TERSENTAP seketika membaca komen
daripada pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander di dalam satu majlis
anjuran Pemandu di Damansara yang memberitahu mutu pendidikan di Malaysia jatuh
merudum berdasarkan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA) lebih
membimbangkan daripada kejatuhan kewangan.
Tambah beliau, mutu pendidikan di
Malaysia lebih teruk daripada Vietnam dengan menduduki tangga ke-52 daripada 65
negara yang terlibat.
Apa yang berlaku kepada
pendidikan kita ni? Sehingga dikritik tajam dan pedas oleh masyarakat luar?
Adakah ini satu persepsi buruk yang direka ataupun fakta yang nyata? Pelbagai
persoalan menerjah kotak fikiran yang menunggu jawapan segera.
Memetik kata-kata Nelson Mandela
“Education is the most powerful weapon which you can use to change the world”.
Tamadun manusia masa hadapan ditentukan oleh pendidikan hari ini. Generasi yang kita didik hari ini akan
menentukan generasi masa depan.
Sebuah negara perlukan generasi
mapan untuk meneruskan kecemerlangan pencapaian kemajuan. Masa depan negara
terletak di tangan generasi kini dan acuan bentuk generasi kini ditentukan oleh
warna pendidikan.
Dasar pendidikan di Malaysia
bermula selepas tarikh kemerdekaan. Bermula dengan laporan Barnes yang
mensasarkan pendidikan Malaysia menjadi alat perpaduan kaum dengan mengangkat
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selepas itu dasar pendidikan terus
mengalami evolusi dan transformasi sejajar dengan kehendak semasa.
Pada tahun 1983, antara perubahan
penting pendidikan negara dengan perlaksanaan KBSR bermatlamat perpaduan dan
peningkatan penguasaan 3M (menulis, membaca dan mengira) dalam kalangan
pelajar.
Dasar ini diikuti dengan dasar
KBSM yang menggabungkan antara ilmu dan syahsiah diri pelajar. Di samping itu, pendidikan kemahiran terus diperkasakan. Ini
semua bertujuan memenuhi keperluan semasa perancangan kemajuan negara.
Namun beberapa permasalahan
timbul melanda pendidikan negara. Pengenalan Dasar Penswastaan yang tidak
terkawal mengakibatkan tumbuhnya kolej dan institusi pendidikan yang lebih
bermatlamatkan keuntungan daripada pembinaan insan.
Sekolah dan universiti tumbuh
begitu subur bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan sehinggakan graduan lepasan
institusi pengajian tinggi melebihi
keperluan dan membuka masalah pengangguran dalam kalangan siswazah.
Fenomena ini menggambarkan seolah-olah
pembinaan sekolah dibuat tanpa kajian
kehendak pasaran, sebaliknya dibina untuk mengaut kekayaan hasil daripada yuran pengajian pelajar.
Bertambah derita lagi
apabila pelajar terpaksa "mendokong
biawak" hutang selepas graduasi. Sudahlah tiada pekerjaan yang diharapkan,
dikejar pula oleh pengutip hutang tanpa kasihan.
Betapa ramai graduan pelbagai bidang khususnya bidang perguruan menjadi siswazah penganggur.
Inilah akibat daripada ketamakan pihak pembuat dasar yang meletakkan keuntungan
mengatasi kebajikan rakyat.
Pengenalan pembelajaran Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris merupakan satu lagi malapetaka kepada
sistem pendidikan negara. Bahasa Malaysia yang diangkat menjadi instrumen
penyatu rakyat negara Malaysia selama ini seolah-olah diketepikan.
Tanpa sebab yang konkrit, dasar
ini ingin diteruskan walaupun mendapat tentangan daripada cendekiawan bahasa, guru dan NGO yang melihat nasib bangsa
Malaysia menjadi taruhan disebabkan oleh keras kepala pemerintah dan kedegilan
mereka. Hal ini telah mengundang demonstrasi jalanan yang bersaiz mega
menempelak pelaksaann dasar ini. Jutaan wang pembayar cukai dibazirkan untuk
persediaan dasar pengajaran bahasa Inggeris ini.
Apa hasilnya sekarang? Generasi
hari ini terpaksa mencuci "kotoran" yang ditinggalkan oleh orang terdahulu.
Kini heboh pula program baharu Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS). Sepintas lalu nampak matlamatnya murni, meningkatkan sistem pendidikan Malaysia
setaraf dunia. Penilaian pencapaian murid berdasarkan pemerhatian guru kepada
murid tidak lagi merujuk kepada markah peperiksaan sebaliknya
lebih melihat kepada bakat dan penguasaan akademik pelajar.
Di peringkat perlaksanaan, PBS
mendapat tentangan yang hebat daripada warga pendidik. Guru dikatakan dibebani
oleh kerja-kerja "kepejabatan" sehingga mengabai kerja hakiki guru
iaitu mendidik generasi muda. Sehingga kini, perdebatan perlaksanaan PBS ini
panas diforumkan. Sang menteri mengatakan guru tidak terbeban, telah dibuat
penambahbaikan sehingga 80 peratus kerja telah dikurangkan. Di kalangan guru,
menyuarakan hanya guru sahaja yang memahami beban PBS ini.
Melihat konflik yang melanda
pendidikan negara, kita amat khuatir dan
bimbang tentang generasi masa hadapan negara. Masa terus berlalu tanpa menunggu
kita. Pencapaian pendidikan yang terus merosot amat merisaukan. Generasi
bagaimanakah yang akan menggantikan kepimpinan negara pada masa hadapan?
Kita amat mengharapkan golongan
pemerintah dan cendekiawan pendidikan dapat berbincang dan duduk bersama-sama untuk merangka pelan pendidikan terbaik Negara,
bukannya menunjuk kuasa dan ego keras kepala.
Demi kebaikan negara dan anak
cucu kita, sudah-sudahlah bercakaran . Ini bukan masa untuk berkata nista. Ini
masa untuk bermuhasabah dan mengatur kerja demi negara tercinta.
Penulis ialah Pengerusi Persatuan Profesional
Islam (PROMIS)
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/