Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) |
OLEH : AMINUDIN MANSOR
KEKUATAN Sasterawan Negara ke-12,
Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) terletak pada gaya penulisan yang tajam dan
intelektual. Aspek bahasa dan pemikiran yang bernas dan agung terdapat dalam
Kumpulan puisi Bayang-Bayang (1974), Dari Catatan tengah Malam (1978), Tiga
Catatan Perjalanan (1980), Jalan Desa Ke Kota (1994) dan Menangguhkan Kebenaran
dan Sajak-Sajak lain (2008).
Ini jelas daripada kumpulan
puisinya yang pertama memperlihatkan gaya, bentuk dan penyampaiannya sangat
mengesankan. Isu yang dipilih jarang disentuh dalam kalangan penyair lain.
Pengkritik penting Rom, Dionysius
Cassius Longinus mensyaratkan lima prinsip karya terbaik, iaitu pemikiran yang
agung, emosi yang intens, komposisi yang kemas, pemilihan diksi dengan metafora
yang sesuai dan penggunaan bahasa yang tepat.
Seperti puisi Dalam Diri,
perhatikan sajak yang berbentuk prosa apa yang disuarakan oleh penyair ini :
Kalau
ada sesuatu yang paling sulit difahami sebenarnya ialah diri. Dunia misteri itu
terlalu akrab; kita bawa ia bersama-sama ke mana-mana sahaja seperti bayi dalam
kandungan. Bagaimana kita mahu mencari jarak untuk mentafsirnya? Ia merupakan
nafsu berahi, benci amarah, tamak haloba, dan iri hati yang bergomol untuk
menang di sisi kesucian dan keindahan. Kita terumbang-ambing dalam belantaranya
- sepi dan payah. Hanya misteri jugalah yang merenggut kita keluar ke dalam
gerimis dan embun yang lembut setelah kita insaf bahawa yang mengasyikkan itu,
ah! Sering juga noda."
(Petikan: Dalam Diri Esei dan
Puisi Baha Zain DBP, 2002).
Justeru, Dionysius yang
menjadikan aspek bahasa sebagai ketinggian mutu karya dan pemikiran yang agung,
agak luas terserlah dalam puisi Baha Zain. Ini dapat dilihat melalui kumpulan
puisinya yang pertama Perempuan dan Bayang-Bayang, dan juga kumpulan puisinya
yang lain iaitu, Dari Catatan tengah Malam dan Tiga Catatan Perjalanan.
Bahasa yang digunakan agak
provokatif, tajam tetapi melunakkan. Latar kehidupan dan pengalamannya turut
mempengaruhi atau hidup bersama dalam arus perkembangan seni budaya di negara
ini.
Kebanyakan karyanya mencerminkan
sikap dan fikiran budayanya secara peribadi yang mungkin sejalur atau
bertentangan dengan susuk budaya yang rasmi.
Rahman Shaari mengatakan, sebagai
penyair , Baha Zain sedar benar, dia perlu berbahasa mengikut tuntutan hati
nuraninya, iaitu puisi yang langsung dari hati dan fikiran. Maka jelaslah Baha
Zain mempunyai kekuatan menulis sajak sinis yang mencakupi pelbagai tema
seperti kemasyarakatan, keagamaan dan kemanusiaan disampaikan dengan kemas.
Baha Zain sebenarnya secara tidak
langsung pernah berguru dengan Sasterawan Negara Usman Awang ketika sama-sama
bertugas di Dewan Bahasa.
Ini diungkapkan oleh beliau
melalui sajaknya Salam Kepada Usman. Tulisnya,
Tongkat, Setelah berkali-kali kubaca sajakmu, Engkau bukan lagi sekadar
sahabatku, Engkau adalah guruku."
Tulisan dalam bentuk eseinya
mudah difahami dan puisinya yang kritis dan sinis terhadap dunia moden
menjadikan suara yang akrab dan penuh tanggungjawab terhadap masalah dan nasib
bangsanya. Ini dapat dilihat dalam puisinya yang memenangi Hadiah Karya Sastera
seperti Dalam Lingkaran, Topeng-Topeng dan cerpennya Malam Yang Melemparkan.
Begitu juga dalam puisi Hadiah
sastera Perdana Malaysia (HSPM) seperti puisi Pernahkan Engkau Mentafsir
Kedamaian (HSPM 2002/2003), Apabila Menulis Puisi (HSPM 2008/2009), dan dua
buah puisi pada tahun lepas iaitu, Permainan Mimpi dan Dalam Persekitaran
kata-kata (HSPM 2010/2011).
Baha Zain menulis esei, kritikan,
puisi, dan cerpen. Beliau juga menyusun semula Hikayat Bakhtiar, Hikayat Omar
Umayyah, dan Hikayat Cekal Waneng Pati. Namun dalam genre puisi merupakan
pilihan utamanya.
Banyak puisinya termuat dalam
beberapa antologi bersama dan empat buah kumpulan puisinya telah diterbitkan,
iaitu Perempuan dan Bayang-Bayang, Dari Kertas Catatan Tengah Malam, dan Tiga
Catatan Perjalanan (Three Sketches from A Journey) dalam dwibahasa.
Dalam genre kritikan pula, Baha
Zain bukan sahaja sebagai pengkritik yang disegani malah gaya penulisannya
tajam, sinis dan menarik dengan cetusan fikirannya yang mengajak khalayak terus
berfikir.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana
Muda Sastera pada tahun 1963 di Universiti Malaya dan Sarjana Sastera di
Universiti Indonesia Jakarta, pada tahun 1972. Namanya sangat akrab dengan
pelajar sekolah menengah melalui sajak yang dipilih sebagai teks Komponen
Sastera (Komsas) iaitu sajak Di Kota Kecilku.
Baha Zain pernah berkhidmat di
Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1963 sehingga menamatkan perkhidmatannya
sebagai Timbalan Ketua Pengarah pada tahun 1984. Kemudian beliau berkecimpung
dalam dunia perniagaan dalam bidang penerbitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan