Selasa, 27 November 2012

ISU BAHASA : Kritikan rasional untuk dunia sastera, politik


Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Wadah kesusasteraan perlu anjakan

Kebelakangan ini kita mendengar kritikan politik di mana-mana – dalam media cetak, media elektronik dan media baru. Kritikan dilontarkan atas beberapa sebab, seperti agama (yang kurang difahami atau disalah tafsir), pendidikan, bahasa dan sebagainya. Ada kritikan yang keras serta panas berapi-api. Ada pula kritikan yang rasional.

Pada umumnya kritikan digunakan untuk menganalisis, menilai dan mengulas sesuatu perkara atau isu. Oleh yang demikian kritikan yang bertanggungjawab, yang biasanya diharapkan dalam sebuah masyarakat bertamadun, biasanya berada dalam kritikan yang rasional. Ia tidak datang dalam kritikan yang keras serta panas berapi-api, yang kelahirannya lebih didorong emosi, bukan oleh dorongan intelek.

Dalam banyak hal kritikan politik jauh berbeza dengan kritikan sastera dari aspek pendekatan. Kawah politik biasanya lebih menggelegak kerana selalu timbul persaingan dari pihak lawan, peristiwa atau data yang boleh dimanipulasi dari sudut pandang berbeza, berlangsung atau tidaknya sesebuah kekuasaan, dan tempoh hayat kuasa pemerintah yang ditentukan setiap lima tahun.

Ini berbeza dengan dunia sastera yang secara relatif lebih tenang daripada kawah politik. Namun demikian ini bukan bermakna dunia sastera akan sentiasa tenang, kerana sekali-sekala muncul karya yang kontroversial, pendapat serta penglibatan sasterawan yang menggugah status quo nilai serta sudut pandangan masyarakatnya.

Perlukan kritikan sihat

Masyarakat madani atau masyarakat bertamadun memerlukan kritikan yang sihat serta membina dalam apa jua lapangan kehidupan umat manusia – termasuk politik dan sastera. Untuk itu diperlukan pengkritik yang berilmu, yang berpandangan luas, yang bebas menyuarakan apa jua pendapat, dan yang mendapat keadilan pendemokrasian media.

Jika tujuan politik dilihat lebih untuk aspek luaran keperluan umat manusia, tujuan sastera lebih untuk aspek dalaman seperti emosi, pemikiran dan kebijaksanaan melalui penghasilan karya kreatif. Tulisan ini seterusnya akan membicarakan kepentingan kritikan sastera.

Kadang-kadang orang lupa bahawa perkembangan sastera bukan saja ditentukan oleh kemunculan karya sastera kreatif yang baik. Memang kemunculan karya sastera kreatif yang bermutu menggerakkan perkembangan sastera ke suatu tanjakan baru, tetapi perkembangan sastera juga boleh disumbangkan oleh genre kritikan sastera. Pengkritik sastera yang baik pada umumnya memiliki pengetahuan teori sastera, gaya bahasa sastera, kayu ukur karya sastera yang baik, dan perbandingannya dengan mutu karya yang diterbitkan lebih awal sama ada di dalam dan luar negara.

Pengkritik sastera dan sasterawan adalah dua entiti yang saling lengkap melengkapi dunia kesusasteraan. Ada kala sasterawan lebih maju ke hadapan berbanding pengkritik, apabila ia mempunyai pengetahuan ilmu yang luas, dan berhasil mencipta karya avant garde. Dalam hal seperti ini pengkritik mengejarnya dari belakang, bekerja lebih keras, untuk memahami dan menghuraikan karya avant garde itu bagi difahami dan dihayati oleh khalayak yang lebih luas.

Musim pasang surut

Ada kalanya pula dunia kesusasteraan memerlukan sumbangan pengkritik sastera, lebih-lebih lagi dalam suasana sastera sesuatu dekad itu kelihatan kurang berkembang, sehingga tiada pembaharuan dari aspek isi dan tekniknya. Dalam situasi seperti itu pengkritik boleh memperkenalkan teori serta dapatan baru yang diambil dari medan yang lebih luas, untuk membuka minda pengarang.

Kedua-dua keadaan itu turut dialami kesusasteraan Melayu moden. Tetapi sumbangan pengkritik sastera mengalami musim pasang surut, berbanding sumbangan sasterawan yang bertali arus melahirkan karya demi karya. Sepatutnya sumbangan pengkritik sastera sentiasa mengalir, berkembang beriringan dengan penerbitan karya sastera kreatif yang terus muncul di pasaran.

Kita memahami kenapa sumbangan pengkritik sastera mengalami musim pasang surut. Sudahlah jumlah mahasiswa jurusan sastera di universiti kita tidak ramai, jumlah yang benar-benar berminat dalam bidang kritikan – yang perlu menekuninya secara ilmiah – juga sangat kecil. Ini adalah hujung rantaian akibat yang berpunca daripada pendidikan sastera di sekolah menengah yang kurang kreatif dan inovatif.

Kritikan sastera lebih subur

Di samping itu, ruangan yang memuatkan kritikan sastera juga makin berkurangan. Beberapa dekad lalu, setiap akhbar arus perdana menyediakan ruang kritikan sastera, tetapi kini hampir tiada lagi, kecuali muncul sekali-sekala. Beberapa jurnal yang mengkhusus bagi kritikan sastera juga sudah tidak diterbitkan lagi.

Dalam situasi seperti ini, kritikan sastera mendapat nafasnya dalam seminar sastera, program khusus atau tugasan yang memerlukan sebuah wacana sastera disiapkan. Hal  ini adalah sesuatu yang harus diteruskan, sementara kita menanti wujudnya suasana kritikan sastera yang lebih subur.

Kelesuan kritikan sastera kita dewasa ini harus dirancakkan kembali, walaupun tidak semestinya meniru kerancakan kritikan di medan politik. Kita memerlukan kritikan sastera yang sihat serta membina, sebagai mana gelanggang politik juga memerlukan kritikan yang konstruktif demi kemaslahatan penduduk negara ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan