Jumaat, 29 Jun 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Ilmu, universiti dan masyarakat



Oleh : PROFESOR DATUK DR. OMAR OSMAN

ILMU pengetahuan seharusnya dikongsi oleh semua. Universiti tidak lagi hidup terasing sebagai sebuah menara gading sebaliknya menara ilmu yang meletakkan budaya ilmu pengetahuan pada kedudukan yang tinggi.

Namun,  ilmu yang tidak digunakan hanya akan menyebabkan ia tempang dan terasing. Justeru, pelancaran Projek Agenda Kritikal Program Pemindahan Ilmu oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini amat signifikan dalam konteks ini.

Sekali gus ia menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu agensi-agensi kerajaan, baik agensi pusat mahu pun badan berkanun seperti universiti-universiti yang ada dapat bergerak bersama-sama, bekerjasama, malah tidak lagi bekerja secara silo dalam menjayakan amanah yang kita pikul.

Inilah cara bekerja untuk berkongsi kepakaran yang ada dalam kalangan semua universiti untuk faedah masyarakat dan rakyat seluruhnya kerana ilmu yang ada dari pelbagai disiplin dan bidang adalah milik semua, untuk semua dan pada akhirnya perlu dimanfaatkan terus untuk rakyat.

Program pemindahan ilmu ini adalah sebahagian dari agenda yang bertolak daripada menunaikan janji dan amanah yang dipikul untuk rakyat dan masyarakat. Pada masa ini terdapat begitu banyak hasil penyelidikan yang boleh dikongsi bersama. Sesetengahnya mempunyai potensi untuk dikembang dan dimajukan secara berterusan.

Pada masa hadapan, diharapkan lebih banyak lagi dapat diketengahkan dengan mengambil model kerjasama antara universiti khususnya dalam kalangan penyelidik dan siswa-siswi terutamanya pada peringkat ijazah tinggi dengan pihak industri yang memberikan sebahagian dana dan pengalaman mereka serta rakyat dan komuniti yang mendapat faedah terus daripada usaha yang kita lakukan ini.

Program pemindahan ilmu dirangka bagi menyediakan satu platform yang menggalakkan kerjasama antara akademia dan industri/komuniti melalui pemindahan ilmu yang telah dijana di peringkat universiti awam kepada sasaran industri/komuniti dengan tujuan memperluas dan memperkukuhkan ilmu dalam kalangan masyarakat awam.

Di samping itu, program ini juga menyediakan latihan berasaskan industri kepada graduan yang digelar sebagai siswazah pelatih bagi meningkatkan pengetahuan, pengalaman, kemahiran keusahawanan serta kebolehpasaran semasa menjalankan projek-projek di bawah program pemindahan ilmu ini.

Sekarang ini kita berada dalam era aplikasi ilmu secara langsung, bukan lagi bermain dengan idealisme semata-mata. Kerana itu mereka yang masih hidup hanya dalam lingkaran idealisme mungkin akan merasa agak ketinggalan, termasuk dalam kalangan mereka yang melihat sesuatu idealisme itu dengan penuh kekaguman.

Apatah lagi dalam kalangan pihak tertentu yang cuba pula mengambil kesempatan untuk mempengaruhi anak-anak muda dengan hanya mimpi yang indah, sedangkan hakikatnya kita perlu berdiri dan berjuang dalam kalangan masyarakat dan dunia seluruhnya, bersikap realistik, jika itulah juga impian kita untuk melihat dunia yang lestari dan maju.

Universiti dan masyarakat harus berganding bahu merealisasikan impian negara menjadi sebuah negara maju yang berteraskan ilmu. Kita bersedia untuk melakukannya bersama-sama dan buktinya diketengahkan melalui program ini yang melibatkan gandingan kerjasama dalam kalangan hampir semua universiti kita, pelbagai kepakaran dan pelbagai bidang ilmu. Ia begitu menyeluruh dan masih banyak yang berupaya kita ketengahkan.

Negara maju yang kita impikan harus bersifat inklusif yang memungkinkan melibatkan sama universiti, industri dan komuniti berganding bahu secara berterusan. Program pemindahan ilmu ini misalnya pada fasa pertamanya berjaya melibatkan hampir 200 orang akademia dan 60 siswazah pelatih untuk melaksanakan projek bersama industri yang melibatkan isu pendidikan dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan di daerah-daerah tertentu , program yang dapat menambah keuntungan ekonomi untuk sektor industri/komuniti dan program kelestarian dan inisiatif teknologi hijau.

Sementara itu, dalam program kemasyarakatan pula, ia melibatkan kira-kira 28 buah syarikat yang turut menyumbang modal dan dana dalam pelaksanaan aktiviti yang dilakukan.

Untuk projek dalam masyarakat pula, terdapat 16 program dilaksanakan bersama pertubuhan sukarela, koperasi, dan organisasi tertentu termasuk untuk kumpulan Orang Kelainan Upaya dan pembangunan kurikulum komuniti dengan melibatkan hampir 100 orang akademia dan lebih 30 orang siswazah pelatih.

Kejayaan ini menunjukkan bahawa hampir semua universiti awam yang ada berupaya untuk menzahirkan usaha yang telah lama berjalan ini secara lebih jelas, tersusun dan berstrategi bagi menyahut hasrat kerajaan yang prihatin dengan pembangunan masyarakat dan rakyat, serta para akademia yang sedia untuk berkongsi kepakaran, tenaga dan masa serta pihak industri dan agensi mahu pun pelbagai badan dan pertubuhan yang ada bagi merealisasikan hasrat murni ini.

Pada akhirnya kita ingin menunjukkan bahawa budaya ilmu dan universiti hidup segar dalam udara dan ekosistem yang ada dalam membangunkan libat sama semua pihak secara bermakna dan berkesan.

Ini sekali gus menolak persepsi universiti kita tidak responsif kepada keperluan persekitarannya apatah lagi hanya terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran. Ilmu dan universiti adalah untuk semua dan hanya bermakna apabila kita berupaya berkongsi dengan rakyat dan masyarakat secara langsung.

Ini bukanlah bermakna kita mengetepikan idealisme ilmu yang menjadi teras dalam penerokaan pelbagai disiplin yang ada, penulisan, penerbitan dan jurnal serta penyelidikan dan inovasi termasuk dalam bidang fundamental, namun kita juga tidak menolak prinsip aplikasi ilmu yang mudah difahami dan diperlukan oleh masyarakat dan negara.

Ia perlu seimbang dalam era liberalisasi ilmu yang ada dan yang paling utama bagaimana kita perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan usaha dan memberikan nilai tambah terhadap apa yang diusahakan selama ini.

Apalah maknanya ilmu jika ia hanya tinggal dan berada dalam dada mahu pun di kampus universiti tanpa dapat dikongsikan secara langsung dan terus dengan orang lain. Kita mencari dan mendokong hikmah ilmu dan kita juga menjunjung kemuliaannya demi untuk pembangunan tamadun hidup manusia sejagat.

Penulis  ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pengerusi Projek Agenda Kritikal Program Pemindahan Ilmu Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Kerajinan tingkat momentum, daya saing pekerja


Oleh Sharifah Haayati

Majikan wajib penuhi hak tenaga kerja, wujud hubungan baik sesama kakitangan

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain). Dan hanya kepada Tuhanmu sahajalah, hendaknya engkau berharap.” (Surah al-Syarh, ayat 7-8)

Walaupun ayat ini diturunkan untuk mententeramkan hati Baginda Rasulullah pelbagai panduan dan manfaat boleh kita kutip dalam melaksanakan kerja seharian daripada penelitian dua ayat ini.

Ayat ini bukan saja menunjukkan anjuran dan galakan Allah SWT supaya terus menerus melaksanakan amal salih, tetapi ia juga membawa perhatian untuk terus melakukan kebaikan kesungguhan dan kerajinan bekerja juga perlu terus dibaja supaya momentumnya mampu dikekalkan khasnya pada masa kini.

Bagi memacu daya saing dan daya maju pekerja, nilai kerajinan, ketekunan serta kesungguhan perlu disokong serta dikembangkan. Setiap majikan perlu membajai nilai ini melalui pelaksanaan dasar 5K iaitu yang pertama, kemudahan dan kebajikan.

Kemudahan fizikal dan material meliputi antaranya persekitaran tempat kerja selesa, kemas, bersih, kemudahan teknologi komunikasi maklumat (ICT), tempat beribadat serta rekreasi, manakala kemudahan material meliputi gaji, upah, insentif seperti bonus dan elaun kemudahan kesihatan, perumahan, pengangkutan, khairat kematian dan lain-lain bentuk kebajikan.

Dalam Majma’ al-Zawaid al-Haithami, sabda Rasulullah yang bermaksud: “Berilah pekerja itu upah sebelum kering peluhnya.”

Kemudahan insentif ini adalah mengambil pengajaran daripada balasan Allah SWT kepada hamba-Nya yang melakukan kebaikan dalam firman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakan.” (Surah al-Najm, ayat 39)

Kedua, kesantunan komunikasi adalah dasar paling mudah dan murah untuk menimbulkan rasa dihargai apabila berjaya melaksanakan tugasan serta merangsang motivasi kerja dengan kerajinan dan kesungguhan. Ucapan seperti ‘terima kasih’, ‘tahniah’, ‘syabas’, ‘teruskan ketekunan anda’ adalah komunikasi baik yang amat dituntut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perkataan yang baik itu adalah suatu sedekah.” (Hadis riwayat Muslim) Benarlah kata-kata, ‘Indah tampan kerana budi, tinggi bangsa kerana bahasa’.

Kesantunan komunikasi ini juga boleh dipamerkan melalui pelbagai bentuk penghargaan termasuklah pemberian anugerah perkhidmatan cemerlang, perkhidmatan setia, anugerah kualiti dan inovasi berbentuk ganjaran atau hadiah, sijil, piala, pingat dan sebagainya.

Kesantunan komunikasi ini sesuai dengan anjuran supaya kita saling menghargai dan berterima kasih sesama manusia. Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam Perkhidmatan Awam, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 tahun 2004 juga menyediakan peraturan pemberian penghargaan kepada pegawai yang sudah meninggalkan perkhidmatan iaitu sijil penghargaan kepada mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun secara berterusan.

Ketiga, kerjasama harmoni dan kerukunan organisasi. Apabila tugas boleh disandarkan di bahu anggota organisasi secara bersama dan harmoni, ia akan menimbulkan rasa kepuasan serta kerukunan dalam organisasi.

Ibn Khaldun dalam mukadimahnya mengistilahkan suasana begini sebagai organisasi insani. Justeru, membina semangat muafakat dan kerjasama dalam organisasi boleh menimbulkan keseronokan bekerja, mengembangkan serta membudayakan nilai kerajinan bersama.

Keempat, keutamaan kesihatan. Faktor kesihatan penting kerana kesihatan adalah harta seperti sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang pagi sihat fizikalnya, damai jiwanya dan mempunyai makanan untuk harinya, maka seolah-olah dunia ini kepunyaannya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Justeru, tanpa kesihatan yang baik, tiadalah kerajinan. Individu dan majikan perlu memberi perhatian serius antaranya mengambil kira aspek bebanan kerja yang diberikan supaya bersesuaian kemampuan kesihatan dan fizikal pekerja serta munasabah untuk disempurnakan dalam tempoh diberi, menganjurkan wacana berkaitan kesedaran kesihatan, menggalakkan aktiviti riadah dan rekreasi seperti menubuhkan Kelab Sukan atau Hari Sukan.

Kelima, ketepi kerenah birokrasi yang bukan saja melambatkan sesuatu urusan tetapi boleh merencatkan kerajinan pekerja. Contohnya, apabila pekerja perlu berhadapan proses dan prosedur kerja yang panjang serta sulit, mendapat kelulusan atau persetujuan daripada ramai pegawai atasan, mengisi pelbagai borang dan masalah dalam penggunaan ICT.

Justeru, usaha memudahkan proses dan prosedur kerja dapat mengelakkan kebosanan serta mengembangkan nilai kerajinan dalam bekerja. Malah, dalam ajaran Islam, nilai mudah dan memudahkan amat dituntut.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Rasulullah SAW bersabda: “Mudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan membuatkan orang lain lari (dari agama kamu)." (Hadis riwayat al-Bukhari

Marilah bersama-sama  mengembangkan sifat kerajinan dalam diri dan pekerja dengan memberi perhatian kepada dasar asas 5K yang akan melonjakkan hasil kerja, organisasi sekali gus menjadikan kerja berteraskan kerajinan suatu budaya yang mengundang pahala dan keredaan Allah SWT.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Semua kaum perlu sentiasa guna bahasa Melayu untuk berkomunikasi


PENDIRIAN tegas kerajaan untuk terus memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara adalah satu jaminan untuk membela, memelihara serta memartabatkan bahasa Melayu, sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan. Dalam mengharungi era globalisasi, bahasa Melayu berdepan pelbagai cabaran bagi menghalangnya menjadi bahasa ilmu. Pelbagai bentuk pencemaran bahasa akibat ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memburukkan lagi keadaan, sekali gus menuntut usaha bersepadu semua pihak bagi menjadikan bahasa Melayu terus relevan sebagai bahasa ilmu seiring perkembangan semasa. Walaupun kedudukan bahasa Melayu dijamin Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, usaha memastikan bahasa Melayu digunakan secara ilmiah di samping dapat menggambarkan citra Melayu perlu diperkukuhkan. Toleransi dalam bertutur menggunakan bahasa ibunda mengikut kaum di negara ini memang sudah sebati, namun alangkah lebih manis jika semua kaum di negara ini menjadikan bahasa Melayu sebagai medium utama dalam berkomunikasi tanpa sebarang prejudis. Komitmen ditunjukkan kerajaan untuk mempertahan bahasa Melayu tidak sepatutnya dipandang serong atau diiringi dengan perasaan perkauman kerana bahasa lain juga bebas dituturkan di negara ini.

Selepas 57 tahun Malaysia merdeka, rakyat sepatutnya tidak lagi memandang negatif terhadap kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi seperti digunakan secara meluas dalam bidang sains, teknologi dan perundangan termasuk digunakan dalam dokumen perjanjian serta surat-menyurat. Hakikat sebenar yang mungkin kurang diketahui umum ialah kita sebenarnya mempunyai ribuan istilah dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi di dalam kamus serta glosari yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Panduan penggunaan bahasa kebangsaan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam pekelilingnya adalah antara formaliti yang harus dikekalkan, manakala kelemahan yang masih wujud adalah satu isu yang harus ditangani dengan berkesan. Namun demikian, usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi akan terkubur sekiranya rakyat sendiri tidak peka ke arah itu. Sekiranya bahasa Melayu tinggi dipraktikkan dengan meluas dalam kalangan rakyat, maka amalan itu akan meningkatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Amalan penggunaan bahasa Melayu rendah, seperti bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) dan bahasa rojak wajar dihindarkan dengan harapan martabat bahasa Melayu terus terpelihara. Sebagai rakyat yang terdedah dengan bahasa Melayu, semua pihak perlu bersikap positif untuk menggunakan bahasa Melayu tinggi dalam semua urusan tanpa mengira status atau keturunan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : PTPTN Lupus Pinjaman RM457 Juta Kepada 16,959 Graduan


TEMERLOH : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melupuskan pinjaman pendidikan sebanyak RM475.046 juta kepada 16,959 graduan yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama sehingga 31 Mei lepas.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah itu, seramai 12,529 pelajar dikecualikan daripada membayar balik pinjaman bernilai RM359.26 juta apabila pinjaman mereka ditukarkan kepada biasiswa.

Katanya, seramai 4,430 bekas pelajar tahun 2005, 2006 dan 2007 yang lulus cemerlang dengan mendapat Ijazah Sarjana kelas pertama turut menikmati pengecualian itu yang membabitkan peruntukan RM116.2 juta.

"Sebelum ini graduan cemerlang ini tidak mendapat pengecualian tersebut tetapi kerajaan baru-baru ini bersetuju untuk mengecualikan mereka daripada membayar balik pinjaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Wang Pendahaluan Pembiayaan (WPP) kepada 124 pelajar kawasan Parlimen Kuala Krau yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi awam tahun ini di sini, Jumaat.

Ismail, yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, berkata kerajaan membelanjakan antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun bagi pinjaman kepada pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggai awam dan swasta dan sehingga 31 Mei lalu, PTPTN telah memberi pinjaman kepada 1.98 juta pelajar membabitkan peruntukan RM44.18 bilion.

Menurutnya, kerajaan tidak bercadang memberhentikan pemberian pinjaman itu bagi melahirkan lebih ramai rakyat berilmu untuk mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menafikan tuduhan pihak tertentu kononnya konsep syariah pinjaman dan pembayaran Ujrah PTPTN adalah zalim dan memberikan tekanan kepada bekas pelajar untuk membayar balik pinjaman tersebut.

Beliau berkata, akibat terpengaruh dengan dakyah tersebut yang disebar secara meluas dalam internet dan tulisan blog, ramai bekas pelajar enggan menukar status pinjaman mereka daripada konvensional kepada konsep Ujrah.

"Mereka yang terpengaruh dengan tulisan blog tersebut dinasihatkan supaya menghubungi PTPTN untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai konsep Ujrah yangmenguntungkan kerana mereka hanya perlu membayar pinjaman dengan dikenakan satuperatus sahaja untuk urusan pentadbiran," katanya. - BERNAMA

ISU BAHASA : Martabatkan bahasa kebangsaan



Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM

KUALA LUMPUR 28 Jun - Bahasa kebangsaan akan terus dimartabatkan sebagai lambang jati diri rakyat Malaysia sekali gus menghalang percubaan mana-mana pihak yang mahu mendaulatkan bahasa asing di negara ini.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, matlamat itu akan dipastikan terlaksana melalui Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa Kebangsaan yang ditubuhkan selaras dengan dasar bahasa kebangsaan agar penggunaannya tidak diketepikan di semua peringkat.

Kata beliau, majlis itu yang dianggotai 35 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berbilang kaum akan memberi kesedaran kepada rakyat melalui kempen-kempen supaya bahasa kebangsaan terus dihormati.

“Apa yang menjadi masalah sekarang ialah kita dengan sesuka hati meletakkan bahasa asing sebagai bahasa utama sehingga menyinggung perasaan rakyat Malaysia.

“Negara maju lain seperti Jerman, Korea, Jepun atau China telah mendaulatkan bahasa mereka sedangkan kita malu untuk bercakap bahasa Melayu, sikap negatif seperti ini perlu dihapuskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.

Seminar yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Othman Mohamad; Ketua Pengarah DBP, Datuk Awang Sariyan dan bekas Ketua Satu Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Ismail Hussin.

Seramai 250 peserta menghadiri seminar itu mewakili lebih 40 NGO selain tokoh budayawan, sasterawan dan pelajar.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : RESOLUSI GAPENA



Seminar Bahasa Kesusasteraan Dan Kebudayaan Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena)

Ketetapan-Ketetapan :

Bahasa

1. Persidangan menegaskan bahawa sebarang ulang kaji sistem pendidikan nasional dalam negara mestilah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Perkara 152- bahasa Kebangsaan, Akta 32 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidikan 1961, Akta 550 Pendidikan 1996 yang kesemuanya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan kebangsaan. Sebarang penyelewengan daripada semua peruntukan tersebut merupakan perlanggaran serius kepada undang-undang negara.

Sekiranya terdapat warganegara yang menganjurkan selain daripada peruntukan ini hendaklah mereka dianggap sebagai anti nasional serta penjenayah. Jika pihak kerajaan yang menyeleweng daripada peruntukan ini mereka dianggap telah melakukan sesuatu yang tidak bertanggungjawab, melanggar ikrar dan wajib meletakkan jawatan.

2. Falsafah pendidikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan mestilah dilaksanakan dengan sempurna kepada semua murid dan pelajar di semua tahap persekolahan.

3. Kelulusan bahasa Kebangsaan yang cekap mestilah menjadi syarat kelulusan mendapat taraf kewarganegaraan. Kelulusan bahasa lisan yang fasih mesti menjadi syarat untuk mendapatkan kewarganegaraan.

4.  Pengantar bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan mesti berlaku di semua tahap pendidikan termasuk tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi.

5.  Persidangan menolak sistem pendidikan sekolah antarabangsa tanpa kuota dan mahu pelajar Malaysia yang menuntut di sekolah berkenaan disyaratkan mengikuti pengajian Malaysia sama seperti pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

6.  Persidangan dengan sebulat suara menolak sepenuhnya usaha pihak-pihak tertentu untuk menjadikan bahasa selain bahasa Melayu sebagai asas kemasukan ke institut perguruan, menolak penubuhan pusat perguruan bahasa-bahasa lain juga tindakan mengeluarkan guru-guru kebangsaan yang tidak tahu berbahasa Mandarin daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

7.  Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dan DBP serta Institut Terjemahan dan Buku Negara mesti memperuntukkan kewangan yang cukup bagi memperbanyakkan penerbitan dalam semua bidang ilmu dalam bahasa Melayu sebagai mengisi keperluan dan menerapkan ilmu ke dalam semua lapisan pendidikan dan masyarakat.

8.  Persidangan memperakukan penubuhan Majlis Pemantauan Bahasa dan Tindakan Bahasa Kebangsaan sebagai badan berautonomi oleh pelbagai NGO di bawah Akta Bahasa Kebangsaan untuk memastikan amalan dan kegunaannya berlaku dengan meluas dan sempurna, pada sebarang masa dan tempat, pelbagai bidang tadbiran, dagangan dan awam sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Kesusasteraan :

1.  Pendidikan kesusasteraan kebangsaan mestilah dipertingkatkan menjadi satu mata pelajaran wajib sebagai usaha meneguhkan pendidikan bahasa Melayu dalam dasar MBMMBI dan meningkatkan kemahiran dan kefasihan dalam bahasa Melayu.

2.  Kementerian Pelajaran dituntut menubuhkan mata pelajaran baru bernama Rukun Negara secara pengajaran modular bagi menggantikan mata pelajaran Tatanegara dan kursus baru ini mesti mengandungi mata pelajaran sejarah, perlembagaan persekutuan, kesusasteraan, nilai-nilai dan etika nasional dan kebudayaan pelbagai kaum.

Kebudayaan :

1.   Kebudayaan nasional berlandaskan Dasar Kebudayaan Nasional mesti ditafsir dalam bentuk kurikulum untuk menjadi mata pelajaran dalam semua tahap persekolahan di Malaysia untuk memupuk kesedaran kebangsaan, meneguhkan sistem negara dan melahirkan persefahaman antara warganegara Malaysia.

2.   Bentuk-bentuk seni dan budaya kaum di Malaysia dapat menjadi bahan pengajaran dalam pelaksanaan mata pelajaran kokurikulum dan pengajaran bahasa sebagai landasan estetika dan kesedaran kesenian yang lebih luas dalam kalangan para pelajar dalam semua tahap pendidikan.

3.   Pendidikan Seni di sekolah wajib berlandaskan kebudayaan nasional dan penerimaan unsur-unsur dari luar berfungsi untuk memperkaya pencapaian kesenian itu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : Beban besar menanti Mursi



Oleh : Aznan Bakar
aznan.bakar@utusan.com.my

PADA Januari 2011, Dataran Tahrir di Kaherah, bermandi darah apabila ratusan ribu rakyat negara itu berkumpul dalam revolusi menjatuhkan pemerintahan autoritarian 30 tahun Presiden Hosni Mubarak.

Peristiwa itu mencetuskan huru-hara dan kacau-bilau di Mesir yang menyaksikan 900 orang terkorban diikuti dengan perletakan jawatan Mubarak sebagai presiden.

Ahad lalu, Dataran Tahrir sekali menjadi tumpuan ratusan ribu penduduk Mesir. Tetapi kali ini bagi meraikan pelantikan Mohammed Mursi sebagai Presiden - Presiden pertama dalam sejarah Mesir yang dipilih melalui pilihan raya bebas. Malah yang pertama dari kalangan orang awam dan pendokong Islam.

Ketika Mubarak yang kini koma dihantar kembali ke penjara, Mursi yang pernah menjadi tahanan ketika Mesir di bawah pimpinan bekas presiden itu melangkah ke Istana Presiden sambil mencongak barisan Kabinetnya setelah mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya presiden yang berakhir Januari lalu.

Mursi, 60, seorang jurutera bergelar profesor yang pernah belajar di California, Amerika Syarikat (AS) dan pernah dipenjarakan kerana pegangan politiknya oleh polis rahsia Mubarak, Ahad lalu berkata: "Hari ini saya adalah presiden kepada seluruh rakyat Mesir."

Ungkapan itu dilihat sebagai detik perubahan dalam sejarah politik Mesir yang selama ini di bawah kuasa tentera.

Malah pelantikan Mursi dikatakan akan menjadikan Mesir lebih Islam daripada sebelum ini dengan majoriti ahli parlimen dan barisan Kabinet yang bakal dilantik katanya akan terdiri daripada para penghafal al-Quran dan hadis serta ulama.

Tetapi mampukah Mursi merealisasikan apa yang diimpikan oleh Ikhwan Muslimin yang diwakilinya?

Di sebalik kejayaan itu, beban yang menanti Mursi bukan sedikit.

Dia perlu mengimbangi antara tuntutan rakyat di jalanan yang mengangkatnya ke Istana Presiden dengan pengaruh tentera yang masih tidak dapat dipisahkan daripada politik Mesir.

Tentera yang sudah 60 tahun menguasai politik negara itu tidak mungkin menyerahkan kuasa dengan mudah. Malah kerajaan sementara setelah Mubarak digulingkan yang disokong tentera telah meminda perlembagaan bagi mengurangkan kuasa presiden.

Malah sebelum Mursi memberikan ucapan pertamanya sebagai Presiden, pemimpin tentera yang memimpin kerajaan sementara telah mempengaruhi para hakim membubarkan parlimen yang Ikhwan Muslimin menangi dengan keputusan majoriti pada tahun lalu.

Dengan kuasa yang semakin kurang, cabaran hebat tentunya menanti Mursi dalam menjayakan agendanya kepada rakyat.

Pelantikan Mursi itu juga diharapkan tanda berakhirnya kemelut politik Mesir selama 16 bulan.

Kemelut itu bukan sahaja menyaksikan kejatuhan Mubarak, tetapi turut menyaksikan ketidakstabilan selain ekonomi Mesir merudum.

Dalam tempoh 16 bulan itu, bukan sahaja politik Mesir runtuh, infrastrukturnya juga rosak, ekonomi hampir musnah, sistem pendidikan kucar-kacir dan sistem kesihatan awam boleh dikatakan tidak wujud.

Sebab itu, cabaran yang dipikul oleh Mursi bukan sekadar memulihkan kestabilan politik selepas Mubarak ditumbangkan, tetapi turut memulihkan negara itu secara keseluruhannya terutama dalam menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.

Pendokong revolusi yang menjatuhkan Mubarak terutama golongan muda tentunya mahukan lebih daripada sekadar pemimpin baru.

Mereka tentunya mahukan pemimpin yang alim dan mendokong Islam, tetapi pada masa sama mahukan hak sebagai rakyat dipenuhi terutama dalam isu pengangguran dan kemiskinan.

Dengan sektor pelancongan Mesir terjejas teruk ekoran suasana dalaman tidak stabil selepas era kejatuhan Mubarak, ramai rakyatnya yang bergantung kepada pelancong asing kini hilang pekerjaan.

Peranan utama Mursi kini selain membentuk barisan Kabinet yang mantap ialah memulihkan keyakinan pelabur dan pelancong asing supaya kembali ke Mesir dan kembali menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyatnya.

Bagi rakyat Mesir, mereka menaruh harapan bukan sahaja untuk Mursi membawa pembaharuan kepada sistem pemerintahan dan pentadbiran, tetapi juga menyediakan kehidupan yang lebih baik.

Persoalannya sekarang, adakah rakyat Mesir di bawah pimpinan Mursi akan menerima faedah yang lebih baik berbanding selama 30 tahun dipimpin oleh Mubarak?

Itu yang perlu dibuktikan oleh Mursi bahawa tindakan rakyat negara itu memilih Ikhwan Muslimin adalah tepat.

Bagaimana pula dengan hubungan antarabangsa terutama yang membabitkan persahabatan dengan Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu rapat Israel?

Sedangkan, Mursi bukan sahaja anti-Israel, tetapi turut pro-Iran dan Hamas di Palestin yang mana ia sudah tentu tidak disenangi oleh AS yang berusaha keras untuk meminggirkan Iran dari kelompok negara-negara teluk.

Sebab itu pelantikan Mursi diikuti dengan teliti oleh seluruh masyarakat dunia terutama AS dan Kesatuan Eropah kerana dia dari golongan pendokong Islam.

Bagaimanapun dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden, Mursi menjanjikan satu kebangkitan Islam yang sederhana.

Bagi masyarakat barat, kecenderungan politik antarabangsa Mursi yang anti-Israel dan pro-Iran serta pro-Hamas amat membimbangkan.

Apabila Mursi diisytihar sebagai pemenang dalam pemilihan Presiden Mesir, Iran merupakan antara negara pertama yang mengutuskan ucapan tahniah.

Malah Iran menyifatkan kemenangan itu sebagai keindahan dalam demokrasi yang menandakan kebangkitan Islam.

Perkembangan itu sudah tentu menggusarkan barat yang merupakan sekutu utama Mesir sejak sekian lama.

Tetapi, bagi para pemerhati, Mursi perlu memberikan tumpuan kepada isu domestik terlebih dahulu.

Masalah dalaman yang membabitkan isu keselamatan, kemiskinan, penyediaan peluang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan merupakan perkara utama yang menuntut penyelesaian segera.

Tanpa kestabilan dalaman, Mursi tidak mampu menggerakkan kerajaannya. Jika itu berlaku, sudah tentu dia akan gagal melakukan pembaharuan seperti yang dituntut rakyat. Akibat daripada kegagalan itu tentunya buruk. Antara kemungkinannya ialah rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Mursi perlu segera mengembali kestabilan negara itu yang sejak 16 bulan lalu terumbang-ambing. Apabila sudah stabil, barulah dia boleh memacu Mesir ke peringkat lebih tinggi dan menjadikan negara itu sebagai sebuah negara Islam yang dihormati dan bukan sekadar boneka kuasa besar dunia terutama AS.

ISU GLOBAL : Palestin, Israel uji Mursi



MASYARAKAT antarabangsa tentunya masih ingat bagaimana kerajaan Mesir di bawah Presiden Hosni Mubarak menutup pintu sempadannya di Rafah ketika penduduk Palestin di Gaza teruk dibedil oleh tentera Israel pada hujung 2008.

Ramai yang masih ingat puluhan ribu tan makanan dan bantuan yang dihantar oleh masyarakat antarabangsa termasuk dari Malaysia untuk penduduk Gaza hanya dilonggokkan di bandar Al-Arish hingga reput ekoran keengganan kerajaan Mesir membuka pintu sempadan di Rafah bagi membolehkan segala bantuan itu dibawa masuk ke Gaza.

Rafah merupakan satu-satunya pintu masuk yang bersempadan dengan Mesir yang membolehkan segala bantuan dihulurkan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Tetapi disebabkan polisi kerajaan Mesir ketika itu yang akur dengan perjanjian mereka dengan Israel, pintu masuk ke Gaza ditutup rapat.

Pada masa itu pihak berkuasa Mesir menutup sepenuhnya pintu sempadan dan tidak ada sebarang pergerakan dibenarkan sama ada makanan, ubat-ubatan, doktor, pekerja bantuan atau wartawan.

Mesir ketika itu seolah-olah bersekongkol dengan Israel untuk memastikan penduduk Gaza menderita.

Dasar tutup pintu Mesir menyebabkan penduduk Gaza menggali terowong bagi membolehkan mereka menyusup masuk ke Mesir untuk mendapatkan keperluan hidup.

Namun atas desakan Israel, kerajaan Mesir telah menanam cerucuk besi sedalam lebih 30 meter bagi menghalang pembinaan terowong tersebut dan memutuskan sama sekali hubungan penduduk Gaza dengan dunia luar.

Malah, polisi luar Mesir turut mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, sebaliknya mereka tidak mengiktiraf kewujudan negara Palestin.

Kini masyarakat dunia mahu melihat adakah Presiden baru Mesir, Mohammed Mursi akan mengubah polisi negara itu terhadap Paletin dan Israel.

Yang paling penting adakah dia akan menggerakkan inisiatif membuka sepenuhnya pintu sempadan di Rafah bagi membolehkan rakyat Palestin di Gaza berurusan dengan dunia luar.

Itu dilihat antara cabaran utama yang bakal dipikul oleh Mursi, Presiden Mesir yang pertama dipilih melalui pilihan raya bebas dan yang pertama dari kalangan kumpulan pendokong Islam.

Malah, masyarakat Islam antarabangsa termasuk di Malaysia sangat berharap Mursi mengubah polisi itu untuk membolehkan penduduk Gaza berhubung dengan masyarakat dunia terutama dalam mendapatkan bantuan memulihkan hospital, sekolah dan kemudahan awam lain yang rosak teruk akibat serangan rejim zionis.

Dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden, Mursi berjanji untuk menghormati perjanjian antarabangsa yang telah dimeterai oleh Mesir.

Dia juga berkata, akan menimbang semula perjanjian damai dengan Israel. Tetapi tidak pula menyebut sama ada perjanjian damai Mesir-Israel 1979 akan diteliti atau dibatalkan.

Pada masa sama, ramai yang berpendapat, biarpun anti-Israel, namun Ikhwan Muslimin menghormati perjanjian dengan rejim zionis itu.

Malah pemerhati berpendapat biar pihak mana sekalipun yang berkuasa di Mesir tidak ada siapa yang mahu kembali ke medan perang.

Sebab itu ada yang mengatakan polisi Mursi terhadap Israel tidak akan berubah.

Maknanya, polisi terhadap Palestin juga akan kekal sama dengan pintu sempadan di Rafah akan kekal tertutup rapi.

Jika polis Mesir di bawah pentadbiran Mursi terhadap Palestin dan Israel tidak berubah maka kemenangan itu tidak memberi apa-apa makna kepada dunia Islam.

Apa yang diharapkan ialah sekurang-kurang Muris mengambil langkah membuka pintu sempadan di Rafah bagi membolehkan penduduk Gaza berurusan dengan dunia.

Tindakan itu jika menjadi kenyataan, ia seolah-olah membebaskan penduduk Gaza dari penjara terbuka ciptaan Israel.

Sebab itu, ramai yang berpendapat isu Palestin dan Israel merupakan ujian utama terhadap pentadbiran Mursi selain isu-isu domestik yang mendesak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Mahalnya Ucapan Terima Kasih!


BENAR mahupun tidak, dikatakan kebanyakan masyarakat hari ini khususnya generasi muda agak 'sukar' mengungkapkan ucapan 'terima kasih' dalam kehidupan seharian ekoran dianggap ia bukanlah satu perkara penting.

Rencana dua siri ini cuba menyingkap akan fenomena sedemikian.

Bahagian pertama menyusuri pembaca kepada senario-senario yang dipandang 'enteng' mahupun terlepas pandang oleh segelintir pihak akan kepentingan di sebalik alunan, terima kasih.

Mudah sahaja sebutannya malah kanak-kanak kecil pun sudah mampu melontarkannya dengan baik. Namun, ia masih berat dan kelu untuk dijadikan pakaian lidah bagi segelintir manusia.

Walhal, ia hanyalah sekadar dua patah perkataan, terima kasih, dan rasanya tidak memerlukan pergelutan lidah bagi menyebutnya. Kalau diajukan 'mengapa', semuanya berbalik kepada realiti semasa yakni, hampir kebanyakan daripada kita mengambil mudah atau sambil lewa akan perkataan itu.

Sikap sedemikian akhirnya menjurus kepada pembentukan sahsiah keperibadian diri, merasakan tiada keperluan ucapan itu, lantas menyebabkan segelintir kita tidak ambil kisah untuk mengungkapkannya.

Namun, tanpa disedari adakalanya kita turut mempersoalkan keperibadian seseorang berikutan tiada ucapan terima kasih dipertuturkan, sekali gus memberi erti bahawa ucapan itu sangat bermakna.

Bagaimanapun, sebelum menimbal kepada orang lain, tanya diri sendiri dahulu sama ada sudahkah kita mengucapkan terima kasih hari ini ataupun adakah ia menjadi amalan seharian kehidupan kita?

MAHALNYA TERIMA KASIH

Begitu mahalnya ucapan itu, sehingga adakalanya perlu diingatkan terlebih dahulu untuk berbuat demikian dan ia adalah satu keadaan yang sangat 'menyedihkan'.

Sebagai masyarakat timur, ia bukanlah satu senario 'asing' pengamalan budi bahasa dan nilai-nilai murni termasuklah pengucapan terima kasih kerana ia menjadi kebanggaan warisan masyarakat terdahulu.

Namun, cabaran globalisasi dan peralihan sikap yang memperlihatkan kepada penjurusan sahsiah individualistik, materialisme, menyebabkan segelintir daripada kita 'lupa' atau sengaja membuat lupa akan kepentingan penggunaan nilai itu.

Walhal, nilainya tidak pernah lapuk dek zaman malah diguna seluruh dunia. Ia dituturkan oleh semua bangsa dari dahulu sehinggalah sekarang. Yang membezakannya, hanyalah bunyi ucapan itu sahaja.

Bagi orang Cina, ia disebut 'xie xie', bangsa Arab, 'syukran jazilan', bahasa Inggeris, 'thank you' dan bangsa France pula menyebutnya 'merci'.

Biar apa pun sebutannya, namun tujuannya tetap sama, yakni sebagai lambang penghargaan betapa kita menghargai apa yang dilakukan oleh orang itu kepada kita.

Ucapannya mudah, namun nilai di sebalik perkataan ini sangat bermakna kepada seseorang dan boleh memberikan kebahagiaan, kegembiraan kepada si penerima.

Dalam Islam juga, terima kasih turut disesuaikan dengan kalimah 'syukur', yakni diucapkan bagi menyatakan perasaan gembira sebaik menerima sesuatu nikmat, rezeki sebagai menghargai anugerah pemberian Allah.

TIADA SALAHNYA, WALAU DI JALAN RAYA

Biarpun keperibadian pemandu dan penunggang motosikal di sini dikatakan lebih berbudi daripada negara luar, namun hakikatnya terdapat juga segelintir komuniti ini membentuk senario 'kurang hormat' di jalan raya.

Perilakunya itu, mungkin berpunca daripada keperibadian diri (bukan semua), selain alasan hendak cepat sampai ke destinasi, tekanan jalan sesak, sekali gus membentuk senario negatif itu.

Realitinya, tidak kiralah apa alasannya sekali pun ia bukanlah jaminan 'hak eksklusif' kepada mereka untuk berbuat demikian kerana 'jalan raya' dikongsi bersama.

Justeru, ringankan tangan sebagai tanda, isyarat terima kasih kepada pemandu lain kerana bersabar apabila anda melakukan kesilapan semasa memandu, memberi laluan di jalan yang sempit dan sebagainya.

Itu bukan sekadar menunjukkan tanda hormat, malah akan mengelakkan pemandu lain memarahi anda dan mengeluarkan perkataan kesat yang tidak sedap didengar.

MOTIF, TERIMA KASIH?

Secara jujurnya, berapa ramai antara kita mempratikkan pengucapan kalimah itu kepada pemandu bas, teksi, petugas tol, kaunter dan seumpamanya? Berapa ramai juga yang mengucapkan terima kasih kepada pengawal keselamatan yang membuka pintu untuk anda?

Pernahkah anda menuturkan perkataan itu kepada pembantu kafeteria yang menolong mengutip pinggan atau gelas kotor yang kita gunakan? Dan terucapkah anda terima kasih kepada pencuci pejabat apabila meja tempat kerja anda dibersih dan dikemaskan?

Ambil masa dan fikir sejenak.

Itu hanya sebahagian sahaja kerana masih banyak lagi senario yang memerlukan pengucapan terima kasih itu dilontarkan namun dipandang 'remeh' oleh segelintir manusia.

Paling tidak dimasuk akal apabila ada bermentalitikan pekerja-pekerja ini tidak sewajarnya menerima ucapan terima kasih kerana sudah menjadi kewajipan mereka.

Biar apa alasannya sekali pun, tiada salahnya untuk menzahirkan terima kasih kerana ia menandakan seseorang itu mempunyai nilai-nilai serta moral yang tinggi dalam dirinya.

TERIMA KASIH CIKGU!

Menariknya, budaya menzahirkan perkataan itu kepada golongan pendidik bermula sejak usia tujuh tahun lagi sehinggalah pelajar itu melangkaui umur 17 tahun.

Selama 12 tahun kalimah itu bergema di halwa telinga pelajar, namun ia berubah sebaik sahaja menjejakkan kaki ke menara gading.

Tiada lagi ucapan kebiasaannya dizahirkan kepada golongan pensyarah sebaik sahaja habis kelas. Senario yang menjadi kebiasaan sejak zaman persekolahan itu dilihat seolah-olah tiada lagi nilainya untuk dipraktikkan.

Ucapan terima kasih hanya diberikan kepada pensyarah sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan mahupun lulus subjek itu, itu pun kalau jumpa dengan pensyarah itu.

Mungkin bukan semua, namun amalan berterima kasih dalam pengucapan yang sempurna dan berakhlak seharusnya menjadi pakaian lidah mahasiswa kerana ia akan menambahkan lagi keberkatan serta memudahkan proses pembelajaran.

KADANGKALA KITA LUPA

Terlalu menjaga hati orang lain, rakan, pihak atasan, adakalanya kita 'lupa' untuk menghargai ahli keluarga, walhal ibu bapalah yang bertungkus-lumus tanpa mengira perih dan sukarnya membesarkan anak.

Bagaimanapun, anak (bukan semua) merasakan pemberian berbentuk 'kebendaan' sudah cukup sebagai erti kasih, hormat dan lambang balasan terhadap masa, wang dan sayang yang dicurahkan oleh orang tua mereka.

Hakikatnya, ucapan terima kasih itu sangat bererti dan merupakan hadiah paling mahal, bermakna bagi seseorang berstatus ibu dan ayah. Untuk itu, keluarga merupakan 'kunci' dalam proses penyemaian nilai-nilai murni dalam keperibadian anak.

Didik sejak kecil, ringankan mulut untuk menuturkan ucapan terima kasih kepada anak biarpun ia hanyalah sekadar menolong mencuci kereta, mengambil surat khabar kerana ini juga boleh mengeratkan silaturahim antara keluarga.

Tidak mustahil, pengucapan terima kasih akan sentiasa terucap di bibir anak mereka biarpun sudah melangkaui dewasa.

TINGKAT MOTIVASI

Tidak salah bagi seorang 'ketua' menzahirkan perkataan itu kepada pekerjanya di atas tugasan yang telah disiapkannya.

Biarpun ketua, tidak semestinya ucapan terima kasih itu tidak perlu dipraktikkan kerana selagi anda menghormati pekerja, sejuta kali mereka akan menghormati anda.

Selain mewujudkan atmosfera harmoni di tempat kerja, ia juga psikologi terbaik untuk menghargai pekerja anda, kata Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, Pakar Perunding Psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kepada Bernama. Ia sebutan mudah lagi ringkas, yang dapat menambah rasa hendak memberi dan menghulur sesuatu berulang kali malah lebih baik daripada sebelumnya, sekali gus meningkatkan lagi produktiviti pekerja.

"Dalam sesuatu organisasi, budaya apresiasi penting kerana akan membuatkan mereka lebih bersemangat, bermotivasi untuk bekerja dengan lebih kuat sekali gus akan meningkatkan lagi kecemerlangan organisasi," katanya.

Namun, pekerja pula jangan sekadar mengharap 'ketua' sahaja mengalunkan ucapan itu kerana diri anda juga seharusnya menjadikan kalimah itu sebagai pakaian lidah dalam kehidupan seharian.

Walaupun ia hanyalah sekadar dua patah perkataan, namun nilai tersembunyi di sebalik ucapan 'terima kasih' itu tidak patut dipandang remeh kerana ia lebih berharga daripada wang ringgit! -BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Dua Prinsip Utama Jamin Pendidikan Adil


PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam memastikan pendidikan adil kepada semua peringkat golongan masyarakat, dua prinsip utama diperjuangkan kerajaan iaitu meritokrasi kecemerlangan dan keadilan sosial.

Beliau berkata adunan dua prinsip itu penting bagi memastikan kejayaan pergerakan sosial mobiliti di negara ini terus dinikmati semua pihak.

"Oleh itu kalau sistem kita tidak dapat memberi peluang yang adil kepada golongan tersebut maka akan berlaku kepincangan dalam masyarakat," katanya semasa berucap pada majlis sesi sembang Perdana Menteri bersama Profesor dan Profesor Madya Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di sini Khamis.

Program itu dihadiri ahli majlis Persatuan Akademik Malaysia yang mewakili 30,000 golongan itu di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata justeru, salah satu kebanggaan kerajaan selama ini ialah mobiliti sosial yang agak ketara dan cepat sekali berlaku iaitu hanya dalam tempoh satu generasi sahaja.

"Mungkin juga ada di kalangan pensyarah dalam majlis itu yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, pekebun kecil dan kakitangan awam rendah tetapi kini menjawat jawatan tinggi jauh lebih baik," katanya.

Najib berkata keadaan itu adalah disebabkan peluang mobiliti sosial yang ada, peluang pendidikan serta pinjaman dan biasiswa  membolehkan rakyat melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.

"Apa yang saya harapkan proses itu akan berterusan dan saya bangga sekali mendengar anak kampung, anak daripada keluarga miskin termasuk miskin di bandar berjaya kerana sistem pendidikan yang diperjuangkan selama ini," katanya.

Perdana Menteri berkata pelbagai kemudahan disediakan dalam bidang pendidikan termasuk subsidi yang cukup tinggi sehingga mencapai 90 peratus.

"(Harga) Barangan lain semua sudah naik...teh tarik, roti canai naik tetapi yuran pendidikan tinggi tak pernah dinaikkan kerajaan sampai sekarang walaupun kos semakin bertambah," katanya.

Selain biasiswa, katanya kerajaan sediakan pinjaman menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan jasa tabung itu amat besar sekali dalam membantu semua peringkat masyarakat mendapat akses pendidikan tinggi.

"Malangnya sejak kebelakangan PTPTN jadi kontroversi pula sedangkan jasa tabung pendidikan itu tidak dapat dinafikan.

"Secara rasionalnya mana ada pendidikan percuma di dunia, semua perlu dibayar, jadi kepada yang telah meminjam (PTPTN) adalah menjadi satu kewajipan untuk membayar," katanya.

Perdana Menteri berkata untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang kedua-dua prinsip itu mesti digabungkan dan semua dasar yang dijalankan kerajaan mengambil kira keadilan sosial.

"Ia juga dirangka dengan penuh penelitian, mempunyai prinsip serta asas perancangan dan bukan secara semberono sahaja kerana kerajaan tidak mahu sekadar menaburkan janji tanpa menjana kekayaan," katanya.- BERNAMA