Jumaat, 8 Mac 2013

ISU SOSIAL : Bahana khabar angin


PENCEROBOHAN yang berlaku di Lahad Datu, Sabah adalah sesuatu yang sangat asing dalam konteks masyarakat kita.

Pertumpahan darah yang berlaku membimbangkan kita semua. Walaupun kita sering menonton peristiwa seperti itu di kaca televisyen, tetapi kejadian-kejadian seperti itu biasanya berlaku di negara lain.

Apabila berlakunya krisis seperti ini, biasanya yang sering berlaku ialah tersebarnya khabar angin yang mungkin dimulakan oleh sesetengah pihak bagi tujuan suka-suka atau sememangnya disebarkan dengan tujuan tertentu.

Sebab itulah dalam keadaan seperti ini, semua pihak yang terlibat, khususnya orang awam, harus berhati-hati kerana biasanya khabar angin cenderung memberikan implikasi buruk.

Walaupun khabar angin lazimnya akan diabaikan setelah mengetahui bahawa ia adalah berita palsu, bagaimanapun kajian-kajian psikologi menunjukkan bahawa manusia cenderung untuk mempercayainya sebagai benar apabila ia diulang berkali-kali atau disebarkan oleh ramai orang.

Ini adalah kerana manusia akan cuba menterbalikkan persepsi maklumat tadi kepada kenyataan yang asal.

Misalnya, sekiranya dikatakan bahawa produk A adalah baik, walaupun orang ramai mengetahui bahawa ia adalah produk yang tidak baik, tetapi lama-kelamaan orang akan menganggapnya sebagai betul juga.

Suasana sukar

Bagaimanapun, dalam konteks masyarakat, khabar angin biasanya mencetuskan suasana yang sukar dijangkakan. Maklumat asal akan berubah beberapa kali sehinggalah ia sampai kepada penerima yang terakhir. Ini menjadikan khabar angin yang asalnya kecil telah berubah menjadi kian besar dan sukar untuk dikawal.

Pada tahun 1943, telah berlaku satu pergaduhan kecil di Detroit, Amerika Syarikat yang melibatkan remaja kulit putih dan hitam.

Walaupun pergaduhan itu asalnya kecil sahaja, tetapi berakhir dengan kekacauan yang mengakibatkan 34 orang mati, termasuk enam anggota polis, 75 polis cedera dan 1,800 orang telah ditahan.

Ia merebak apabila dua remaja kulit hitam menyebarkan berita bahawa kumpulan kulit putih telah mencampakkan seorang wanita kulit hitam dan anak kecilnya ke dalam sebuah sungai di tempat yang dinamakan Belle Isle Bridge.

Di kawasan kulit putih pula, berita mula tersebar bahawa sekumpulan kulit hitam telah merogol dan membunuh seorang wanita berkulit putih di tempat yang sama juga.

Sebenarnya inilah yang sentiasa berlaku apabila khabar angin mula merebak. Biasanya, khabar angin boleh berlaku dalam dua proses, pemindahan dan pengemaskinian.

Pemindahan berlaku apabila terdapat dua pihak berinteraksi dan pihak yang memberikan maklumat tadi mampu meyakinkan penerima dengan maklumatnya.

Penerima tadi pula akan menyebarkan kepada orang lain dan biasanya dengan pertambahan maklumat baharu bagi tujuan meyakinkan orang yang mendengarnya.

Tersebar pantas

Pada masa lalu, khabar angin hanya tersebar dari mulut ke mulut. Bagaimanapun, dengan wujudnya pelbagai medium teknologi hari ini, khabar angin akan tersebar dengan lebih cepat.

Dalam keadaan konflik dan ketidaktentuan, khabar angin akan lebih mudah dipercayai apabila ia ditandai pula oleh petunjuk-petunjuk lain, walaupun tidak ada kaitan dengan khabar angin tadi.

Misalnya, apabila tersebarnya khabar angin kemungkinan berlakunya rusuhan, ia akan dianggap sebagai benar apabila orang ramai mula melihat perpindahan keluar orang ramai dari satu kawasan ke kawasan lain.

Ia diperkuatkan pula dengan kejadian-kejadian tidak diingini lain, yang mungkin tidak ada kaitannya dengan berita asal yang disebarkan sekali gus menjadikan khabar angin yang disebarkan tadi seolah-olah maklumat yang sangat pasti.

Dalam keadaan orang ramai berasa bimbang dan tertekan, banyak daripada maklumat palsu ini akan lebih mudah dipercayai.

Sebab itu masyarakat perlu berhati-hati. Dalam konteks penyebaran khabar angin melalui internet dan media sosial misalnya, ia akan lebih cepat merebak kerana pembaca tidak berupaya untuk mengenal pasti siapa yang memulakannya.

Ia pula akan disebarkan daripada satu laman ke laman yang lain seolah-olah ia berita yang benar-benar berlaku.

Secara psikologikal, pembaca akhirnya cenderung untuk membuat penafsiran sendiri ke atas maklumat-maklumat yang mereka terima, tanpa meneliti ketulenannya kerana mereka tidak berupaya untuk menilai adakah penyebar maklumat tadi ialah seseorang yang ada kredibiliti atau tidak.

Perkara yang berlaku di Lahad Datu dan beberapa kawasan lain mungkin adalah sesuatu yang tidak kita harapkan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, kita juga tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai apa sahaja yang kita baca dan dengar.

Mungkin, ada maklumat yang sengaja disebarkan oleh pihak tertentu untuk memerangkap masyarakat untuk bertingkah laku dengan cara yang tidak sewajarnya.

Bersabar dan sentiasa bersedia dengan makluman yang disampaikan oleh pihak berkuasa adalah satu cara yang mungkin dapat membantu kita semua dalam menghadapi krisis seperti ini.

Semoga, kita semua dapat menikmati hari indah seperti sebelumnya. Buat anggota keselamatan yang menjaga kestabilan dan keharmonian negara, kami rakyat Malaysia merakamkan jutaan terima kasih kepada anda semua.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/ 

ISU SOSIAL : Had toleransi selagi tidak jejas akidah


Oleh : Lokman Ismail

Toleransi mampu mewujudkan hubungan baik dengan mana-mana pihak dalam urusan membabitkan kepentingan masing-masing. Toleransi dengan penganut agama lain disandarkan kepada hubungan baik membuktikan kebenaran ajaran Islam.

Perlu difahami, toleransi tidak bermakna berdiam diri dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama, maruah diri dan keselamatan. Kita tidak boleh berlembut atau menyokong perbuatan yang membawa kepada dosa dan memesongkan akidah.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu tolong- menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Keras dalam menjatuhkan hukuman.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Mentafsir ayat ini, Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk tolong- menolong dalam kebaikan, meninggalkan kemungkaran serta melarangnya untuk saling bantu membantu dalam kebatilan dan dosa.

Tolak fahaman pluralisme

Meniru atau terikut-ikut cara ibadat bukan Islam adalah batil dan dosa, hukumnya haram. Sikap toleransi sehingga menerima fahaman pluralisme agama yang menyamaratakan semua agama perlu ditolak. Fahaman ini turut didukung sekelompok umat Islam yang dikenali penganut ‘Islam Liberal’.

Aliran atau manhaj Islam Liberal menekankan ciri keterbukaan dan kebebasan dengan mengutamakan akal logik dalam mentafsir ajaran Islam. Aliran ini berusaha untuk keluar daripada kaedah pentafsiran ilmu tradisi serta apa yang sedia ada dalam syariat Islam yang asli dan tulen.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 42)

Islam mewajibkan umatnya berbuat baik kepada bukan Islam apalagi kepada sesama Islam. Ketika ada yang memerlukan bantuan, haruslah dibantu dengan termampu. Jika ada pihak lain membuat ancaman, maka hendaklah membantu mempertahankan hak yang sepatutnya dirasai.

Bangun sikap toleransi

Itulah adab umat Islam dalam membangun sikap toleransi. Rasulullah SAW malah mengancam umat Islam yang berbuat zalim kepada zimmi dengan ancaman tidak masuk syurga.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membunuh bukan Islam yang terikat perjanjian dengan umat Islam, maka ia tidak akan mencium keharuman syurga, meskipun keharumannya itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun perjalanan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jika toleransi dituntut dalam ajaran Islam, maka perbuatan ekstrem yang berlawanan dengan toleransi sudah tentu amat ditegah atau dibenci. Sesungguhnya, Islam tidak pernah meletakkan tindakan ekstrem sebagai cara untuk mencapai apa-apa maksud atau tujuan.

Ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mengamalkan perbuatan ekstrem, bahkan tidak menyokong sebarang bentuk penindasan dan ketidakadilan. Umat Islam ditegah mendatangkan sebarang bencana atau kesusahan kepada pihak lain.

Mana-mana individu Islam yang melakukan perbuatan ekstrem tidak patut mengaku melakukan perbuatan itu atas dasar memperjuangkan Islam.

Justeru, sebarang tuduhan yang dilemparkan kepada umat Islam sebagai pengganas, ekstrem, militan, radikal dan kejam adalah dakyah yang dilakukan oleh pihak berniat jahat terhadap umat Islam. Mereka sebenarnya tidak mengetahui mengenai ajaran Islam yang sebenar.

Media Barat sentiasa melancarkan propaganda untuk menggambarkan Islam sebagai paksi segala kejahatan. Berita membabitkan umat Islam yang digambarkan sebagai pengganas mendapat ruang utama di media massa Barat.

Gambaran itu menjadikan seluruh masyarakat dunia menjadi fobia terhadap umat Islam sedangkan hakikat sebenarnya Islam amat benci sebarang bentuk keganasan. Islam amat mencintai keamanan dan kesejahteraan untuk dinikmati seluruh penghuni dunia ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Memaknakan pendekatan wasatiyyah


Oleh :  Mohd. Yusof Din

KIRA-KIRA setahun lalu, ketika menjawab  soalan Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menyatakan suatu perkara yang asas di dalam memberi makna dan rasional kepada usaha kerajaan memperjuangkan konsep kesederhanaan dan wasatiyyah.

Jelas Perdana Menteri: “Kerajaan  akan memperjuangkan konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan sebagai pendekatan yang boleh membawa kepada keamanan sejagat dan bukan sahaja untuk membina negara bangsa yang harmoni dan bersatu padu.’’

Saya merasakan, ini adalah pernyataan tegas untuk mengisi iltizam Perdana Menteri dalam memastikan agenda dan pendekatan kesederhanaan ini menjadi suatu modul teras dalam agenda negara. Sebagai sebuah negara yang mempunyai kemajmukan dan kepelbagaian dalam banyak perkara, pendekatan ‘wasatiyyah’ dan kesederhanaan ini  adalah suatu yang sangat wajar dan perlu.

WASATIYYAH’DAN 1MALAYSIA

Hakikatnya, pendekatan kesederhanaan ini tidak terasing jauh daripada matlamat 1Malaysia yang menjadi haluan perdana kepada pembangunan di negara ini. Satu daripada lapan nilai penting 1Malaysia adalah konsep ‘penerimaan’ yang dirasakan lebih ikhlas dan menyeluruh berbanding prinsip ‘toleransi’ semata-mata.

Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

Semua ini hanya mampu direalisasikan apabila kita meminggir fahaman ekstremisme yang boleh mengganggu gugat hubungan antara kaum di Malaysia. Pendirian yang terlalu rasis, pendekatan yang tidak mendahulukan keperluan menjaga keharmonian antara kaum adalah antitesis kepada usaha melahirkan masyarakat yang sederhana.

Memang benar, kita tidak boleh terlalu idealistik sehingga menganggap semuanya akan berlaku seperti yang kita rancang dan ikhtiar. Namun, dalam masa sama, kita tidak perlu mencari jalan untuk mewujudkan perpecahan yang boleh menatijahkan sesuatu yang sukar buat pembangunan negara-bangsa.

MODEL PEMBANGUNAN ‘WASATIYYAH

Kita perlu sama-sama melihat kemungkinan elemen ‘wasatiyyah’ ini digabungjalinkan dengan kaedah kita untuk menzahirkan pembangunan. Ia harus merujuk kepada model pendekatan wasatiyyah yang dibawa sendiri oleh Rasulullah SAW yang secara jelas menitikberatkan kepada usaha melahirkan umat Islam yang cemerlang dunia dan akhirat, seimbang dalam melaksanakan tuntutan dunia dan kejayaan di akhirat.

Oleh yang demikian, model ‘wasatiyyah’ akan memberikan satu fahaman pembangunan ekonomi yang lebih syumul dan holistik. Kita tidak sahaja bercakap mengenai soal pembangunan per kapita. Kita tidak sahaja memberi tumpuan kepada soal pelaburan antarabangsa. Kita tidak terlalu memberi tumpuan kepada soal ratings yang diberikan oleh ‘Big Three’ (Standard & Poors, Moody dan Fitch). Namun, kita membentuk satu model pembangunan yang lebih ‘murni’, bersesuaian dengan masa dan keadaan.

Dr. Umer Chupra, seorang ahli ekonomi yang terkenal menggariskan kriteria lain yang perlu dalam membicarakan soal kesejahteraan ekonomi dalam bentuk yang lebih menyeluruh. Antara kriteria yang lebih perlu diberikan perhatian.

i. Kesejahteraan Ekonomi (Economic Well-being)

ii. Ikatan ukhuwwah masyarakat serta keadilan (Universal brotherhood and justice)

iii.  Agihan pendapatan yang adil (Equitable Distribution of Income)

Nyata, kita tidak sahaja bercakap soal pembangunan ekonomi dalam bentuk fizikal. Namun turut mencerap keperluan membina semangat ekonomi yang memakmur rakyat dalam segenap segi dan cabang.

Kesemua ini tidak terpinggir daripada semangat '1Malaysia; Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan’ yang seringkali diungkap oleh pimpinan kerajaan.

Pembentangan belanjawan yang dilakukan beberapa tahun kebelakangan ini, secara jelas dan bersungguh-sungguh  memperlihat ‘elemen kasih sayang’ kepada rakyat, iltizam untuk membantu rakyat dalam berhadapan dengan kenaikan kos kehidupan dan sebagainya.

Apa yang nyata, model pembangunan yang ‘seimbang’, bukan sahaja dalam membina ruang pembangunan ekonomi baru, namun juga berbicara khusus mengenai soal ‘pengagihan semula’ (redistribution) kekayaan ekonomi dengan rakyat. Jauh sekali untuk menghina rakyat dengan kata-kata yang boleh menyebabkan rakyat nampak kecil dan terhina.

‘WASATIYYAH’DAN HUBUNGAN ANTARABANGSA

Dengan gabungan penduduk berjumlah 500 juta orang, negara ASEAN memiliki potensi yang besar dalam membentuk kerjasama ke arah keamanan dan kemakmuran. Ia mensyaratkan penolakan terhadap sebarang bentuk keganasan, jenayah, ekstremisme dan terorisme. Kejayaan masyarakat ASEAN menuntut sikap menghormati kedaulatan undang-undang, urus-tadbir yang baik, prinsip demokrasi dan kerajaan berperlembagaan.

Apa yang berlaku di Lahad Datu adalah suatu jelmaan kepada elemen ekstremisme dalam mencabar kedaulatan negara tetangga. Ia tidak wajar berlaku, sekiranya kelompok yang terlibat, membuat banyak usaha muhasabah - menilai prioriti dalam membuat keputusan.

ASEAN sewajarnyalah diangkat menjadi ‘oasis keilmuan dan kemakmuran ekonomi’ buat semua negara tetangga. Bersesuaian dengan maksud itu, sebagai sebahagian resolusi ‘Seminar Islam di Asia Tenggara-Cabaran & Harapan’ yang diadakan baru-baru ini, sebuah Sekretariat Kerjasama Nusantara (Sutera) akan diletakkan di bawah seliaan IWM.

Dengan terwujudnya Sutera, kita mengharapkan agar isu-isu Islam di peringkat ‘serantau’ dapat diselesaikan dengan pendekatan kesederhanaan dan wasatiyyah. Jika ini berlaku, kita akan dengan sendirinya dapat melihat rantau ASEAN yang lebih makmur dan progresif dalam berhadapan dengan dugaan globalisasi yang menduga.

IWM - PELENGKAP AGENDA MODERAT GLOBAL

Bagi memastikan Malaysia mampu tampil sebagai pendorong dan peneraju gerakan kesederhanaan di peringkat yang lebih tinggi dan global - IWM mempunyai peranan yang besar untuk memastikan wahana sama dapat difahami dan dihayati di halaman sendiri. Seboleh mungkin, pendekatan wasatiyyah’ ini tidak mahu hanya diletakkan di atas kertas penyelidikan semata.

Disebabkan itulah juga, IWM akan melaksanakan beberapa agenda teras seperti agenda latihan, konsep outreach,  penyelidikan dan penerbitan untuk membugar pendekatan wasatiyyah dengan lebih menyeluruh dan holistik. Untuk peringkat awal ini, penerbitan tiga makalah kecil dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab mengenai konsep wasatiyyah akan diterbitkan dan diedar kepada masyarakat.

Dalam masa sama, kerjasama strategik akan terus disusun untuk menampilkan IWM bukan sekadar institut  biasa - namun bergerak seiring dengan tuntutan masa dan keadaan, sesuai dengan kehendak islah yang sebenar. Untuk itu, ia memerlukan gandingan mantap umara’ dan ulama’ pada setiap masa.

PENULIS ialah Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Bahasa Inggeris Sebagai Subjek Wajib Lulus Boleh Dilaksana Seawal 2016


PORT DICKSON : Cadangan untuk menjadikan bahasa Inggeris subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dilaksanakan seawal 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat.

Pelajar yang gagal Bahasa Inggeris tidak akan menerima sijil penuh tetapi mempunyai peluang untuk menduduki semula kertas peperiksaan pada Julai tahun berikutnya, sejurus selepas keputusan SPM diumumkan.

Muhyiddin berkata dalam persediaan ke arah itu, Kementerian Pendidikan telah mula melatih 61,000 guru Bahasa Inggeris supaya mereka menjadi lebih mahir dalam bahasa ini.

Beliau berkata banyak pihak telah memberi maklum balas positif terhadap perkara ini apabila beliau mula mencetuskan idea ini beberapa tahun lalu.

"Saya tidak lihat mengapa ini tidak boleh dilakukan berdasarkan orang ramai, termasuk ibu bapa, yang menyokong cadangan itu.

"Saya juga telah membaca surat yang dihantar kepada akhbar-akhbar di mana ramai ibu bapa mengesahkan (cadangan) ini. Malah, ramai mahu perkara ini dilaksanakan dengan segera," katanya pada Majlis Perasmian Program Memperkukuh Bahasa Inggeris dan Literasi Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa dekat sini, Jumaat.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata latihan guru Bahasa Inggeris adalah di bawah gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Kebangsaan (2013-2025).

"Gelombang kedua akan bermula pada 2016 dan ia adalah apabila kita mencadangkan ketetapan lulus bahasa Inggeris," katanya, sambil menambah kementerian sekali lagi akan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan, seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru, sebelum melaksanakannya.

Muhyiddin berkata penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar juga bertambah baik sejak kerajaan mula menggalakkan penggunaannya beberapa tahun lalu.

"Saya diberitahu berdasarkan kurikulum SPM sedia ada, hanya 20 peratus pelajar gagal bahasa Inggeris setiap tahun.

"Dengan itu, kita yakin akan dapat mengurangkan angka ini," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata kerajaan komited menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah bagi memastikan rakyat mempunyai penguasaan yang lebih baik.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/