Sabtu, 30 Jun 2012

ISU BAHASA : Audit bahasa Melayu di sektor awam dan swasta


SALAH satu penggunaan bahasa campuran iaitu bahasa ibunda lain termasuk bahasa Inggeris pada  papan iklan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur dalam tinjauan tahun lalu.


Oleh : ARIF ATAN

ADAKAH suatu hari nanti kita mahu menyerahkan tugas memelihara bahasa kebangsaan negara ini yang sudah terancam kepada pihak Google?

Pada 20 Jun lalu, Google melancarkan projek bahasa terancam atas kesedaran separuh daripada 7,000 bahasa yang dituturkan sekarang dijangka pupus menjelang akhir abad ini.

Oleh itu, jika tidak mahu generasi akan datang menyumpah kita pada hari ini yang tidak peduli kepada bahasanya sendiri, ada baiknya Projek Rintis Audit Bahasa Melayu disambut baik oleh semua pihak.

Langkah melakukan audit bahasa kebangsaan terhadap jabatan dan agensi kerajaan bukan sekadar memastikan penggunaannya dalam urusan pentadbiran sahaja bahkan sepatutnya merangkumi kesungguhan entiti nadi pentadbiran utama negara ini memastikan bahasa Melayu tidak dipinggirkan dalam setiap hasil kerja mereka.

Contohnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan institusi kerajaan berkaitan pelancongan. Apa guna jika urusan surat-menyurat menggunakan bahasa Melayu tetapi projek-projek penempatan dan pusat dagangan baru dibuka selepas ini tetap menyembah bahasa Inggeris?!

Apa makna guna bahasa Melayu dalam mesyuarat membincangkan masa depan pelancongan jika nama-nama lokasi pelancongan yang dibangunkan nanti tidak bermaruah diberi nama 'Walk' atau 'Waterfront'?

Selain itu, tahap penggunaan bahasa Melayu di 20 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak terkecuali daripada diaudit. Tindakan melampau sebuah universiti awam yang sibuk mahu mendapat penarafan antarabangsa misalnya mengadakan sepenuhnya pengumuman menggunakan bahasa Inggeris dalam dewan peperiksaan mesti tegas diarah untuk dihentikan.

Universiti-universiti awam juga patut diberi amaran keras oleh barisan juruaudit untuk mengutamakan bahasa kebangsaan dalam setiap majlis rasmi yang dianjurkan dalam kampus masing-masing.

Jika langkah audit kewangan memastikan peruntukan kewangan dan kuasa tidak disalah guna. Demikianlah juga Projek Rintis Audit Bahasa Melayu dalam memastikan bahasa Melayu tidak diterajang oleh bahasa asing lain.

Projek Rintis Audit Bahasa Melayu usah terlalu lama memberi tumpuan kepada sektor awam. Cepat-cepat perluaskan pula kepada sektor swasta yang umum diketahui semakin mengada-ngada dengan bahasa Inggeris bermula dari perkhidmatan kaunter sampailah kepada majlis rasmi.

Jangan terlalu sibuk mengaudit bahasa Melayu di sektor awam, sektor swasta terus dibiarkan bermaharajalela menggantikan semangat Perkara 152 Perlembagaan dengan bahasa Inggeris, bahasa Mandarin atau apa sahaja bahasa rasmi negara lain!

Namun, bagi jangka panjang akhirnya setiap daripada kita jika benar punya harga diri sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit harus "mengaudit" diri sendiri sejauh mana kita benar-benar ikhlas menggunakan bahasa kebangsaan sepanjang masa dengan baik.

Jika langkah audit bahasa Melayu ini dipandang sebelah mata sampai bila pun bahasa kebangsaan bagi sebuah negara Malaysia yang kononnya lebih setengah kurun merdeka mati beragan untuk muncul sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa pentadbiran.

Pada ketika itu wajarlah, usaha memelihara bahasa Melayu elok serahkan sahaja pada projek bahasa terancam yang telah diupayakan oleh pihak Google sebagai bukti kita bangsa yang tidak sedar diri serta masih terjajah akal dan jiwanya dengan bahasa asing.

PENULIS ialah peneliti sosio-budaya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan