PADA tahun-tahun 1970-an, ada
seorang pemimpin Asia yang mendidik anaknya supaya belajar bahasa Rusia. Ini
kerana beliau yang terkenal bijak menjangkakan bahawa Soviet Union bukan saja
terus menjadi kuasa besar tetapi bertambah kepentingannya pada masa akan datang
termasuk bagi benua Asia.
Jika Soviet Union bertambah kuat,
malahan dapat menyaingi Amerika Syarikat, maka tentulah bahasanya juga menjadi
penting dan terpaksa dipelajari oleh banyak orang asing, termasuk di kalangan
tokoh-tokoh Asia.
Maka tidak hairanlah Pusat
Kebudayaan Soviet pernah dibuka di Jalan Tun Razak pada tahun-tahun 70-an.
Kedudukannya hanya beberapa langkah daripada Pusat Kebudayaan Lincoln di Jalan
Ampang, iaitu pusat bagi mengembangkan maklumat dan pengetahuan mengenai
Amerika Syarikat.
Penulis sendiri pernah cuba
belajar bahasa Rusia di pusat itu tetapi hanya mampu membaca ejaan bahasa itu yang
menggunakan tulisan Cyrillic.
Pada satu ketika sememangnya
Soviet Union dilihat sebagai kuasa yang sedang menguasai banyak bahagian dunia.
Maka bahasa Rusia yang merupakan bahasa rasmi negara itu bukan saja menjadi
penting di seluruh republik-republik di dalamnya seperti Kazakhstan, Ukraine
dan seumpamanya tetapi juga negara-negara komunis yang berada di bawah pengaruh
Moscow seperti yang berada di Eropah Timur dan juga Mongolia, China, Korea
Utara dan Vietnam Utara,
Malah republik-republik bukan
Rusia berasal Islam yang mempunyai bahasa sendiri turut mengambil Cyrillic
sebagai tulisannya bagi menggantikan tulisan Arab. Mereka tidaklah mengambil
tulisan rumi seperti mana Turki, Indonesia dan bahasa Melayu.
Siapa sangka ketika itu bahawa
Soviet Union akan tumbang dan republik-republik di dalam gabungannya mengisytiharkan
kemerdekaan.
Tanpa Soviet Union, Rusia tidak
lagi dianggap penting di luar daripada Persekutuan Rusia. Sebaliknya
negara-negara Eropah Timur dan Asia Tengah yang terlepas daripada cengkaman
Moscow kini lebih berminat menguasai bahasa Inggeris daripada Rusia.
Malah negara-negara yang
menggunakan tulisan Cyrillic seperti Kazakhstan bagi bahasa mereka sedang
merancang untuk menukar tulisannya kepada rumi. Itulah yang akan dilakukan oleh
Kazakhstan dalam masa lima tahun akan datang.
Itulah nasib bahasa Rusia dan
tulisannya, Cyrillic apabila Soviet Union kalah kepada Amerika Syarikat dalam
Perang Dingin. Atas keunggulan Amerika, bahasa Inggeris menjadi bahasa global
dan kini semua bangsa mahu menguasainya.
Maka anak pemimpin Asia yang
menguasai bahasa Rusia itu mendapati bahasa itu sudah hilang kepentingannya.
Bahasa Inggeris sememangnya sudah dikuasai oleh negara itu.
Tetapi kuasa yang menggantikan
Soviet Union untuk mencabar Amerika Syarikat adalah China. Maka Mandarin juga
meningkat kepentingannya.
Justeru tidak hairanlah bahawa
republik kecil Asia itu sudah sekian lama menekankan kepentingan Mandarin.
Kesedaran kepentingan Mandarin turut sampai ke Australia, sebuah negara yang
dikuasai keturunan Inggeris tetapi mahu dianggap sebagai sebuah negara Asia.
Malah ada pemimpin utama
Australia keturunan Inggeris yang menguasai Mandarin bagi memudahkan hubungan
mereka dengan China. Keunggulan ekonomi membawa kekuatan bahasa.
Bagi orang Malaysia, tidak ada
siapa yang berminat untuk mempelajari bahasa Rusia ketika Soviet Union berada
di kemuncaknya pada tahun-tahun 1970-an.
Kalau ada tawaran daripada
kerajaan Soviet kepada pelajar Malaysia untuk menuntut di universiti di sana,
tentulah dipandang curiga khususnya di Universiti Lumumba di Moscow, kerana ia
mendidik para pelajar antarabangsa untuk menjadi profesional komunis.
Tetapi kini, suatu yang dahulu
tidak dijangka, sudah banyak orang Malaysia yang pandai berbahasa Rusia. Ini
kerana sejak Soviet Union tumbang, banyak anak-anak Malaysia yang dihantar ke
sana untuk mempelajari perubatan.
Maka untuk itu, penguasaan bahasa
Rusia tentulah menjadi penting. Tetapi di Eropah, bahasa Rusia mempunyai
kepentingannya tersendiri.
Ini kerana di atas runtuhan
komunis Soviet, maka muncul jutawan-jutawan kapitalis Rusia yang banyak
berbelanja dan melabur di Eropah. Dari Jerman, Austria, Switzerland hinggalah
ke Greece, jutawan-jutawan ini membuat pelaburan dan berbelanja hinggakan
bahasa mereka juga dipandang penting.
Justeru pada keseluruhannya,
politik dan ekonomi yang menyebabkan sesuatu bahasa itu meningkatkan
kepentingannya.
Tetapi bagaimana pula dengan
kepentingan bahasa Melayu?
Apabila berakhirnya Perang Dunia
Kedua, maka ternyata kuasa-kuasa Barat tidak boleh kembali menjajah seperti
sebelum Jepun menawan Asia.
Setiap negara yang merdeka dari
penjajahan Barat mahukan bahasa sendiri sebagai bahasa rasmi.
Indonesia yang bebas daripada
penjajahan Belanda mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasanya dengan nama
Bahasa Indonesia.
Dengan kuasa politik menguasai
sebuah negara besar dan penduduk banyak, tentulah bahasa Melayu dalam bentuk
Bahasa Indonesia menjadi penting dan dipandang mempunyai masa depan cerah.
Maka begitu juga dengan Malaya
yang merdeka pada tahun 1957. Dengan memiliki bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, ia juga dipercayai pada masa itu akan turut menjadi penting pada
masa depan.
Ia menjadi lebih penting apabila
Malaysia ditubuhkan dengan bahasa Melayu dikenali sebagai Bahasa Malaysia
dengan turut dianggap sebagai bahasa rasmi di Sarawak, Sabah dan Singapura.
Bahasa Melayu wajar menjadi kuat
apabila Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia bersatu. Maka penyelarasan ejaan
yang dilakukan oleh Tun Razak dan Suharto adalah langkah awal untuk itu.
Tetapi sayangnya Indonesia tidak
muncul sebagai kuasa ekonomi yang besar baik pada zaman Sukarno mahupun
Suharto. Andai kata ekonomi Indonesia maju, maka kepentingan Bahasa Indonesia
meningkat.
Jika kedua-dua Malaysia dan
Indonesia maju, maka akan majulah juga bahasa Melayu.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/