Khamis, 4 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Melestarikan pendidikan berkualiti


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

SEJAK setahun lalu, pendidikan menjadi tumpuan ramai baik dalam kalangan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Ini kerana pendidikan dianggap penyumbang utama kepada pembinaan dan pengisian sesebuah negara bangsa termasuk Malaysia.

Pengajian asas dilihat penting untuk membolehkan negara terus bersaing dengan negara-negara lain terutama negara maju.

Bajet yang dibentangkan minggu lalu jelas memaparkan komitmen kerajaan terutama melalui Kementerian Pelajaran untuk mentransformasi sistem pendidikan ke arah pembentukan masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama; masyarakat yang mempunyai pengetahuan, skil dan kemahiran diselaputi dengan nilai, semangat patriotisme dan moral dalam melahirkan modal insan yang berkarakter tinggi dengan adanya nilai intelektual, spiritual, emosi dan fizikal; hubungan konstruktif ke arah masyarakat kelas pertama, cerminan falsafah pendidikan kebangsaan untuk melahirkan pembangunan holistik dalam kalangan pelajar.

Yang penting dalam Bajet 2013 bertemakan 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati', adalah 'kualiti' untuk melestarikan sistem pendidikan berkualiti untuk mentransformasi sistem pendidikan dan turut memperkasakan sistemnya.

Sebanyak RM11.1 bilion diperuntukkan untuk sektor sosial yang turut melibatkan pendidikan dan latihan. Sektor pendidikan diperuntukan 21 peratus (%) daripada bajet untuk memperkukuhkan pemetaan kelangsungan pendidikan sebagai tunggak pembentukan negara bangsa dengan berfokuskan kepada kemakmuran dan kesejahteraan sosial negara.

RM38.7 bilion pula akan diperuntukan untuk memperbaiki kualiti pendidikan dan tambahan sebanyak RM500 juta untuk mengembangkan latihan guru dalam bidang subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik ke arah pembangunan skil pemikiran yang lebih baik.

Kerajaan juga memperkenalkan inisiatif seperti insentif bebas cukai dan geran untuk membuka tadika baru; RM1.2 bilion untuk pembangunan prasekolah dan RM1 bilion untuk penambahbaikan sekolah, RM400 juta untuk sekolah kebangsaan di samping RM100 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil, mubaligh, agama, berasrama penuh dan MRSM.

Ada pihak yang mencadangkan agar PTPTN dimansuh, diberikan pendidikan percuma dari prasekolah sehingga universiti serta RM500 sebagai elaun khas untuk guru tetapi ia lebih dilihat sebagai pendekatan populis untuk memanipulasi pemikiran umum seolah-olah untuk memberikan harapan kepada pemegang saham dalam pendidikan daripada kaca mata mereka sendiri.

Namun, kerajaan secara berterusan memberikan sokongan dan bantuan secara realistik yang diterima dan disokong. Malahan, untuk menggalakkan tabungan pendidikan, mereka yang menyumbang kepada Skim Tabungan Pendidikan diberikan pelepasan cukai RM6,000 berbanding dengan RM3,000 sebelumnya.

Baucar RM100 untuk murid sekolah rendah dan menengah serta RM250 baucar buku untuk pelajar institusi pengajian tinggi dengan kenaikan RM50 daripada sebelumnya; diskaun untuk pembayaran semula pinjaman PTPTN berasaskan kepada pembayaran konsisten menunjukkan bahawa yang mahu dilahirkan adalah pelajar yang bertanggungjawab dan memahami bahawa PTPTN bukan 'hak' tetapi adalah satu 'keistimewaan'.

Mengenal pasti aspirasi dan cabaran yang diperincikan dalam laporan awal pemetaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012, 'pelaksanaan' menjadi tumpuan dan tunjang utama daripada pembentangan bajet ke atas sektor pendidikan.

Kerajaan sedar bahawa hanya melalui hasil akhir pelaksanaan yang bersifat empirikal, umum akan memberikan pengiktirafan dan kepercayaan ke atas sistem pendidikan negara.

Menteri Kewangan memberi kepastian bahawa Unit Pelaksanaan Pendidikan akan memainkan peranan penting dalam proses penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Untuk meninjau dan melangkah ke hadapan dalam pendidikan, maka pendidikan akan memberi fokus kepada pelaksanaan dengan bantuan sistem sokongan yang strategik.

Pendidikan adalah satu proses dan umum perlu memberikan ruang kepada kesemua yang terbabit dalam pelaksanaan untuk meneruskan agenda yang sudah dirangka dengan perancangan Bajet 2013.

Melestarikan sistem pendidikan dalam kerangka holistik hanya akan berjaya sekiranya kesemua yang terlibat secara implisit mahupun eksplisit bekerjasama walaupun mempunyai perbezaan ketara, agar visi mentransformasi negara ke arah menjadi sebuah negara maju pada 2020 dapat direalisasikan dengan jayanya.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan  Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www,utusan.com.my/

ISU AGAMA : Atasi isu hina agama di internet secara berhemah


Oleh : Anwar Patho Rohman
 
"Tindakan menghina agama di Facebook sepatutnya tidak berlaku jika orang ramai mempunyai rasa tanggungjawab dan hormat terhadap negara yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa serta agama." Itulah kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika mengulas isu menghina agama dalam internet baru-baru ini.

Soalnya, mengapakah perkara itu berlaku. Apakah faktor yang menyebabkan penghinaan itu berterusan. Adakah disebabkan keterbukaan dan sikap bertolak ansur umat Islam mewajarkan Islam dipersenda seperti yang berlaku dalam isu murtad, penggunaan kalimah Allah dan melempar surau dengan cat atau meletakkan kepala babi dekat masjid sebelum ini? Jika berlaku pun penghinaan itu, biasanya ia berakhir dengan ‘drama’ saling bermaafan diiringi kata-kata ‘menyesal dengan apa yang berlaku’.

Ketagih internet

Lebih menyedihkan jika penghinaan dalam internet itu bukan saja dilakukan bukan Islam, malah orang Islam sendiri tanpa sebarang rasa bersalah. Hakikatnya, perbuatan menghina agama terutama Islam boleh dianggap bukan luar biasa khasnya sejak internet muncul disusuli lambakan laman sosial yang menjadi tempat pengguna internet meluahkan perasaan.

Manusia kini begitu ketagih dengan internet sehingga setiap apa saja perasaan, perbuatan, pandangan dan keinginan hati atau yang berlaku sekeliling mereka akan ditulis dalam laman sosial menerusi status mereka sama ada mempunyai tujuan khusus atau sekadar suka-suka.

Ketagihan itu pula disokong dengan kemunculan pelbagai telefon pintar canggih yang membolehkan manusia melayari internet di mana saja atau dalam apa situasi sekali pun. Hidup manusia pada hari ini boleh dikatakan seperti ‘tidur internet, makan internet’.
Laman sosial menjadi medan meluahkan rasa atau pendapat dan ia menjadi budaya dalam masyarakat sehingga apa yang diluahkan itu kadangkala menyentuh isu sensitif dalam sudut agama, budaya dan bangsa.

Ada yang menyangka, tindakan meluahkan perasaan dan pandangan dalam internet adalah kebebasan dalam dunia maya dan orang lain tidak berhak menghalangnya. Apabila perasaan itu terus bersarang di jiwa, berlaku insiden ada individu dan pihak tertentu tidak lagi sensitif dengan perkara boleh membangkitkan kemarahan penganut agama lain.

Di negara ini, penghinaan terhadap agama khasnya Islam menerusi internet dan laman sosial banyak berlaku, namun tidak begitu didedahkan atas alasan untuk memelihara keharmonian antara kaum.

Guna saluran diplomasi

Ramai yang tidak menyedari kerajaan tidak sewenang-wenangnya menggunakan peruntukan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 untuk menghukum mereka yang menghina agama. Sebaliknya, kerajaan masih menggunakan saluran diplomasi bagi menangani isu berkaitan seperti menerusi Rukun Tetangga (RT), persatuan komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO). Kerajaan menggunakan kuasa undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 bagi menangani isu membabitkan keselamatan, keharmonian dan perpaduan, tetapi tidak pada isu menghina agama.

Dalam hal ini, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan mengesahkan isu membabitkan perselisihan faham antara kaum seboleh mungkin diselesaikan menerusi rundingan.

Apa yang berlaku hari ini disebabkan masyarakat berbilang bangsa dan agama tidak memahami adat resam dan amalan agama lain. Silang budaya ini masih berlaku dan ia menjadi punca keretakan hubungan antara kaum dan perpaduan, termasuk punca perbuatan menghina agama.

Akta Keharmonian Nasional

“Segala permasalahan yang menyentuh isu keharmonian kaum dan agama hari ini tidak sampai satu peratus, tetapi ia menjadi isu apabila ada pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk meraih keuntungan peribadi,” katanya.

Menjadi harapan jika Akta Keharmonian Nasional diwartakan menjadi undang-undang menggantikan Akta Hasutan 1948 yang mungkin menjadi sinar baru dalam amalan kebebasan beragama di negara ini tanpa menjatuhkan martabat Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Penggubalan akta baru itu juga diharap memberi tumpuan bagaimana isu berkaitan agama, bukan saja Islam juga yang dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan ditangani dengan berhemah dan bijaksana.

Sumber : http : //www.bharian.com/

ISU BAHASA : Derita akibat makan lazat


Oleh : SRI DIAH

Apabila dipelawa makan tengah hari oleh seorang sahabat, saya angguk suka dan hati segera berkata Alhamdulillah. Kemudian apabila tiba di kedai makan, saya urut dada sambil berkata Allahuakbar. Berpinar mata melihat hidangan yang ada di atas meja jualan.

Di kedai yang ada tiga lot berderet itu terdapat lebih 100 jenis lauk-pauk hidangan moden dan tradisional. Daripada rebung masak lemak dengan perut hinggalah kepada ikan masin goreng bawang dan perahan asam limau.

Itu tidak termasuk mi kari, cucur udang, kuih lompat tikam, cendol, serawa labu dan cucur bawang cicah sos lada ataupun ada juga kuah kacang jika mahu. Kemudian ada berderet jenis air termasuk air batu campur, cendol dan kelapa gading.

Selera kecil saya terus menjadi lebih kecil melihat hidangan yang mahu dipilih. Saya keliru. Nafsu makan tenggelam timbul tidak menentu. Saya angkat, tabik pada tuan punya restoran dan lebih istimewa tukang masaknya!

Padahal baru kelmarin saya baca satu kajian mendapati kira-kira 1.6 bilion penduduk dunia kini alami berat badan berlebihan.

Di Amerika Syarikat ada lebih 70.8 peratus penduduknya obes; di Emiriyah Arab Bersatu, 68.3 peratus dan United Kingdom, 64.2 peratus. Di Australia, 63.7 peratus, di Brazil 51 peratus dan di Malaysia 44.2 peratus.

Lama juga tangan saya memegang pinggan berisi nasi putih separuh. Masih lagi saya  tawaf kali kedua mengelilingi meja hidangan. Nampak gaya nasi campur saya belum bercampur apa-apa tika berpusing kali ketiga.

Daripada artikel saya baca - pada 2011, Boston Emergency Service memperkenalkan ambulans khusus bagi mereka yang obes.

Kenderaan ini dilengkapi pengusung yang mampu menampung beban seberat 850Ib (386kg) serta lif hidraulik dengan kapasiti 1,000Ib (454kg) bagi memastikan keselamatan pesakit. Ini juga untuk mengurangkan kecederaan kakitangan yang terlibat untuk angkat pesakit terlampau berat.

Memanglah makanan segera antara punca obes secara mendadak. Kesedapan makanan segera telah menyembunyikan lebihan garam, gula dan serbuk perasa di dalamnya. Kandungan gas dalam minuman berkarbonat juga menjadikan minuman semakin sedap dinikmati hingga ke titisan terakhir.

Apabila pasukan bola sepak UAE gagal melayakkan diri dalam Piala Dunia 2010, Saleh Obaid, seorang pemain pertahanan meletakkan kegagalan tersebut atas ketagihan pasukan itu terhadap makanan segera.

“Kami makan makanan segera McDonald. Semuanya makan makanan segera McDonald. Tidak ada makanan yang sihat,” katanya. Kita ketahui, McDonald  antara penaja Piala Dunia 2010.

Ada banyak kempen telah dilaksanakan namun hasilnya bagaimana? Kempen kurangi penggunaan gula juga tidak berhasil. Kempen kurangkan minuman berkarbonat juga gagal. Lemak tepu dan lemak tidak tepu memasuki kerongkong kita dengan penuh rasa sedar.

Burger daging atau ayam (double!), ice blended penuh krim dan aiskrim tiga empat skop seperti melambai kita. Ini ditambah dengan piza daging import dan ayam goreng segera. Kemudian ada dua tiga bar coklat lemak manis dengan perasa yang pelbagai hiasan menarik dan lazat tidak terkata. Semua itu  memanggil-manggil nafsu kita.

Di Britain, masalah obesiti ini menyebabkan kematian sejumlah 9,000 orang setiap tahun. Itu adalah lebih awal daripada usia dijangkakan. Jika aliran ini berterusan, 90 peratus kanak-kanak di Britain akan mengalami obes menjelang 2050.

Hospital Royal Adelaide, Australia baru-baru ini mengumumkan suatu pengubahsuaian bagi membantu kakitangannya menangani kemasukan pesakit yang obes.

Mereka telah menyediakan satu bilik yang lebih luas dilengkapi alat pengangkat dipasang pada siling, kerusi roda dan katil diperkukuh serta mesin pengimbas tomografi berkomputer yang lebih besar.

Ini dipersiapkan kerana kemungkinan kakitangan mengalami kecederaan adalah 19 kali lebih tinggi sewaktu menggerakkan pesakit yang obes berbanding kecederaan lain.

Di Malaysia saya tidak pasti apakah rekod kesihatan pelajar tahun 1 yang  diambil setiap awal tahun betul-betul diperiksa semula selepas beberapa bulan mereka berada di sekolah. Sejauh mana pelajar obes dipantau dan mengapa tidak ada pihak ambil berat mengenai rekod berkenaan.

 Masalah berat badan berlebihan telah menjadi masalah sejagat. Ini juga adalah masalah paling berat bagi saya sepanjang memilih makan tengah hari pada hari itu.

Akhirnya saya lupakan lebih 99 jenis hidangan yang menggoda nafsu itu. Saya hanya ambil ikan goreng, sup sayur dan sambal tumis bilis. Itu sudah cukup untuk saya!

Sumber : http : //www.sinarharian,com,my/