Oleh : PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON
HARI Tandas Sedunia yang disambut
pada 19 November 2012 perlu diamati dan dihayati dengan positif untuk
memastikan bahawa kehidupan kita sentiasa bersih dan terpelihara daripada
penyakit disebabkan oleh tandas yang kotor. Sebagaimana yang kita semua sedia
maklum tandas merupakan tempat buangan dan kumbahan kotoran manusia dan sudah
tentunya ia mempunyai pelbagai versi kotoran dan variasi penyakit yang akan
menghinggapi diri kita jika kita tidak peka dengan kebersihan tandas.
Apabila bercakap tentang tandas
di pelbagai lokasi tandas awam di Malaysia ini dapatlah saya sebagai pengguna
tandas awam dan saya percaya pembaca-pembaca di luar sana dapat membuat
pelbagai versi persepsi mengenai tandas-tandas awam di Malaysia ini.
Ada kedai-kedai makan yang kecil
atau terletak di lokasi-lokasi kurang mendapat perhatian pihak majlis bandaran
untuk membuat pemeriksaan kurang terjaga dan kotor dengan kertas tandas
bersepah, ada yang air paipnya kecil sehingga banyak kesan kotoran melekat dan
ada juga yang lantainya berkarat dengan kotoran dan sebagainya.
Sekali pandang, terus tidak larat
nak masuk dan sakit perut nak ke tandas bertukar kepada sakit hati melihat
kepada kebersihan tandas.
Jadi bayangkanlah kualiti
kebersihan makanan bagi kedai-kedai makan yang tidak menjaga kebersihan tandas.
Bagi tandas di stesen-stesen
minyak saya lihat berada di tahap memuaskan, ada yang bersih, berbau wangi dan
banyak kemudahan untuk ibu-ibu yang mempunyai anak kecil, kertas tandas dan
tempat buang sampah juga cukup bagi menampung keperluan tandas.
Ada tukang cuci yang mencuci
tandas menjadikan tandas di stesen-stesen minyak menjadi pilihan pengguna yang
mengisi minyak dan membuang kotoran yang perlu dari badan.
Tandas di kawasan lebuh raya
Rawat dan Rehat bagi lokasi-lokasi hot spot pengguna jalan raya juga boleh
diberi pujian kerana banyak tandas R&R bersih dan sentiasa dibersihkan oleh
tukang cuci dengan segala keperluan yang disediakan oleh pihak R&R.
Walaupun begitu, saya perhatikan
juga pengguna-pengguna menyalahgunakan tandas yang diguna pakai. Ada yang tidak
membuang tisu ke bakul sampah malah membiarkan tisu tersebut di tepi sinki,
dalam tandas dan juga di tepi bakul sampah. Ada yang meletakkan lampin pakai
buang di merata-rata tempat malah ada yang menyelitkannya di tepi dinding
tandas dan juga atas pam tandas. Walaupun begitu, masih ada pengguna-pengguna
tandas yang menghargai kepentingan harta awam untuk diguna pakai dengan
sebaik-baiknya.
Selain itu tandas di
kawasan-kawasan awam seperti kawasan peranginan dan pantai serta tandas di
medan selera juga masih berada di tahap kurang bersih dan ada sesetengah tandas
itu memang tidak layak diguna pakai kerana kotor dan berbau.
Keadaan ini membuat saya terfikir
mengapa keadaan ini berlaku? Adakah kerana sikap masyarakat yang tidak peka
dengan kebersihan tandas dan hanya meletakkan soal kebersihan ini kepada pihak
penguatkuasa tempatan?
Walau apa juga jawapannya, saya
meletakkannya kepada aspek tanggungjawab masyarakat dalam melihat kepentingan
kebersihan sebagai satu cara hidup dan tandas merupakan salah satu daripada
aspek penting untuk dijaga bagi memastikan kehidupan kita bersih dan terhindar
daripada penyakit yang berbahaya.
Latihlah anak-anak untuk rajin
membersihkan tandas di rumah dan hiasi tandas di rumah dengan cantik dan selesa
mata memandang dengan bunga-bungaan, dekorasi serta wangi-wangian yang
menjadikan tandas di rumah antara tempat yang menjadi perhatian untuk
dibersihkan dan diperingatkan akan kepentingannya kepada kualiti kehidupan bagi
setiap penghuninya.
Sikap ini akan membentuk dalam
diri anak-anak agar sentiasa menghargai kebersihan tandas walau di mana juga
mereka berada.
Penulis ialah pensyarah di Kolej
Pengajian Siswazah UNITEN, Kampus Putrajaya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan