Oleh : MD ISHAK A. RAHMAN
KESUSASTERAAN Melayu pada era
70-an dan 80-an menjadi salah satu mata pelajaran pilihan utama di sekolah
asrama penuh apatah lagi di sekolah biasa. Golongan pelajar berpendidikan
sastera pada masa itu ramai yang berjaya menjadi pemimpin, pentadbir, doktor,
peguam, tokoh ilmuan, serta tokoh penting dalam masyarakat.
Keadaan ini telah berubah,
pelajar tidak mendapat motivasi untuk mempelajari mata pelajaran itu dengan
alasan mata pelajaran ini tidak membantu masa depan pelajar, dan sesetengahnya
menolak mata pelajaran sastera Melayu dengan alasan pelajar sudah mempelajari
komponen sastera (komsas) dalam Bahasa Melayu.
Jika kita melihat matlamat pembelajaran
bahasa Melayu hanya sedikit sahaja yang berkaitan dengan sastera. Begitu juga
dalam penilaian Bahasa Melayu, komponen sastera hanya sebahagian sahaja dalam
soalan Bahasa Melayu.
Kandungan mata pelajaran Bahasa
Melayu yang menggunakan komponen sastera sekadar memahami maksud kata atau
frasa, sedikit kemahiran sastera, serta kemahiran berfikir. Penekanan diberikan
kepada penilaian kemahiran berbahasa. Jelasnya, penghayatan sastera amat
sedikit dalam pengajaran Bahasa Melayu.
Berbanding dengan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, pelajar perlu memiliki kemahiran mengupas dan mengulas
pelbagai aspek sastera di samping menulis karya sastera.
Malah, pelajar dapat menguasai
kemahiran bahasa yang lebih tinggi kerana memahami unsur keindahan dan maksud
konotatif yang mencabar minda.
Kita juga seharusnya menerima dan
memikirkan cadangan agar melakukan transformasi terhadap sukatan pelajaran
kesusasteraan Melayu kepada mata pelajaran ala kemahiran hidup. Kita perlu
menyingkap perjalanan hidup bekas lulusan sastera dan kemanusiaan yang telah
berjaya. Mereka mempunyai pengalaman bidang-bidang yang boleh diceburi oleh
lulusan sastera. Bidang tersebut boleh diterapkan dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.
Bidang kerjaya lulusan
kesusasteraan Melayu yang utama pada dasarnya ialah menjadi penulis. Kerjaya
penulis sebenarnya mempunyai masa depan yang cerah sekiranya diusahakan secara
kreatif dan inovatif. Bukan tidak ada penulis bahasa Melayu yang menyara hidup
dengan menulis. Malah, jika ada inisiatif untuk menterjemahkan karya ke bahasa
lain agar pasaran lebih luas, tidak mustahil penulis boleh mendapat hasil yang
lumayan.
Kita masih kekurangan buku untuk
bacaan kanak-kanak dan remaja. Kita terpaksa menterjemah buku daripada bahasa
asing. Walaupun langkah ini merupakan satu usaha yang positif, tetapi alangkah
baiknya jika kita mengeluarkan buku karya penulis tempatan. Malah, terdapat
kedai buku di negara kita lebih banyak menjual buku-buku import daripada
buku-buku karya tempatan.
Ketajaman
Memang terdapat pelajar yang
berbakat dan berminat dalam bidang kesusasteraan. Jika mereka tidak diberi
dorongan dan pendidikan dalam bidang yang diminati, apa lagi dipaksa
mempelajari mata pelajaran lain, tentulah bakat mereka tidak dapat
diketengahkan dengan lebih mantap. Kita akui, ada pelajar yang tidak didedahkan
dengan ilmu sastera boleh menjadi penulis karya kreatif. Namun, ketajaman
mereka akan lebih terserlah jika mereka memiliki asas ilmu sastera.
Selain itu, bidang sastera juga
meliputi urusan untuk mengadakan seminar, pertunjukan pentas, dan sebagainya.
Sebagai contoh, kerjaya pengacara dalam majlis-majlis tersebut, tentu lebih
berkesan sekiranya seseorang itu menguasai kemahiran sastera. Mereka bukan
sahaja boleh mengungkapkan kata-kata indah, malah boleh berpantun atau berpuisi
yang akan lebih memberi nyawa kepada majlis tersebut.
Akhir sekali, peluang pelajar
Melayu untuk mengambil Kesusasteraan Melayu semakin terhad kerana mereka telah
mengambil jumlah mata pelajaran maksimum. Sementara pelajar bukan Melayu
digalakkan untuk mengambil mata pelajaran kesusasteraan Inggeris, Cina, dan
Tamil.
Bukankah lebih wajar semua
pelajar diwajibkan mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu? Dengan ini,
pelajar kita akan lebih fasih berbahasa Melayu dan memahami budaya tempatan.
Sesungguhnya, memartabatkan Kesusasteraan Melayu merupakan usaha untuk
memartabatkan bahasa Melayu secara berkesan dan menebalkan jati diri bangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan