GUNAKAN medium teknologi untuk mencari maklumat diingini |
Oleh : Ruhaiza Rusmin
Debaran menanti keputusan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) sudah berakhir minggu lalu dan kini masanya pula untuk
merencanakan masa depan.
Ada banyak pilihan boleh dibuat,
namun penulis percaya ramai yang kini sedang berpusu-pusu mengisi borang
kemasukan Unit Pengambilan Pelajar (UPU) atau tercari-cari program sesuai
diikuti untuk melanjutkan pengajian.
Biarpun mempunyai keputusan yang
melayakkan banyak pilihan program, ramai lepasan SPM masih lagi salah membuat
pilihan atau terkeliru dengan kehendak sendiri mahupun orang lain. Akhirnya
mereka ‘tersungkur’ hingga menjejaskan masa depan.
Penolong Pendaftar Kanan,
Bahagian Pengambilan Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam,
Selangor, Muhamad Nizam Noordin berkata, antara faktor mengapa lepasan SPM
berdepan dilema atau salah membuat pilihan kerana tidak memperoleh maklumat
lengkap mengenai program selain tidak selari dengan minat.
Menurutnya, sebagai empunya diri
yang bakal melanjutkan pengajian, mereka perlu berusaha mencari apa jua
maklumat dan bukan mengharapkan orang lain yang membuat keputusan.
“Bersikap lepas tangan atau
menyuruh orang lain membuat pilihan bukan satu tindakan bijak, malah mungkin
boleh mengundang masalah pada masa depan.
“Calon sebagai empunya diri juga
perlu berusaha dan membuat keputusan sendiri kerana mereka yang bakal belajar.
“Membenarkan orang lain untuk
membuat keputusan, membuat keputusan salah kerana bertentangan dengan minat
atau salah memperoleh maklumat hanya akan menyebabkan mereka kecewa,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan program
seharusnya dibuat awal kerana lepasan SPM mempunyai masa hampir setengah tahun
untuk membuat keputusan.
“Itu belum ditambah pendedahan
mengenai program, prospek kerjaya mahupun pelbagai maklumat lagi sepanjang
tempoh belajar.
“Jadi, tidak mungkin soal salah
pilih, kurang maklumat atau tidak suka boleh timbul kerana akses ke arah itu
kini sudah terlalu mudah.
“Kemungkinan kurang persediaan
atau sikap ambil mudah untuk merancang masa depan menyumbang ke arah itu,”
katanya.
Seramai 472,541 calon mendaftar
untuk menduduki peperiksaan SPM tahun lalu dengan 15,793 calon memperoleh Gred
A bagi semua mata pelajaran diambil.
Muhamad Nizam berkata, lepasan
SPM juga diingatkan supaya lebih teliti membuat pilihan bagi mengelakkan
konflik dan masalah berbangkit selepas mengikuti program ditawarkan.
Katanya, kesilapan itu bukan saja
merugikan, malah merumitkan lagi keadaan kerana pertukaran program tawaran
dengan program lain tidak mudah dan perlu mengikuti prosedur ditetapkan
institusi pengajian.
“Perlu ingat, setiap kali
penawaran tempat diberikan, ia bermakna muktamad. Sebarang permohonan
pertukaran program atau kursus sukar dipertimbangkan kecuali jika benar-benar
mempunyai alasan kukuh.
“Proses pengambilan juga
membabitkan skala besar dengan puluhan ribu yang memohon. Institusi ada
piawaian tersendiri untuk dipatuhi.
“Justeru, bagi yang ingin
menyambung pelajaran, pastikan diri sudah muktamad dengan keputusan sedia ada.
Jangan ada rasa ragu kerana ia juga boleh mengakibatkan masalah seperti patah
semangat andai permohonan penukaran program ditolak,” katanya.
Katanya, kesilapan membuat
pemilihan program boleh memberi kesan jangka panjang kerana turut berkait
dengan peluang kerjaya selepas tamat pengajian.
“Satu sebab kita memohon masuk
universiti atau kolej kerana ingin memperoleh pekerjaan selepas tamat
pengajian.
“Oleh sebab itu penting
menetapkan secara mutlak pilihan program kerana salah jangkaan boleh
mendatangkan kesan terhadap pemilihan kerjaya.
“Benar ada kerjaya boleh diceburi
dengan program pengkhususan berbeza tapi lebih baik jika dunia pekerjaan itu
diselarikan dengan spesifikasi program ketika di institusi,” katanya.
Beliau tidak menolak pengaruh
rakan juga boleh menyebabkan kesilapan pelajar ketika membuat pilihan.
“Ada pelajar beranggapan mengikut
kata atau rentak rakan berbaloi, tapi jika pilihan ini dibuat bersandarkan
faktor itu sebenarnya sangat berbahaya.
“Kemampuan seseorang berbeza
antara satu sama lain. Mungkin rakan kita ada kemampuan mengikuti program
tertentu tapi kita tidak.
“Jadi mengapa perlu memperjudikan
masa depan semata-mata mahu mengikut rakan, sedangkan kita juga masih boleh
membuat pilihan sendiri,” katanya.
Dengan pelbagai penawaran program
disediakan institusi hari ini, beliau yakin pelajar lepasan SPM mempunyai
banyak pilihan untuk disesuaikan dengan minat dan cita-cita.
“Jika dulu mungkin lepasan SPM
hanya terikat pada pilihan tipikal seperti perubatan, pentadbiran perniagaan,
kesetiausahaan, perundangan dan perakaunan. Hari ini macam-macam program
ditawarkan.
“Buat saja pilihan kemudian
belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ia cukup mudah, namun peliknya masih
ada juga yang tidak tahu. Nasihat saya, buat pilihan mengikut minat dan tanpa
paksaan, tentu tiada masalah,” katanya.
Sumber : http :
//www.hmetro.com.my/