Oleh : Dr Mansor Mohd Noor
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12
(PRU-12) pada 2008, Barisan Nasional (BN) kehilangan dua pertiga majoriti di
Parlimen. Hal yang sama berlaku pada peringkat Dewan Undangan Negeri yang mana
BN kalah di beberapa negeri.
Perubahan jumlah undi yang
dimenangi parti bertanding tidak pernah menjejaskan pembentukan Kerajaan
Persekutuan dan kerajaan negeri. Ini perlu diperakui sebagai aset politik
termahal dalam amalan demokrasi di Malaysia. Perbezaan pandangan dan pertikaman
lidah diselesaikan melalui pilihan raya. Kita berharap kaedah keganasan sebagai
satu jalan keluar tidak pernah menjadi pilihan pengundi pelbagai etnik di
negara ini.
Namun begitu perkembangan budaya
politik mutakhir ini kelihatan tidak begitu sihat. Beberapa pemimpin politik
dan segelintir penyokong parti bertindak liar seperti memijak gambar pemimpin
negara dan menghasut pendemonstrasi jalanan untuk bertindak ganas dan melanggar
undang-undang. Hal ini perlu dikaji berteraskan ilmu dan kefahaman literasi
politik yang mendalam.
Kepemimpinan negara, tanpa
mengira parti politik dan ideologi, perlu sedar dan mendidik amalan berpolitik
dalam kerangka demokrasi kepada penyokong masing-masing. Dalam suasana pengundi
sedemikian rupa, negara bukan saja tidak stabil tetapi dipenuhi pertentangan
politik dan demonstrasi jalanan berpanjangan hingga kestabilan politik, sosial
dan kemajuan negara terkorban.
Kepemimpinan politik perlu
mendidik rakyat dan penyokong mereka dengan ilmu mengenai literasi politik
supaya mereka memahami erti demokrasi, institusi politik, keadilan dan
toleransi. Ini akan melahirkan rakyat yang peka dengan nilai utama kemanusiaan
mengenai kebebasan, hak dan keadilan.
Literasi politik itu bukan hanya
semata-mata undi dimenangi dalam pilihan raya. Memenangi pilihan raya adalah
permulaan untuk memahami pelaksanaan politik yang menetapkan konsep kerajaan,
parti pemerintah, federalisme, kuasa Persekutuan dan kuasa Undang-undang Tubuh
Negeri, kuasa eksekutif, birokrasi dan kehakiman dalam mereka menggubal dasar
awam demi memakmurkan dan mensejahterakan rakyat jelata.
Perlu kenali parti politik
Oleh itu, sebelum mengundi,
pengundi perlu mengenali parti politik dan calon yang akan bertanding serta
dasar awam alternatif mereka, ideologi perjuangan mereka, manifesto parti dan
rekod prestasi perkhidmatan parti dan calon mereka.
Rakyat pada hari ini didapati
lebih rencam berbanding sebelum 1990-an yang mana perkongsian norma bersama
yang merentas kumpulan etnik dan agama melahirkan pengundi yang peka dengan
prestasi kerajaan, parti dan kepemimpinan politik yang boleh menjamin maruah,
masa depan dan negara mereka. Mereka mahu berdialog dan berkomunikasi dengan
kepemimpinan politik.
Justeru, kebebasan bersuara,
kebebasan berkumpulan dan berpersatuan perlu diarusperdanakan. Menerusi kaedah
penulisan, ceramah dan perbahasan politik, bukan saja literasi politik rakyat
akan terbina tetapi juga memberi input untuk bakal pemimpin negara dengar dan
dijadikan asas penggubalan dasar awam yang dekat di hati rakyat nanti.
Syor pendaftaran secara
automatik
Suara golongan muda ini yang mahu
pendaftaran secara automatik selepas mencapai umur 21 tahun dan penggunaan
biometrik yang lebih terjamin dan canggih berbanding penggunaan dakwat penanda
kuku yang menjadi amalan negara dunia ketiga perlu dipertimbang SPR.
Budaya mempolitikkan dasar awam
dan pelaksanaan pembangunan di negara ini juga perlu dikurangkan dengan
menetapkan tarikh pilihan raya umum tiga bulan sebelum tamat penggal
pemerintahan sesuatu kerajaan dipilih pengundi seperti yang diamalkan di
Amerika Syarikat.
Dalam tempoh tiga bulan itu
kerajaan sementara dibentuk untuk mengurus perjalanan negara yang bebas
daripada mana-mana pengaruh parti politik sedia ada. Semasa pemerintahan
kerajaan sementara hingga ke hari pengundian, SPR perlu tegas terhadap setiap
parti politik dan calon yang akan bertanding untuk mematuhi Akta dan Peraturan
SPR, terutama amalan rasuah politik dan penyalahgunaan kuasa sumber serta
jentera kerajaan.
Golongan muda ini juga
diperhatikan telah bersama golongan kelas menengah yang merentas kumpulan etnik
membabitkan diri mereka melalui dunia siber dan NGO untuk memastikan perjalanan
demokrasi berjalan dengan baik dan adil.
Peningkatan mendadak golongan
muda mendaftar sebagai pengundi, terutama di Selangor tidak perlu
disalahertikan dan dipolitikkan kerana ia menjadi bukti kepada kesungguhan
golongan ini untuk memastikan maruah dan masa depan mereka terjamin. Ini sekali
gus adalah kejayaan SPR yang bertungkus lumus melalui pelbagai cara berkempen
di merata tempat untuk mendekati pengundi ini supaya mendaftarkan diri mereka.
Pemilikan ilmu dan kemahiran
literasi politik dalam kalangan pengundi pasti akan membantu pengundi untuk
membuat keputusan politik yang tepat demi memastikan kelangsungan hidup dan
masa depan negara terjamin.
Sesungguhnya literasi politik
membolehkan pemimpin dan parti politik serta rakyat menjadi lebih rasional,
objektif dan turut memainkan peranan dalam pembinaan budaya demokrasi dan
proses pilihan raya di Malaysia yang sihat dan aman.
Penulis ialah Setiausaha
Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Majlis Profesor Negara
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan