Oleh ZAINAL RASHID AHMAD
PADA awal abad ke-20 (1905-1980), ahli falsafah Perancis
yang terkenal Jean Paul-Sartre mencabar kewujudan Tuhan dengan menyatakan:
"Sekalipun Tuhan itu ada, ia masih boleh ditolak, kerana Tuhan menghalang
kebebasan kita".
Sartre, pemenang Hadiah Nobel 1964, antara ilmuwan besar
Barat yang mempromosi aliran pemikiran existensialisme. Aliran ini kemudiannya
meledakkan bahana fikir yang amat besar di seluruh dunia, malah sangat
dibangga-banggakan oleh masyarakat sastera sejagat.
Existensialisme sangat berkembang-biak dalam budaya cerdik
pandai masyarakat Barat, dan menjadi tunjang kepada kebangkitan sastera di
Eropah dengan dikepalai oleh Albert Camus (1913-1960) melalui novel The
Outsider (1942). Camus dengan sumbangan seninya yang mempertikaikan Tuhan,
turut menerima Anugerah Nobel (1960).
Seratus tahun kemudian, Barat dipenuhi dengan kepelbagaian
gerakan "ilmiah" yang saling bersekutu dalam menentang Tuhan dan
nilai-nilai agama. Ancamannya di dunia Islam pada awal hingga pertengahan abad
ke-20 amat terkekang. Namun kehadiran Salman Rushdie melalui novel The Satanic
Verses pada 1988 mula menggoncang keadaan. Akhirnya, pada dekad pertama abad ke
21, gerakan anti agama menyerap masuk ke negara Islam dan mula bersikap anti
Islam.
Kehadiran pelobi liberalisme, pluralisme dan penyokong
kemerdekaan seks untuk pengamal Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)
adalah kombinasi sekutu-sekutu gerakan anti Tuhan/Agama yang mula berdiri
dengan berani mendepani masyarakat Malaysia yang selama ini ditunjangi oleh
nilai agama sebagai amalan kehidupan. Sekali gus menentang Islam.
Selain negara ini, ancaman gerakan penentang Tuhan ini turut
mengancam masyarakat Indonesia yang juga berpegang pada Islam sebagai nilai
kehidupan.
Menurut Ketua Program Pendidikan Islam, Universiti Ibnu
Khaldun, Bogor Indonesia, Dr. Adian Husaini, pelobi liberalisme mengambil
kesempatan di atas meledaknya gerakan keterbukaan dunia terhadap ekonomi,
politik dan hak asasi, dengan menyusup masuk ke akar umbi negara bangsa untuk
menentang nilai-nilai agama terutama di kalangan masyarakat yang berpegang
teguh pada hukum agama sebagai teras kepada nilai kehidupan.
"Pelobi liberalisme mahu setiap agama tunduk kepada
perubahan. Idea terpenting dalam liberalisasi ialah the idea of progress yakni
idea tentang kemajuan dan tidak ada yang tetap. Bagi pelobi sekularisme dalam
mengembangkan pluralisme, tiada lagi syariat dan hukum. Agama hendaklah berubah
mengikut peredaran masa," jelasnya.
Justeru katanya, kehadiran Irsyad Manji untuk mencabar
amalan Islam dan budaya luhur di Malaysia dan Indonesia, adalah agenda yang
jelas untuk mempromosi liberalisasi antara pelbagai agama.
"Mengapa dia mengembangkan liberalisme? Baginya Irshad
Manji, sekarang tidak lagi sekatan, contohnya perkahwinan Muslim dan bukan
Muslim. Itu boleh demi liberalisasi," kata Adian.
Dr. Adian berkata demikian ketika dijemput menjadi panel
Bicara terbitan TV Alhijrah baru-baru ini. Turut hadir sebagai panel,
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail. Program Bicara yang
bersiaran langsung selama sejam ini, dihoskan Pakar Motivasi, Amin Idris.
Berhubung isu penyebaran dan penularan gerakan sekularisme
yang sangat agresif dalam mempromosi budaya menentang Tuhan dan nilai-nilai
beragama di kalangan umat Islam, Shahlan berkata, sekularisme ini ialah ibu
segala macam pemikiran yang berkembang dengan kaedah perancangan jahat untuk
memisahkan kehidupan duniawi dan ukhrawi.
"Mereka menolak nilai-nilai umat Islam yang selama ini
berpegang pada iktikad keyakinan wujudnya Hari Kebangkitan. Jika sudah tidak
ada lagi iktikad kebangkitan semula, apa ertinya dosa dan pahala, apa erti
syurga dan neraka," tegasnya.
Bagi pelobi sekularisme yang berjuang mempromosi liberalisme
dan pluralisme pula, beliau menyifatkannya sebagai golongan yang menolak Islam
dan Rukun Negara. Bukankah Rukun Negara pertama itu sendiri meletakkan
Kepercayaan Kepada Tuhan, jika tidak percaya wujudnya Tuhan, "nanti akan
timbul pula isu atheist.
Mereka mahukan segala nilai Islam yang berkaitan dengan
keimanan turut ditolak. Tiada lagi panduan nilai agama dan tidak ada lagi
kepercayaan kepada ketuhanan apa lagi hal-hal keimanan kepada yang ghaib, juga
tidak ada lagi hukum hakam dalam Fiqh," katanya.
Shahlan turut menyeru cendekiawan Islam supaya bersatu dalam
soal mendepani dan menentang gerakan anti agama ini. Katanya, pemikir dan
aktivis Islam harus duduk bersama, bersepakat dan menyusun strategi yang ampuh
bagi menyingkir pengaruh serta penularan idea sekularisme yang berpaksikan pada
pluralisme, liberalisme dan mendokong gerakan LGBT yang terang-terangan
didokong oleh beberapa pemimpin dan nama-nama tempatan yang sengaja mencabar
Islam dan institusi kenegaraan.
"Bahayanya tuntutan golongan Liberalisme ini dalam
konteks Malaysia, mereka menolak apa yang telah termaktub dalam perlembagaan
kita. Jika dibiarkan mereka akan menuntut supaya anak yang baru lahir dalam
keluarga Islam pun tidak secara automatiknya beragama Islam," katanya.
Tegas Shahlan lagi, anasir sekularisme ini turut mendesak
supaya mualaf yang memeluk Islam juga bebas kembali ke agama asal mereka.
Malah, bagi isu tuntutan untuk bertukar agama, tidak perlu dirujuk di mana-mana
mahkamah Syariah, malah sebaliknya, tiap pemohon bebas bertukar agama dengan
memohon di mahkamah sivil.
Merujuk kepada suasana di Indonesia masa kini, Dr. Adian
melahirkan kebimbangan kerana penyusupan gerakan anti agama ini kini bertapak
kukuh dan mempunyai pengaruh di negara umat Islam terbesar dunia itu.
"Akar liberalisme agama sebenarnya berakar dari Yahudi.
Munculnya liberal judaism membentuk sektor utama dalam agama Yahudi,"
tegasnya.
Malah Dr. Adian turut membentangkan fakta, betapa Indonesia
sangat terbuka pada pengaruh sekularisme yang bersifat memusuhi agama kerana
negara itu antara yang terawal di rantau ini disusupi aliran freemason yang
dianggap ibu bagi segala pemberontakan terhadap agama.
"Gerakan liberal Barat yang digelar freemason bermula
pada 1717, kemudian masuk ke Amerika pada 1735. Freemason Berjaya melaksanakan
Revolusi Amerika pada 1176 dan 12 tahun sebelum kejayaan revolusi itu, mereka
sudah bertapak di Indonesia pata 1764," jelasnya.
Disoal mengenai Irshad Manji, Dr. Adian menjelaskan, Irshad
Manji berani berterus terang sebagai wanita Muslim yang mengamalkan gaya hidup
lesbian, malah mencabar Fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI) berhubung
pengharaman lesbian.
"Irshad Manji menolak dan mencabar MUI dan menyifatkan
fatwa pengharaman itu sebagai tidak merujuk pada al-Quran. Malah dicelanya
ulama sebagai golongan yang belum tentu diterima Tuhan," katanya.
Dengan nada memperingatkan pejuang Islam di Malaysia agar
berhati-hati dan bersiap-siaga mendepani jihad menentang golongan anti Islam
ini, Dr. Adian mendedahkan, liberalisme ini akhirnya akan menghancurkan agama.
Golongan anti agama ini tidak mahu berpegang pada hukum Allah malah mahu
mengaturkan hidup berdasarkan nilai-nilai kebebasan dalam tafsiran mereka
sendiri.
Mengakhiri debat dalam Bicara, Shahlan turut mengingatkan
remaja Islam agar berwaspada dengan gejala hedonism (hiburan tanpa batas), yang
turut dilihat sebagai anasir anti agama yang menyusup masuk ke dalam masyarakat
melalui keindahan 'seni' yang mereka cipta.
"Hedonisme turut menjadi alat penyusupan ideologi
pluralisme dan sekularisme, kerana hedonisme turut mempromosi budaya kebebasan
berhibur yang semata-mata untuk memuaskan nafsu," tegasnya.
Shahlan meminta umat Islam menelaah diri, serta kekal
konsisten dalam mempertahankan Islam. Umat Islam sudah terlalu terbeban dengan
masalah perpecahan dan sengketa sesama umat. Anehnya di saat-saat kita
menghulur tangan untuk bersatu padu sesama agama dan bangsa, ada saja
suara-suara yang menolak atas berbagai alasan.
Hal ini harus kita fikirkan bersama bahawa siapakah watak-watak
yang mahukan kita berterusan berpecah seperti hari ini. Kata Perdana Menteri
bahawa pintu perbincangan sentiasa terbuka antara UMNO dengan pihak-pihak lain
tetapi apakah jawapan yang telah mereka berikan.
"Agenda idealisme anti-Islam ini harus diperangi.
Adalah malang bagi umat Islam sekiranya, gerakan jahat ini berjaya menjajah
kita semata-mata kerana Islam itu menjadi lemah kerana perpecahan dan sengketa
sesama umatnya," tegasnya.
PENULIS ialah Pengurus Besar Penerbitan Kandungan TV Al Hijrah
Sumber : http : //www.utusan.com.my/