KUALA LUMPUR - Pemilihan
Malaysia destinasi percutian paling mesra di dunia bagi pelancongan Muslim oleh
'Crescentrating' baru-baru ini adalah wajar kerana negara ini mempunyai banyak
kemudahan kepada pelancong yang beragama Islam.
Presiden Persatuan
Pemandu-Pemandu Pelancong Bumiputera Malaysia, Zulkifli Ismail berkata Malaysia
sememangnya layak berada di kedudukan tersebut memandangkan wujudnya pelbagai
kemudahan dan produk pelancongan Muslim di negara ini.
"Selain mudah mendapat akses
makanan halal, Malaysia merupakan antara negara yang mudah bagi pelancong Islam
menunaikan solat tidak kira di mana mereka berada, termasuk di kompleks
membeli-belah dan juga di lapangan terbang selain suasana yang selamat,"
katanya kepada Bernama.
Menurut tinjauan Crescentrating,
perunding percutian Muslim Global, Malaysia terpilih sebagai destinasi percutian
paling mesra di dunia bagi penganut Islam mengatasi Mesir, Turki, Emiriyah Arab
Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Singapura.
Malaysia mendapat 8.3 mata
daripada 10 mata penuh manakala Mesir berada di tempat kedua dengan 6.7 mata,
diikuti UAE dan Turki yang berkongsi 6.6 mata, Arab Saudi 6.4 mata dan
Singapura 6.3 mata.
Indonesia, Maghribi dan Jordan
pula berkongsi 6.1 mata untuk berada di tangga keenam, diikuti Brunei, Qatar,
Tunisia dan Oman di tangga ketujuh dengan 6.0 mata.
Bagi destinasi membeli-belah
pula, Dubai mengatasi Kuala Lumpur sebagai destinasi tumpuan bagi penganut
Islam, diikuti Istanbul, Jeddah, Kaherah, Abu Dhabi, New Delhi, London dan
Doha.
Zulkifli berkata tinjauan
tersebut turut menyenaraikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Thailand sebagai lapangan terbang yang mesra
pelancong Islam.
Katanya pemilihan tersebut dibuat
berdasarkan bagaimana sesebuah negara tersebut mampu menampung pertambahan
pelancong Islam dalam memenuhi beberapa kriteria termasuk tahap keselamatan
dalam negara, penyediaan makanan halal, kemudahan mengerjakan solat dan
memenuhi keperluan yang berkaitan dengan pelancong Islam.
"Berdasarkan pengalaman kami
sebagai pemandu pelancong kepada pelancong Muslim ini, mereka sememangnya amat
kagum dengan produk Islam yang ada di negara ini.
"Kebiasaannya pelancong
Muslim yang datang akan dibawa ke Taman Tamadun Islam di Terengganu dan melawat
seni bina bangunan di Putrajaya. Juga Muzium Kesenian Islam di Masjid
Negara," katanya.
Beliau berkata pelancong ini juga
amat tertarik dengan kraftangan dan produk kesenian Melayu seperti batik yang
menjadi pilihan utama untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.
Katanya lagi, penekanan terhadap
produk halal terutama makanan juga membuatkan pelancong Muslim ini tidak gusar
atau risau untuk melancong di negara ini.
Kebanjiran restoran berasaskan
makanan Timur Tengah juga antara faktor tarikan pelancong dari negara tersebut
memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.
"Mereka juga tidak keberatan
mencuba makanan tradisional Melayu yang tidak jauh beza dengan selera mereka
terutama pelancong dari Indonesia dan Singapura selain ada juga penggemar dalam
kalangan pelancong Timur Tengah," katanya.
Namun begitu, katanya masih
terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.
Katanya beliau mendapat komen
negatif mengenai sikap pemandu teksi yang tidak berhemah serta mengenakan
tambang keterlaluan tanpa menggunakan meter kepada pelancong.
"Pihak berkuasa tempatan
perlu memantau aktiviti 'teksi sapu' yang masih berleluasa di kawasan Bukit
Bintang dan Sungai Wang.
"Pemandu teksi pula perlu
bersikap lebih berhemah dan menitikberatkan penampilan kemas sebagai lambang
'kemesraan' kepada golongan pelancong ini," katanya.
Sementara itu Presiden Persatuan
Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Datuk Mohd Khalid
Harun berkata sememangnya menjadi hasrat menjadikan pelancongan Muslim sebagai tarikan
baru kepada rakyat Malaysia negara ini dan pelancong Muslim dari luar.
Katanya pelancongan Muslim kini
mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai termasuk pelancong luar
negara seperti China dan negara Arab. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan