Selasa, 27 November 2012

ISU SOSIAL : Pernikahan usia muda elak zina


Oleh : Mohd Suyuty Ismail
 
Pernikahan antara Mohd Fahmi Mohamed Alias, 19, dan pasangannya Nur Fazira Saad yang baru berusia 13 tahun baru-baru ini menjadi berita sensasi di beberapa dada akhbar. Pernikahan itu menjadi sensasi kerana pengantin perempuan di bawah umur dan sudah tentu ia perlu mendapat kelulusan daripada Pegawai Agama Daerah seperti ditetapkan Undang-undang Keluarga Islam setiap negeri.

Di Kedah, pernikahan di bawah umur tertakluk mengikut Enakmen 7 Tahun 2008, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman), Bahagian 11-Perkahwinan, Seksyen 8.

Umur minimum untuk pernikahan ditakrifkan sebagai, ‘tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Apa yang pasti pernikahan itu mendapat restu kedua-dua ibu bapa pasangan berkenaan dan kelulusan Pegawai Agama Daerah. Justeru, tiada halangan untuk pasangan itu meneruskan cita-cita murni mereka dan yang memenuhi sunnah Rasulullah SAW.

Pernikahan itu memenuhi fitrah sekalipun mungkin dianggap perkahwinan pada usia yang sangat muda pada ukuran zaman milenium ini yang mengutamakan karier berbanding berumah tangga.

Bagaimanapun setiap pasangan perlu melakukan pelbagai persiapan sebelum bergelar suami dan isteri. Mereka perlu ilmu dan pendapatan yang cukup untuk mengelak masalah yang berbangkit ketika menjalani kehidupan berkeluarga.

Renung dan fikirkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kahwinlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan, jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya, kerana Allah amat luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui.” (Surah an Nur, ayat 32)

Fenomena pernikahan usia muda banyak berlaku pada zaman dulu, iaitu zaman nenek dan moyang kita. Justeru apabila ada pernikahan sebegini pada zaman moden ini, kita berasa pelik, tetapi mungkin pada sesetengah orang tidak berasa pelik jika berlaku perzinaan usia muda, pada hal jumlah kes jenayah persetubuhan membabitkan individu bawah umur dengan kerelaan menjangkau 6,000 kes, seperti dilaporkan Berita Harian pada 25 November lalu. Fakta ini sangat menggerunkan kerana kita berada di sebuah negara yang majoritinya berbangsa Melayu dan pasti beragama Islam.

Pasangan Mohd Fahmi dan Nur menunjukkan contoh kepada ibu bapa yang lain dan juga khususnya kepada pasangan di luar sana yang belum berkahwin dan sedang dilamun cinta supaya mengikut jejak pasangan ini. Jika sudah tamat persekolahan atau sudah bekerja pada usia muda dan berpacaran, adalah amat baik terus diijabkabulkan.

Pernikahan pastinya membebaskan pasangan daripada perangkap zina yang boleh mengundang dosa dan bahaya yang lebih besar seperti membunuh anak luar nikah.

Namun, isu yang melingkari perkahwinan pada usia muda ialah tanggapan mudah berlaku perceraian, tidak pandai mengurus rumah tangga, kerap bergaduh, masalah kewangan dan pelbagai masalah lain yang sepatutnya tidak diperbesarkan. Mempertikai pernikahan pasangan muda dengan pelbagai persepsi negatif sama seperti menolak qada dan qadar yang ditetapkan Allah, sekali gus boleh merosakkan iman.

Perlu diingat bahawa pernikahan pada usia matang pun berlaku pelbagai masalah, ada yang bercerai-berai selepas beberapa hari berkahwin dan pelbagai masalah lain. Apa yang penting, pernikahan pada usia muda akan menghindarkan seseorang daripada melakukan maksiat dan zina.

Bagi mereka pesimis atau menolak konsep berkahwin pada usia muda, sedarlah dan kembali memperbaiki iman kerana Allah menentukan rezeki manusia. Kita tidak perlu risau, sebaliknya berserah kepada Allah kerana Ia maha berkuasa.

Manusia yang beriman perlu berusaha untuk melakukan kebaikan dan mengharapkan keredaan Allah. Firman Allah SWT bermaksud: “Dialah Allah yang menciptakan kamu semua daripada (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu dengan yang lain.” (Surah al A’raf : 189).

Penulis ialah Ketua Panitia Pendidikan Islam dan guru di Kulim, Kedah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Kritikan rasional untuk dunia sastera, politik


Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Wadah kesusasteraan perlu anjakan

Kebelakangan ini kita mendengar kritikan politik di mana-mana – dalam media cetak, media elektronik dan media baru. Kritikan dilontarkan atas beberapa sebab, seperti agama (yang kurang difahami atau disalah tafsir), pendidikan, bahasa dan sebagainya. Ada kritikan yang keras serta panas berapi-api. Ada pula kritikan yang rasional.

Pada umumnya kritikan digunakan untuk menganalisis, menilai dan mengulas sesuatu perkara atau isu. Oleh yang demikian kritikan yang bertanggungjawab, yang biasanya diharapkan dalam sebuah masyarakat bertamadun, biasanya berada dalam kritikan yang rasional. Ia tidak datang dalam kritikan yang keras serta panas berapi-api, yang kelahirannya lebih didorong emosi, bukan oleh dorongan intelek.

Dalam banyak hal kritikan politik jauh berbeza dengan kritikan sastera dari aspek pendekatan. Kawah politik biasanya lebih menggelegak kerana selalu timbul persaingan dari pihak lawan, peristiwa atau data yang boleh dimanipulasi dari sudut pandang berbeza, berlangsung atau tidaknya sesebuah kekuasaan, dan tempoh hayat kuasa pemerintah yang ditentukan setiap lima tahun.

Ini berbeza dengan dunia sastera yang secara relatif lebih tenang daripada kawah politik. Namun demikian ini bukan bermakna dunia sastera akan sentiasa tenang, kerana sekali-sekala muncul karya yang kontroversial, pendapat serta penglibatan sasterawan yang menggugah status quo nilai serta sudut pandangan masyarakatnya.

Perlukan kritikan sihat

Masyarakat madani atau masyarakat bertamadun memerlukan kritikan yang sihat serta membina dalam apa jua lapangan kehidupan umat manusia – termasuk politik dan sastera. Untuk itu diperlukan pengkritik yang berilmu, yang berpandangan luas, yang bebas menyuarakan apa jua pendapat, dan yang mendapat keadilan pendemokrasian media.

Jika tujuan politik dilihat lebih untuk aspek luaran keperluan umat manusia, tujuan sastera lebih untuk aspek dalaman seperti emosi, pemikiran dan kebijaksanaan melalui penghasilan karya kreatif. Tulisan ini seterusnya akan membicarakan kepentingan kritikan sastera.

Kadang-kadang orang lupa bahawa perkembangan sastera bukan saja ditentukan oleh kemunculan karya sastera kreatif yang baik. Memang kemunculan karya sastera kreatif yang bermutu menggerakkan perkembangan sastera ke suatu tanjakan baru, tetapi perkembangan sastera juga boleh disumbangkan oleh genre kritikan sastera. Pengkritik sastera yang baik pada umumnya memiliki pengetahuan teori sastera, gaya bahasa sastera, kayu ukur karya sastera yang baik, dan perbandingannya dengan mutu karya yang diterbitkan lebih awal sama ada di dalam dan luar negara.

Pengkritik sastera dan sasterawan adalah dua entiti yang saling lengkap melengkapi dunia kesusasteraan. Ada kala sasterawan lebih maju ke hadapan berbanding pengkritik, apabila ia mempunyai pengetahuan ilmu yang luas, dan berhasil mencipta karya avant garde. Dalam hal seperti ini pengkritik mengejarnya dari belakang, bekerja lebih keras, untuk memahami dan menghuraikan karya avant garde itu bagi difahami dan dihayati oleh khalayak yang lebih luas.

Musim pasang surut

Ada kalanya pula dunia kesusasteraan memerlukan sumbangan pengkritik sastera, lebih-lebih lagi dalam suasana sastera sesuatu dekad itu kelihatan kurang berkembang, sehingga tiada pembaharuan dari aspek isi dan tekniknya. Dalam situasi seperti itu pengkritik boleh memperkenalkan teori serta dapatan baru yang diambil dari medan yang lebih luas, untuk membuka minda pengarang.

Kedua-dua keadaan itu turut dialami kesusasteraan Melayu moden. Tetapi sumbangan pengkritik sastera mengalami musim pasang surut, berbanding sumbangan sasterawan yang bertali arus melahirkan karya demi karya. Sepatutnya sumbangan pengkritik sastera sentiasa mengalir, berkembang beriringan dengan penerbitan karya sastera kreatif yang terus muncul di pasaran.

Kita memahami kenapa sumbangan pengkritik sastera mengalami musim pasang surut. Sudahlah jumlah mahasiswa jurusan sastera di universiti kita tidak ramai, jumlah yang benar-benar berminat dalam bidang kritikan – yang perlu menekuninya secara ilmiah – juga sangat kecil. Ini adalah hujung rantaian akibat yang berpunca daripada pendidikan sastera di sekolah menengah yang kurang kreatif dan inovatif.

Kritikan sastera lebih subur

Di samping itu, ruangan yang memuatkan kritikan sastera juga makin berkurangan. Beberapa dekad lalu, setiap akhbar arus perdana menyediakan ruang kritikan sastera, tetapi kini hampir tiada lagi, kecuali muncul sekali-sekala. Beberapa jurnal yang mengkhusus bagi kritikan sastera juga sudah tidak diterbitkan lagi.

Dalam situasi seperti ini, kritikan sastera mendapat nafasnya dalam seminar sastera, program khusus atau tugasan yang memerlukan sebuah wacana sastera disiapkan. Hal  ini adalah sesuatu yang harus diteruskan, sementara kita menanti wujudnya suasana kritikan sastera yang lebih subur.

Kelesuan kritikan sastera kita dewasa ini harus dirancakkan kembali, walaupun tidak semestinya meniru kerancakan kritikan di medan politik. Kita memerlukan kritikan sastera yang sihat serta membina, sebagai mana gelanggang politik juga memerlukan kritikan yang konstruktif demi kemaslahatan penduduk negara ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Jagalah kebersihan tandas kita


Oleh : PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON

HARI Tandas Sedunia yang disambut pada 19 November 2012 perlu diamati dan dihayati dengan positif untuk memastikan bahawa kehidupan kita sentiasa bersih dan terpelihara daripada penyakit disebabkan oleh tandas yang kotor. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum tandas merupakan tempat buangan dan kumbahan kotoran manusia dan sudah tentunya ia mempunyai pelbagai versi kotoran dan variasi penyakit yang akan menghinggapi diri kita jika kita tidak peka dengan kebersihan tandas.

Apabila bercakap tentang tandas di pelbagai lokasi tandas awam di Malaysia ini dapatlah saya sebagai pengguna tandas awam dan saya percaya pembaca-pembaca di luar sana dapat membuat pelbagai versi persepsi mengenai tandas-tandas awam di Malaysia ini.

Ada kedai-kedai makan yang kecil atau terletak di lokasi-lokasi kurang mendapat perhatian pihak majlis bandaran untuk membuat pemeriksaan kurang terjaga dan kotor dengan kertas tandas bersepah, ada yang air paipnya kecil sehingga banyak kesan kotoran melekat dan ada juga yang lantainya berkarat dengan kotoran dan sebagainya.

Sekali pandang, terus tidak larat nak masuk dan sakit perut nak ke tandas bertukar kepada sakit hati melihat kepada kebersihan tandas.

Jadi bayangkanlah kualiti kebersihan makanan bagi kedai-kedai makan yang tidak menjaga kebersihan tandas.

Bagi tandas di stesen-stesen minyak saya lihat berada di tahap memuaskan, ada yang bersih, berbau wangi dan banyak kemudahan untuk ibu-ibu yang mempunyai anak kecil, kertas tandas dan tempat buang sampah juga cukup bagi menampung keperluan tandas.

Ada tukang cuci yang mencuci tandas menjadikan tandas di stesen-stesen minyak menjadi pilihan pengguna yang mengisi minyak dan membuang kotoran yang perlu dari badan.

Tandas di kawasan lebuh raya Rawat dan Rehat bagi lokasi-lokasi hot spot pengguna jalan raya juga boleh diberi pujian kerana banyak tandas R&R bersih dan sentiasa dibersihkan oleh tukang cuci dengan segala keperluan yang disediakan oleh pihak R&R.

Walaupun begitu, saya perhatikan juga pengguna-pengguna menyalahgunakan tandas yang diguna pakai. Ada yang tidak membuang tisu ke bakul sampah malah membiarkan tisu tersebut di tepi sinki, dalam tandas dan juga di tepi bakul sampah. Ada yang meletakkan lampin pakai buang di merata-rata tempat malah ada yang menyelitkannya di tepi dinding tandas dan juga atas pam tandas. Walaupun begitu, masih ada pengguna-pengguna tandas yang menghargai kepentingan harta awam untuk diguna pakai dengan sebaik-baiknya.

Selain itu tandas di kawasan-kawasan awam seperti kawasan peranginan dan pantai serta tandas di medan selera juga masih berada di tahap kurang bersih dan ada sesetengah tandas itu memang tidak layak diguna pakai kerana kotor dan berbau.

Keadaan ini membuat saya terfikir mengapa keadaan ini berlaku? Adakah kerana sikap masyarakat yang tidak peka dengan kebersihan tandas dan hanya meletakkan soal kebersihan ini kepada pihak penguatkuasa tempatan?

Walau apa juga jawapannya, saya meletakkannya kepada aspek tanggungjawab masyarakat dalam melihat kepentingan kebersihan sebagai satu cara hidup dan tandas merupakan salah satu daripada aspek penting untuk dijaga bagi memastikan kehidupan kita bersih dan terhindar daripada penyakit yang berbahaya.

Latihlah anak-anak untuk rajin membersihkan tandas di rumah dan hiasi tandas di rumah dengan cantik dan selesa mata memandang dengan bunga-bungaan, dekorasi serta wangi-wangian yang menjadikan tandas di rumah antara tempat yang menjadi perhatian untuk dibersihkan dan diperingatkan akan kepentingannya kepada kualiti kehidupan bagi setiap penghuninya.

Sikap ini akan membentuk dalam diri anak-anak agar sentiasa menghargai kebersihan tandas walau di mana juga mereka berada.

Penulis ialah pensyarah di Kolej Pengajian Siswazah UNITEN, Kampus Putrajaya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/