Rabu, 27 Mei 2009

HIV/ AIDS MASIH JADI ANCAMAN


Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

DIANGGARKAN kira-kira 11.8 juta golongan muda berumur 15 hingga 24 tahun di seluruh dunia menghidapi HIV dengan setiap hari hampir 6,000 orang, manakala 2,000 bayi juga dikesan dijangkiti virus sama yang dibawa ibu mereka ketika mengandung, selepas dilahirkan atau menyusu ibunya.

Kira-kira 15 juta kanak-kanak di seluruh dunia kehilangan ibu bapa atau salah seorang daripada mereka yang disahkan menghidapi Aids. Menjelang 2015, kira-kira 25 juta kanak-kanak juga dijangka 'kehilangan' salah seorang daripada ibu bapa mereka.

Satu daripada 86 kes baru mereka yang dijangkiti HIV adalah kalangan wanita dan remaja. Statistik menunjukkan 10 daripada 1,000 kanak-kanak tinggal di dalam persekitaran rumah yang dibayangi dengan HIV. Malah atas pelbagai sebab termasuk politik, ekonomi dan budaya, sesetengah golongan muda lebih mudah dijangkiti penyakit itu. Perangkaan pada 2007 mencatatkan sebanyak 33.2 juta lelaki, wanita dan kanak-kanak dijangkiti HIV/Aids.

Sebagai contoh, remaja lebih tinggi risiko kerana sebahagian mereka terdedah kepada pelakuan seks atau gagal mengawal diri hingga terjebak dalam kegiatan tidak bermoral. Tambahan pula, ketiadaan pendidikan seks dan kurang tanggungjawab sosial masyarakat berkaitannya menjadikan mereka mudah terdedah kepada virus berkenaan.

Keadaan kemiskinan yang mencengkam kehidupan mereka termasuk dieksploitasi oleh pihak tertentu serta dipaksa melacur menjadikan golongan ini tidak dapat lari daripada gejala itu, selain sesetengahnya pula dijangkiti HIV selepas berkongsi jarum menerusi pengambilan dadah. Jika dilihat secara keseluruhan jangkitan HIV/Aids ini, ia boleh berlaku dalam semua peringkat golongan atas sebab tertentu. Namun tumpuan perlu dikhususkan juga kepada golongan muda ini supaya angka yang dicatatkan itu turun sehingga sifar kerana mereka generasi penggerak pada masa depan.

Justeru, Hari Memperingati Aids Sedunia (IAMD) 2009 yang disambut pada 17 Mei setiap tahun dan kali ini, bertemakan 'Bersama Kita Adalah Penyelesaiannya', diraikan oleh lebih 100 negara baru-baru ini bagi memberi perhatian dan sokongan kepada mereka yang dibelenggu epidemik HIV/Aids dan mengajak komuniti global untuk terbabit secara aktif bersama membendung penularan gejala itu peringkat lebih serius.

Pada masa sama, tema itu juga menggalakkan perpaduan global dan resolusi mengenai isu HIV/Aids dengan memberi mesej kepada semua lapisan masyarakat bersama melakukan sesuatu bagi mengubah keadaan berkenaan.

Majlis Aids Malaysia dan ahli gabungannya pula akan memberi tumpuan aspek keagamaan bagi menghentikan stigma dan diskriminasi di kalangan rakyatnya.Dalam konteks Malaysia, Pelan Strategik Kebangsaan (NSP) mengenai Aids 2006-2010 disediakan bertujuan mengurangkan kemudaratan kedua-dua penyakit itu dengan memperuntukkan RM500 juta sepanjang tempoh berkenaan untuk pelbagai program berkaitannya.

Di Malaysia, dianggarkan 85,000 orang dikenal pasti menghidap HIV positif dan antara 10 dan 15 orang dijangkiti virus itu setiap hari.

Kementerian Kesihatan mendedahkan, tiga rakyat negara ini disahkan positif HIV dan seorang didapati meninggal dunia akibat Aids, setiap hari. Berdasarkan perangkaan, jumlah kes HIV mencatat penurunan berterusan mulai 2003 apabila 3,692 kes direkodkan pada 2008 berbanding 6,978 kes pada 2002.

Mengikut laporan itu, penurunan dicatatkan daripada 27 peratus bagi setiap 100,000 penduduk pada 2003 menjadi 17 peratus menjelang 2008 dan sekiranya trend itu berterusan, diunjurkan hanya sejumlah 110,000 kes HIV akan dikesan sehingga 2015.

Sumber Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pada 2008 pula mendapati 8,569 penagih baru dikesan adalah belia dan remaja berumur antara 13 hingga 39 tahun.

Bagaimanapun, pelbagai pihak perlu membuka mata dan bersatu hati bersama berperanan menangani isu mengenai HIV/Aids ini untuk mengelak ia terus mengancam sistem kehidupan masyarakat dan membantutkan penyediaan ke arah generasi yang bebas daripada epidemik membawa maut itu.

Sesungguhnya, jutaan kanak-kanak di seluruh dunia membesar sendiri dan tiada pengawasan. Kesan daripada Aids ke atas kanak-kanak ini amat kompleks. Ramai kalangan mereka yang menderita psikologi dan tekanan ekonomi serta terpaksa meninggalkan sekolah untuk membantu keluarga mereka.

Dalam keadaan itu, mereka ini terdedah kepada pelbagai kegiatan tidak bermoral. Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), melaksanakan banyak program untuk membasmi penularan HIV/Aids dengan mensasarkan golongan muda.

Justeru, pendidikan kesihatan seksual berdasarkan kemahiran hidup di sekolah dan program penyebaran maklumat lebih tepat sentiasa diadakan secara berterusan. Perkhidmatan kesihatan yang lebih mesra remaja disertai kaunseling, pendidikan pengurangan risiko dan ujian serta rawatan penyakit kelamin dan HIV.

Di samping itu, program khusus kepada golongan muda yang terpinggir serta berdepan risiko tinggi terdedah kepada HIV seperti pelacur dan penagih dadah yang kerap berkongsi jarum suntikan, perlu dipertingkatkan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

SINOPSIS PROSA TRADISIONAL TINGKATAN LIMA

SABOR


Sabor telah dibawa oleh Jibor ke rumahnya dan diperkenalkan kepada isteri Jibor, Siti Saidah. Setelah beberapa hari di rumah Jibor, Siti Saidah berusaha menggoda Sabor. Walaupun sebelum itu, Siti Saidah ada berbuat sumbang dengan seorang jauhari, tetapi kini dia mengingati Sabor siang dan malam. Pada suatu malam, Siti Saidah berusaha menggoda Sabor. Walau bagaimanapun, Sabor tidak terdorong untuk melakukan perbuatan maksiat kerana dia sentiasa ingat akan Allah. Setelah gagal memujuk Sabor, Siti Saidah menmgugut hendak membunuh Sabor. Siti Saidah pun kembali tidur di sisi suaminya. Siti Saidah kemudiannya memfitnah Sabor dengan mrngatakan bahawa Sabor cuba mencabulnya. Jibor pun berasa sangat marah. Jibor hendak membunuh Sabor. Jibor memberikan kopiah buatan Rom kepada Sabor. Jibor mengarahkan empat orang askar upahan untuk memenggal kepala orang yang memakai kopiah buatan Rom di masjid. Ketika hendak bersembahyang di masjid, Sabor berasa pening kepala. Kopiah itu ditanggalkan dan diletakkan di atas mihrab. Kopiahnya itu telah diambil dan dipakai oleh jauhari. Askar upahan yang masuk ke masjid telah memenggal leher jauhari. Sabor terlepas daripada bala, manakala jauhari menerima padahnya sebagai akibat daripada perbuatan terkutuknya dahulu.


KEZALIMAN MEMBAWA PADAH


Tiga orang sahabat telah pergi ke Pasai. Seorang pergi ke Samarlingga dan digelarkan Tuan di Samarlingga. Seorang pergi ke Burgozan dipanggil Tuan di Burgozan. Seorang lagi pergi ke Singapura iaitu Tun Jana Khatib. Semasa hampir dengan istana, Tun Jana Khatib menilik sepohon pinang lalu terbelah dua. Perbuatan itu dlihat oleh Paduka Seri Maharaja dan menganggap Tun Jana Khatib sengaja melakukan perbuatan itu untuk memikat raja perempuan. Paduka Seri Maharaja memerintahkan Tun Jana Khatib dibunuh, berhampiran tempat orang berniaga kuih bikang. Darahnya ada menitik ke bumi tetapi jasadnya ghaib. Menurut cerita, badannya berada di Langkawi lalu dikebumikan orang. Tidak lama selepas itu, Singapura diserang ikan todak. Banyak orang yang mati. Paduka Seri Maharaja memerintahkan rakyat berkubukan betis. Seorang budak mencadangkan rakyat berkubukan empulur batang pisang. Paduka Seri Maharaja menurut cadangannya. Banyaklah todak yang mati. Pembesar negeri menghasut Paduka Seri Maharaja supaya membunuh budak itu kerana kebijakannya dikhuatiri akan menjejaskan kedudukan Paduka Seri Maharaja jika dia dewasa kelak.Paduka Seri Maharaja memerintahkan supaya budak itu dibunuh. Setelah Paduka Seri Maharaja mangkat, baginda digantikan oleh Raja Iskandar Syah yang beristerikan anak Tun Perpatih Tulus. Sang Rajuna Tapa yang merupakan bendahari dalam kerajaan Raja Iskandar syah mempunyai seorang anak perempuan. Anaknya difitnah oleh gundik raja yang lain kononnya telah berlaku curang kepada raja. Raja terlalu murka dan memerintahkan anak Rajuna Tapa disula di hujung pasar. Sang Rajuna Tapa sangat marah dan malu. Beliau menulis surat kepada Betara Majapahit di Jawa dengan memaklumkan kesediaannya membantu Betara Majapahit jika Betara Majapahit mahu menyerang Singapura. Betara Majapahit pun mempersiapkan tenteranya untuk menyerang Singapura. Apabila Raja Iskandar memerintahkan Sang Rajuna Tapa mengeluarkan beras untuk diagihkan kepada rakyat, Sang Rajuna Tapa mengatakan bahawa beras sudah habis kerana beliau mahu belot. Sang Rajuna Tapa telah membuka pintu kota supaya tentera jawa mudah menyerang Singapura. Peperangan berlaku. Raja Iskandar Syah melarikan diri ke Seletar lalu ke Muar. Rumah Sang Rajuna Tapa roboh, bekas menyimpan padi tumbang dan beras yang ada menjadi tanah.



ASAL-USUL RAJA KECIL

Laksamana menyorokkan Encik Pung semasa dia hendak bersalin. Encik Pung menyuruh Laksamana melarikan anaknya setelah dia bersalin. Laksamana meminta Raja Negara Selat menyerahkan anak Encik Pung kepada Temenggung Muar untuk dipelihara. Raja Negara pergi ke Johor menyerahkan anak Marhum Mangkat Dijulang itu kepada Temenggung Muar. Tujuh tahun kemudian, anak itu dibawa oleh Temenggung Muar berjumpa dengan Laksamana. Di Johor, setiap hari anak raja bermain-main di makam ayahandanya di Kota Tinggi. Ramai kanak-kanak yang mengikut perbuatannya muntah darah apabila makan rumput di situ. Hal itu sampai ke pengetahuan Yang Dipertuan Muda. Laksamana berpakat dengan Raja Negara untuk melarikan anak raja itu ke tempat lain. Nakhoda Malim diminta membawa anak itu ke Jambi. Anak itu dinamakan Tuan Bujang. Tuan Bujang dibawa ke Pagaruyung lalu menghadap Yamtuan Sakti. Yamtuan Sakti begitu gembira kerana mengetahui bahawa Tuan Bujang ialah cucunya. Tuan Puteri Jilan juga gembira malah mengatakan bahawa Tuan Bujanglah anak raja yang akan membalas dendam atas kematian bapanya. Apabila berumur 13 tahun, Tuan Bujang merantau ke Batanghari untuk menuntut ilmu hinggalah ke Palembang, hendak meperhambakan diri dan taat setia kepada Sultan Lema Abang. Sultan memelihara Tuan Bujang tetapi semenjak Tuan Bujang bekerja sebagai pembawa tepak, badan Sultan asyik sakit-sakit.



KEPAHLAWANAN TUN BERAIM BAPA


Tun Beraim Bapa bersama para pengiringnya pergi ke istana. Sesampainya di pintu tani, beliau meminta kuda semberani daripada Dara Zulaikha Tingkap (Tun Dewrma Dikara). Setelah mendapat keizinan, Tun Beraim Bapa memacu kuda yang gila dan tidak pernah dikenderai orang itu lalu terbang hingga ke Tukas. Sultan berasa hairan dan kesal kerana Tun Beraim Bapa telah hilang daripada pandangan. Setelah Tun Beaim Bapa muncul semula secara tiba-tiba, baginda mengarahkan Bermanat P.nti dan Maidana P.nti agar menyuruh Tun Beraim Bapa bersilat di hadapan ketua kelasi kapal dan askar pendekar dari keling bagi menunjukkan ketangkasan. Para pendekar Keling yang melihat ketangkasannya terus pulang ke kapal dengan menundukkan muka, berasa malu kerana tidak sanggup menentang Tun Beraim Bapa. Mereka terus belayar pergi. Berjayalah helah Sultan kepada para pendekar asing yang berniat jahat itu. Baginda Sultan meminta Tun Beraim Bapa mengajak semua orang hulu sungai datang ke Tukas untuk diraikan dalam majlis jamuan. Pada suatu hari Jumaat, Tun Beraim Bapa bermain-main ke Pasai lalu masuk ke pagar istana. Beliau ternampak Tun Fatimah Lempau bergelar Temian Layangan menggubah bunga bersama-sama dengan Dara Zulaikha. Tun Beraim Bapa marah kepada Tun Fatimah yang dianggap menipunya kerana bunga yang digubah bukan untuk dibawa ke masjid tetapi ke istana. Tun Beraim Bapa membatalkan niatnya mengejar Tun Fatimah setelah bahunya tertempuh pintu istana.