Isnin, 4 April 2011

Serap 4 elemen Lautan Biru: PM

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my

Penjawat awam disaran cari rumusan kreatif, tak berfikir konvensional atasi masalah

PUTRAJAYA: Penjawat awam disaran menerapkan empat elemen penting Strategi Lautan Biru iaitu, 'kurangkan, hapuskan, wujudkan dan menambah peluang' ketika melaksanakan tugas supaya pencapaian dan keberhasilan sektor pentadbiran awam terus meningka.

Kakitangan awam tidak sepatutnya hanya memerhatikan perancangan strategik negara selaku anggota pentadbiran saja, sebaliknya mesti berpaksikan kepada tafsiran objektif mengenai kehendak dan jangkaan rakyat terhadap kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita anggap prinsip ini sebagai ‘empat suku atau quadrant’. Kalau nak dipercepatkan sistem penyampaian, kita kena masuk suku ‘kurangkan’, seperti dilakukan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Sidek Hassan).

“Suku ‘hapuskan’ pula diguna pakai apabila ada ketirisan atau kerugian... kita cuba hapuskan. Umpamanya, isu yang gemparkan kita, iaitu tindakan terhadap pegawai kastam, kita nak banteras salah guna kuasa, pembaziran dan rasuah.

“Menambah peluang pula bermakna kita memberi nilai tambah dalam pengurusan dan pentadbiran bagi meneroka peluang baru. Kita guna apa saja pendekatan pengurusan dan pemikiran lebih kreatif supaya pencapaian kita berhasil mencapai matlamat,” katanya berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini semalam.

Najib menegaskan Strategi Lautan Biru turut menyokong agenda utama kerajaan melalui pelbagai pendekatan baru yang dapat dilihat daripada dua aspek, iaitu mencari rumusan kreatif dan tidak lagi berfikir secara konvensional bagi menyelesaikan masalah.

Katanya, kerja tambahan tidak seharusnya bermakna perlu ada penambahan bajet atau jumlah kakitangan, sebaliknya strategi harus menjadi pedoman bagi mengurangkan tenaga kerja dengan menghapuskan apa yang tidak perlu, sekali gus mewujudkan peluang baru dan menambah bidang baru untuk diceburi.

Beliau juga mengingatkan satu daripada tonggak utama pihak pentadbiran adalah berlandaskan kepada dasar bahawa kerajaan adalah untuk semua rakyat Malaysia dan penjawat awam mesti adil kepada segenap lapisan masyarakat.

Misalnya, kata Perdana Menteri, apabila pelajar Malaysia terkandas di Mesir, kerajaan berusaha membawa mereka pulang ke tanah air serta tindakan untuk menyelesaikan masalah berhubung isu novel Interlok dan kitab Injil yang diterbitkan dalam bahasa Melayu.

Najib juga berkata, penjawat awam perlu mengenal pasti bidang yang diberi keutamaan oleh kerajaan dan menyesuaikannya dengan apa yang hendak dilakukan berdasarkan penilaian objektif terhadap persekitaran ekonomi dalaman, serantau serta global supaya strategi ekonomi negara pada masa depan menepati senario dalam dan luar negara.

Katanya, ia perlu diperhebatkan kerana rakyat semakin menerima langkah kerajaan, malah penilaian oleh mereka dari luar negara seperti Pengasas Bersama Kumpulan Transparency International (TI), Michael Hershman, mengesahkan pencapaian negara adalah hakikat, bukan sengaja diada-adakan.

“Pada penghujung 2009, kita mulakan proses perancangan strategik. Lantaran itu lahirlah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan disusuli dengan analisis mendalam kedudukan ekonomi negara dalam konteks hala tuju baru.

“Maka tercetuslah Model Baru Ekonomi (MBE) dengan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan 131 mengenai projek permulaan (EPP). Di samping itu, kita sudah kenal pasti apakah kekangan struktur yang boleh menjadi hambatan kepada kita memacu ke hadapan lebih pantas lagi,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU EKONOMI : Fenomena global kenaikan harga barang

SETELAH beberapa kali menafikan dunia akan kembali terjerumus ke kancah kenaikan harga makanan dan barangan keperluan, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya mengakui fenomena itu tidak dapat dielakkan.

Timbalan Ketua Pengarah FAO, He Chang Chui dalam satu kenyataan pada 8 Mac lalu berkata, Indeks Harga Makanan pertubuhan itu pada Februari lalu menunjukkan harga makanan dan barangan keperluan utama di seluruh dunia mengalami kenaikan untuk tempoh lapan bulan berturut-turut.

''Indeks pada bulan berkenaan mencatatkan angka 236 unit dan ia mengatasi paras tertinggi yang dicatatkan ketika krisis makanan dunia pada 2008 iaitu purata sebanyak 200 unit.

''Faktor luar kawalan termasuk cuaca buruk yang melanda negara pengeluar makanan telah menyebabkan peningkatan harga barangan termasuk daging, hasil tenusu, biji-bijian, minyak masak dan lemak serta gula," ujarnya.

Negara pengeluar makanan yang dilanda bencana alam terburuk baru-baru ini adalah Rusia dan Kazakhstan dengan musim kemarau manakala India dan Australia pula mengalami banjir.

Dalam pada itu, krisis makanan global juga berpunca daripada peningkatan penduduk dunia yang lebih tinggi iaitu sebanyak empat peratus setahun berbanding kapasiti pengeluaran makanan yang hanya meningkat sebanyak dua peratus setahun.

Menurut Chang Chui, Indeks Harga Makanan FAO pada Februari lalu jelas menunjukkan senario peningkatan harga makanan dan lain-lain barangan keperluan belum reda dan langkah-langkah segera perlu diambil kerajaan bagi memastikan tidak tercetus protes seperti yang berlaku di sebahagian besar negara di Asia Barat.

''Antara langkah yang boleh dilakukan adalah untuk mengelak daripada mengeluarkan perintah larangan eksport barangan makanan ke negara lain," katanya.

Sebelum ini, Rusia telah melarang eksport gandum dan India menegah eksport bawang merah sehingga menyebabkan harga barangan berkenaan naik secara mendadak di seluruh dunia.

Tambah Chang Chui, kerajaan sesebuah negara juga perlu memastikan rakyat tidak membeli barangan dalam kuantiti banyak kerana panik disebabkan perbuatan itu akan menyebabkan bekalan makanan berkurangan dengan mendadak.

''Kerajaan juga perlu memberikan tumpuan untuk melabur secara besar-besaran dalam sektor pertanian dan memperkenalkan dasar-dasar baru bagi membantu rakyat miskin yang merupakan golongan paling terjejas dengan kenaikan harga barangan tersebut,'' katanya lagi.

Mengulas mengenai fenomena kenaikan harga makanan dan barangan keperluan itu, penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia bersifat global.

''Perkara ini berlaku apabila permintaan pengguna yang melebihi penawaran. Ia akan menyebabkan mereka terpaksa membayar melebihi daripada harga asal.

''Inflasi ini bukan sahaja berlaku disebabkan kenaikan harga makanan dan komoditi, malah ia juga berpunca daripada kenaikan harga minyak," katanya.

Seperti yang disebut oleh Haim Hilman, kenaikan harga minyak dunia yang sekali gus akan menyebabkan peningkatan kos pengangkutan bagi mengangkut makanan dan barang keperluan adalah fenomena yang tidak dapat dielakkan berikutan krisis politik yang sedang berlaku di Asia Barat.

Bagi memastikan kenaikan itu tidak terlalu membebankan rakyat, kerajaan telah memberikan subsidi petrol dan diesel sebanyak RM7.61 bilion setahun.

Bagaimanapun, rakyat harus sedar bahawa kerajaan tidak boleh selama-lamanya memberikan subsidi tersebut kerana wang berkenaan juga amat diperlukan untuk bidang-bidang lain termasuk dalam membangunkan kawasan pertanian baru.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berkata, inflasi kini berlaku di seluruh dunia akibat permintaan barangan yang melebihi penawaran.

''Kenaikan harga barangan akan memberi tekanan kepada rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah tetapi kita tetap tidak boleh lari daripada inflasi.

''Cara terbaik untuk menghadapi fenomena ini adalah dengan menyesuaikan diri dan belajar untuk meningkatkan lagi produktiviti agar permintaan barangan dapat dipenuhi," jelasnya.

Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga itu, katanya, pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilakukan dari semasa ke semasa selain menggerakkan kempen bagi meningkatkan kesedaran pengguna untuk berjimat cermat.

Seperti yang disyorkan oleh Amir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, sejak dahulu lagi telah melaksanakan proses pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan fenomena peningkatan harga barangan global tidak dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Pemantauan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946 adalah bagi memastikan 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan mencukupi dan dijual pada harga munasabah.

Langkah lain melibatkan kawalan harga pada musim perayaan yang membabitkan 28 jenis barangan termasuk ayam, daging, telur ayam, kubis, tomato dan cili merah.

Segala langkah yang diambil itu telah menyebabkan harga barangan keperluan di negara ini masih lagi yang terendah berbanding negara ASEAN lain.

Misalnya beras kini dijual pada harga antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram berbanding Indonesia (RM2.59) dan Singapura (RM5.06).

Petrol RON 95 pula dijual pada harga RM1.90 seliter berbanding Thailand (RM4.77), Indonesia (RM3.21) dan Singapura (RM5.06).

Pihak kementerian turut melaksanakan kempen bagi menjelaskan senario kenaikan harga barangan menerusi slot di radio dan televisyen termasuk Selamat Pagi 1Malaysia di TV1.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan diiktiraf dunia

BANYAK kejayaan telah dicatatkan dalam sistem pendidikan negara sejak 50 tahun lalu dengan kadar celik huruf di kalangan dewasa kini mencecah 92 peratus.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga melaporkan antara 2006 hingga 2008, Malaysia berada di tangga keenam dan telah mengatasi Amerika Syarikat dari segi peratusan kemasukan murid prasekolah.

Bagaimanapun, perbandingan dengan Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura menunjukkan penurunan hasil pendidikan pelajar Malaysia. Sekitar 20 peratus daripada mereka gagal mencapai garis minimum Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) pada 2007 berbanding hanya lima peratus pada 2003.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan terutama sekali bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) hasil pendidikan yang melibatkan masa depan generasi muda dan pewaris negara.

Antara inisiatif yang diambil di bawah NKRA ini adalah menyediakan bantuan yuran berjumlah RM10.3 juta untuk 24,179 murid prasekolah dari keluarga berpendapatan rendah yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih.

Bantuan itu untuk yuran di bawah RM150 sebulan di 611 prasekolah swasta sementara kelas prasekolah Kementerian Pelajaran, Kemas (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) disediakan secara percuma.

Saringan Celik Huruf dan Nombor (LINUS) tiga peringkat turut dijalankan ke atas 450,000 murid darjah satu seluruh negara sementara 15,500 guru LINUS turut dilatih untuk kelas pemulihan kanak-kanak yang ketingglan.

Aplikasi LINUS yang bermula pada 2010 ini disasarkan untuk melonjakkan kadar celik huruf dan nombor murid darjah satu kepada 100 peratus menjelang 2012.

Pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (HPS) turut dilaksanakan dengan 20 sekolah dipilih untuk 2010 dengan sasaran 100 HPS menjelang 2012 (30 sekolah 2011 dan 50 sekolah 2012).

Inisiatif anugerah Tawaran Baru juga digerakkan untuk dua peratus Pengetua dan Guru Besar sekolah terbaik dengan insentif tunai RM7,500 sementara lima peratus guru terbaik sekolah sama menerima RM1,800 dan bakinya RM900 setiap seorang.

Selain itu, Program Kemajuan Sekolah (SIP) dilaksanakan untuk menjadikan setiap sekolah dalam sistem pendidikan negara sebagai institusi pendidikan cemerlang dengan mencabar, mendorong dan menyokong antara satu sama lain terutamanya untuk sekolah di luar bandar.

Akhir sekali, inisiatif Sekolah Amanah di bawah Yayasan Amir iaitu sebuah badan bukan berasaskan keuntungan di bawah Khazanah Nasional Berhad dilancarkan melalui gabungan usahasama sektor swasta dan awam.

Sekolah Amanah mengekalkan status awamnya dan menerima peruntukan dari kerajaan tetapi pengurusan sekolah akan diletakkan di bawah rakan swasta yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan kementerian.

Maklum balas Jawatankuasa Antarabangsa Penilaian Prestasi (IPR) di dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010 untuk NKRA ini mengingatkan pihak kementerian agar tidak terikat kepada 'pendidikan mengikut peperiksaan'.

Peringatan itu demi mengelakkan pendidikan di sekolah bertumpu kepada menghafal semata-mata dan mungkin akan menggagalkan sasaran memupuk bakat pelajar berkualiti tinggi yang kreatif dan analitis.

Tokoh pendidikan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut menyokong peringatan itu kerana bimbang tumpuan masih kepada peperiksaan dan perangkaan untuk mengukur prestasi dan potensi pelajar.

"Kita tidak mahu pelajar hanya mempunyai keputusan peperiksaan cemerlang tetapi akhirnya gagal menyesuaikan diri dan menyumbang kepada kerjaya, masyarakat dan negara.

"Masalah pekerja kerap melompat tempat kerja kerana mahu kerja senang juga bermula di sekolah. Oleh itu, sistem pendidikan sedia ada belum cukup memuaskan selagi tidak membantu murid menjadi manusia sempurna selepas dewasa kelak," katanya.

Beliau turut mencadangkan beberapa ciri positif sistem pendidikan lama sekitar 1960-an wajar dinilai semula untuk diserap kembali ke dalam sistem pendidikan terkini.

Selain itu, NKRA ini turut menerima pujian ahli jawatankuasa tersebut yang juga pengasas Transparency International, Michael Hershman yang percaya usaha dan inisiatif yang diambil wajar menerima pengiktirafan antarabangsa.

Beliau turut mencadangkan pertubuhan pendidikan antarabangsa dijemput ke negara ini untuk menilai dan membuat ulasan perkembangan semasa NKRA ini.

"Walaupun banyak amalan terbaik yang boleh saya kongsikan, saya lebih suka melihat Malaysia meneruskan pendekatan di luar kelaziman ini. Jika berjaya, maka pihak lain pasti akan mengikut jejak anda," jelasya.

Sumber : //www.utusan.com.my/