Selasa, 28 Disember 2010

ISU ALAM SEKITAR : Manusia ubah tabii alam punca berlaku bencana

Oleh Ibrahim Komo

Pemanasan global isu dibangkit untuk nafi kesilapan sendiri


MALAYSIA pernah dikenali sebagai negara yang bebas daripada bencana alam. Kita bernasib baik kerana tergolong dalam negara yang tidak akan diganggu oleh letusan gunung berapi dan gegaran gempa bumi. Justeru, Malaysia tidak memiliki dasar dan agensi kerajaan yang khusus untuk menangani isu bencana alam tabii.

Masyarakat Malaysia sudah mengenali kejadian banjir sejak sekian lamanya tetapi mereka tidak menganggap banjir sebagai fenomena bencana alam! Bagi masyarakat tradisi di pantai Timur, banjir adalah peristiwa tahunan yang perlu diharungi sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup mereka. Setiap musim tengkujuh, air sungai akan naik melimpah tebingnya dan membanjiri halaman rumah dan kawasan pertanian mereka. Untuk menyesuaikan diri dengan kejadian ini, mereka mendirikan rumah di atas tiang-tiang yang cukup tinggi, apabila banjir berlaku tempat tinggal dan harta benda mereka dapat diselamatkan!
Pada 11 Disember 1994, Malaysia digemparkan dengan bencana runtuhan bangunan Highlands Tower yang mengorbankan 48 penghuninya. Bangunan itu musnah disebabkan kejadian tanah runtuh di cerun bukit di belakangnya yang mengakibatkan tapak bangunan itu musnah. Pada ketika itu, masyarakat Malaysia mula bertanya beberapa soalan asas seperti, apa itu tanah runtuh, bagaimana puncanya, apakah bencana ini boleh terjadi dan memusnahkan harta benda?

Tanah runtuh yang mengakibatkan keruntuhan Highlands Tower adalah titik permulaan perubahan minda masyarakat mengenai bencana, dan mulai menyedari bahawa Malaysia bukannya bebas sepenuhnya daripada bencana alam! Sejak itu masyarakat mulai peka terhadap ‘bencana tanah runtuh’, dan pelbagai dasar dan strategi, serta garis panduan pembinaan disediakan kerajaan untuk mengurangkan risiko bencana tanah runtuh.

Satu lagi sejarah penting bencana tabii yang melanda dunia, dan cebisannya dirasai oleh Malaysia ialah gempa bumi besar yang berpusat di Aceh pada 26 Disember 2004. Bencana ini di luar dugaan minda manusia, dan benar-benar menyedarkan komuniti dunia bahawa bencana geologi boleh bersifat global! Lanjutan daripada gempa bumi besar itu, air lautan teranjak dan bergerak menyamai ombak yang dikenali ‘tsunami’.

Apabila tsunami melanda pesisiran pantai barat Semenanjung, ia berupaya memusnah rumah dan harta benda, serta mengakibatkan 68 kematian. Kebanyakan yang terkorban disebabkan kejahilan mengenai bencana tsunami.
Bencana besar ini mengakibatkan hampir 250,000 penduduk dunia terkorban, kebanyakannya di Indonesia, Thailand dan Sri Lanka, dan jutaan lagi menanggung kesengsaraan.

Bencana tsunami ini sekali lagi mengubah minda masyarakat Malaysia bahawa kita juga tidak selamat daripada bencana gempa bumi dan tsunami! Malaysia tidak lagi dianggap bebas daripada bencana alam!

Baru-baru ini, Perlis dan Kedah dilanda banjir besar di luar jangkaan. Peristiwa banjir dengan keluasan kawasan yang besar ini dikatakan paling buruk pernah terjadi di bahagian barat daya Semenanjung. Curahan hujan yang menyebabkan banjir itu juga yang tertinggi pernah direkodkan di kawasan berkenaan. Apakah ini sebahagian daripada peristiwa banjir yang sering berulang melanda negara kita atau, apakah ini petanda perubahan iklim.

Bencana alam adalah peristiwa geologi seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, tanah runtuh dan banjir yang sering berlaku mengakibatkan kematian dan kerosakan harta benda. Peristiwa geologi ini ‘bukan bencana’ sekiranya ia tidak menyebabkan kematian, kecederaan dan kemusnahan harta benda.

Pakar sains bumi sudah lama mengenali kedudukan dan punca kejadian gempa bumi dan letusan gempa bumi. Kawasan berisiko bencana berjaya dipetakan dan pelbagai pendekatan untuk mengurangkan risiko bencana dirancang dan dilaksanakan.

Kita bernasib baik kerana zon risiko tinggi iaitu ‘lingkaran api’ menganjur sepanjang kepulauan Sumatera, Jawa dan Filipina sekadar mengelilingi Malaysia. Negara kita hanya menerima tempias daripada bencana ini, khususnya gegaran kecil terhadap bangunan tinggi yang terletak di pantai barat berdekatan Sumatera.

Tsunami yang kali pertama melanda Kedah dan Pulau Pinang, dihasilkan oleh gempa bumi ketiga terbesar pernah direkodkan manusia, adalah jauh tersangat kecil berbanding yang berlaku di Aceh.

Tanah runtuh berlaku di kawasan lereng bukit apabila cerun menjadi tidak stabil dan bergerak ke bawah. Di kawasan pergunungan ini, cerun yang sangat curam akan mengalami tanah runtuh dari semasa ke semasa.

Di Malaysia, terutama di kawasan bandar, cerun yang landai dipotong menjadi curam untuk membina kawasan perumahan. Apabila cerun ‘buatan manusia’ itu runtuh mengorbankan nyawa atau memusnahkan harta benda, apakah ia dikatakan bencana alam atau bencana buatan manusia!

Peningkatan impak bencana pada prinsipnya boleh dikaitkan kepada tiga faktor utama – penambahan penduduk, perbandaran dan perubahan iklim. Penambahan pendudukan menyebabkan keperluan penempatan bertambah.

Tempat yang dahulunya tidak sesuai dibangunkan, umpamanya di kawasan lereng bukit dan dataran banjir, kini dibangunkan untuk kawasan perumahan. Penempatan baru ini terdedah dengan risiko bencana yang tinggi.

Perbandaran pula menyebabkan kawasan baru dibangunkan. Perbukitan dipotong dan diratakan serta membentuk cerun buatan yang curam dan kurang stabil. Kawasan bekas lombong, pesisiran sungai dan lautan ditambak untuk penempatan baru. Semua kawasan ini terdedah dengan risiko banjir dan tsunami.

Perubahan iklim pula khususnya pemanasan global boleh mengakibatkan keadaan iklim menjadi tidak stabil, curahan hujan atau kemarau yang ekstrem dan di luar jangkaan. Paras laut beransur-ansur naik. Semua ini akan menyebabkan lebih luas kawasan yang terdedah dengan bencana dan impak bencana pula menjadi semakin tinggi!

Sejak akhir-akhir ini bencana tanah runtuh dan banjir semakin meningkat. Apakah peningkatan ini kerana negara kita mulai menerima kesan perubahan iklim global atau hanya kerana proses perbandaran yang tidak lestari?

Sekiranya ditinjau beberapa kejadian bencana besar yang melanda negara kita, umpamanya bencana tanah runtuh yang mengakibatkan runtuhnya Highlands Tower dan beberapa kejadian sama di kawasan Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, kita dapati semua kejadian bencana berpunca daripada kegagalan cerun potongan atau tambakan buatan manusia. Kelemahan kita membina dan menyelenggara ‘cerun buatan’ dengan baik sambil memberikan perhatian terhadap kestabilan cerun secara jangka panjang menjadi punca kegagalan yang mengundang bencana.

Banjir yang sering berlaku di pantai Timur dan baru-baru ini di Kedah dan Perlis, kebanyakannya melanda kawasan ‘dataran banjir’. Istilah ‘dataran banjir’ yang digunakan oleh ahli geografi untuk menjelaskan kawasan rendah di sepanjang sungai bererti kawasan ini terbentuk oleh peristiwa banjir berkala sejak ribuan tahun lampau.

Kebanyakan kejadian bencana di Malaysia membabitkan interaksi manusia dengan proses alam. Dalam kebanyakan kita sudah mengubah atau menggunakan alam tanpa memahami risiko bencana yang boleh berlaku dan lebih menyedihkan lagi, ada segolongan manusia yang mencabar proses alam, membuat pembinaan di kawasan berisiko bencana tinggi hanya untuk meraih kekayaan dan membiarkan masyarakat umum terdedah kepada risiko ini.

Di Malaysia, bencana alam, khususnya tanah runtuh dan banjir berlaku kerana kita memilih untuk membangun di kawasan berisiko bencana. Kita mengubah suai cerun tabii, lantaran mengundang tanah runtuh.

Kita membuat penempatan di kawasan dataran banjir tanpa mengetahui bahawa risiko banjir akan muncul secara berkala. Kita salahkan alam apabila kita ditimpa bencana. Malaysia umumnya negara yang bebas daripada bencana alam, jika bencana berlaku ia adalah buatan manusia!

Minat baru masyarakat global memperkatakan bencana alam terus meningkat kerana perubahan iklim. Walaupun pada umumnya, pemanasan global adalah isu paling serius sedang melanda warga dunia, tetapi apakah peristiwa bencana di Malaysia disebabkan oleh perubahan iklim atau sekadar kerakusan dan kejahilan kita mengenai risiko bencana alam!

Penulis ialah Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara dan Pengarah, Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, UKM

Sumber : htttp : www.bharian.com/

ISU SOSIAL : Pupuk budaya integriti


TAHNIAH buat calon-calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 yang mendapat keputusan cemerlang sebagaimana yang diumumkan pada Khamis minggu lalu.

Di samping kita meraikan para pelajar cemerlang, jangan sesekali melupakan pelajar yang kurang cemerlang. Peperiksaan PMR bukanlah segala-galanya dalam hidup. Gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya. Buktikan anda juga boleh berjaya kemudian hari. Kejayaan bukan datang bergolek, kejayaan datang dengan usaha dan ketabahan. Nescaya, setiap dugaan yang datang pasti ada hikmahnya. Jadikanlah kegagalan sebagai permulaan kejayaan yang lebih cemerlang.

Di sebalik keputusan yang semakin cemerlang pada setiap kali pengumuman peperiksaan awam di Malaysia, penulis ingin mengajak para pembaca, ibu bapa dan pemimpin merenung dan memikirkan satu topik yang cukup penting bagi generasi pelapis. Ia bukanlah perkara baru tetapi jarang sekali disentuh untuk generasi muda terutama remaja dan para pelajar iaitu isu integriti dan amanah.

Kita sentiasa tersenyum riang apabila anak-anak kita memperoleh keputusan cemerlang, seolah-olah itulah penanda aras segala-galanya dalam kehidupan ini. Tetapi pernahkah kita cuba fikirkan soal integriti dan amanah yang sewajarnya dipupuk sejak kecil lagi. Bukan apa, saban hari kita disajikan berita penyelewengan, rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Saban hari juga kita membaca dan mendengar skandal korporat, rasuah orang awam, swasta dan kakitangan awam tidak kiralah sama ada berpangkat kecil, mahupun besar. Kita juga selalu mendengar kes-kes penipuan seperti skim cepat kaya serta gores dan menang. Tidakkah ini membimbangkan kita?

Malahan tidak keterlaluan, jika tidak dibendung atau diperangi secara bersungguh-sungguh, elemen integriti di kalangan rakyat Malaysia akan semakin lemah. Apa akan terjadi kepada masyarakat Malaysia pada tahun 2020 jika masyarakatnya tidak berintegriti dan amanah? Skandal-skandal penyelewengan, penipuan, rasuah dan pecah amanah ini bukan sahaja berlaku di kalangan golongan bawahan tetapi golongan terpelajar yang mempunyai kuasa di sektor awam mahupun swasta.

Mereka inilah pembuat keputusan bagi orang bawahan. Kerugian besar akan ditanggung oleh semua orang jika penyelewengan dan penipuan berlaku. Sektor swasta akan kerugian dengan pekerjanya sengsara. Manakala jika penyelewengan dan rasuah berlaku di sektor awam, rakyat jelata pula bakal menanggung kerugian.

Masyarakat kita sudah berubah. Tidak seperti dahulu, mudah ditegur dan keputusan banyak dibuat secara kolektif. Dahulu sering kali kerja gotong royong dilakukan sesama masyarakat setempat, tetapi kini kerja gotong royong semakin berkurangan. Natijahnya, masyarakat kini berubah ke arah lebih individualistik dan mementingkan kebendaan semata-mata, selain mengejar kekayaan sehingga melupakan tanggungjawab untuk membantu sesama masyarakat terutama jiran tetangga. Perkara ini boleh dilihat dengan ketara di bandar-bandar besar. Kesan urbanisasi dan permodenan, masyarakat semakin individualistik. Ini bertepatan dengan senario mana-mana negara maju di dunia. Adakah kita mahu mengikut jejak mereka menjelang tahun 2020?

Apabila masyarakat semakin individualistik, mereka tidak memikirkan orang lain kecuali diri sendiri. Sudah tentu, ia akan memberi kesan kepada sikap mementingkan kebendaan walau apa cara sekalipun. Akhirnya, sikap individualistik ini akan melahirkan masyarakat yang lemah integriti kerana apa cara sekalipun, tidak kiralah sama ada halal atau haram mereka akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan harta benda dan wang ringgit sebanyak yang mungkin.

Maka terjadilah kes-kes pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan penipuan. Matlamat menghalalkan cara. Itulah ciri-ciri masyarakat maju yang individualistik. Kita tidak mahu perkara ini menjadi barah suatu hari nanti. Lebih baik kita mempunyai pemimpin yang kurang hebat tetapi berintegriti mantap berbanding pemimpin yang hebat segala-galanya tetapi lemah integritinya.

Percayalah, negara akan hancur jika ditadbir oleh pemimpin begini. Oleh itu, elemen integriti wajar diajar sejak kecil lagi melalui sistem pendidikan negara. Perbanyakkan perbincangan mengenai elemen integriti dalam masyarakat seperti di majlis- majlis ilmu, media massa, drama dan filem.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/