Jumaat, 29 Oktober 2010

ISU SOSIAL : Jangan kompromi keselamatan anak

Oleh ROHANI IBRAHIM

Hari Kanak-kanak dipersetujui oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB) pada 1954. Lima tahun kemudian, PBB mengisytiharkan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November 1959. Namun sejak 1959, Malaysia menyambut Hari Kanak-Kanak pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober.
Sambutan berkenaan bertujuan memberi pengiktirafan kepada golongan kanak-kanak dalam menentukan kesejahteraan mereka sebagai aset negara yang paling berharga.
Pada hari ini daripada 28 juta penduduk Malaysia, kira-kira 40 peratus atau 11.2 juta penduduk merupakan kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah.
Biarpun kanak-kanak di negara ini hidup dalam persekitaran yang aman damai tanpa diancam kebuluran atau pergolakan bersenjata seperti beberapa negara lain, pelbagai gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Antara masalah sosial yang membawa impak negatif kepada kanak-kanak di negara ini adalah masalah keganasan fizikal dan seksual, penderaan, kes kehilangan kanak-kanak dan buang bayi.
Masalah lain yang menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai keselamatan kanak-kanak di Malaysia sejak akhir-akhir ini termasuklah kes kanak-kanak yang didera sehingga mati oleh teman lelaki si ibu seperti kes yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari dan Allahyarham Aaliyah Aiman Hussin Abdullah serta kes bayi yang mati kerana pelbagai sebab di rumah pengasuh.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Meme Zainal Rashid ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini berkata, antara kesedaran yang perlu ditingkatkan ialah sikap segelintir ibu tunggal muda mengenai keselamatan anak perempuan mereka yang dengan mudah meninggalkan anak perempuan bersama teman lelaki.
''Saya ingin nasihatkan ibu tunggal supaya tidak terlalu mudah mempercayai orang lain untuk meninggalkan anak masing-masing ketika keluar bekerja. Sepatutnya, ibu tunggal mencari pendekatan lain seperti meninggalkan anak kecil dengan keluarga sendiri berbanding teman lelaki.
''Namun, mungkin keadaan itu berlaku disebabkan oleh tekanan hidup seperti masalah kewangan dan sebagainya yang menghalang ibu berkenaan daripada menghantar anaknya ke pusat asuhan kanak-kanak.
"Walau apa pun masalah yang dihadapi oleh ibu berkenaan, aspek keselamatan anak mereka perlu diberi keutamaan," jelasnya.
Mengenai banyak kes bayi yang mati ketika dalam jagaan pengasuh pula, Meme berkata, kebanyakan pasangan bekerja memilih untuk meninggalkan anak mereka bersama pengasuh yang tinggal berdekatan rumah dan mengikut kemampuan masing-masing.
''Daripada maklumat yang JKM terima, terdapat pengasuh yang menjaga lebih seorang kanak-kanak, selain anak pengasuh itu sendiri. Bagaimanapun, di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, apabila seseorang pengasuh itu menjaga lebih daripada tiga orang kanak-kanak, mereka perlu berdaftar dengan JKM.
''Jika pengasuh berkenaan gagal mendaftarkan diri, ibu bapa yang menghantar anak mereka kepada pengasuh itu perlu memastikan pengasuh anak mereka berdaftar. Pendaftaran boleh dibuat di talian Nur 15999. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi memastikan pengasuh anak mereka berdaftar," katanya.
Meme menambah, apabila seseorang pengasuh itu berdaftar dengan JKM, pemantauan aspek kebersihan, makanan dan sebagainya akan dijalankan setiap enam bulan. Jika pengasuh berkenaan tinggal di rumah pangsa yang kecil dengan ruang terhad, mereka tidak akan dibenarkan menjaga terlalu ramai kanak-kanak.
''Setiap pengasuh yang mendaftar dengan JKM akan diberikan sebuah buku garis panduan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak. JKM turut menganjurkan program Pengasuhan Prihatin yang disertai oleh 1,082 pengasuh sepanjang tahun lalu. Program berkenaan bertujuan membantu pengasuh yang kebanyakannya suri rumah meningkatkan pendapatan melalui khidmat asuhan yang berkualiti," katanya.
Kata beliau, mereka yang gagal mematuhi Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Jelas Meme, sehingga kini belum ada pihak yang dihadapkan ke mahkamah di bawah akta berkenaan. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan sedang diambil untuk mendakwa beberapa pihak selepas ini.
Mengenai kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada JKM pula, beliau berkata, kes seperti penderaan fizikal, seksual, emosi dan sumbang mahram mencatatkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu.
''Pada tahun 2007, sebanyak 2,279 kes dilaporkan, diikuti dengan 2,780 pada 2008, 2,789 pada 2009 dan sehingga April 2010 sebanyak 1,010 kes dilaporkan.
''Semua ini adalah kes yang dilaporkan kepada JKM menerusi talian Nur 15999. Mungkin kes sebenar adalah lebih tinggi, namun tidak dilaporkan," katanya sambil menambah sebahagian besar daripada mereka yang mendera kanak-kanak ialah individu yang dikenali mangsa.
Sementara itu, bagi kes kanak-kanak hilang pula, jelas Meme, sebanyak 1,064 laporan diterima pada 2007; 1,141 pada 2008 dan 1,050 pada 2009. Sejumlah 30 peratus hingga 40 peratus daripada kes berkenaan berjaya dikesan.
Antara kes kanak-kanak hilang yang menggemparkan negara ialah Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.
Mayatnya ditemui dalam sebuah beg pakaian sukan pada 17 September 2007 iaitu 27 hari selepas kehilangannya. Sehingga hari ini, penjenayah yang bertanggungjawab masih belum berjaya dikesan.
Sementara Sharlinie Mohd. Nashar pula dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain bersama kakaknya, Sharliena di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2008.
Jelas Meme, semua pihak perlu menjadikan kes yang dilaporkan sebelum ini sebagai pengajaran dan menganggap keselamatan kanak-kanak sebagai tanggungjawab semua pihak dan bukannya terletak di bahu ibu bapa, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan semata-mata.
''Semua individu dewasa bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat kepada kanak-kanak," katanya.
Berdasarkan perkembangan semasa, sambutan Hari Kanak-Kanak pada tahun lalu dan tahun ini memberikan penekanan kepada keselamatan golongan tersebut.
''Tema sambutan Hari Kanak-kanak pada tahun lalu ialah Keluarga Selamat, Kanak-Kanak Terpelihara, sementara tema sambutan kali ini ialah Keselamatan Kanak-Kanak Tanggungjawab Setiap Individu," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI : Mendekati Makna Jalur Lebar

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Di kaca televiyen, layar perak serta juga poster dan kain rentang di jalan raya, masyarakat sudah pasti tidak akan terlepas pandang iklan yang begitu banyak mengenai 'jalur lebar'.

Dan bagi mereka yang melangkah masuk hipermarket atau pusat membeli-belah, mereka tidak akan sunyi didekati jurujual yang menawarkan pelbagai pakej jalur lebar.

Syarikat-syarikat telekomunikasi kini menawarkan pelbagai pakej jalur lebar yang diiringi banyak 'hadiah' serta insentif untuk menarik perhatian umum mengambil perkhidmatan mereka.

Baru-baru ini penulis didatangi seorang jurujual yang menawarkan satu pakej jalur lebar.

"Apa itu jalur lebar?" tanya penulis, sengaja menguji beliau.

"Internet", jawab beliau ringkas.

Tapi apakah sebenarnya jalur lebar?

Bila ditanya, James Ng seorang pensyarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) memberikan jawapan ini:

"Jalur lebar juga dikenali sebagai jalur luas. Ia satu jaringan komunikasi di mana keluasan jalur boleh digunakan untuk menghantar dan menerima pelbagai isyarat secara serentak".

Dari aspek telekomunikasi, jalur lebar ialah satu julat atau lingkungan untuk frekuensi menyalurkan maklumat.

"Ini bermakna lebih besar julat frekuensi yang ada, lebih banyak maklumat yang boleh dihantar pada satu-satu masa.

"Jalur lebar juga digunakan sebagai istilah umum tentang pelbagai sambungan Internet".

BANDINGKAN DENGAN LEBUH RAYA

Bagi menerangkan jalur lebar dengan lebih mudah, Ng memberikan contoh sebuah lebuh raya.

"Gambarkan tentang satu lebuh raya," kata beliau.

"Lebuh raya yang hanya punya dua lorong, membolehkan hanya satu kenderaan lalu dari satu-satu arah pada satu masa. Tetapi dengan lebuh raya yang punya enam atau lapan lorong, lebih banyak kenderaan boleh lalu dari mana-mana arah pada satu masa. Jalur lebar bolehlah dianggap sama dengan lebuh raya dari aspek telekomunikasi".

Pada umumnya, jalur lebar merujuk pada aspek telekomunikasi di mana terdapat julat atau lingkungan frekuensi besar yang boleh menyalurkan maklumat.

"Bila ada julat frekuensi yang besar, pelbagai maklumat dalam pelbagai bentuk yang menggunakan gelombang berlainan boleh disalurkan secara serentak pada satu-satu masa. Sama seperti pelbagai kenderaan yang banyak dapat melalui lebuh raya dengan serentak".

JENIS HUBUNGAN JALUR LEBAR INTERNET

Menurut Ng, terdapat beberapa jenis jalur lebar dalam pasaran dan ada yang lebih mahal serta ada yang lebih 'cepat'.

Katanya juga hubungan jalur lebar internet merupakan konsep baru yang diguna menggantikan konsep 'dial-up'.

"Internet jalur lebar lebih cepat dan menawarkan beberapa kelebihan. Contohnya kelajuan lebih pantas bagi internet jalur lebar dibandingkan dengan internet yang menggunakan dial-up".

Katanya terdapat 'Asymmetric Digital Subscriber Line (Talian Pelanggan Digital Asimetri) atau ADSL yang merupakan medium jalur lebar popular bagi pengguna internet komersil dan rumah.

"Sesiapa yang punya talian telefon boleh menggunakan perkhidmatan ini. ADSL menggunakan talian telefon biasa".

Juga terdapat 'Symmetric Digital Subscriber Line' (Talian Pelanggan Digital Bersimetri) atau SDSL. Perkhidmatan ini sama dengan perkhidmatan DSL yang ditawarkan syarikat telefon melalui talian telefon yang sedia ada.

Bagaimanapun SDSL mempunyai kelajuan muat naik yang sama tinggi dengan muat turun dan lebih mahal daripada ADSL.

ASDL ialah jalur lebar yang biasa digunakan. Perkhidmatannya ialah melalui talian telefon yang sedia ada dan melalui satu 'modem. Walaupun Internet sedang digunakan, pengguna masih boleh membuat atau menerima panggilan telefon.

KABEL

"Jika anda melanggan televisyen kabel, anda tahu isyarat televisyen disalurkan melalui kabel dari syarikat televisyen ke rumah anda. Sambungan internet jalur lebar anda melalui kabel ini.

"Sambungan jalur lebar kabel sangat popular di Amerika dan di sesetengah pasaran lebih popular daripada ASDL," kata Ng.

Kata beliau sejenis lagi sambungan jalur lebar ialah tanpa wayar.

Ia lebih digunakan di kawasan luar bandar di mana ASDL dan sambungan kabel tidak wujud. Di sini, satu antena diletakkan di luar rumah yang menerima isyarat untuk komputer yang di dalam rumah.

Talian telefon tidak diperlukan untuk sambungan jenis ini.

TANPA WAYAR, SATELIT

"Jika telefon boleh berfungsi tanpa wayar, begitu juga dengan jalur lebar," kata Ng.

Kata beliau pengguna hanya perlu menyambungkan telefon bimbit mereka ke komputer riba dan komputer itu akan bertukar menjadi sebuah modem tanpa wayar.

Data melalui jalur lebar juga boleh diterima melalui satelit. Jika berada di kawasan pedalaman, pengguna perlu menggunakan piring satelit untuk menerima data tetapi perkhidmatan ini tinggi kosnya kerana ia memerlukan piring khas serta juga peralatan satelit.

Ia diperlukan di tempat yang tiada ADSL dan kabel.

Pengguna komputer riba biasanya memilih jalur lebar tanpa wayar kerana terdapat lebih banyak kelebihan jika dibandingkan dengan hubungan jalur lebar yang lain sepert ADSL dan SDSL.

Dengan kehadiran satu kad data, ia tidak lagi memerlukan modem dan wayar untuk sambungan internet. Sambungan jalur lebar ini datang secara 'plug in" (memasukkan plak) dan memang senang untuk digunakan.

INISIATIF JALUR LEBAR

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dijangka merancakkan lagi transformasi sosial dan ekonomi negara ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Ia akan membantu negara menjadi lebih kompetitf melalui inovasi, kreativiti serta nilai tinggi dan kebebsan saluran maklumat," Dr Rais dilaporkan memberitahu media sebelum majlis pelancaran Inisiatif Jalur Lebar tersebut.

Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan merupakan strategi komprehensif di mana komponen utamanya ialah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsan dan jalur lebar berkelajuan tinggi di Dataran Merdeka di sini pada 24 Mac lepas.

Menurut laporan setakat Julai, lebih 37 peratus isi rumah Malaysia mempunyai kemudahan sambungan jalur lebar. Ini bersamaan kira-kira 2.4 juta rumah daripada 6.3 juta rumah di Malaysia.

Untuk mencapai sasaran penembusan 50 peratus isi rumah menjelang hujung tahun ini, sejumlah satu juta rumah lagi perlu mempunyai sambungan jalur lebar.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/