Jumaat, 29 Jun 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Ilmu, universiti dan masyarakat



Oleh : PROFESOR DATUK DR. OMAR OSMAN

ILMU pengetahuan seharusnya dikongsi oleh semua. Universiti tidak lagi hidup terasing sebagai sebuah menara gading sebaliknya menara ilmu yang meletakkan budaya ilmu pengetahuan pada kedudukan yang tinggi.

Namun,  ilmu yang tidak digunakan hanya akan menyebabkan ia tempang dan terasing. Justeru, pelancaran Projek Agenda Kritikal Program Pemindahan Ilmu oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini amat signifikan dalam konteks ini.

Sekali gus ia menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu agensi-agensi kerajaan, baik agensi pusat mahu pun badan berkanun seperti universiti-universiti yang ada dapat bergerak bersama-sama, bekerjasama, malah tidak lagi bekerja secara silo dalam menjayakan amanah yang kita pikul.

Inilah cara bekerja untuk berkongsi kepakaran yang ada dalam kalangan semua universiti untuk faedah masyarakat dan rakyat seluruhnya kerana ilmu yang ada dari pelbagai disiplin dan bidang adalah milik semua, untuk semua dan pada akhirnya perlu dimanfaatkan terus untuk rakyat.

Program pemindahan ilmu ini adalah sebahagian dari agenda yang bertolak daripada menunaikan janji dan amanah yang dipikul untuk rakyat dan masyarakat. Pada masa ini terdapat begitu banyak hasil penyelidikan yang boleh dikongsi bersama. Sesetengahnya mempunyai potensi untuk dikembang dan dimajukan secara berterusan.

Pada masa hadapan, diharapkan lebih banyak lagi dapat diketengahkan dengan mengambil model kerjasama antara universiti khususnya dalam kalangan penyelidik dan siswa-siswi terutamanya pada peringkat ijazah tinggi dengan pihak industri yang memberikan sebahagian dana dan pengalaman mereka serta rakyat dan komuniti yang mendapat faedah terus daripada usaha yang kita lakukan ini.

Program pemindahan ilmu dirangka bagi menyediakan satu platform yang menggalakkan kerjasama antara akademia dan industri/komuniti melalui pemindahan ilmu yang telah dijana di peringkat universiti awam kepada sasaran industri/komuniti dengan tujuan memperluas dan memperkukuhkan ilmu dalam kalangan masyarakat awam.

Di samping itu, program ini juga menyediakan latihan berasaskan industri kepada graduan yang digelar sebagai siswazah pelatih bagi meningkatkan pengetahuan, pengalaman, kemahiran keusahawanan serta kebolehpasaran semasa menjalankan projek-projek di bawah program pemindahan ilmu ini.

Sekarang ini kita berada dalam era aplikasi ilmu secara langsung, bukan lagi bermain dengan idealisme semata-mata. Kerana itu mereka yang masih hidup hanya dalam lingkaran idealisme mungkin akan merasa agak ketinggalan, termasuk dalam kalangan mereka yang melihat sesuatu idealisme itu dengan penuh kekaguman.

Apatah lagi dalam kalangan pihak tertentu yang cuba pula mengambil kesempatan untuk mempengaruhi anak-anak muda dengan hanya mimpi yang indah, sedangkan hakikatnya kita perlu berdiri dan berjuang dalam kalangan masyarakat dan dunia seluruhnya, bersikap realistik, jika itulah juga impian kita untuk melihat dunia yang lestari dan maju.

Universiti dan masyarakat harus berganding bahu merealisasikan impian negara menjadi sebuah negara maju yang berteraskan ilmu. Kita bersedia untuk melakukannya bersama-sama dan buktinya diketengahkan melalui program ini yang melibatkan gandingan kerjasama dalam kalangan hampir semua universiti kita, pelbagai kepakaran dan pelbagai bidang ilmu. Ia begitu menyeluruh dan masih banyak yang berupaya kita ketengahkan.

Negara maju yang kita impikan harus bersifat inklusif yang memungkinkan melibatkan sama universiti, industri dan komuniti berganding bahu secara berterusan. Program pemindahan ilmu ini misalnya pada fasa pertamanya berjaya melibatkan hampir 200 orang akademia dan 60 siswazah pelatih untuk melaksanakan projek bersama industri yang melibatkan isu pendidikan dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan di daerah-daerah tertentu , program yang dapat menambah keuntungan ekonomi untuk sektor industri/komuniti dan program kelestarian dan inisiatif teknologi hijau.

Sementara itu, dalam program kemasyarakatan pula, ia melibatkan kira-kira 28 buah syarikat yang turut menyumbang modal dan dana dalam pelaksanaan aktiviti yang dilakukan.

Untuk projek dalam masyarakat pula, terdapat 16 program dilaksanakan bersama pertubuhan sukarela, koperasi, dan organisasi tertentu termasuk untuk kumpulan Orang Kelainan Upaya dan pembangunan kurikulum komuniti dengan melibatkan hampir 100 orang akademia dan lebih 30 orang siswazah pelatih.

Kejayaan ini menunjukkan bahawa hampir semua universiti awam yang ada berupaya untuk menzahirkan usaha yang telah lama berjalan ini secara lebih jelas, tersusun dan berstrategi bagi menyahut hasrat kerajaan yang prihatin dengan pembangunan masyarakat dan rakyat, serta para akademia yang sedia untuk berkongsi kepakaran, tenaga dan masa serta pihak industri dan agensi mahu pun pelbagai badan dan pertubuhan yang ada bagi merealisasikan hasrat murni ini.

Pada akhirnya kita ingin menunjukkan bahawa budaya ilmu dan universiti hidup segar dalam udara dan ekosistem yang ada dalam membangunkan libat sama semua pihak secara bermakna dan berkesan.

Ini sekali gus menolak persepsi universiti kita tidak responsif kepada keperluan persekitarannya apatah lagi hanya terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran. Ilmu dan universiti adalah untuk semua dan hanya bermakna apabila kita berupaya berkongsi dengan rakyat dan masyarakat secara langsung.

Ini bukanlah bermakna kita mengetepikan idealisme ilmu yang menjadi teras dalam penerokaan pelbagai disiplin yang ada, penulisan, penerbitan dan jurnal serta penyelidikan dan inovasi termasuk dalam bidang fundamental, namun kita juga tidak menolak prinsip aplikasi ilmu yang mudah difahami dan diperlukan oleh masyarakat dan negara.

Ia perlu seimbang dalam era liberalisasi ilmu yang ada dan yang paling utama bagaimana kita perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan usaha dan memberikan nilai tambah terhadap apa yang diusahakan selama ini.

Apalah maknanya ilmu jika ia hanya tinggal dan berada dalam dada mahu pun di kampus universiti tanpa dapat dikongsikan secara langsung dan terus dengan orang lain. Kita mencari dan mendokong hikmah ilmu dan kita juga menjunjung kemuliaannya demi untuk pembangunan tamadun hidup manusia sejagat.

Penulis  ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pengerusi Projek Agenda Kritikal Program Pemindahan Ilmu Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen