Isnin, 1 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Rapatkan jurang pendidikan di Sabah, Sarawak


Oleh : Jeniri Amir

Kekurangan kemudahan jejas kualiti, prestasi pelajar

Ketika menjadi nazir sekolah dan Timbalan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum pada dekad 1980-an dan awal 1990-an, satu daripada tugas utama penulis ialah melawat sekolah, termasuk di luar bandar.

Tujuannya untuk menilai proses pembelajaran guru dan kemudahan sekolah. Sebelum dan selepas lawatan, biasanya kami berbincang dengan guru besar atau pengetua, mencadangkan langkah memperbaiki kemudahan dan prestasi sekolah.

Isu berkaitan kedaifan sekolah luar bandar di negara ini memang sentiasa diberi perhatian oleh pelbagai pihak. Wakil rakyat di Sabah dan Sarawak sentiasa membangkitkan isu terbabit di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, sekali gus memperlihatkan komitmen serta keprihatinan mereka untuk memastikan kualiti dan kemudahan pendidikan di negeri berkenaan setaraf dengan negeri lain di Semenanjung.

Mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Puad Zarkashi yang banyak melawat sekolah di luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak tentu lebih arif masalah sekolah terbabit, dan aspirasi penduduk serta pelajarnya. Tidak dinafikan, kedaifan sekolah dan kekurangan kemudahan persekolahan di kedua-dua negeri ini sedikit banyak menjejaskan minat serta kesungguhan pelajar, seterusnya kualiti dan prestasi dalam peperiksaan.

Peruntukan RM2 bilion

Kekurangan itu menyebabkan sebahagian pelajar tercicir berbanding kanak-kanak di bandar. Kementerian Pendidikan telah berusaha meningkatkan kemudahan dan menyediakan prasarana sekolah di Sabah dan Sarawak membabitkan peruntukan RM2 bilion bagi memastikan pelajar di luar bandar serta pedalaman tidak tercicir. Peruntukan itu bertujuan memberi manfaat kepada setiap pelajar luar bandar dalam usaha melahirkan modal insan cemerlang.

Apakah masalah yang dihadapi sekolah pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak? Perumahan guru, air bersih dan elektrik, kemudahan makmal serta pusat sumber, kekurangan guru terlatih, bilik darjah tidak mencukupi dan keadaan asrama yang daif antara masalah yang tidak pernah selesai. Ketiadaan kemudahan atau kemudahan yang daif, tentu menimbulkan ketidakselesaan dan risiko dari segi keselamatan. Wajarkah kanak-kanak terbabit tinggal dan belajar dalam keadaan daif ketika rakan mereka di kota dan bandar menikmati kemudahan begitu selesa?

Malah, kanak-kanak di kampung penulis (Kampung Tellian) tidak mempunyai sekolah sekitar 10 tahun kerana sekolah sedia ada tidak selamat digunakan. Akibatnya, murid sekolah rendah itu terpaksa menumpang di sekolah rendah yang agak jauh dari kampung. Ibu bapa merungut kerana ia memerlukan kos yang lebih, selain risau keselamatan anak. Persoalannya, bilakah sekolah itu akan dibina?

Ketika kita meraikan ulang tahun ke-50 pembentukan Malaysia pada tahun ini, bukan sesuatu yang keterlaluan jika ibu bapa dan penduduk di pulau, pesisiran, pergunungan dan lembah di negeri terbabit memohon perhatian lebih bersungguh-sungguh diberi bagi memastikan negeri ini tidak ketinggalan dengan arus kemajuan pendidikan.

Langkah Kementerian Pendidikan menubuhkan pasukan khas memantau serta mengenal pasti masalah sekolah di pedalaman seperti diumumkan Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Mary Yap Kain Ching baru-baru ini, memang dialu-alukan. Sebanyak 814 sekolah di Sabah dan Sarawak dikategori sebagai pedalaman dan kerajaan berusaha mengatasi masalah menerusi pelan jangka pendek serta panjang.

Anjak kualiti pendidikan

Jawatankuasa itu perlu memberi perhatian terhadap aspek profesionalisme guru dan pengurusan sekolah, penempatan guru terlatih dengan opsyen sesuai, infrastruktur dan kemudahan asas sekolah, serta tahap literasi dan kemiskinan murid luar bandar. Ini antara faktor penyumbang pelbagai permasalahan pendidikan di luar bandar. Mengapakah kemudahan dan kualiti pendidikan di luar bandar perlu ditingkatkan? Apakah langkah terbaik untuk mengatasi masalah kekurangan murid? Bagaimanakah murid miskin dapat dibantu dari segi pelajaran dan kemudahan, termasuk buku rujukan?

Hakikat kadar celik huruf, kemiskinan, keciciran dan masalah sosioekonomi yang lain masih membelenggu luar bandar dan pedalaman, sudah memadai untuk kita menganjakkan kualiti pendidikan di sana. Kanak-kanak luar bandar perlu diberi kemudahan dan guru terbaik bagi memungkinkan mereka meraih keputusan terbaik dan akhirnya keluar daripada kemiskinan.

Kejayaan teknokrat dan profesional dari luar bandar hari ini kerana kejayaan mereka mendapat pendidikan. Pelajar miskin dan kekurangan zat mudah letih dan mengantuk di dalam kelas, dan sukar memahami dan menyerap apa-apa yang dipelajari.

Penulis ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan