Isnin, 4 Januari 2010

SMS, laman sembang internet ancaman kepada bahasa

Oleh Hariyati Ariffin

Budaya meringkas perkataan, ayat boleh mengubah makna serta berlaku salah tafsir maklumat

KEWUJUDAN media baru khususnya khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sembang maya (chatting) menggabungkan teknologi internet, audio visual dan telefon, memberi kemudahan kepada masyarakat pelbagai lapisan untuk berinteraksi dan menyampaikan maklumat serta memudahkan kehidupan seharian mereka.

Namun, ia tidak dapat lari daripada disalahgunakan segelintir masyarakat sehingga menyebabkan berlakunya jenayah siber yang secara tidak langsung merendahkan maruah budaya, bahasa dan jati diri serta pembinaan negara bangsa kerana ketaksuban terhadap ciptaan ajaib di alaf ini.

Dalam penulisan, SMS dan laman sembang maya adalah tergolong dalam media baru yang dikatakan menjadi cara hidup paling popular masyarakat kini untuk berinteraksi dan bersosial, yang boleh dilakukan di mana-mana saja.

SMS misalnya, tidak dinafikan sebagai medium yang bukan saja cepat, malah mudah dan amat senang untuk menyampaikan maklumat. Ia menjadi budaya baru masyarakat masa kini tidak kira yang tua atau muda.

Namun, kita terlepas pandang mengenai isu bahasa, khususnya di negara kita yang digunakan dalam menyampaikan maklumat berkenaan. Jika dilihat dan dikaji secara serius dari segi penggunaan bahasanya, ia merosakkan kemurnian bahasa sehingga ada kalanya apabila ayat yang terlalu diminimumkan itu dihantar melalui SMS menjadi kurang difahami atau disalah tafsirkan maksudnya.

Satu kajian kes yang diambil di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (FKPM UiTM) mengenai salah tafsir menerima maklumat SMS daripada seorang pensyarah sehingga menyebabkan pelajar tidak menghadiri kelas. Pelajar menghantar SMS kepada pensyarah mengenai kelas pada hari berkenaan. SMSnya berbunyi begini: "Encik, ari ni ada kelas di DK 2 kan jam 8 pagi'. Jawapan pensyarah selalunya pendek dan berbunyi begini: Ya btl"

Tafsiran yang dibuat pelajar mengenai SMS itu ialah 'Ya, kelas tu batal', sedangkan maksud pensyarah ialah beliau mengiyakan soalan pelajar tadi. Dengan tafsiran kelas dibatalkan, akhirnya apabila pensyarah datang kelas jam 8 pagi, seorang pelajar pun tiada dalam kelas kerana SMS disampaikan pada semua rakan sekelas, mengatakan pensyarah membatalkan kelas pada hari itu.

Banyak kes mengenai salah tafsir SMS ini. Namun keghairahan menggunakan SMS sebagai aliran berkomunikasi kini untuk menyampaikan maklumat dan pesanan menyebabkan masyarakat tidak berapa menghiraukan masalah yang bakal timbul kerana kesilapan tafsir atau maknanya.

Pensyarah Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya, Siti Rohana Mohd Thani berkata SMS secara terang merosakkan penggunaan bahasa bukan saja daripada segi ejaan, malah sudut nahu dan terminologi bahasa itu sendiri.

Beliau berkata, daripada sudut bahasa umpamanya ejaan aku menjadi ko, pergi dipendekkan menjadi 'g' saja, puan di tulis 'pn', pun juga 'pn'. Banyak lagi perkataan yang dieja secara ringkas dan mengelirukan. Malah ada juga perkataan dipendekkan yang hanya difahami di kalangan golongan tertentu.

Siti Rohana berkata, walaupun secara umumnya ayat pendek dan akronim yang dicipta `pakar' bahasa, SMS sudah diterima pakai umum, namun keterbiasaan menulis secara ringkas dan pendek akan membuat masyarakat, khususnya pelajar dan murid tidak mahir mengeja sesuatu perkataan dengan betul.

Bukan itu saja, katanya, masyarakat juga menjadi kurang mahir untuk menulis. Jika ia menjadi budaya yang diterima pakai semua golongan, beliau bimbang golongan pelajar dan murid, khususnya terpengaruh menulis dalam bentuk SMS dalam kerja sekolah dan tugasan di universiti. Lebih membimbangkan jika bahasa SMS menular pula kepada penulisan rasmi.

Beliau berkata, adalah penting masyarakat mengagungkan bahasa dan menggunakan bahasa lisan dan penulisan dengan betul kerana bahasa adalah jiwa bangsa dan bila kita lalai mengenai maruah bahasa yang menjadi kebanggaan bangsa, kita akan lupa asal usul kita.

"Pepatah ada mengatakan 'bahasa menunjukkan bangsa' dan apabila rosak bahasa itu rosaklah juga bangsanya. Jika gejala ini tidak dibendung dan tidak dipandang serius pihak tertentu, khususnya Dewan Bahasa Pustaka dan kementerian berkaitan. Jika tidak, umumnya malas menulis dan tidak akan berminat dalam bidang penulisan lagi dan tidak mustahil bahasa mungkin tidak lagi dipandang sebagai sesuatu nilai budaya dan akan terus tenggelam menjadi sebuah sejarah saja," katanya.

Sementara itu dalam kertas kerja bertajuk 'Perkembangan Pesat Media Alternatif: Cabaran dan Ancaman Dalam Pembentukan dan Pemupukan Jati Diri' yang ditulis Mohd Yusof Othman dari Institut Islam Hadari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan, bahasa bukan sekadar alat untuk berkomunikasi, malah ia jauh daripada itu.

Mohd Yusof berpendapat bahasa adalah pembentuk budaya, pembangunan citra, pembina sahsiah diri dan jati diri. Kertas kerja itu juga menyentuh bahawa media alternatif atau media baru ini tidak dinafikan amat penting dalam membentuk perspektif dan minda masyarakat awam, tetapi sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan penuh berhemah dan penuh amanah serta kejujuran demi menyampaikan maklumat, ia akan menjana lebih banyak kemusnahan daripada kebaikan.

Dalam kaitan yang sama Dr Rahmat Ghazali, pensyarah Kewartawanan FKPM, UiTM Shah Alam bersetuju SMS atau yang dipanggil ayat dan perkataan kontot ini secara terang merosakkan kemurnian bahasa Melayu.

Beliau mengambil contoh perkataan 'Assalammualaikum' yang di pendekkan menjadi 'Ass' dan 'Salam'. Jika dilihat secara maknanya ia sudah lari daripada maksud sebenar. Selain itu perkataan dari sudut maknanya juga mencemar kemuliaan agama.

Namun begitu beliau berkata perkataan 'Ass' dan 'salam' adalah perkataan pendek bagi 'assalammualaikum' dan nampak kurang sesuai dari segi maknanya. Namun yang jelasnya ia diterima pakai masyarakat kini khususnya dalam bahasa SMS dan laman sembang maya.

Seperti Rohana, Dr Rahmat juga bersetuju bahawa kebimbangan pendidik dan pengkaji bahasa sekarang ialah penularan gaya menulis SMS dan 'chatting' dalam penulisan rasmi khususnya kepada pelajar dan murid. Beliau berkata kebiasaan menggunakan perkataan pendek dan akronim di dalam SMS memungkinkan ia menular dalam penulisan khas terutama dalam tugasan dan kerja sekolah pelajar.

Sebagai pensyarah kewartawanan beliau juga amat bimbang fenomena memendekkan ayat ini menular di kalangan pelajar dalam bidang penulisan yang secara langsung akan mengurangkan kualiti penulisan dan kecekapan mengeja.

Menyentuh mengenai laman sembang maya pula Dr Rahmat, berkata laman sembang maya amat membebaskan penulisan sosial dengan erti kata lain kebebasan untuk menulis apa saja dalam ruang sembang maya itu tanpa ada tapisan.

Katanya, aspek penulisan sosial ini dilihat amat tidak sihat jika bahasa dan cara berkomunikasi melalui maya terlalu bebas membicarakan pelbagai persoalan tanpa had. Amat ketara ialah perbincangan mengenai seks yang terlalu bebas dalam ruang sembang maya serta penggunaan perkataan kurang manis yang menjadi kebiasaan kepada pengguna laman sembang maya.

Dr Rahmat juga berpendapat penulisan sosial ini secara tidak langsung akan mengundang pada gejala kurang sihat yang berleluasa seperti seks bebas, pergaulan bebas dan masalah pembuangan anak. Katanya, rata-rata penyembang di dalam laman sembang maya ini, menggunakan laman itu untuk bersosial dan tidak mustahil segelintir cuba mengambil kesempatan terhadap laman ini untuk tujuan tertentu.

Beliau berkata, kajian yang dibuat seorang pelajar kewartawanan FKPM UiTM Shah Alam mengenai laman sembang maya dalam Yahoo messenger mendapati ada satu trend ketara terhadap eksploitasi seks dalam ruang itu.

Katanya, ruang sembang dan laman bersosial seperti Friendster, facebook, adalah wadah pengiklanan untuk mengiklankan diri dan lebih bersifat menawarkan diri untuk tujuan tidak sihat seperti seks. Beliau berkata daripada kajian itu mendapati 62 peratus penyembang adalah lelaki yang memberi nombor telefon untuk dihubungi bagi tujuan bersosial dan selebihnya adalah perempuan.

Dr Rahmat juga berkata kajian itu mendapati 45 peratus chatters atau penyembang suka membicarakan mengenai seks.

Kesimpulannya, tidak dinafikan kemunculan media baru khususnya SMS dan laman sembang maya membawa satu fenomena baru dalam cara berkomunikasi. Kemudahan ini membolehkan manusia semakin bebas membicarakan pelbagai isu dan mudah untuk disampaikan dalam waktu yang singkat dan memberi manfaat kepada masyarakat untuk bersosial dengan lebih mudah.

Natijahnya kesan daripada teknologi baru yang disalahgunakan ini bukan saja menggadaikan maruah bahasa tetapi juga menjatuhkan harga diri bangsa Melayu

Oleh itu, sudah tiba masanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Pendidikan dan kepemimpinan tertinggi duduk semeja membincangkan mengenai kes terpencil yang menjadi akar umbi kepada jenayah siber, merosakkan bahasa, penyalahgunaan media baru dan masalah lain yang boleh menjurus kepada masalah pembinaan jati diri dan pembinaan negara bangsa.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Sumber : http://www.bharian.com.my/