Rabu, 13 Mac 2013

ISU BAHASA : Seni estetika tinggi sentuhan karya agung


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Apakah dua faktor ekstrinsik yang mendorong minat kita terhadap sastera besar atau sastera agung dunia? Pertama, faktor emosi terhadap sesebuah karya yang dapat dikaitkan dengan keagamaan atau kerohanian. Bagi sesetengah orang Islam, dorongan itu mendekatkan mereka kepada sastera sufi, umpamanya Mathnawi oleh Rumi, Qasidat-ul-Burda karya al-Busiri, dan Persidangan Burung ciptaan Farid a-Din Attar.

Kedua, faktor bahasa asing pertama yang kita kuasai. Bagi orang Melayu yang menguasai bahasa Arab, mereka boleh mengikuti sastera sufi yang disebut di atas langsung daripada bahasa asalnya. Bagi mereka yang tidak menguasai bahasa Arab, mereka membaca karya terjemahan dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada kita pula menguasai bahasa Inggeris, menyebabkan kita lebih didedahkan kepada sastera Inggeris.

Kita sebenarnya mempunyai warisan karya agung kita sendiri. Dua daripadanya ialah Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu). Dalam masyarakat kita sendiri, karya-karya ini sudah beredar begitu lama, sejak karya itu dihasilkan.

Pada mulanya karya itu disalin dalam bentuk manuskrip tulisan tangan dalam tulisan Jawi. Apabila mesin cetak diperkenalkan ke negara kita pada awal abad ke-19, karya-karya terbabit dicetak dan dapat diterbitkan dengan banyak. Selain versi tulisan Jawi, karya-karya itu juga ada dalam versi tulisan rumi, iaitu huruf yang boleh dikatakan datang bersama-sama penjajahan Barat.

Dua gandingan

Huruf rumi dan penjajahan Barat, khususnya Inggeris adalah dua gandingan yang mencorakkan pemahaman sebahagian daripada kita terhadap sastera yang dianggap baik. Karya-karya sastera Inggeris diperkenalkan kepada pelajar negara ini sejak 1940-an atau lebih awal dari tarikh itu, sama ada di sekolah misionari, sekolah Inggeris, dan malah sekolah Melayu (melalui terjemahan).

Demikianlah kita dihidangkan dengan The Cantebury Tales oleh Chaucer, drama-drama Shakespeare, Gullivers Travels oleh Swift, novel-novel karya Defoe, Richardson, Jane Austin, DH Lawrence dan sebagainya. Perkenalan terhadap sastera Inggeris saja sudah melupakan kita akan hakikat wujudnya karya besar di sekeliling England seperti di Perancis, Jerman dan lain-lain lagi.

Kendala menguasai bahasa asing selain Inggeris mengakibatkan kita agak terlewat mengikuti karya-karya besar dari negara lain kerana kita harus mencari versi terjemahan Inggerisnya. Lebih lewat lagi apabila kita harus menunggu pula versi bahasa Melayu yang diterjemahkan daripada versi bahasa Inggeris daripada bahasa asalnya! Inilah situasi yang menyebabkan karya pengarang Perancis dan Jerman tiba lewat kepada kita.

Di Perancis umpamanya, karya besar muncul daripada penulis seperti Rabelais (Gargantua dan Pantagruel), Victor Hugo (Les Miserables), dan Flaubert (Madame Bovary). Di Jerman karya-karya sastera yang menarik antara lain sudah dihasilkan oleh Thomas Mann, Hermen Hesse, Franz Kafka, Gunter Grass serta Goethe dengan drama besarnya, Faust.

Tunggu 240 tahun

Apabila baru-baru ini Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) melancarkan Faust dalam bahasa Melayu, kita sebenarnya menunggu karya agung ini selama kira-kira 240 tahun sejak kali pertama diterbitkan di Jerman. Ini bukan saja akibat perhatian kita yang selama ini lebih berfokus kepada sastera Inggeris, tetapi juga masalah menemukan penterjemah yang cukup berwibawa, yang mendalami nuansa bahasa Jerman dan bahasa Melayu dengan baik.

Selain menunggu kira-kira 240 tahun, kita juga sebenarnya menunggu seorang Latiff Mohidin untuk dapat menterjemahkan Faust ke dalam bahasa Melayu. Latiff terdidik selama empat tahun di Academy of Fine Arts, Berlin. Beliau menguasai bahasa Jerman dengan baik. Beliau juga seorang penyair Melayu berbakat besar yang menghasilkan beberapa kumpulan puisi seperti Sungai Mekong, Kembara Malam, Wayang Pak Dalang, Pesisir Waktu dan sebagainya.

Seorang penyair biasanya melalui proses penyaringan idea, pemilihan diksi yang teliti, menyelami dunia bayangan bagi mencari mutiara metafora, dan menekuni bentuk, warna serta rentak bahasa, agar puisinya indah dan hidup di atas kertas. Apabila seorang penyair seperti Latiff sudah menempuh proses terbabit, ditambah pula dengan penguasaan bahasa Jerman, tidaklah menghairankan jika Faust hadir di hadapan kita dalam bahasa Melayu yang indah, bersahaja serta merangsang emosi dan intelektual kita.

Merangsang karya besar

Baik pengarang muda mahupun pengarang mapan, mereka harus menekuni dan membiasakan diri membaca serta menghayati karya agung dunia. Ini boleh merangsang mereka untuk melahirkan karya besar.

Anggota masyarakat juga wajar membaca karya besar dan agung. Melalui pembacaan dan penghayatannya, kita menikmati seni estetika tinggi dan dalam masa sama memperkaya pengalaman kemanusiaan dan menambah kebijakan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/