Jumaat, 8 Mac 2013

ISU KENEGARAAN : Memaknakan pendekatan wasatiyyah


Oleh :  Mohd. Yusof Din

KIRA-KIRA setahun lalu, ketika menjawab  soalan Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menyatakan suatu perkara yang asas di dalam memberi makna dan rasional kepada usaha kerajaan memperjuangkan konsep kesederhanaan dan wasatiyyah.

Jelas Perdana Menteri: “Kerajaan  akan memperjuangkan konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan sebagai pendekatan yang boleh membawa kepada keamanan sejagat dan bukan sahaja untuk membina negara bangsa yang harmoni dan bersatu padu.’’

Saya merasakan, ini adalah pernyataan tegas untuk mengisi iltizam Perdana Menteri dalam memastikan agenda dan pendekatan kesederhanaan ini menjadi suatu modul teras dalam agenda negara. Sebagai sebuah negara yang mempunyai kemajmukan dan kepelbagaian dalam banyak perkara, pendekatan ‘wasatiyyah’ dan kesederhanaan ini  adalah suatu yang sangat wajar dan perlu.

WASATIYYAH’DAN 1MALAYSIA

Hakikatnya, pendekatan kesederhanaan ini tidak terasing jauh daripada matlamat 1Malaysia yang menjadi haluan perdana kepada pembangunan di negara ini. Satu daripada lapan nilai penting 1Malaysia adalah konsep ‘penerimaan’ yang dirasakan lebih ikhlas dan menyeluruh berbanding prinsip ‘toleransi’ semata-mata.

Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

Semua ini hanya mampu direalisasikan apabila kita meminggir fahaman ekstremisme yang boleh mengganggu gugat hubungan antara kaum di Malaysia. Pendirian yang terlalu rasis, pendekatan yang tidak mendahulukan keperluan menjaga keharmonian antara kaum adalah antitesis kepada usaha melahirkan masyarakat yang sederhana.

Memang benar, kita tidak boleh terlalu idealistik sehingga menganggap semuanya akan berlaku seperti yang kita rancang dan ikhtiar. Namun, dalam masa sama, kita tidak perlu mencari jalan untuk mewujudkan perpecahan yang boleh menatijahkan sesuatu yang sukar buat pembangunan negara-bangsa.

MODEL PEMBANGUNAN ‘WASATIYYAH

Kita perlu sama-sama melihat kemungkinan elemen ‘wasatiyyah’ ini digabungjalinkan dengan kaedah kita untuk menzahirkan pembangunan. Ia harus merujuk kepada model pendekatan wasatiyyah yang dibawa sendiri oleh Rasulullah SAW yang secara jelas menitikberatkan kepada usaha melahirkan umat Islam yang cemerlang dunia dan akhirat, seimbang dalam melaksanakan tuntutan dunia dan kejayaan di akhirat.

Oleh yang demikian, model ‘wasatiyyah’ akan memberikan satu fahaman pembangunan ekonomi yang lebih syumul dan holistik. Kita tidak sahaja bercakap mengenai soal pembangunan per kapita. Kita tidak sahaja memberi tumpuan kepada soal pelaburan antarabangsa. Kita tidak terlalu memberi tumpuan kepada soal ratings yang diberikan oleh ‘Big Three’ (Standard & Poors, Moody dan Fitch). Namun, kita membentuk satu model pembangunan yang lebih ‘murni’, bersesuaian dengan masa dan keadaan.

Dr. Umer Chupra, seorang ahli ekonomi yang terkenal menggariskan kriteria lain yang perlu dalam membicarakan soal kesejahteraan ekonomi dalam bentuk yang lebih menyeluruh. Antara kriteria yang lebih perlu diberikan perhatian.

i. Kesejahteraan Ekonomi (Economic Well-being)

ii. Ikatan ukhuwwah masyarakat serta keadilan (Universal brotherhood and justice)

iii.  Agihan pendapatan yang adil (Equitable Distribution of Income)

Nyata, kita tidak sahaja bercakap soal pembangunan ekonomi dalam bentuk fizikal. Namun turut mencerap keperluan membina semangat ekonomi yang memakmur rakyat dalam segenap segi dan cabang.

Kesemua ini tidak terpinggir daripada semangat '1Malaysia; Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan’ yang seringkali diungkap oleh pimpinan kerajaan.

Pembentangan belanjawan yang dilakukan beberapa tahun kebelakangan ini, secara jelas dan bersungguh-sungguh  memperlihat ‘elemen kasih sayang’ kepada rakyat, iltizam untuk membantu rakyat dalam berhadapan dengan kenaikan kos kehidupan dan sebagainya.

Apa yang nyata, model pembangunan yang ‘seimbang’, bukan sahaja dalam membina ruang pembangunan ekonomi baru, namun juga berbicara khusus mengenai soal ‘pengagihan semula’ (redistribution) kekayaan ekonomi dengan rakyat. Jauh sekali untuk menghina rakyat dengan kata-kata yang boleh menyebabkan rakyat nampak kecil dan terhina.

‘WASATIYYAH’DAN HUBUNGAN ANTARABANGSA

Dengan gabungan penduduk berjumlah 500 juta orang, negara ASEAN memiliki potensi yang besar dalam membentuk kerjasama ke arah keamanan dan kemakmuran. Ia mensyaratkan penolakan terhadap sebarang bentuk keganasan, jenayah, ekstremisme dan terorisme. Kejayaan masyarakat ASEAN menuntut sikap menghormati kedaulatan undang-undang, urus-tadbir yang baik, prinsip demokrasi dan kerajaan berperlembagaan.

Apa yang berlaku di Lahad Datu adalah suatu jelmaan kepada elemen ekstremisme dalam mencabar kedaulatan negara tetangga. Ia tidak wajar berlaku, sekiranya kelompok yang terlibat, membuat banyak usaha muhasabah - menilai prioriti dalam membuat keputusan.

ASEAN sewajarnyalah diangkat menjadi ‘oasis keilmuan dan kemakmuran ekonomi’ buat semua negara tetangga. Bersesuaian dengan maksud itu, sebagai sebahagian resolusi ‘Seminar Islam di Asia Tenggara-Cabaran & Harapan’ yang diadakan baru-baru ini, sebuah Sekretariat Kerjasama Nusantara (Sutera) akan diletakkan di bawah seliaan IWM.

Dengan terwujudnya Sutera, kita mengharapkan agar isu-isu Islam di peringkat ‘serantau’ dapat diselesaikan dengan pendekatan kesederhanaan dan wasatiyyah. Jika ini berlaku, kita akan dengan sendirinya dapat melihat rantau ASEAN yang lebih makmur dan progresif dalam berhadapan dengan dugaan globalisasi yang menduga.

IWM - PELENGKAP AGENDA MODERAT GLOBAL

Bagi memastikan Malaysia mampu tampil sebagai pendorong dan peneraju gerakan kesederhanaan di peringkat yang lebih tinggi dan global - IWM mempunyai peranan yang besar untuk memastikan wahana sama dapat difahami dan dihayati di halaman sendiri. Seboleh mungkin, pendekatan wasatiyyah’ ini tidak mahu hanya diletakkan di atas kertas penyelidikan semata.

Disebabkan itulah juga, IWM akan melaksanakan beberapa agenda teras seperti agenda latihan, konsep outreach,  penyelidikan dan penerbitan untuk membugar pendekatan wasatiyyah dengan lebih menyeluruh dan holistik. Untuk peringkat awal ini, penerbitan tiga makalah kecil dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab mengenai konsep wasatiyyah akan diterbitkan dan diedar kepada masyarakat.

Dalam masa sama, kerjasama strategik akan terus disusun untuk menampilkan IWM bukan sekadar institut  biasa - namun bergerak seiring dengan tuntutan masa dan keadaan, sesuai dengan kehendak islah yang sebenar. Untuk itu, ia memerlukan gandingan mantap umara’ dan ulama’ pada setiap masa.

PENULIS ialah Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan