Rabu, 27 Julai 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kesan sosial apabila pelajar perempuan atasi lelaki

Oleh Rejal Arbee

Institusi kekeluargaan mampu porak-peranda jika masalah tak ditangani


PENGAKUAN Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran bahawa nisbah songsang antara pelajar perempuan dan lelaki di institut pengajian tinggi awam (IPTA) perlu ditangani, diharapkan bukan usaha menyekat kemasukan pelajar perempuan yang layak untuk memberi laluan kepada pelajar lelaki yang lebih lemah.

Usaha menangani nisbah 65 peratus pelajar perempuan dan hanya 35 peratus pelajar lelaki sekarang kepada kedudukan lebih berimbang seharusnya dilakukan dengan meningkatkan keupayaan pelajar lelaki.

Antaranya ialah dengan mengatasi masalah keciciran pelajar lelaki yang lebih ketara berbanding pelajar perempuan bermula daripada kemasukan ke sekolah menengah, kemudian memasuki Tingkatan Empat. Usaha mencari jalan kenapa berlakunya keadaan demikian seharusnya ditekankan bukannya dengan menyekat kemasukan pelajar perempuan ke universiti.


Diakui nisbah songsang itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak harus dipertahankan kiranya negara dan rakyat dikehendaki maju dalam suasana baik tanpa menimbulkan masalah sosial pula.

Nisbah tidak seimbang antara lelaki dan perempuan ini bermula pada 1990 lagi apabila jumlah kemasukan pelajar perempuan sudah sama rata dengan jumlah pelajar lelaki. Sejak itu kemasukan pelajar perempuan berterusan meningkat hingga pada 2005 jumlah nisbahnya sudah mencecah 63:37. Dikatakan juga nisbah ini adalah lebih bagi orang Melayu yang sudah menjangkau kepada 70:30 hingga menimbulkan persoalan di mana perginya pelajar atau pemuda Melayu.

Apakah benar ramai pemuda Melayu merengkok di pusat serenti sebagai satu daripada puncanya tidak pula diketahui kerana tidak ada statistik yang boleh memberikan gambaran sebenar. Tetapi yang tidak boleh dinafikan ialah lebih ramai pemuda Melayu yang terjerumus dengan pengambilan dadah daripada pemuda bangsa lain.

Kenapa perkara begini boleh berlaku tidak pula ada jawapannya. Mungkin sudah sampai masanya pihak universiti di negara ini mengadakan suatu kaji selidik menyeluruh untuk mengetahui kedudukan sebenar mengenai penagihan dadah di kalangan pemuda Melayu serta kenapa berlaku keciciran ketara di kalangan pelajar Melayu lelaki di sekolah.

Universiti juga perlu melakukan penyelidikan terhadap implikasi sosial berikutan dengan fenomena lebih ramai graduan wanita setiap tahun berbanding graduan lelaki.

Sememangnya pada zahirnya tidak menjadi kesalahan jika terdapat lebih ramai graduan wanita. Malah kita harus mengucap syabas kepada kaum Hawa kerana berjaya dalam pelajaran hingga mendominasi kemasukan ke universiti. Mereka sememangnya mempunyai hak untuk mendapatkan pelajaran setinggi mungkin.

Kita juga harus menyalahkan kaum lelaki yang diketahui bukan saja tidak fokus terhadap pelajaran kerana banyak sangat perkara yang mengalihkan fokus mereka hingga mengabaikan pelajaran dalam kelas. Dan tentunya mereka ini tidak bersedia menghadapi peperiksaan berbanding pelajar perempuan.

Yang menjadi persoalan ialah implikasi fenomena lebihan graduan wanita daripada lelaki setiap tahun kebelakangan ini terhadap kedudukan sosial kiranya berpanjangan bertahun-tahun.

Penulis tidak berhajat mempersoalkan kegigihan pelajar perempuan yang sememangnya diketahui amat tekun dan fokus dalam pelajaran hingga membawa kepada kedudukan songsang ini.

Apakah tidak mungkin akan berlaku keadaan yang mana semakin ramai gadis memasuki alam perkahwinan lebih lambat. Itu pun kiranya graduan perempuan itu boleh mendapat pasangan. Jika pasangannya setaraf mungkin tidak timbul banyak kerenah, tetapi dalam keadaan isteri memegang jawatan lebih tinggi daripada suami apa pula implikasinya.

Apa implikasi jangka panjang kiranya wujud keadaan demikian yang mana ramai isteri yang menjadi ‘main bread winner’ membawa balik pendapatan lebih daripada suami. Maknanya keluarga akan lebih bergantung kepada pendapatan isteri. Apakah ada implikasinya terhadap perkembangan kekeluargaan apabila isteri mempunyai tanggungjawab lebih di tempat kerjanya hingga boleh menjejaskan tanggung jawabnya kepada keluarga?

Tuhan menjadikan manusia lelaki dan perempuan dengan naluri semula jadi yang tidak mungkin boleh diketepikan atau diabaikan. Maka naluri kewanitaan bagi seseorang perempuan tidak akan hilang setinggi mana pun berjaya dalam kerjaya.

Seorang ibu tetap memberi tumpuan kepada keluarganya dan kehendak anak. Umum mengetahui apabila seseorang anak jatuh sakit yang dihubungi ialah ibunya bukan bapa. Demikian juga dengan kehendak sekolah dan kerja rumah. Yang sering bertanya khabar mengenai kerja sekolah atau membimbing anak mengenai kerja rumah bagi sekolah mereka ialah ibu.

Dalam suasana yang mana ibu mempunyai tanggungjawab lebih di tempat kerja berbanding ayah, ibu tentunya akan menghadapi tekanan lebih. Demikian juga dengan persediaan makanan harian untuk keluarga. Isteri mungkin mempunyai tanggungjawab mendesak di tempat kerja kerana memegang jawatan kanan berbanding suami yang mungkin hanya seorang pekerja biasa.

Maka itu isteri sudah terpaksa menjadi ‘superwoman’ untuk memikul kehendak kerjayanya dan keluarganya serta suami.

Sememangnya suami seharusnya boleh memberi bantuan lebih atau mengambil alih tanggungjawab keluarga, tetapi ini adalah suatu yang tidak akan dapat ditanggung suami sebaik mana yang boleh diharapkan daripada isteri.

Maknanya institusi kekeluargaan akan menghadapi suatu tekanan yang mungkin tidak dapat ditangani dengan baik. Jadi apa penyelesaiannya?


Penulis ialah Felo Kanan UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Sastera siber pemusnah industri kreatif?

Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com

Dakwaan berkenaan dianggap tidak semestinya benar

OLEH sebab ruang penulisan karya sastera terhad dalam media dan penerbitan arus perdana, semakin ramai pengkarya sastera terutama yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini mengambil kesempatan menerbitkan karya mereka di alam siber.

Laman seperti www.eSastera.com dan www.penulisan2u.com adalah antara laman sesawang yang kerap digunakan oleh pengkarya siber pada masa ini untuk menerbitkan karya mereka bagi tatapan peminat.


Kedua-dua laman sesawang terbabit menyediakan gelanggang pengkarya siber untuk menerbitkan karya sastera seperti puisi, sajak, pantun, syair dan cerpen dengan mudah, sebaik mendaftarkan nama mereka.

Selain ruangan penerbitan sastera yang terhad, pengkarya siber juga menjadikan laman sesawang bagi menerbitkan karya kerana ia menyediakan perkhidmatan percuma, mudah dan pantas bagi sesebuah karya itu dibaca pembaca.

Tidak dapat dinafikan juga, sesebuah karya sastera yang diterbitkan di alam siber akan dapat dicapai lebih ramai pembaca kerana pada masa kini, kemudahan internet boleh didapati secara meluas dan digunakan oleh sesiapa saja.

Namun, tidak seperti penerbitan karya sastera terbitan media arus perdana, hasil kerja pengkarya siber kebanyakannya tidak melalui proses suntingan serta kawalan kualiti kerana cara penerbitan menerusi internet menyukarkan perkara itu untuk dilaksanakan.

Hal ini menimbulkan persoalan sama ada penerbitan sastera elektronik oleh pengkarya siber sebenarnya pemusnah atau pembina industri sastera di negara ini kerana menerusi internet, ia boleh diterbitkan sesuka hati dalam jumlah yang banyak tanpa mengira mutu.

Penulis yang pernah terbabit dalam penulisan karya sastera dalam media arus perdana dan internet, Shamsudin Othman, mengakui sastera elektronik boleh menjadi pemusnah kepada industri sastera jika penulis yang terbabit, sebagai contoh, menolak unsur moral dalam karya mereka.

“Perkara ini sebenarnya bergantung kepada penulis itu sendiri kerana sesetengah laman sesawang memberi kebebasan sepenuhnya kepada penulis,” katanya ketika diminta Sastera mengulas perkara terbabit.

Shamsudin bagaimanapun berkata, laman sesawang karya sastera yang sudah terkenal kebiasaannya mempunyai editor dan moderator yang memantau karya yang diterima bagi menjaga kualiti karya yang diterbitkan dalam laman sesawang mereka.

“Jika dilihat daripada satu sudut, ruang internet hakikatnya memainkan peranan penting dalam perkembangan sastera tanah air kerana ia boleh dibaca oleh peminat sastera di seluruh dunia. Ada pengkarya tersohor meletakkan karya mereka di internet sebelum diterbitkan dalam media arus perdana seperti novelis, Azizi Abdullah dan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 1980, Datuk (Dr) Baharuddin Zainal,” ujarnya.

Tidak ketinggalan, ada juga laman sesawang sastera yang mengambil langkah menerbitkan buku daripada karya sastera yang pernah diterbitkan dalam simpanan mereka atas permintaan penulis terbabit.

Laman sesawang www.eSastera.com sebagai contoh, sentiasa bersedia menerbitkan karya sastera yang pernah diletakkan di laman mereka, dengan kos penerbitan ditanggung oleh eSastera atau penulis sendiri.

Walaupun eSastera tidak akan terbabit dalam mengawal mutu karya yang diterbitkan, Pengerusi eSastera, Dr Irwan Bakar mengakui tidak timbul isu yang mengatakan langkah terbabit akan merendahkan kualiti sastera negara.

Selain setiap karya yang diletakkan dalam laman sesawang perlu melalui sistem penilaian daripada pembaca, penulis juga tidak akan berani menerbitkan karya tidak bermutu kerana setiap karya sudah mendapat maklum balas daripada pembaca selepas diterbitkan di laman sesawang.

Dr Irwan menjelaskan, salah satu kelebihan sastera elektronik ialah setiap karya akan mendapat maklum balas pantas daripada pembaca, termasuk mereka yang lebih berpengalaman dalam menghasilkan karya sastera.

“Tidak timbul isu mutu kerana penulis akan menjaga kualiti karya yang ingin diterbitkan dalam bentuk buku berdasarkan maklum balas pembaca di internet,” ujarnya.

Antara karya eSastera yang diterbitkan dalam bentuk buku termasuk Doa Penyair oleh Mohd Dahri Zakaria, Jalan Baru (Nimoiz TY), Tikaman Madah (Anbakri), Ratib Timur (As Syramy, Kale Mas, Merdu Andika, MN Iskandar dan Ariff Abadi) serta Berkarya di Alam Siber (Dr Irwan dan Hasimah Harun).

“Saya melihat sastera perlu bergerak di internet selain dari di medium konvensional agar terus kekal,” katanya.

Dr Irwan menambah, jika dilihat daripada situasi perkembangan sastera pada masa kini, penggunaan internet untuk berkarya adalah perlu kerana medium konvensional agak statik, memaksa generasi muda lebih banyak menggunakan internet dan kos percetakan medium konvensional yang tinggi.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Cegah konflik di Laut China Selatan

Oleh Ruhanie Ahmad

Konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan adalah ancaman keselamatan yang sangat dikhuatiri di Asia Tenggara mutakhir ini. Oleh sebab itulah ASEAN sentiasa serius untuk menghindarkan kemungkinannya.

Potensi tercetusnya konflik ini tidak mustahil apabila sumber petroleum dunia kian pupus, penggunaan tenaga sejagat – terutamanya di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Timur – makin meningkat, kebergantungan Amerika Syarikat (AS) terhadap tenaga import pada tahun 2020 juga kian bertambah, dan punca tenaga alternatif pula terlalu mahal atau gagal memenuhi permintaan.

Lantaran itulah Laut China Selatan dikategorikan sebagai salah satu flashpoint atau kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi yang mungkin mencetuskan konflik maritim berasaskan petroleum di abad ke-21. Ini kerana Laut China Selatan kaya dengan rizab petroleum. Menurut Energy Profile of South China Sea (17 Jun 2008), Laut China Selatan mempunyai rizab minyak ditaksirkan sebanyak 7 bilion tong, dan rizab gas asli sejumlah 2,000 trilion kaki persegi.

Jumlah ini kecil berbanding lain-lain wilayah dunia. Namun rizab petroleum di Laut China Selatan ini adalah strategik kerana ia membabitkan China – pesaing utama AS di abad ke-21 – selaku salah satu pihak yang terlibat dengan tuntutan bertindih ke atas telaga petroleum di perairan tersebut.

Oleh sebab itu, ancaman terjangka atau perceived threat di Laut China Selatan ini boleh tercetus berdasarkan dua senario. Senario pertama berpuncakan tuntutan bertindih. Senario kedua berpunca daripada ancaman keselamatan kepada pengangkutan petroleum ke Asia Timur yang melalui Laut China Selatan.

Senario pertama boleh tercetus jika tuntutan bertindih oleh kuasa-kuasa pesisir Laut China Selatan terhadap telaga petroleum – terutamanya di sekitar gugusan Spratly – gagal diselesaikan menerusi diplomasi. Senario ini membabitkan Brunei, China, Indonesia, Filipina, Kemboja, Malaysia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum menyelesaikan masalah ini. Tetapi, seluruh negara terbabit telah dimestikan olehnya supaya menyelesaikan tuntutan mereka secara damai.

Forum Serantau ASEAN atau ASEAN Regional Forum (ARF) pula makin fokus dalam inisiatif mewujudkan keamanan di Laut China Selatan. Ini dibuktikan menerusi keputusan ARF di Bali baru-baru ini di mana ASEAN dan China menyetujui garis panduan pelaksanaan The Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) yang diwujudkan sejak 4 November 2002.

Seterusnya, wujud ASEAN Defence Ministers’ Meeting Plus (ADMM Plus) yang dibentuk pada tahun 2010 untuk mewujudkan kerjasama di kalangan kuasa besar bagi membantu negara-negara membangun, terutamanya di ASEAN, menangani ancaman keselamatan bukan tradisional, termasuk keselamatan maritim.

Seluruh inisiatif dan mekanisme di atas pasti boleh menangani konflik di Laut China Selatan berasaskan senario pertama. Tetapi, adakah inisiatif dan mekanisme yang sama boleh menangani konflik maritim di Laut China Selatan mengikut senario kedua yang membabitkan geopolitik AS di Asia Tenggara dan Asia Timur?

Dalam senario kedua, konflik boleh tercetus di Laut China Selatan jika salah satu negara di Asia Timur bertindak unilateral untuk mengancam keselamatan bekalan petroleum sama ada ke China atau ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

Dalam konteks ini, walaupun AS menganggotai ARF dan ADMM Plus yang dihuraikan di atas, dan kedua-dua entiti ini juga turut dianggotai oleh lain-lain kuasa besar dunia, konflik senario kedua ini tetap dijangka mendorong keterlibatan AS selaku adikuasa dunia.

Antara sebabnya, Jepun yang bergantung penuh kepada petroleum serta lain-lain tenaga yang diimport, telah berusaha mendapatkan sokongan ketenteraan AS jika berlaku ancaman terhadap keselamatan pengangkutan petroleum di Laut China Selatan.

Oleh sebab itu, jika konflik maritim di Laut China Selatan berasaskan senario kedua ini terjadi dan gagal ditangani oleh PBB serta lain-lain organisasi serantau, ia mungkin merebak menjadi peperangan yang besar.

Kemungkinan ini tidak mustahil. AS telah membentuk perancangan agung geopolitiknya terhadap China sejak dekad akhir abad ke-20. Ini dimanifestasikan menerusi kajian RAND Corportion oleh Khalilzad et al. (1999), Laporan Project for the New American Century atau PNAC (2000), dan satu lagi kajian RAND Corporation oleh Sokolsky et al.(2001).

Intipatinya, Khalilzad (1999) mencadangkan mobilisasi pasukan tentera AS disesuaikan dengan seluruh kemungkinan di China; PNAC (2000) mengesyorkan AS menukarkan corak mobilisasi tenteranya bagi mencerminkan keprihatinan strategik AS di Asia Timur; Sokolsky (2001) menghuraikan pentingnya perairan utama di Asia Tenggara kepada mobilisasi angkatan tentera AS.

Ini bermakna kajian-kajian di atas ditumpukan khusus kepada China. Menurut Barry (2004) dan Twinning (2007), inilah sebabnya beberapa perakuan penting kajian berkenaan dimaktubkan ke dalam pelbagai dokumen rasmi AS, termasuk strategi keselamatan dan pertahanan AS dalam era pasca-911 (11 September 2001).

Sebahagiannya pula dimaktubkan ke dalam The US National Strategy for Maritime Security (NSMS) 2005 yang disifatkan oleh segolongan panganalisis Barat sebagai strategi utama yang mendukung pelaksanaan perang terorisme AS di Asia Tenggara.

Seluruh strategi keselamatan dan pertahanan AS terhurai di atas, kini menjadi sebahagian paksi kepada dasar luar AS di abad ke-21, terutamanya terhadap Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Tetapi, walaupun secara lahiriahnya strategi dasar luar AS di seluruh wilayah ini hanya dicerminkan menerusi perang terorisme global, secara rencam dan tersirat, strategi ini adalah untuk mencegah rintang apa jua kemungkinan membabitkan Asia Timur, terutamanya mengenai China.

Lantaran itulah tindakan untuk memungkinkan keterlibatan AS berasaskan dalam konflik senario kedua di Laut China Selatan ini sudah bermula sejak Januari 2002 menerusi mobilisasi tentera AS ke Basilan, Selatan Filipina, atas alasan perang terorisme global di Asia Tenggara.

Mulai 2005, AS pula melaksanakan NSMS 2005 yang antara matlamatnya adalah menyelaras serta mengukuhkan angkatan laut AS bagi menghadapi sebarang kemungkinan keselamatan, termasuk konflik maritim yang membabitkan kuasa besar dunia.

Berasaskan huraian di atas, senario kedua ini membayangkan rumitnya konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan di hari-hari mendatang. Ini kerana konflik yang dijangka hanya tercetus akibat pertindihan tuntutan telaga petroleum di perairan berkenaan, sebenarnya boleh jadi lebih serius jika AS masuk campur demi kepentingan geopolitiknya terhadap China di abad ke-21.

Kesimpulannya, konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan boleh tercetus berasaskan dua senario khusus. Oleh sebab itu, walaupun tindakan ARF di Bali baru-baru ini boleh disifatkan sebagai hedging atau tindakan mengimbangkan minat, pengaruh serta kehadiran AS di Laut China Selatan yang kian menonjol, adalah penting bagi ARF mengetengahkan kaedah mengurus serta menyelesaikan kemungkinan konflik di Laut China Selatan ini berasaskan kedua-dua senario ini.

Kaedah ini perlu disegerakan supaya kemungkinan kedua-dua senario di atas jadi semakin minimum dan ASEAN menerusi ARF pula muncul sebagai satu forum serantau yang boleh dijadikan contoh dalam pengurusan serta penyelesaian konflik keselamatan secara multilateral.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Ketepikan Stigma Berkaitan Kemurungan

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

Bahagian akhir tiga siri rencana mengenai kemurungan.

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Masalah mental, termasuk kemurungan, sudah lama dikaitkan dengan stigma dalam masyarakat Malaysia walaupun ia mudah berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk selebriti.

Seseorang yang mengalami kemurungan akan terhalang daripada mencapai apa yang sepatutnya menjadi potensi dirinya.

Lebih teruk lagi, kemurungan menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), didapati menjadi penyebab utama kes bunuh diri.

Sebagai contoh pelukis era 'post-Impressionist' Vincent van Gogh (1853-1890), yang menghasilkan banyak karya agung termasuk 'The Starry Night'.

Van Gogh menterjemah isu gangguan mental yang dihadapinya ke atas kanvas lalu menghasilkan karya-karya hebat zaman itu yang kemudian mempengaruhi corak dan halatuju dunia seni moden.

Sayangnya, kemurungan yang teruk dan ditambah dengan tekanan sosio-ekonomi yang dihadapinya, menyebabkan beliau membunuh diri. Beliau mati sendirian dalam keadaan yang menyedihkan.

MENGATASI KEINGINAN BUNUH DIRI

Rekod menunjukkan Malaysia mencatat 731 kes bunuh diri dalam tempoh 2007 hingga 2010, atau secara purata sekitar 20 kematian dalam sebulan. Ini bukanlah angka yang kecil.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) The Befrienders, S. Gangadara Vadivel berkata individu yang memerlukan sokongan emosi tidak harus menunggu lama sebelum mendapatkan bantuan. Ini boleh mengelak situasi menjadi lebih teruk.

"Befrienders, banyak menghadapi situasi di mana pemanggil mahu membunuh diri atau mempunyai keinginan yang kuat untuk membunuh diri angkara kemurungan," katanya sambil menambah bahawa mereka sebenarnya berada di dalam situasi keliru.

Beliau menjelaskan bahawa mereka ini memerlukan bantuan tetapi tidak tahu arah mana harus dituju, tetapi dengan hanya berbicara dan berkongsi perasaan dengan orang yang memahami meskipun kepada orang asing seperti Befrienders, mampu membantu mengurangkan tekanan yang terbuku dalam hati.

"Sukarelawan Befrienders seterusnya, akan membantu mereka meneliti semula masalah yang dialami dari sudut pandangan yang lebih luas supaya mereka dapat berfikir dengan lebih tenang dan mencari jalan menghadapinya," jelas Gangadara.

Beliau berkata sukarelawan Befrienders bukan pegawai kesihatan profesional, tetapi telah mendapat latihan insentif untuk membantu pemanggil mengatasi kesakitan emosi yang dialami dan membantu mereka mencari kekuatan diri.

"Talian Befrienders iaitu 03-79568145 dibuka 24 jam sehari dan bersedia menerima sebarang panggilan tanpa prejudis," jelas Gangadara.

Gangadara bersetuju bahawa berbincang tentang keinginan bunuh diri secara lembut dan simpati akan memberi peluang kepada individu berkenaan untuk melahirkan perasaan mereka dan boleh membuka kepada jalan penyelesaian.

Dalam kebanyakan kes, ini akan menghalang individu berkenaan daripada melaksanakan keinginan membunuh diri, katanya.

HAKIKAT SEBENAR KEMURUNGAN

Justeru, dapat disimpulkan bahawa, senario bunuh diri boleh terus berlaku jika masyarakat enggan bersikap terbuka untuk memahami hakikat sebenar kemurungan selain terus mempercayai pelbagai mitos berkaitan dengannya.

Secara umumnya, kesihatan fizikal dan mental yang baik penting bagi membolehkan seseorang mencapai kehidupan sosial yang stabil dan menyumbang ke arah kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam temu bual yang diadakan sempena Hari Kesedaran Kemurungan baru-baru ini, Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menyatakan bahawa pelbagai mitos mengenai masalah mental dan kemurungan boleh dirungkaikan dengan pengetahuan.

Beliau turut menegaskan bahawa penyakit itu tidak boleh direka, justeru seseorang tidak patut disalahkan jika menghidap kemurungan.

"Antara mitos popular ialah kemurungan berlaku ekoran faktor luar yang mengganggu pesakit atau diwarisi, tetapi pakar kini mendapati bahawa ia berkait rapat dengan ketidakseimbangan bahan kimia tertentu dalam otak terutama serotonin.

"Mitos lain berkaitan kemurungan ialah pengidap dianggap terkena sihir atau diganggu makhluk halus sedangkan kemurungan boleh disebabkan oleh faktor biologi dan persekitaran," jelas beliau.

Dr Abdul Bakar menjelaskan bahawa kemurungan tidak mengenal batasan sosio-ekonomi, negara, agama atau budaya, malah sesiapa sahaja di negara maju atau membangun boleh mempunyai risiko kemurungan.

PESAKIT MESTI DIRAWAT

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk rantau Asia Tenggara (SEARO) menyatakan bahawa masih terdapat kekurangan dari segi pemahaman dalam kalangan doktor berkenaan diagnosis dan rawatan sewajarnya.

Masyarakat juga perlu menukar sikap termasuk menyalahkan pengidap kemurungan selain menganggap mereka malas atau gila.

Dua faktor ini, menurut laman web rasmi SEARO berkenaan, menyebabkan masih ramai pengidap kemurungan takut mendapatkan bantuan dan terpaksa menderita sendirian.

Menurut kenyataan itu, anggapan bahawa pengidap kemurungan tidak memerlukan rawatan perubatan profesional juga tidak benar. Kemurungan tidak boleh dirawat dengan semangat diri, percutian atau melalui pengambilan alkohol.

"Masih banyak komuniti yang mempercayai petua ini, bagaimanapun, pengidap kemurungan sebenarnya tidak mampu menikmati percutian malahan alkohol hanya akan memburukkan lagi keadaan," jelasnya.

Abu Bakar turut mengakui bahawa kemurungan boleh dirawat menggunakan ubat perskripsi doktor serta sokongan sosial daripada keluarga dan masyarakat.

"Ahli keluarga pengidap terutamanya, perlu bersikap lebih terbuka dengan tidak cuba menyembunyikan pesakit, kerana pesakit perlu diberi peluang untuk mendapat rawatan sewajarnya," jelas beliau.

Rawatan sewajarnya boleh membantu pesakit untuk kembali sihat dan membolehkan mereka melakukan semula pelbagai aktiviti normal dalam kehidupan.

-- BERNAMA