Jumaat, 18 Januari 2013

ISU SOSIAL : Hormati hak anak-anak


Bantu tingkatkan emosi, tenaga

Ibarat dua gajah sedang bertarung, sang kancil di tengah-tengah boleh mati tersepit. Begitulah dengan nasib kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi dan dipastikan keselamatannya terjamin, tetapi dibawa ke tempat yang boleh membahayakan mereka.

Setiap kanak-kanak sebaik-baiknya janganlah diheret ke kancah ‘pertelingkahan’, ‘perjuangan’ antara orang dewasa. Memang kasihan apabila melihat kanak-kanak serendah usia lima tahun diheret ke hulu ke hilir, tidur keletihan untuk menyertai aktiviti orang yang dewasa sedangkan mereka sendiri tidak tahu apa-apa.

Memanglah bagi sesetengah ibu bapa dan penjaga, mereka akan berkata, itu anak mereka, ikut sukalah untuk berbuat apa saja pun.

Cuma bayangkan, bagaimana keadaan dan nasib kanak=kanak ini apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku? Bagaimana kalau dalam keadaan kelam kabut, mungkin mereka terlepas dan hilang daripada jagaan ibu bapa, terjatuh, terpijak, terhantuk, dihimpit oleh orang dewasa atau dilanggar kenderaan?

Memang sedih dan kasihan melihat segelintir anak kecil menangis dan kehausan apabila diheret ibu bapa mengharungi lautan manusia dalam perhimpunan jalanan.

Kita tidak mahu masuk campur soal hendak berdemonstrasi atau tunjuk perasaan. Cuma kita prihatin dengan nasib kanak-kanak yang turut diheret sama dengan acara yang sepatutnya untuk orang dewasa saja. Kanak-kanak adalah permata hati setiap keluarga!

Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Ahli Majlis Penyelaras Pelindung Kanak-Kanak Malaysia, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, ibu bapa yang mengheret atau membawa anak kecil berdemonstrasi di jalanan boleh dikenakan hukuman 10 tahun penjara, denda RM10,000 atau disabitkan kedua-duanya.

Perkara ini disebut dalam Akta Kanak-kanak 2001, di bawah Seksyen 31 (1) (a).

Jelasnya, menjadi kesalahan bagi ibu bapa atau penjaga membiarkan anak tanpa pengawasan individu dewasa atau meninggalkan anak untuk tempoh tidak munasabah atau membiarkan mereka dalam keadaan tidak munasabah hingga mengundang bahaya.

Prof Madya Noor Aziah berkata, biarpun kanak-kanak tidak mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya, mereka berhak terhadap keselamatan diri sendiri.

Berdasarkan Konvensyen Hak Kanak-kanak 1989, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun mempunyai empat pengelasan hak utama mereka iaitu kehidupan, perkembangan, perlindungan dan penyertaan.

"Semua kanak-kanak berhak hidup, membesar dengan sihat, menikmati taraf hidup dan menjalani pemeliharaan sempurna.

“Mereka berhak mendapat belaian kasih sayang dalam suasana kekeluargaan, identiti kewarganegaraan, perlindungan daripada kesukaran dalam kecemasan, eksploitasi jenayah, peperangan atau pelarian.

"Masalahnya, ibu bapa dan golongan dewasa gagal memahami kehendak dan hak anak-anak mereka sendiri menyebabkan sesuka hati menghadiri perhimpunan bersama anak-anak. Walhal, sudah diketahui membahayakan nyawa mereka dan anak-anak jika berlaku kejadian tidak diingini.

"Kerajaan juga tidak memainkan peranan dan tiada tindakan diambil bagi melindungi dan menjaga keselamatan serta hak kanak-kanak ini," katanya.

Ibu bapa, penjaga dan individu dewasa harus membezakan keperluan kehidupan kanak-kanak berbanding dewasa seperti perlu menikmati hak kelangsungan hidup, memperoleh keperluan asas seperti makanan, keselamatan, air bersih dan tempat tinggal sempurna dan positif supaya membesar dengan baik.


Individu dewasa juga patut menyediakan platform pembangunan potensi individu menyeluruh seperti hak kepada pendidikan, hak untuk bermain dan hak kanak-kanak untuk menyuarakan pendapat mereka.


Usah ketepikan pendapat mereka


Melalui cara ini, kanak-kanak akan lebih mengenali jati diri, mendidik semangat bangsa dan mengenal pasti aspek ketuhanan sekali  gus menyediakan individu kanak-kanak  yang berdaya saing, kelak.

Prof Madya Noor Aziah menekankan aspek kebebasan kanak-kanak untuk bermain mengikut kesesuaian masing-masing.

Biarkan kanak-kanak melakukan aktiviti bermain yang disukai kerana ia cara mewujudkan interaksi dengan individu sekeliling. Melalui interaksi bermain, kanak-kanak dapat mempelajari perkembangan psikologi seperti menghormati orang lain dan berkongsi alat permainan bersama rakan.

"Jangan ketepikan pendapat kanak-kanak. Dengar! Apabila pendapat mereka didengari dan diambil kira golongan dewasa, ia menimbulkan perasaan dihargai.

"Konsep ini membuatkan mereka lebih mudah didekati, memudahkan hubungan komunikasi, membantu mereka meluahkan perasaan atau percayakan ibu bapa berbanding rakan sebaya," katanya mahu ibu bapa lebih bertanggungjawab menggalas tugas ‘penjaga’ bukan dibiarkan kepada pengasuh semata-mata.

Berhak diberi perlindungan

Hak perlindungan kanak-kanak juga perkara yang perlu dititikberatkan golongan dewasa. Adalah normal jika kanak-kanak gagal memahami sesuatu keadaan sama ada berbahaya, dijadikan mangsa keadaan, mengalami penderaan atau dianiayai sesiapa saja kerana tiada pendedahan atau keupayaan melawan.

Justeru, tugas ibu bapa adalah melindungi mereka daripada gangguan emosi atau seksual atau di diskriminasi akibat kekurangan diri. Dapatkan kerjasama pihak berwajib sekiranya perlu dan diyakini wujud salah laku terhadap kanak-kanak berkenaan.

Di samping itu, kanak-kanak juga perlu diberi hak mengambil bahagian dalam hal ehwal dan pembesaran mereka seperti memperoleh sesuatu barangan. Sekiranya difikirkan sesuai, ibu bapa wajib menyediakan barangan diminta anak mereka.

“Ibu bapa perlu menyertakan kanak-kanak dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat memupuk sifat murni dalam diri mereka. Didik kanak-kanak berbuat baik dan bertoleransi dengan anggota masyarakat kerana mereka berhak,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan