawancara itu, beliau mengongsi pandangannya bahawa Hang Tuah berasal dari Singapura.

Menurutnya, dengan tertubuhnya Melaka peranan Singapura, seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu, berubah daripada sebuah ibu kota kepada tempat kekuasaan anak seorang pegawai berpangkat Sri Bija Diraja - yang menyandang jawatan penting sebagai laksamana, panglima tentera laut Kesultanan Melaka.

Pada masa sama, Hang Tuah juga menyandang jawatan sebagai laksamana.

Dr Miksic berkata sifat Hang Tuah serupa dengan Arjuna dalam Mahabharata, sebuah epik klasik India.

'Catatan Sejarah Melayu mengenai Sultan Mansur Shah, antara tempoh gemilang Melaka, menyatakan Singapura ketika itu memiliki 40 kapal atau geliung bertiang tiga.

'Singapura sumber terpenting dari segi kekuatan tentera laut ketika itu, seperti Bintan sebelumnya. Melaka tidak punya warga pelaut tempatan,' kata Dr Miksic.

INFO : Dr John Miksic ialah pakar arkeologi dari Universiti Nasional Singapura (NUS)

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/(30 APRIL 2012)

ISU SOSIAL : Cuepacs desak kerajaan umum segera ahli suruhanjaya gaji


PUTRAJAYA - Cuepacs berharap agar suruhanjaya khas bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara - yang diumumkan oleh Perdana Menteri Mac lalu, dapat ditubuhkan dalam bulan ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sehingga kini kerajaan masih belum mengumumkan senarai anggota suruhanjaya itu dan pihaknya menerima pelbagai pertanyaan daripada anggota gabungan mengenainya.

"Harapnya dalam tempoh terdekat ini, sebelum bulan sambutan Hari Pekerja ini berlalu, mohon jasa baik kerajaan agar dapat umumkan senarai nama anggota suruhanjaya itu," katanya dalam sidang media di pejabat Kepertama, Universiti Putra Malaysia di sini.

Dipetik Bernama, beliau berkata, kebanyakan anggota gabungan yang membuat pertanyaan adalah daripada kalangan 23 kesatuan sekerja.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas dan semasa acara itu Najib turut mengumumkan pembatalan Sistem Saraan Baru perkhidmatan Awam (SBPA) dan pelaksanaan semula Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

Omar berkata, beliau difahamkan suruhanjaya itu nanti akan mencadangkan penampilan sistem gaji bagi menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan seperti gaji maksimum, kekananan pegawai, kenaikan pangkat, dan sebagainya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU EKONOMI : Hutang negara RM257.2 bilion sehingga Disember tahun lalu


KUALA LUMPUR: Jumlah hutang negara sehingga 31 Disember tahun lalu sebanyak RM257.2 bilion atau 30.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Senator, Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata hutang negara atau hutang luar Malaysia adalah hutang yang ditanggung negara berikutan pinjaman yang diperoleh kerajaan dan swasta daripada sumber luar negara.

"Ini merangkumi hutang luar kerajaan persekutuan, Perusahaan Awam Bukan Kewangan dan sektor swasta," katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Paul Kong Sing Chu dan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang ingin mengetahui jumlah hutang negara dan langkah diambil bagi membayar hutang itu.

Lim berkata jumlah hutang Kerajaan Persekutuan yang meliputi hutang dalam dan luar negara sehingga tempoh yang sama pula, sebanyak RM456.1 bilion atau 53.5 peratus daripada KDNK.

"Daripada jumlah berkenaan RM438 bilion atau 96 peratus adalah hutang dalam negara manakala bakinya RM18.1 bilion atau empat peratus membabitkan hutang luar negara.

"Jumlah hutang luar negara yang rendah, selaras dengan dasar kerajaan mengutamakan pinjaman dalam negara yang mempunyai kecairan tinggi, kos pinjaman lebih rendah serta meminimumkan risiko pertukaran mata wang asing," katanya.

Lim berkata sumber hutang dalam negara Kerajaan Persekutuan ialah Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan Kerajaan, Sekuriti Kerajaan Malaysia, pinjaman Kumpulan Pinjaman Perumahan dan terbitan Sukuk Simpanan Rakyat serta Sukuk 1Malaysia.

Beliau berkata pemegang instrumen berkenaan terdiri daripada institusi kewangan, syarikat insurans dan institusi keselamatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya sumber hutang luar negara pula diperoleh daripada sumber pasaran modal antarabangsa melalui terbitan sukuk global dan pengeluaran pinjaman projek daripada institusi multilateral seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam, selain pinjaman dua hala dalam mata wang asing iaitu Dollar Amerika, Yen, Euro, Dollar Kanada dan Dinar.

"Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pembayaran balik pinjaman dibuat mengikut jadual yang ditetapkan, dan sehingga kini kerajaan telah membayar hutang secara teratur.

"Ini hasil pendekatan pengurusan hutang berhemat. Pada tahun lalu, jumlah bayaran khidmat hutang ialah RM17.7 bilion atau 9.7 peratus daripada perbelanjaan mengurus," kata Lim.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan Datuk Syed Ibrahim Kader yang bertanya sama ada Bank Negara Malaysia (BNM) mendapatkan maklum balas rakyat sebelum melaksanakan penggunaan duit syiling baharu, Lim berkata spesifikasi syiling baharu itu selari dengan hasil kaji selidik yang dijalankan BNM.

"Kaji selidik ini dijalankan antara Januari dan April 2009 merangkumi perbincangan dengan orang ramai, peniaga dan pihak lain seperti institusi perbankan dan pengendali mesin tunai.

"Rumusan penting kajian itu orang ramai lebih gemar duit syiling lebih kecil dan ringan berbanding dahulu. Duit syiling baharu ini bertujuan meningkatkan keselesaan dan kesenangan orang ramai," katanya.

Beliau berkata trend mengecilkan saiz dan mengurangkan berat duit syiling antara strategi utama diguna pakai bank-bank pusat dunia dalam mempertingkat spesifikasi teknikal sewaktu memperkenal siri baharu duit syiling.

Katanya selain itu, duit syiling baharu Malaysia memenuhi spesifikasi keselamatan yang lebih baik berbanding yang lama, dan syiling yang lebih kecil dapat mengurangkan kos penghasilannya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Lebih 70,000 siswazah masih menganggur


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata kira-kira 76,200 siswazah masih menganggur kerana tiada kemahiran mencari pekerjaan.

Beliau berkata, berdasarkan kajian Jabatan Tenaga Kerja menerusi portal JobStreet Malaysia ke atas 1,994 responden, 77.14 peratus menyatakan mereka perlu mentor atau pembimbing dalam usaha mencari kerja.

"Melalui bancian itu juga kita dapati hanya 42.59 peratus bersetuju menyatakan sepatutnya lepasan universiti tidak menghadapi masalah dalam mencari kerja, berbanding 57.41 peratus yang mengakui bermasalah untuk mencari kerja.

"Ini jelas menunjukkan tiada kemahiran untuk mendapat maklumat dan membuat carian pekerjaan menyumbang kepada kegagalan lepasan universiti untuk mendapat pekerjaan," katanya ketika menjawab soalan Senator Khoo Soo Seang di Dewan Negara, di sini, hari ini.

“Selain itu, sikap siswazah yang terlalu bergantung kepada orang lain untuk menyampaikan maklumat mengenai peluang kerja serta tidak tahu bagaimana untuk memohon juga menyumbang kepada pertambahan kadar pengangguran,” katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : 2.5 juta rakyat Malaysia tidak kahwin, lelaki lebih ramai


WARTAWAN SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Sekitar 2.5 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 25 tahun dan mewakili 16.7 peratus penduduk negara ini, masih belum atau tidak berkahwin.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie berkata, berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, daripada jumlah itu 60.4 peratus adalah lelaki.

Bancian itu juga mendapati purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28 tahun berbanding 28.6 pada tahun 2000, manakala bagi wanita pula meningkat kepada 25.7 berbanding 25.1 pada tahun 2000, katanya menjawab soalan Senator Datuk Boon Som Inong.

Heng berkata Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia keempat pada 2004 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara, mendapati 32.1 peratus daripada responden tidak pernah berkahwin.

Daripada jumlah itu, 55.6 peratus adalah lelaki, katanya dipetik Bernama.

"Sebanyak 44.7 peratus daripada responden lelaki tidak berkahwin kerana masalah kewangan, tiada calon sesuai (19.3 peratus), kerjaya (12.8 peratus), komitmen keluarga (6.3 peratus) dan selebihnya sebab lain.

"Sebanyak 40 peratus wanita tidak berkahwin kerana tiada calon sesuai, masalah kewangan (14 peratus), kerjaya (8.4 peratus), selesa hidup membujang (8.4 peratus), komitmen keluarga (7.4 peratus) dan selebihnya sebab lain," katanya.

Heng berkata, kementerian tidak bercadang mewujudkan perkhidmatan pusat temu jodoh atau perkhidmatan temu jodoh secara dalam talian kerana perkhidmatan itu telah disediakan swasta, pertubuhan bukan kerajaan badan agama dan beberapa parti politik.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Pemimpin sejati ada integriti, wibawa


Oleh MOHD. NURFIKRI MASERI
(Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim Kedah)

INTEGRITI merupakan satu nilai yang wajib disematkan ke dalam diri seseorang yang bergelar pemimpin, khasnya pemimpin sesebuah negara.

Mengapakah nilai kejujuran harus wujud dalam diri seseorang pemimpin? Ya, nilai ini seharusnya ada dalam diri seseorang pemimpin kerana dengan adanya nilai ini, akan lahirlah seorang pemimpin yang bertanggungjawab terhadap organisasi yang dipimpinnya.

Dalam konteks pemerintahan dan pengurusan sesebuah negara, pemimpin yang bertanggungjawab sudah pastinya mampu mengurus dan mentadbir negara yang dipimpinnya dengan baik. Katakanlah jika seseorang pemimpin tersebut tidak jujur untuk menjadi seorang pemimpin, sudah tentu tanggungjawabnya terhadap negara yang dipimpinnya terabai kerana tiada rasa tanggungjawab untuk menjadi seorang pemimpin.

Jika hal ini berterusan, kemungkinan untuk negara yang dipimpin menjadi negara yang mundur adalah sangat tinggi. Oleh yang demikian, tidak menjadi satu kesalahan jika dikatakan pemimpin yang mempunyai kejujuran untuk memimpin negaranya mampu menjadikan negara yang dipimpin tersebut maju, sejahtera dan sekali gus mengangkat martabat negara di mata dunia.

Seterusnya ialah persoalan mengenai perkaitan antara nilai kesempurnaan dengan ciri yang harus dimiliki oleh seseorang pemimpin yang berjaya. Dalam konteks kepimpinan dan berpolitik, nilai kesempurnaan ialah nilai yang berkaitan dengan kesempurnaan peribadi yang wajib dimiliki oleh setiap pemimpin.

Hal ini kerana, tugas untuk menguruskan pentadbiran sesebuah negara bukanlah sesuatu yang mudah. Pemimpin yang memimpin sesebuah negara hendaklah bijak menangani sesuatu perkara, berfikiran kritis dan positif, amanah dalam menjalankan tugas dan sebagainya yang menunjukkan kesempurnaan peribadi seseorang pemimpin. Jika seseorang pemimpin tersebut tidak mempunyai kesempurnaan peribadi, tidak dinafikan bahawa negara yang dipimpinnya akan mundur dan huru-hara.

Selain itu, nilai keikhlasan juga merupakan salah satu nilai yang merangkumi nilai integriti. Mengapa sifat ikhlas harus ada dalam diri setiap pemimpin? Tugas untuk memimpin sesebuah negara bukanlah satu tugas yang mudah kerana memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menguruskan dan menyelesaikan pelbagai perkara dan masalah.

Oleh itu, seseorang pemimpin harus ikhlas untuk memikul tanggungjawab sebagai seseorang pemimpin yang menguruskan segala hal ehwal yang berkaitan dengan negara yang dipimpinnya. Bukanlah semata-mata mengutamakan gaji yang lumayan daripada mengutamakan tugas dan tanggungjawab memimpin sesebuah negara sehingga mengabaikannya.

Selain itu, nilai yang merangkumi nilai integriti adalah nilai keterbukaan. Dalam hal ini, seseorang pemimpin sesebuah negara haruslah bersifat terbuka dan menerima pandangan dan kritikan orang lain untuk memperbaiki kesilapan, menambah baik undang-undang yang sedia ada, dan sebagainya demi kebaikan dan keharmonian negara yang dipimpin.

Namun begitu, sifat keterbukaan juga haruslah terhad kepada perkara-perkara yang positif sahaja dan bukanlah bersifat terbuka terhadap perkara-perkara yang negatif. Contohnya, membenarkan penjualan arak dan dadah secara berleluasa dalam negara semata-mata untuk meningkatkan pendapatan negara.

Tindakan tersebut akan mendatangkan impak negatif yang mampu memusnahkan kestabilan, keharmonian dan keamanan sesebuah negara. Oleh yang demikian, sifat keterbukaan tidak lagi menjadi satu nilai yang positif sebaliknya berkecenderungan kearah yang negatif.

Seterusnya ialah perkaitan antara nilai ketelusan dan nilai integirti dalam diri seseorang pemimpin. Dalam pentadbiran sesebuah negara, pemimpin haruslah bersifat telus untuk menjadi seorang pemimpin yang adil dan saksama. Sikap diskriminasi dan mementingkan diri sendiri dalam sesuatu perkara hendaklah dielakkan kerana akan mendatangkan kesan yang buruk terhadap negara.

Contohnya, seseorang pemimpin tersebut mengenakan cukai terhadap setiap orang yang ada dalam sesebuah rumah untuk menambah gaji setiap pekerja kerajaan. Hal ini bukan sahaja bersifat diskriminasi, malahan menindas rakyat negara. Kesannya, rakyat negara tersebut akan menderita dan sukar melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Keamanan negara tersebut juga akan turut tergugat jika rakyat memberontak dan melakukan demonstrasi.

Sudahnya, pertumpahan darah juga turut berlaku dek kedangkalan pemimpin dalam mengurus tadbir sesebuah negara. Sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing tidak harus ada dalam diri seorang pemimpin sejati yang berintegriti.

Selain itu pemimpin yang berwibawa juga haruslah berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan boleh dipegang katanya. Dalam hal berpegang pada prinsip, seseorang pemimpin haruslah mempunyai pendirian yang tetap dan teguh. Pendirian tersebut pula haruslah bersandar kepada sifat yang positif.

Sebagai contoh, pemimpin Malaysia haruslah berpegang dan mengamalkan lima prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undag dan kesopanan dan kesusilaan. Jika pemimpin negara Malaysia tidak berpegang pada lima prinsip tersebut, hal ini menunjukkan pemimpin itu tidak mempunyai pendirian yang tetap dan mudah dipengaruhi. Pemimpin sesebuah negara juga seharusnya menepati janjinya, terutamanya janji terhadap rakyatnya.

PENULIS ialah pemenang ketiga Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik peringkat pengajian tinggi yang dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/