SEORANG yang bergelar guru,
kesabaran akan sentiasa teruji apabila berhadapan dengan murid, ibu bapa dan
rakan sekerja yang pelbagai perangai. Sebab itu, minat untuk menjadi seorang
guru itu amat diperlukan dalam bidang kerjaya ini.
Dalam masa sama, seorang guru
juga mesti mempunyai perasaan kasih sayang kepada murid dan perlu jatuh cinta
dengan pekerjaan guru itu sendiri.
Itulah jawapan yang keluar
daripada mulut seorang guru di sebuah sekolah menengah apabila ditanya
pengumuman Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa syarat untuk
memohon pengajian dalam jurusan perguruan telah diperketatkan.
Berkuat kuasa tahun ini, hanya
pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) yang dibenarkan memohon pengajian dalam jurusan itu.
Langkah berkenaan dibuat sejajar
dengan hasrat kementerian yang mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai
kerjaya itu.
Namun kelonggaran diberikan
kepada pelajar Sabah dan Sarawak yang hanya disyaratkan memperoleh
sekurang-kurangnya 5A dalam SPM memandangkan terdapat jurang pencapaian
akademik antara negeri itu dengan negeri-negeri di Semenanjung.
Isu mengenai pentingnya minat
untuk menjadi seorang guru yang terbaik juga pernah menjadi tema filem
Hollywood bertajuk The School of Rock pada 2003.
Dalam filem itu, anggota kumpulan
rock, Dewey Finn (yang dibintangi pelawak Jack Black) telah menyamar sebagai
guru gantian di sebuah sekolah menengah atas.
Walaupun tidak mempunyai
kelayakan akademik untuk mengajar, dia akhirnya telah berjaya mengubah pelajar-pelajarnya
menjadi penyanyi dan pemuzik yang berjaya.
Soal pentingnya minat juga turut
disentuh beberapa kesatuan guru yang telah menyatakan bantahan sebaik saja
syarat baharu itu diumumkan.
Ini termasuk Kesatuan Guru-Guru
Melayu Malaysia Barat (KGMMB) yang menyifatkan syarat tersebut sebagai tidak
realistik.
Bagi Presiden KGMMB, Mohamed
Sabri Mohd. Arsad, pelajar yang cemerlang di dalam bidang akademik bukan satu
jaminan untuk melahirkan guru terbaik.
Apa
yang lebih penting mereka hendaklah mempunyai minat, kemahuan, aktif serta
sifat kasih sayang yang begitu tebal terhadap anak-anak murid.
Saya
percaya pelajar-pelajar yang memperoleh 5A atau 6A dalam SPM juga mampu menjadi
seorang guru yang baik lebih-lebih lagi sekiranya mereka benar-benar berminat
untuk menjadi seorang guru," ujarnya.
Menurut beliau, selain kelayakan
akademik, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum perlu diberi penekanan kepada
mereka yang ingin menceburi profesion perguruan bagi meningkatkan taraf
profesion itu yang semakin mencabar.
Dalam pada itu, beliau melahirkan
kebimbangan usaha untuk menarik lebih ramai pelajar yang memperoleh 7A dalam
SPM untuk menceburi bidang perguruan tidak berjaya kerana pelajar terbabit
mempunyai peluang untuk memilih jurusan lain yang menawarkan gaji lebih
lumayan.
Kebiasaannya
mereka akan memilih bidang-bidang lebih profesional seperti doktor atau
jurutera apabila melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.
Ini
realiti yang berlaku. Hakikatnya, profesion perguruan tidak dapat menjanjikan
pulangan lumayan kepada mereka berbanding bidang-bidang profesional yang
lain," katanya.
Sehubungan itu, beliau
mencadangkan kementerian menawarkan gaji yang lebih tinggi dan kemudahan lain
seperti perumahan kepada guru yang berkelulusan cemerlang.
Kalau
nak ambil guru yang berkelulusan baik, kebajikan mereka juga perlu dijaga,
sekolah ini sampai kawasan pedalaman pun ada. Mungkin elaun tambahan yang lain
perlu diadakan," katanya.
Bersetuju dengan pendapat itu
ialah Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin
Abdul Rahman yang menegaskan pihaknya menentang keras langkah terbaharu
kementerian itu.
Beliau berkata, kelulusan
akademik bukanlah kriteria utama yang melayakkan seseorang itu menjadi guru
yang berdedikasi.
Sebagai
bekas pelajar kita tahu bahawa guru yang terbaik bukan sahaja cemerlang dari
segi kelulusan akademiknya sebaliknya ia juga melibatkan soal minat, dedikasi
untuk mengajar dan perasaan sayang yang ditunjukkan kepada anak didiknya,"
ujar beliau.
Bagi mengelak mereka yang
berminat untuk menjadi guru tersekat kerana syarat yang terlalu ketat
dikenakan, beliau meminta syarat minimum itu dibatalkan dan digantikan dengan
kelayakan akademik yang munasabah.
Kita
mengakui kelayakan akademik juga penting tetapi ia tidak boleh lebih penting
daripada kelayakan lain yang boleh menjadikan seseorang itu diiktiraf sebagai guru
berkualiti," katanya.
Tambah beliau, satu kaedah yang
boleh dilakukan kementerian adalah mengadakan sesi temu duga sebelum pelajar
diterima mengikuti pengajian dalam bidang perguruan.
Sesi
temu duga ini akan membolehkan kita mengetahui adakah mereka benar-benar
berminat untuk menjadi seorang guru atau kerana ia pilihan akhir setelah tidak
berjaya mengikuti pengajian dalam bidang lain," katanya.
Menurut Ezaruddin, beliau akan
mendapatkan persetujuan daripada lain-lain Exco GPMS untuk menghantar satu
bantahan rasmi kepada Kementerian Pendidikan berhubung syarat baharu itu.
Kepada pihak kementerian,
dengarlah secara serius pandangan badan-badan yang mewakili guru dan pelajar
terbabit.
Ini bagi memastikan pelajar yang
mempunyai minat dan dalam masa sama memperoleh keputusan yang munasabah dalam
SPM dapat meneruskan hasrat mereka untuk menjadi seorang pendidik.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/