Selasa, 28 Disember 2010

ISU SOSIAL : Pupuk budaya integriti


TAHNIAH buat calon-calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 yang mendapat keputusan cemerlang sebagaimana yang diumumkan pada Khamis minggu lalu.

Di samping kita meraikan para pelajar cemerlang, jangan sesekali melupakan pelajar yang kurang cemerlang. Peperiksaan PMR bukanlah segala-galanya dalam hidup. Gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya. Buktikan anda juga boleh berjaya kemudian hari. Kejayaan bukan datang bergolek, kejayaan datang dengan usaha dan ketabahan. Nescaya, setiap dugaan yang datang pasti ada hikmahnya. Jadikanlah kegagalan sebagai permulaan kejayaan yang lebih cemerlang.

Di sebalik keputusan yang semakin cemerlang pada setiap kali pengumuman peperiksaan awam di Malaysia, penulis ingin mengajak para pembaca, ibu bapa dan pemimpin merenung dan memikirkan satu topik yang cukup penting bagi generasi pelapis. Ia bukanlah perkara baru tetapi jarang sekali disentuh untuk generasi muda terutama remaja dan para pelajar iaitu isu integriti dan amanah.

Kita sentiasa tersenyum riang apabila anak-anak kita memperoleh keputusan cemerlang, seolah-olah itulah penanda aras segala-galanya dalam kehidupan ini. Tetapi pernahkah kita cuba fikirkan soal integriti dan amanah yang sewajarnya dipupuk sejak kecil lagi. Bukan apa, saban hari kita disajikan berita penyelewengan, rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Saban hari juga kita membaca dan mendengar skandal korporat, rasuah orang awam, swasta dan kakitangan awam tidak kiralah sama ada berpangkat kecil, mahupun besar. Kita juga selalu mendengar kes-kes penipuan seperti skim cepat kaya serta gores dan menang. Tidakkah ini membimbangkan kita?

Malahan tidak keterlaluan, jika tidak dibendung atau diperangi secara bersungguh-sungguh, elemen integriti di kalangan rakyat Malaysia akan semakin lemah. Apa akan terjadi kepada masyarakat Malaysia pada tahun 2020 jika masyarakatnya tidak berintegriti dan amanah? Skandal-skandal penyelewengan, penipuan, rasuah dan pecah amanah ini bukan sahaja berlaku di kalangan golongan bawahan tetapi golongan terpelajar yang mempunyai kuasa di sektor awam mahupun swasta.

Mereka inilah pembuat keputusan bagi orang bawahan. Kerugian besar akan ditanggung oleh semua orang jika penyelewengan dan penipuan berlaku. Sektor swasta akan kerugian dengan pekerjanya sengsara. Manakala jika penyelewengan dan rasuah berlaku di sektor awam, rakyat jelata pula bakal menanggung kerugian.

Masyarakat kita sudah berubah. Tidak seperti dahulu, mudah ditegur dan keputusan banyak dibuat secara kolektif. Dahulu sering kali kerja gotong royong dilakukan sesama masyarakat setempat, tetapi kini kerja gotong royong semakin berkurangan. Natijahnya, masyarakat kini berubah ke arah lebih individualistik dan mementingkan kebendaan semata-mata, selain mengejar kekayaan sehingga melupakan tanggungjawab untuk membantu sesama masyarakat terutama jiran tetangga. Perkara ini boleh dilihat dengan ketara di bandar-bandar besar. Kesan urbanisasi dan permodenan, masyarakat semakin individualistik. Ini bertepatan dengan senario mana-mana negara maju di dunia. Adakah kita mahu mengikut jejak mereka menjelang tahun 2020?

Apabila masyarakat semakin individualistik, mereka tidak memikirkan orang lain kecuali diri sendiri. Sudah tentu, ia akan memberi kesan kepada sikap mementingkan kebendaan walau apa cara sekalipun. Akhirnya, sikap individualistik ini akan melahirkan masyarakat yang lemah integriti kerana apa cara sekalipun, tidak kiralah sama ada halal atau haram mereka akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan harta benda dan wang ringgit sebanyak yang mungkin.

Maka terjadilah kes-kes pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan penipuan. Matlamat menghalalkan cara. Itulah ciri-ciri masyarakat maju yang individualistik. Kita tidak mahu perkara ini menjadi barah suatu hari nanti. Lebih baik kita mempunyai pemimpin yang kurang hebat tetapi berintegriti mantap berbanding pemimpin yang hebat segala-galanya tetapi lemah integritinya.

Percayalah, negara akan hancur jika ditadbir oleh pemimpin begini. Oleh itu, elemen integriti wajar diajar sejak kecil lagi melalui sistem pendidikan negara. Perbanyakkan perbincangan mengenai elemen integriti dalam masyarakat seperti di majlis- majlis ilmu, media massa, drama dan filem.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan