Jumaat, 18 Januari 2013

ISU SOSIAL : Hormati hak anak-anak


Bantu tingkatkan emosi, tenaga

Ibarat dua gajah sedang bertarung, sang kancil di tengah-tengah boleh mati tersepit. Begitulah dengan nasib kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi dan dipastikan keselamatannya terjamin, tetapi dibawa ke tempat yang boleh membahayakan mereka.

Setiap kanak-kanak sebaik-baiknya janganlah diheret ke kancah ‘pertelingkahan’, ‘perjuangan’ antara orang dewasa. Memang kasihan apabila melihat kanak-kanak serendah usia lima tahun diheret ke hulu ke hilir, tidur keletihan untuk menyertai aktiviti orang yang dewasa sedangkan mereka sendiri tidak tahu apa-apa.

Memanglah bagi sesetengah ibu bapa dan penjaga, mereka akan berkata, itu anak mereka, ikut sukalah untuk berbuat apa saja pun.

Cuma bayangkan, bagaimana keadaan dan nasib kanak=kanak ini apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku? Bagaimana kalau dalam keadaan kelam kabut, mungkin mereka terlepas dan hilang daripada jagaan ibu bapa, terjatuh, terpijak, terhantuk, dihimpit oleh orang dewasa atau dilanggar kenderaan?

Memang sedih dan kasihan melihat segelintir anak kecil menangis dan kehausan apabila diheret ibu bapa mengharungi lautan manusia dalam perhimpunan jalanan.

Kita tidak mahu masuk campur soal hendak berdemonstrasi atau tunjuk perasaan. Cuma kita prihatin dengan nasib kanak-kanak yang turut diheret sama dengan acara yang sepatutnya untuk orang dewasa saja. Kanak-kanak adalah permata hati setiap keluarga!

Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Ahli Majlis Penyelaras Pelindung Kanak-Kanak Malaysia, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, ibu bapa yang mengheret atau membawa anak kecil berdemonstrasi di jalanan boleh dikenakan hukuman 10 tahun penjara, denda RM10,000 atau disabitkan kedua-duanya.

Perkara ini disebut dalam Akta Kanak-kanak 2001, di bawah Seksyen 31 (1) (a).

Jelasnya, menjadi kesalahan bagi ibu bapa atau penjaga membiarkan anak tanpa pengawasan individu dewasa atau meninggalkan anak untuk tempoh tidak munasabah atau membiarkan mereka dalam keadaan tidak munasabah hingga mengundang bahaya.

Prof Madya Noor Aziah berkata, biarpun kanak-kanak tidak mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya, mereka berhak terhadap keselamatan diri sendiri.

Berdasarkan Konvensyen Hak Kanak-kanak 1989, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun mempunyai empat pengelasan hak utama mereka iaitu kehidupan, perkembangan, perlindungan dan penyertaan.

"Semua kanak-kanak berhak hidup, membesar dengan sihat, menikmati taraf hidup dan menjalani pemeliharaan sempurna.

“Mereka berhak mendapat belaian kasih sayang dalam suasana kekeluargaan, identiti kewarganegaraan, perlindungan daripada kesukaran dalam kecemasan, eksploitasi jenayah, peperangan atau pelarian.

"Masalahnya, ibu bapa dan golongan dewasa gagal memahami kehendak dan hak anak-anak mereka sendiri menyebabkan sesuka hati menghadiri perhimpunan bersama anak-anak. Walhal, sudah diketahui membahayakan nyawa mereka dan anak-anak jika berlaku kejadian tidak diingini.

"Kerajaan juga tidak memainkan peranan dan tiada tindakan diambil bagi melindungi dan menjaga keselamatan serta hak kanak-kanak ini," katanya.

Ibu bapa, penjaga dan individu dewasa harus membezakan keperluan kehidupan kanak-kanak berbanding dewasa seperti perlu menikmati hak kelangsungan hidup, memperoleh keperluan asas seperti makanan, keselamatan, air bersih dan tempat tinggal sempurna dan positif supaya membesar dengan baik.


Individu dewasa juga patut menyediakan platform pembangunan potensi individu menyeluruh seperti hak kepada pendidikan, hak untuk bermain dan hak kanak-kanak untuk menyuarakan pendapat mereka.


Usah ketepikan pendapat mereka


Melalui cara ini, kanak-kanak akan lebih mengenali jati diri, mendidik semangat bangsa dan mengenal pasti aspek ketuhanan sekali  gus menyediakan individu kanak-kanak  yang berdaya saing, kelak.

Prof Madya Noor Aziah menekankan aspek kebebasan kanak-kanak untuk bermain mengikut kesesuaian masing-masing.

Biarkan kanak-kanak melakukan aktiviti bermain yang disukai kerana ia cara mewujudkan interaksi dengan individu sekeliling. Melalui interaksi bermain, kanak-kanak dapat mempelajari perkembangan psikologi seperti menghormati orang lain dan berkongsi alat permainan bersama rakan.

"Jangan ketepikan pendapat kanak-kanak. Dengar! Apabila pendapat mereka didengari dan diambil kira golongan dewasa, ia menimbulkan perasaan dihargai.

"Konsep ini membuatkan mereka lebih mudah didekati, memudahkan hubungan komunikasi, membantu mereka meluahkan perasaan atau percayakan ibu bapa berbanding rakan sebaya," katanya mahu ibu bapa lebih bertanggungjawab menggalas tugas ‘penjaga’ bukan dibiarkan kepada pengasuh semata-mata.

Berhak diberi perlindungan

Hak perlindungan kanak-kanak juga perkara yang perlu dititikberatkan golongan dewasa. Adalah normal jika kanak-kanak gagal memahami sesuatu keadaan sama ada berbahaya, dijadikan mangsa keadaan, mengalami penderaan atau dianiayai sesiapa saja kerana tiada pendedahan atau keupayaan melawan.

Justeru, tugas ibu bapa adalah melindungi mereka daripada gangguan emosi atau seksual atau di diskriminasi akibat kekurangan diri. Dapatkan kerjasama pihak berwajib sekiranya perlu dan diyakini wujud salah laku terhadap kanak-kanak berkenaan.

Di samping itu, kanak-kanak juga perlu diberi hak mengambil bahagian dalam hal ehwal dan pembesaran mereka seperti memperoleh sesuatu barangan. Sekiranya difikirkan sesuai, ibu bapa wajib menyediakan barangan diminta anak mereka.

“Ibu bapa perlu menyertakan kanak-kanak dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat memupuk sifat murni dalam diri mereka. Didik kanak-kanak berbuat baik dan bertoleransi dengan anggota masyarakat kerana mereka berhak,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Kuasai bahasa asing tingkat ilmu


Oleh : Mohd Rizal Azman Rifin
 
Rasulullah atur strategi perhubungan luar lahir cendekiawan Islam

Menguasai sesuatu bahasa dengan kemahiran tinggi akan membolehkan seseorang memperoleh banyak ilmu pengetahuan. Arus pemodenan dan kemajuan dunia yang begitu pesat memerlukan anjakan paradigma ke arah usaha menguasai bahasa asing.

Dunia hari ini menyaksikan kemajuan hebat yang dicapai pelbagai bangsa luar khususnya dalam lapangan sains dan teknologi. Jepun, Korea Selatan, China dan banyak lagi negara lain sudah dan sedang menampakkan kegemilangan dalam bidang itu.

Mereka begitu mengagungkan bahasa ibunda dan seandainya kita mahu belajar daripada mereka, kita hendaklah mampu menguasai bahasa mereka terlebih dulu. Dulu kita digalakkan belajar dan menguasai bahasa Inggeris, kini mempelajari lain-lain bahasa juga satu keperluan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan orang Melayu supaya belajar dan menguasai bahasa asing bagi membolehkan kita mengakses ilmu pengetahuan daripada bahasa berkenaan.

Memetik kata-kata beliau: “Orang Arab suatu ketika dulu mempelajari bahasa Greek, malah orang Eropah turut belajar bahasa Arab untuk mendapatkan ilmu.”

Sebenarnya saranan beliau ini wajar diberikan perhatian kerana sesungguhnya aspek penguasaan bahasa apatah lagi bahasa asing menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan perkembangan ilmu pengetahuan.

Strategi perhubungan

Atas dasar itulah maka kita boleh lihat bagaimana sikap Rasulullah SAW mengenai mempelajari bahasa asing sebagai wadah dalam mengatur strategi perhubungan dengan komuniti luar juga untuk matlamat politik.

Pengaruh Yahudi di Madinah sewaktu Rasulullah SAW dan kaum Muhajirin berhijrah ke sana sangat kuat khususnya dalam bidang ekonomi. Golongan Yahudi yang mendiami Madinah datangnya dari Palestin dan begitu fasih menguasai bahasa Arab tetapi sangat menjaga keutuhan bahasa Ibrani.

Meskipun rata-rata kaum Yahudi itu memusuhi Rasulullah SAW dan dengki dengan kejayaan kaum Muslim, tetapi terdapat juga dalam kalangan mereka yang memeluk Islam. Antaranya ialah Abdullah bin Salam.
Disebabkan beliau seorang ahli agama dan pakar dalam Kitab Taurat, maka Rasulullah SAW menggunakan kepakarannya berurusan dengan kaum Yahudi. Selain itu, Baginda juga meminta Zaid bin Tsabit segera mempelajari bahasa Yahudi dan mempelajari isi kitab mereka.

Dikatakan Zaid hanya mengambil masa setengah bulan saja untuk menguasai bahasa Yahudi. Rasulullah SAW melantiknya sebagai jurubahasa dan Zaid bertindak sebagai juru tulis dan penterjemah apabila Rasulullah SAW ingin berurusan dengan kaum Yahudi.

Di sini cukup jelas kepada kita bahawa Islam amat menggalakkan umatnya mempelajari bahasa asing demi kepentingan ummah. Sejarah kegemilangan tamadun Islam pada abad ke-10 hingga ke-12 dulu, kita akan ketahui kesungguhan umat Islam mempelajari bahasa asing khususnya bahasa Yunani untuk mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan.

Hasil pembelajaran yang begitu komited, mereka berjaya pula menterjemahkan buku bahasa Yunani ke dalam bahasa Arab. Perintah supaya membaca seperti dalam surah Al-Alaq benar-benar menyerap masuk ke dalam jiwa ulama dan cendekiawan Muslim ketika itu.

Firman Allah SWT: “Apabila dikatakan kepadamu: Berdirilah kamu maka berdirilah nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Mujadilah, ayat 11)

Bapa Ilmu Kimia

Jabir bin Hayyan atau dikenali dengan nama Geber oleh Barat telah diangkat sebagai ‘Bapa Ilmu Kimia’ dan orang pertama yang memperincikan ilmu kimia. Malah, beliau berjaya merintis kepada pembinaan makmal untuk kajian secara sistematik.

Kejayaan beliau tidak lain kerana kebolehannya menguasai bahasa Yunani yang membolehkannya menterjemah buku sarjana Yunani.

Begitu juga Tokoh Ilmuwan Islam tersohor, Al-Khawarizmi, yang mahir dan banyak memberikan sumbangan kepada dunia dalam ilmu matematik, astronomi, muzik, kejuruteraan dan ilmu kimia. Kejayaan beliau itu juga terhasil melalui penguasaannya dalam bahasa Yunani sehingga berupaya menggali sumber ilmu dengan berkesan.

Cendekiawan Islam dulu mempelajari sesuatu ilmu termasuklah dalam bahasa asing dengan niat kerana Allah untuk manfaat ummah. Hal ini dapat kita susuri melalui satu petikan kata Al-Khawarizmi: “Cendekiawan pada masa lalu dan akan datang akan terus menulis buku-buku dalam pelbagai bidang kepakaran. Semua ini dilakukan sebagai satu ibadah dan mengharapkan balasan daripada Allah dan manfaatnya diperoleh oleh generasi akan datang.”

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Muhyiddin Lawat Sekolah Berprestasi Tinggi Terkemuka Alabama


MOBILE (Alabama) : Lawatan ke sekolah berprestasi tinggi terkemuka dekat sini oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pengalaman berharga yang menyaksikan beberapa inisiatif dilaksanakan di sekolah itu dipertimbangkan untuk sekolah di Malaysia.

Ini termasuk penggunaan teknologi secara komprehensif seperti komputer riba berbanding kaedah tradisional penggunaan buku teks dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Mempunyai kira-kira 1,200 pelajar, Daphne High School ialah penerima anugerah berprestij 'National Blue Ribbon Schools 2012' di bawah program Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat yang mengiktiraf sekolah rendah awam dan bukan awam, sekolah menengah dan sekolah menengah tinggi yang pelajar mencatat prestasi tahap amat tinggi atau pelajar mencatat kemajuan signifikan dalam pencapaian akademik.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran jelas amat kagum dengan apa yang dilihatnya, termasuk kemahiran berfikir dan kreativiti pelajar serta pendekatan holistik proses pengajaran oleh sekolah itu, menumpukan pada akademik serta aktiviti kokurikulum dan aspek lain berkaitan dalam melahirkan individu serba boleh.

"Nampak mereka (pelajar) lebih berdikari, cara mereka berkomunikasi juga agak baik. Ini menunjukkan tahap kecemerlangan sekolah ini, sesuatu yang kita boleh jadikan contoh," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja dua hari beliau ke Alabama pada Khamis.

Menyentuh mengenai keyakinan pelajar menjawab soalan dan sikap matang mereka semasa beliau berinteraksi dengan mereka semasa lawatan itu, Muhyiddin berkata: "Sikap dan keupayaan beginilah yang kita harus bangunkan dalam kalangan pelajar Malaysia."

Satu daripada elemen sekolah itu yang menarik perhatian rombongan Malaysia diketuai Muhyiddin ialah setiap pelajar dibekalkan komputer riba terbaik untuk digunakan dalam kelas.

"Itu satu cara yang baik bermakna dari segi jangka panjang kerana tidak semestinya setiap pelajar memiliki (komputer riba) tetapi dibekalkan oleh pihak sekolah dan lepas habis pembelajaran di sekolah, dia pulangkan balik dan pelajar lain boleh gunakan.

"Kalau ada kerosakan atau hilang, ia diinsuranskan. Ini satu perkara yang baik...kita tengok macam mana (kemungkinan pelaksanaan) di Malaysia," kata Muhyiddin.

Dalam lawatan ke sekolah yang menyamai Sekolah Berprestasi Tinggi di Malaysia itu, Timbalan Perdana Menteri diiringi isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Othman Hashim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.

Menyentuh inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi Malaysia sendiri dalam pendidikan, beliau berkata: "Sebenarnya macam kita lihat mereka menggunakan komputer, kita sudah mulakan program kita menerusi 4G yang mana sebahagian sekolah telah dilengkapi kemudahan itu.

"Dan saya fikir dalam tempoh setahun ini semua sekolah akan lengkap disediakan dengan 4G wifi dan Internet selain alat teknologi maklumat dan komunikasi yang memang sudah kita gunakan, akan diperluaskan," jelas Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh mengenai satu daripada teras sekolah itu berhubung agenda mengantarabangsakan iaitu pelajar diberikan peluang untuk belajar lebih banyak mengenai negara-negara lain.

Dalam konteks itu, beliau membayangkan kemungkinan satu atau dua buah sekolah di Malaysia menjalin hubungan dengan Daphne High School menerusi penggunaan teknologi.

Kepada satu soalan, Muhyiddin berkata masih tiada keputusan dibuat mengenai penggunaan telefon bimbit di sekolah Malaysia.

Muhyiddin dan rombongan beliau turut dibawa melawat sekolah itu dan berpeluang melawat beberapa kelas yang sedang dalam sesi pembelajaran, sambil diberikan taklimat oleh pentadbir sekolah, mengadakan sesi soal jawab dengan pelajar dan kemudiannya menikmati hidangan tempatan.

Muhyiddin dan pengetua sekolah Dr Meredith Foster turut saling bertukar cenderamata pada akhir lawatan itu.

Beliau berlepas dari Alabama sejurus selepas menghadiri satu lagi majlis dianjurkan sempena lawatan singkat beliau ke negeri ini. - BERNAMA