Jumaat, 8 Mac 2013

ISU SOSIAL : Bahana khabar angin


PENCEROBOHAN yang berlaku di Lahad Datu, Sabah adalah sesuatu yang sangat asing dalam konteks masyarakat kita.

Pertumpahan darah yang berlaku membimbangkan kita semua. Walaupun kita sering menonton peristiwa seperti itu di kaca televisyen, tetapi kejadian-kejadian seperti itu biasanya berlaku di negara lain.

Apabila berlakunya krisis seperti ini, biasanya yang sering berlaku ialah tersebarnya khabar angin yang mungkin dimulakan oleh sesetengah pihak bagi tujuan suka-suka atau sememangnya disebarkan dengan tujuan tertentu.

Sebab itulah dalam keadaan seperti ini, semua pihak yang terlibat, khususnya orang awam, harus berhati-hati kerana biasanya khabar angin cenderung memberikan implikasi buruk.

Walaupun khabar angin lazimnya akan diabaikan setelah mengetahui bahawa ia adalah berita palsu, bagaimanapun kajian-kajian psikologi menunjukkan bahawa manusia cenderung untuk mempercayainya sebagai benar apabila ia diulang berkali-kali atau disebarkan oleh ramai orang.

Ini adalah kerana manusia akan cuba menterbalikkan persepsi maklumat tadi kepada kenyataan yang asal.

Misalnya, sekiranya dikatakan bahawa produk A adalah baik, walaupun orang ramai mengetahui bahawa ia adalah produk yang tidak baik, tetapi lama-kelamaan orang akan menganggapnya sebagai betul juga.

Suasana sukar

Bagaimanapun, dalam konteks masyarakat, khabar angin biasanya mencetuskan suasana yang sukar dijangkakan. Maklumat asal akan berubah beberapa kali sehinggalah ia sampai kepada penerima yang terakhir. Ini menjadikan khabar angin yang asalnya kecil telah berubah menjadi kian besar dan sukar untuk dikawal.

Pada tahun 1943, telah berlaku satu pergaduhan kecil di Detroit, Amerika Syarikat yang melibatkan remaja kulit putih dan hitam.

Walaupun pergaduhan itu asalnya kecil sahaja, tetapi berakhir dengan kekacauan yang mengakibatkan 34 orang mati, termasuk enam anggota polis, 75 polis cedera dan 1,800 orang telah ditahan.

Ia merebak apabila dua remaja kulit hitam menyebarkan berita bahawa kumpulan kulit putih telah mencampakkan seorang wanita kulit hitam dan anak kecilnya ke dalam sebuah sungai di tempat yang dinamakan Belle Isle Bridge.

Di kawasan kulit putih pula, berita mula tersebar bahawa sekumpulan kulit hitam telah merogol dan membunuh seorang wanita berkulit putih di tempat yang sama juga.

Sebenarnya inilah yang sentiasa berlaku apabila khabar angin mula merebak. Biasanya, khabar angin boleh berlaku dalam dua proses, pemindahan dan pengemaskinian.

Pemindahan berlaku apabila terdapat dua pihak berinteraksi dan pihak yang memberikan maklumat tadi mampu meyakinkan penerima dengan maklumatnya.

Penerima tadi pula akan menyebarkan kepada orang lain dan biasanya dengan pertambahan maklumat baharu bagi tujuan meyakinkan orang yang mendengarnya.

Tersebar pantas

Pada masa lalu, khabar angin hanya tersebar dari mulut ke mulut. Bagaimanapun, dengan wujudnya pelbagai medium teknologi hari ini, khabar angin akan tersebar dengan lebih cepat.

Dalam keadaan konflik dan ketidaktentuan, khabar angin akan lebih mudah dipercayai apabila ia ditandai pula oleh petunjuk-petunjuk lain, walaupun tidak ada kaitan dengan khabar angin tadi.

Misalnya, apabila tersebarnya khabar angin kemungkinan berlakunya rusuhan, ia akan dianggap sebagai benar apabila orang ramai mula melihat perpindahan keluar orang ramai dari satu kawasan ke kawasan lain.

Ia diperkuatkan pula dengan kejadian-kejadian tidak diingini lain, yang mungkin tidak ada kaitannya dengan berita asal yang disebarkan sekali gus menjadikan khabar angin yang disebarkan tadi seolah-olah maklumat yang sangat pasti.

Dalam keadaan orang ramai berasa bimbang dan tertekan, banyak daripada maklumat palsu ini akan lebih mudah dipercayai.

Sebab itu masyarakat perlu berhati-hati. Dalam konteks penyebaran khabar angin melalui internet dan media sosial misalnya, ia akan lebih cepat merebak kerana pembaca tidak berupaya untuk mengenal pasti siapa yang memulakannya.

Ia pula akan disebarkan daripada satu laman ke laman yang lain seolah-olah ia berita yang benar-benar berlaku.

Secara psikologikal, pembaca akhirnya cenderung untuk membuat penafsiran sendiri ke atas maklumat-maklumat yang mereka terima, tanpa meneliti ketulenannya kerana mereka tidak berupaya untuk menilai adakah penyebar maklumat tadi ialah seseorang yang ada kredibiliti atau tidak.

Perkara yang berlaku di Lahad Datu dan beberapa kawasan lain mungkin adalah sesuatu yang tidak kita harapkan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, kita juga tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai apa sahaja yang kita baca dan dengar.

Mungkin, ada maklumat yang sengaja disebarkan oleh pihak tertentu untuk memerangkap masyarakat untuk bertingkah laku dengan cara yang tidak sewajarnya.

Bersabar dan sentiasa bersedia dengan makluman yang disampaikan oleh pihak berkuasa adalah satu cara yang mungkin dapat membantu kita semua dalam menghadapi krisis seperti ini.

Semoga, kita semua dapat menikmati hari indah seperti sebelumnya. Buat anggota keselamatan yang menjaga kestabilan dan keharmonian negara, kami rakyat Malaysia merakamkan jutaan terima kasih kepada anda semua.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan