Jumaat, 29 Jun 2012

ISU GLOBAL : Palestin, Israel uji Mursi



MASYARAKAT antarabangsa tentunya masih ingat bagaimana kerajaan Mesir di bawah Presiden Hosni Mubarak menutup pintu sempadannya di Rafah ketika penduduk Palestin di Gaza teruk dibedil oleh tentera Israel pada hujung 2008.

Ramai yang masih ingat puluhan ribu tan makanan dan bantuan yang dihantar oleh masyarakat antarabangsa termasuk dari Malaysia untuk penduduk Gaza hanya dilonggokkan di bandar Al-Arish hingga reput ekoran keengganan kerajaan Mesir membuka pintu sempadan di Rafah bagi membolehkan segala bantuan itu dibawa masuk ke Gaza.

Rafah merupakan satu-satunya pintu masuk yang bersempadan dengan Mesir yang membolehkan segala bantuan dihulurkan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Tetapi disebabkan polisi kerajaan Mesir ketika itu yang akur dengan perjanjian mereka dengan Israel, pintu masuk ke Gaza ditutup rapat.

Pada masa itu pihak berkuasa Mesir menutup sepenuhnya pintu sempadan dan tidak ada sebarang pergerakan dibenarkan sama ada makanan, ubat-ubatan, doktor, pekerja bantuan atau wartawan.

Mesir ketika itu seolah-olah bersekongkol dengan Israel untuk memastikan penduduk Gaza menderita.

Dasar tutup pintu Mesir menyebabkan penduduk Gaza menggali terowong bagi membolehkan mereka menyusup masuk ke Mesir untuk mendapatkan keperluan hidup.

Namun atas desakan Israel, kerajaan Mesir telah menanam cerucuk besi sedalam lebih 30 meter bagi menghalang pembinaan terowong tersebut dan memutuskan sama sekali hubungan penduduk Gaza dengan dunia luar.

Malah, polisi luar Mesir turut mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, sebaliknya mereka tidak mengiktiraf kewujudan negara Palestin.

Kini masyarakat dunia mahu melihat adakah Presiden baru Mesir, Mohammed Mursi akan mengubah polisi negara itu terhadap Paletin dan Israel.

Yang paling penting adakah dia akan menggerakkan inisiatif membuka sepenuhnya pintu sempadan di Rafah bagi membolehkan rakyat Palestin di Gaza berurusan dengan dunia luar.

Itu dilihat antara cabaran utama yang bakal dipikul oleh Mursi, Presiden Mesir yang pertama dipilih melalui pilihan raya bebas dan yang pertama dari kalangan kumpulan pendokong Islam.

Malah, masyarakat Islam antarabangsa termasuk di Malaysia sangat berharap Mursi mengubah polisi itu untuk membolehkan penduduk Gaza berhubung dengan masyarakat dunia terutama dalam mendapatkan bantuan memulihkan hospital, sekolah dan kemudahan awam lain yang rosak teruk akibat serangan rejim zionis.

Dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden, Mursi berjanji untuk menghormati perjanjian antarabangsa yang telah dimeterai oleh Mesir.

Dia juga berkata, akan menimbang semula perjanjian damai dengan Israel. Tetapi tidak pula menyebut sama ada perjanjian damai Mesir-Israel 1979 akan diteliti atau dibatalkan.

Pada masa sama, ramai yang berpendapat, biarpun anti-Israel, namun Ikhwan Muslimin menghormati perjanjian dengan rejim zionis itu.

Malah pemerhati berpendapat biar pihak mana sekalipun yang berkuasa di Mesir tidak ada siapa yang mahu kembali ke medan perang.

Sebab itu ada yang mengatakan polisi Mursi terhadap Israel tidak akan berubah.

Maknanya, polisi terhadap Palestin juga akan kekal sama dengan pintu sempadan di Rafah akan kekal tertutup rapi.

Jika polis Mesir di bawah pentadbiran Mursi terhadap Palestin dan Israel tidak berubah maka kemenangan itu tidak memberi apa-apa makna kepada dunia Islam.

Apa yang diharapkan ialah sekurang-kurang Muris mengambil langkah membuka pintu sempadan di Rafah bagi membolehkan penduduk Gaza berurusan dengan dunia.

Tindakan itu jika menjadi kenyataan, ia seolah-olah membebaskan penduduk Gaza dari penjara terbuka ciptaan Israel.

Sebab itu, ramai yang berpendapat isu Palestin dan Israel merupakan ujian utama terhadap pentadbiran Mursi selain isu-isu domestik yang mendesak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen