Oleh : Lokman Ismail
Toleransi mampu mewujudkan hubungan baik dengan mana-mana pihak
dalam urusan membabitkan kepentingan masing-masing. Toleransi dengan penganut
agama lain disandarkan kepada hubungan baik membuktikan kebenaran ajaran Islam.
Perlu difahami, toleransi tidak bermakna berdiam diri dalam perkara
yang menyentuh sensitiviti agama, maruah diri dan keselamatan. Kita tidak boleh
berlembut atau menyokong perbuatan yang membawa kepada dosa dan memesongkan
akidah.
Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu tolong- menolong dalam
berbuat dosa dan permusuhan dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah
Maha Keras dalam menjatuhkan hukuman.” (Surah al-Maidah, ayat 2)
Mentafsir ayat ini, Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Allah SWT
memerintahkan orang beriman untuk tolong- menolong dalam kebaikan, meninggalkan
kemungkaran serta melarangnya untuk saling bantu membantu dalam kebatilan dan
dosa.
Tolak fahaman pluralisme
Meniru atau terikut-ikut cara ibadat bukan Islam adalah batil dan
dosa, hukumnya haram. Sikap toleransi sehingga menerima fahaman pluralisme
agama yang menyamaratakan semua agama perlu ditolak. Fahaman ini turut didukung
sekelompok umat Islam yang dikenali penganut ‘Islam Liberal’.
Aliran atau manhaj Islam Liberal menekankan ciri keterbukaan dan
kebebasan dengan mengutamakan akal logik dalam mentafsir ajaran Islam. Aliran
ini berusaha untuk keluar daripada kaedah pentafsiran ilmu tradisi serta apa
yang sedia ada dalam syariat Islam yang asli dan tulen.
Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak
dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu
mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 42)
Islam mewajibkan umatnya berbuat baik kepada bukan Islam apalagi
kepada sesama Islam. Ketika ada yang memerlukan bantuan, haruslah dibantu
dengan termampu. Jika ada pihak lain membuat ancaman, maka hendaklah membantu
mempertahankan hak yang sepatutnya dirasai.
Bangun sikap toleransi
Itulah adab umat Islam dalam membangun sikap toleransi. Rasulullah
SAW malah mengancam umat Islam yang berbuat zalim kepada zimmi dengan ancaman
tidak masuk syurga.
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membunuh bukan Islam
yang terikat perjanjian dengan umat Islam, maka ia tidak akan mencium keharuman
syurga, meskipun keharumannya itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun
perjalanan.” (Hadis riwayat Bukhari)
Jika toleransi dituntut dalam ajaran Islam, maka perbuatan ekstrem
yang berlawanan dengan toleransi sudah tentu amat ditegah atau dibenci.
Sesungguhnya, Islam tidak pernah meletakkan tindakan ekstrem sebagai cara untuk
mencapai apa-apa maksud atau tujuan.
Ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mengamalkan perbuatan
ekstrem, bahkan tidak menyokong sebarang bentuk penindasan dan ketidakadilan.
Umat Islam ditegah mendatangkan sebarang bencana atau kesusahan kepada pihak
lain.
Mana-mana individu Islam yang melakukan perbuatan ekstrem tidak
patut mengaku melakukan perbuatan itu atas dasar memperjuangkan Islam.
Justeru, sebarang tuduhan yang dilemparkan kepada umat Islam
sebagai pengganas, ekstrem, militan, radikal dan kejam adalah dakyah yang
dilakukan oleh pihak berniat jahat terhadap umat Islam. Mereka sebenarnya tidak
mengetahui mengenai ajaran Islam yang sebenar.
Media Barat sentiasa melancarkan propaganda untuk menggambarkan
Islam sebagai paksi segala kejahatan. Berita membabitkan umat Islam yang
digambarkan sebagai pengganas mendapat ruang utama di media massa Barat.
Gambaran itu menjadikan seluruh masyarakat dunia menjadi fobia
terhadap umat Islam sedangkan hakikat sebenarnya Islam amat benci sebarang
bentuk keganasan. Islam amat mencintai keamanan dan kesejahteraan untuk
dinikmati seluruh penghuni dunia ini.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan