Ahad, 24 Mac 2013

ISU KENEGARAAN : ESSCOM sebagai arahan pusat


Oleh : AZMI HASSAN

MUNGKIN ramai rakyat Malaysia merasa gelisah dengan keadaan keselamatan di pantai timur Sabah sehingga memaksa kerajaan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). Pembentukan ESSCOM telah diumumkan secara dasar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lalu yang merangkumi kawasan pantai timur negeri itu termasuk Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

Memang benar ESSCOM bukanlah sesuatu yang asing bagi Malaysia kerana ketika Sarawak berhadapan dengan ancaman komunis pada tahun 1970-an, Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) secara khusus diujudkan untuk berhadapan dengan ancaman tersebut.

Sudah pasti ada yang mempersoalkan mengapa baru kini kerajaan menubuhkan ESSCOM sedangkan ancaman keselamatan memang sudah lama ujud seperti beberapa siri penculikan yang didalangi oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

Perlu ditekankan bahawa selama ini sememangnya ujud beberapa struktur keselamatan khas khusus untuk menangani isu keselamatan Sabah yang dianggap begitu mencabar dan unik. Mencabar kerana perairan terbuka sepanjang 1,400 kilometer begitu sukar untuk diawasi dan unik kerana komposisi penduduk Sabah yang mempunyai sejarah asal usul begitu menarik.

Operasi Padanan & Sipadan Island Resort atau lebih dikenali dengan nama singkatan Ops Pasir adalah salah satu struktur keselamatan yang diujudkan untuk berhadapan dengan ancaman khusus iaitu penculikan pelancong terutama sekali di pulau terpencil. Ops Pasir mula diperkenalkan pada tahun 2000 dan diuruskan oleh Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (MAB-ATM).

Begitu juga dengan organisasi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen mempunyai peranan tertentu demi menjamin keselamatan perairan Sabah.

ESSCOM ditubuhkan bukan kerana fungsi ATM, PDRM, APMM dan Imigresen tidak efektif atau untuk mengambil alih tugas tetapi sebenarnya untuk memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh entiti organisasi tersebut.

Selama ini setiap aktiviti organisasi tersebut melaksanakan tugas masing-masing secara berasingan kerana setiap entiti tersebut mempunyai arahan pusat (central command) yang berbeza. Timbul beberapa kekangan terutama sekali dari segi kepantasan berkongsi maklumat risikan kerana masing-masing mempunyai strategi dan kepentingan yang berlainan di antara satu sama lain.

Betapa pentingnya penyelarasan arahan pusat diserlahkan lagi apabila Ops Pasir ATM dikendalikan oleh MAB kerana untuk menyelaraskan tugas antara tiga cabang perkhidmatan utama mereka iaitu tentera darat, laut dan udara.

Amerika Syarikat (AS) umpamanya telah belajar daripada kesilapan kerana tidak mempunyai penyelarasan perkongsian maklumat risikan di antara Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) yang mengakibatkan kegagalan mengesan plot serangan pengganas yang berlaku pada 11 September 2001. Kini mereka menubuhkan satu entiti khas yang dipanggil Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (Homeland Security) sebagai asas penyelarasan semua aktiviti keselamatan AS.

Dengan adanya entiti Homeland Security dengan diketuai oleh Setiausaha yang lebih popular dikenali sebagai Czar keselamatan, semua aktiviti umpamanya oleh FBI dan CIA dapat diselaraskan. Konsep ini bukan sesuatu yang asing dan ESSCOM juga mempunyai maksud yang serupa.

Penyelarasan

Beberapa hari lepas Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa telah mengumumkan ESSCOM akan melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang bertanggungjawab melakukan penyelarasan segala operasi keselamatan bukan sahaja agensi seperti ATM, PDRM, APMM dan Imigresen tetapi juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). CEO ESSCOM ini adalah tidak ubah seperti Czar Homeland Security AS.

Kesan awal penubuhan ESSCOM telah pun mulai dirasai walaupun CEOnya belum dilantik kerana PDRM telah mengumumkan akan memperkukuhkan barisan formasi dan aset pasukan itu dan akan membangunkan enam buah balai polis baharu kerana kawasan rangkuman ESSCOM meliputi sembilan daerah pentadbiran polis.

Untuk menghayati aspirasi penubuhan ESSCOM, rakyat Malaysia perlu juga meneliti perjalanan sejarah kaedah pengawalan sempadan AS-Mexico sepanjang 5,000 kilometer. Tidak keterlaluan jika diandaikan sejarah sempadan AS-Mexico ini adalah begitu selari dengan keadaan sempadan Sabah-Selatan Filipina.

Sebahagian besar wilayah di California, Arizona, New Mexico dan Texas adalah wilayah asal Mexico yang terpaksa diserahkan kepada AS mengikut Perjanjian Guadalupe Hidalgo yang dimeterai pada tahun 1848. Pada awalnya kawalan sempadan di antara kedua-dua negara tidak mempunyai kawalan yang ketat dan rakyat kedua-dua negara bebas keluar masuk.

Sebab itu dikatakan komposisi penduduk keempat-empat negeri AS yang bersempadan dengan Mexico mempunyai pertalian persaudaraan yang rapat di antara kedua-dua negara dan senario ini adalah begitu serupa dengan keadaan di Sabah.

Kawalan keselamatan AS-Mexico mula diperketatkan pada era Presiden Ronald Reagan tahun 1980-an apabila masalah penyeludupan dadah menjadi meruncing. Walaupun berbagai teknologi canggih digunakan dan pembinaan pagar konkrit dibina untuk mengekang aktiviti ini, hanya kejayaan yang terhad telah diperolehi.

Sebab utama adalah kerana tidak ada koordinasi dan penyelarasan aktiviti agensi yang mengawal sempadan yang membuatkan segala usaha mendapat kesan minimum. Menyedari hakikat ini pada tahun 1994 Presiden AS pada ketika itu Bill Clinton telah melantik Alan Bersin sebagai Czar pengawalan sempadan AS-Mexico untuk menyelaras semua aktiviti kawalan.

Pengawalan sempadan AS-Mexico menjadi lebih berkesan kerana jawatan Czar memberi ruang kepada Bersin untuk bertindak sebagai arahan pusat. Setiap strategi yang dilaksanakan mudah di koordinasikan di antara keempat-empat negeri yang mempunyai sempadan bersama Mexico.

Umpamanya Strategi Ryes yang diperkenalkan oleh Bersin untuk mengekang kemasukan asing berjaya dilaksanakan secara bersepadu melalui Operasi Gatekeeper di California, Operasi Rio Grande di Texas dan Operasi Nogales di Arizona. Kesemua ini dapat dilakukan kerana jawatan Czar sempadan mempunyai kuasa arahan pusat.

Begitu juga dengan ESSCOM, tidak dinafikan teknologi canggih untuk mengekang kemasukan asing dan juga mengumpul maklumat risikan akan memainkan peranan penting untuk memastikan peristiwa pencerobohan Lahad Datu tidak akan berulang lagi. Peranan teknologi canggih mempunyai kekuatan yang ada hadnya jika ia tidak digunakan secara pintar.

Tetapi apa yang lebih penting adalah semua maklumat risikan tersebut perlu diproses dengan pantas dan betul. Disini struktur ESSCOM adalah kritikal kerana ia perlu bertindak sebagai arahan pusat dengan seorang CEO atau Czar yang menjadi tonggak utama.

Kawasan ESSCOM dalam beberapa bulan mendatang sudah pasti akan menyaksikan perubahan mendadak dalam aspek keselamatan bukan sahaja dari segi pertambahan kehadiran anggota keselamatan tetapi juga aset berkaitan seperti balai polis, pos pendalaman dan perairan dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Kesemua aset tersebut tidak akan memberi makna jika tiada koordinasi aktiviti dan disinilah peranan ESSCOM menjadi kritikal. Perlu ditegaskan penubuhan ESSCOM bukan memberi maksud bahawa selama ini keselamatan perairan Sabah diabaikan, tetapi sebenarnya untuk memantapkan lagi struktur keselamatan sedia ada menghadapi cabaran masa hadapan.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan