Isnin, 8 April 2013

ISU SOSIAL : Jangan salahkan orang lain


BARU-BARU ini satu program motivasi untuk para pekerja telah dijalankan. Kebanyakan yang datang ditanggung oleh majikan masing-masing kecuali beberapa orang sahaja yang hadir dengan perbelanjaan sendiri. Menariknya, ketika ditanya tentang masalah di tempat kerja mereka, pelbagai jawapan yang diterima. Ada yang stres kerana merasakan bos menganaktirikan mereka. Ada yang berkata rakan sekerja kaki ponteng hingga mereka terpaksa melakukan lebih banyak kerja dan memikul tugas orang lain. Ada yang berkata organisasi tempat mereka bekerja tidak menghargai pekerja dan pelbagai lagi luahan hati mereka.

Semua luahan itu mempunyai persamaan yang ketara iaitu menyalahkan orang lain dan tidak diri sendiri. Apabila kita mahukan sesuatu dan mengharapkan pihak lain yang berubah maka berkemungkinan perubahan itu tidak akan berlaku, atau kalau berlaku sekali pun, lambat. Hasilnya kita kecewa, tertekan dan hampa. Inilah situasi yang dapat dilihat setiap hari dan di mana-mana sahaja sama ada dalam pekerjaan, pelajaran, perniagaan, pengurusan, kepimpinan dan sebagainya. Kita lihat di luar diri dan tidak melihat ke dalam diri.

Dengan melihat masalah berada di luar diri, maka kita tidak mencari ruang untuk melakukan perubahan. Kita selesa dengan diri sendiri dan akhirnya tiada peningkatan atau kemajuan dalam hidup. Sebaliknya jika kita ambil tanggung jawab dan menyalahkan diri sendiri maka kita terbuka kepada perubahan.

Allah berfirman dalam al-Quran yang mafhumnya:

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosamu."(QS. As Syura, 42 : 30)

Perhubungan

Sikap suka menyalahkan orang lain ini berlarutan dalam semua aspek kehidupan termasuk perhubungan. Misalnya, kita menyalahkan jiran yang tidak memahami kita, sedangkan yang sebenarnya kita yang tidak terlebih dahulu memahami mereka. Kita tidak mewujudkan hubungan yang akrab agar mereka ada rasa segan dan hormat pada kita. Kita menyalahkan anak sebab mendapat markah yang rendah dalam peperiksaan, sedangkan mungkin kita yang kurang memberikan perhatian terhadap pelajaran dan persekolahannya selama ini.

Nampaknya, walaupun kita sudah mencapai pelbagai kemajuan dalam hidup, namun lagu Bangau Oh Bangau masih lagi menjadi budaya hidup yang berakar umbi dalam fikiran tanpa disedari. Dalam lagu ini, masing-masing menyalahkan orang lain atas masalah yang menimpanya.

Kini sudah tiba masanya untuk kita sedar bahawa dalam hidup ini orang lain tidak boleh menjadikan kita berjaya selagi kita tidak mempraktikkan apa yang disebut sebagai akauntabiliti iaitu bertanggung jawab atas apa yang berlaku serta menerima apa juga kesan daripadanya. Oleh itu, mulai hari ini apabila berlaku sahaja sesuatu perkara yang kita tidak suka, atau hajat kita tidak kesampaian, maka nilai dan carilah kesalahan diri sendiri dan fikirkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki diri lalu bertindak dengan cara atau pendekatan yang berbeza. Barulah hasilnya juga nanti berbeza.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kebebasan Mahasiswa Biar Berpada-pada


Oleh : Ruhaiza Rusmin

KESUKARAN menjangka apakah keinginan dan kehendak sebenar mahasiswa alaf baru terhadap perkembangan dunia politik tanah air mengakibatkan tercetusnya pelbagai insiden memalukan.

Biarpun hanya segelintir menconteng arang namun kesan terpalit seperti ditanggung keseluruhan mahasiswa menyebabkan ramai pihak beranggapan golongan itu ‘pencetus masalah baru’ di pentas politik tanah air.

Malah, tindak-tanduk di luar batasan juga memberi persoalan besar di mata masyarakat, apakah mereka mampu menjadi bakal pemimpin negara pada masa depan.

Persoalannya, di manakah integriti mahasiswa moden hari ini selepas pelbagai insiden memalukan melanda mereka?

Dan, bagaimanakah integriti golongan terbabit menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi?

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata integriti mahasiswa perlu diletak sebaris dengan nilai rasional supaya apa jua tindakan diambil masih di bawah pertimbangan akal.

Beliau berkata, tidak mengira masa atau keadaan, golongan itu tidak boleh meletak nilai integriti mereka sembarangan kerana bukan saja menjejaskan imej malah meranapkan masa depan.

“Mahasiswa seharusnya meletak nilai integriti pada tahap sangat berharga hingga tidak boleh diperkotak katikkan, dipersoal atau dipergunakan.

“Golongan ini mesti menjadi satu kelompok berkecuali yang mempunyai idea perjuangan sendiri. Dan, perjuangan itu mesti berpaksikan  kematangan dan rasional.

“Bukanlah melakukannya kerana desakan emosi, membuta tuli atau didesak pihak lain. Mahasiswa perlu menjaga nilai eksklusif mereka,” katanya.

Katanya, pelbagai insiden memalukan yang membabitkan mahasiswa sejak kebelakangan ini tidak harus berlaku jika mereka matang dan pandai menjaga nama baik diri sendiri dan institusi.

Malah, menjelang PRU, tindak-tanduk mahasiswa akan lebih diperhatikan dan menjadi intaian masyarakat.

“Biarpun secara kasarnya, masyarakat kurang memberi tindak balas, tapi apa saja perlakuan mereka tetap menjadi perhatian.

“PRU kali ini menjadi medan politik baru bagi mereka. Sudah pasti setiap tindak-tanduk akan diperhatikan.

“Justeru, jika benarlah mereka mahasiswa yang bijak, PRU ini boleh dijadikan platform meningkatkan imej dengan membuktikan kematangan melalui perlakuan dan sikap,” katanya.

Menurutnya, masyarakat juga tidak pernah mempertikaikan mengenai hak, naluri, keinginan mahupun pendapat yang ingin diketengahkan golongan itu.

“Tapi, cara pendekatan itu perlulah matang selari dengan nama mahasiswa itu sendiri yang dikategorikan sebagai terpelajar.

“Tidak perlu terlalu beremosi. Kita hidup dengan tamadun dan bersama masyarakat, peraturan perlu dipatuhi,” katanya mengakui sikap kurang rasional boleh menghakis kepercayaan orang lain secara tidak langsung.

“Apabila mahasiswa kurang dipercayai, nilai eksklusif diri mereka akan jatuh. Mereka bakal pemimpin tapi bolehkah memimpin orang lain jika begini perlakuannya.

“Sesiapa pun pasti menolak calon begitu. Pemimpin perlu ada kematangan, mampu berfikir panjang, berwibawa dan rasional, bukannya keterlaluan, singkat pemikiran dan mengikut hati.

“Tindakan dan pemikiran singkat bukan saja mencalit kesalahan pada satu pihak, malah seluruh nama mahasiswa akan tercemar. Ini kerana mahasiswa juga adalah satu jenama kepada negara,” katanya.

Isu mahasiswa bertindak ‘luar biasa’ dan ‘ luar kawalan’ pastinya akan mencuri perhatian ramai menjelang PRU ke-13 kelak.

Biarpun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Seksyen 15 yang dulunya dijadikan senjata utama mereka ‘memberontak’ sudah dipinda, mahasiswa seperti masih ada permintaan lain ingin dipinta.

Tindakan itu memualkan masyarakat yang mungkin sudah bosan melihat gelagat golongan yang dikatakan terpelajar itu.

“Mereka marah jika masyarakat mengatakan mahasiswa kurang ajar, tapi cara mereka bukan seperti golongan terpelajar.

“Sesiapapun pasti mempunyai persepsi serupa jika melihat perlakuan seperti itu di depan mata. Malangnya ia juga tidak adil untuk mahasiswa lain.

“Yang membuat onar hanya segelintir, akibatnya ditanggung semua,” katanya.

Beliau turut tidak menolak tindakan itu melambangkan ketaksuban kepada ideologi masing-­masing hingga sanggup melanggar peraturan dan prinsip.

“Tidak kiralah sama ada ideologi diperjuangkan betul atau tidak, tetapi peraturan dan undang-undang sudah jelas dan terpakai.

“Kita hidup dalam tamadun manusia, jangan rendahkan maruah diri ke tahap paling bawah yang mungkin mengundang tertawa orang lain.

“Jika kita ikut saluran yang betul serta tahu meletakkan di mana nilai ilmu dan harga diri, orang lain akan lebih menghormati,” katanya.

Mahasiswa, akuinya, sudah banyak diberi kebebasan untuk meluahkan pendapat, namun masih ada yang kurang bijak memanfaatkannya.

“Bebas boleh, tapi biarlah berpada-pada. Kita manusia ada adat, ada aturan hidup dan hidup bermasyarakat.

“Yang mereka pinta sudah ditunaikan, tetapi masih juga tidak berpuas hati. Persoalannya, apa yang mereka hendak sebenarnya?” soalnya.

Beliau juga menggesa mahasiswa tidak melupakan etika sewaktu PRU andai kata berminat untuk mengetahui perjalanan politik tanah air.

Menurutnya, ia juga saat terbaik belajar dan melihat senario sebenar sistem demokrasi di negara ini.

“Di institusi pengajian tinggi, banyak ilmu boleh dipelajari ,tetapi kita usah menyekat mahasiswa memperoleh pengalaman atau ilmu daripada  sumber lain.

“PRU kali ini mencetuskan sejarah tersendiri kerana pertama kali membenarkan mahasiswa berkelayakan mengundi.

“Gunakannya sebagai cermin bagi menilai diri sendiri. Pesan saya akal yang waras akan menghasilkan keputusan dan tindakan yang tepat,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/