Oleh : Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 April –
Ledakan perkembangan teknologi yang semakin pesat dan telah menembusi pasaran
dengan cepat, menjadikan ia bukan sesuatu yang menghairankan apabila semakin
banyak istilah baru yang hadir seiringan dengan teknologi dan seni.
Salah satu contoh istilah baru
itu adalah ‘Selfie’ yang bermaksud mengambil gambar sendiri dengan menggunakan
telefon pintar dan dimuat naik ke laman sosial media.
Istilah-istilah baru itu diterima
pakai oleh masyarakat tanpa disedari dan akhirnya menjadi istilah yang biasa
didengar, jelas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka serta Pengerusi Seminar
Kebahasaan MABBIM 2015, Hajah Aminah binti Haji Momin di Majlis Penutup Rasmi
Seminar Kebahasaan MABBIM 2015 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun,
hari ini.
Hadir di majlis berkenaan dan
menyempurnakan penutupan rasmi seminar itu ialah Timbalan Menteri Kebudayaan,
Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.
Hajah Aminah menjelaskan bahawa
Seminar Kebahasaan MABBIM 2015 membawa tema Memperkukuh Peranan Bahasa
Melayu/Indonesia sebagai Penghela dan Wahana Ilmu Pengetahuan, Teknologi dan
Seni, dan dipilih sebagai tema utama kerana melihat kepada situasi perkembangan
dunia ketika ini yang banyak berkecimpung dan cenderung untuk beradaptasi dengan
dunia teknologi, seni dan ilmu pengetahuan.
“Melalui seminar ini, diharapkan
akan dapat memberi jalan, gagasan dan idea yang baik demi mengembang luaskan
lagi peranan Bahasa Melayu (BM).”
Sementara itu, Pelapor Seminar
Kebahasaan MABBIM 2015, Dr Yabit bin Alas membentangkan resolusi seminar
berkenaan di mana beberapa ketetapan telah diusulkan dalam seminar itu termasuk
mempertingkatkan strategi dan sinergi untuk memperkasakan kewibawaan Bahasa
Melayu/Indonesia dalam menempuh arus globalisasi dengan mewujudkan kumpulan
pakar untuk menjayakan agenda memperkaya khazanah ilmu dalam Bahasa Melayu,
menubuhkan pusat pengajian Melayu/Indonesia di institusi pengajian tinggi
terkemuka serantau dan antarabangsa serta menyokong penubuhan Pusat Majlis
Bahasa Melayu IPT Nusantara.
Ketetapan-ketetapan lain yang
diusulkan adalah mempertingkat dan memperluaskan penglibatan pihak industri
untuk bersama-sama mengembangkan Bahasa Melayu/Indonesia, Bahasa
Melayu/Indonesia sebagai wahana dalam mempertingkat dan memperluaskan
penggunaan teknologi dan media baharu secara inovatif dan berkesan dalam
pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, mempertingkatkan
kepelbagaian jurusan pengajian dengan menggunakan Bahasa Melayu/Indonesia di
institusi pengajian tinggi, memperbanyak dan mempelbagaikan penulisan dan
penerbitan dalam Bahasa Melayu/Indonesia selari dengan perkembangan dan
prasarana teknologi maklumat, memperbanyakkan terjemahan karya-karya agung dan
buku-buku ilmiah kepada Bahasa Melayu/Indonesia melalui pelbagai media selari
dengan perkembangan semasa serta mengglobalisasikan sastera dan industri
kreatif Melayu/Indonesia.
Majlis kemudian menyaksikan Dr
Yabit menyerahkan resolusi Seminar Kebahasaan MABBIM 2015 kepada Datin Paduka
Hajah Adina yang seterusnya menyerahkannya kepada Hajah Aminah.
Sumber : http://brunei-online.com.bn/mediapermata (10 April 2015)