Oleh : TAN SRI DR. RAIS
YATIM
JIKA semua
negara yang berasaskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau kebangsaannya
sepakat di wilayah Nusantara, beberapa cita-cita asas kolektif kebangsaan akan
mudah dicapai. Perkara ini yang dibangkit dalam ucapan saya dalam Majlis Dialog
Bahasa Melayu Nusantara di Universiti Brunei Darussalam pada 25 Mac 2015.
Indonesia dengan bahasa Indonesia (Artikel 36 Perlembagaan Indonesia), Malaysia
dengan bahasa Melayu (Per.152); Brunei dengan bahasa Melayu (Per. 82) dan
Singapura juga dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa Kebangsaan
(Per. 153A & 153(A)(2).
Dalam konteks
kehidupan serantau khasnya bagi etnik rumpun Melayu Austronesian di wilayah
ASEAN dan di Kepulauan Melayu, soal bahasa tidak tampak begitu diutamakan.
Kebanyakan pihak hanya beranggapan bahasa Melayu itu memang begitu meluas
dipakai dalam perhubungan antara negara dan secara domestik. Mungkin ini
disebabkan kekangan politik serantau seperti terdapat pada beberapa konsep
keserantauan pada masa ini. Kita ada dasar pemasaran ekonomi serantau ASEAN,
kerjasama serantau dalam bidang teknologi, pendidikan dan lain-lain. Tetapi
tidak ada kerjasama yang kukuh dalam memperjuangkan bahasa Melayu sebagai
bahasa asas di Kepulauan Melayu seperti sebelum tahun-tahun 1950 – 1970-an.
Mungkin ini disebabkan tiadanya pada zaman itu unsur-unsur pengaruh seperti
yang melanda kita pada hari ini.
Usaha
kerjasama kukuh bidang bahasa dalam kalangan negara ASEAN mungkin tidak akan
menampakkan buah dalam masa terdekat lantaran susuk dan struktur sosio-politik
negara masing-masing khasnya negara-negara selain Indonesia, Malaysia, Brunei
dan Singapura yang dalam Perlembagaan nasional masing-masing sedia terkandung
provisi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masing-masing.
Seharusnya
semua negara yang bertiang serikan bahasa Melayu/bahasa Indonesia berusaha
gigih dalam bidang-bidang berikut:
1 Berjuang
menjadikan bahasa Melayu/bahasa Indonesia (BM/BI) sebagai bahasa ilmu sekalipun
bahasa Inggeris telah mendahului BM/BI dalam hal ini. Tanpa usaha ini BM/BI akan
hanya berada di kawasan lobi bahasa kedua. Apabila BM sebagai bahasa ilmu
direalisasikan, sekali gus ia akan muncul sebagai bahasa pembudayaan atau
bahasa kehidupan yang sebenar. Keadaan sekarang apabila BM dan bahasa Inggeris
diletak pada paras dwi-bahasa dengan penekanan supaya BI menjadi bahasa ilmu
akan terus mengkencundangkan BM kerana nilai ekonomi dan nilai teknologi kepada
BM tidak diberi.
2 Usaha
membahasa ilmukan BM sukar dilaksanakan oleh sesebuah negara sahaja kerana
dunia hari ini adalah dunia pelbagai interaksi (multi interaction and
interface). Untuk ini Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei khasnya amat
perlu mewujudkan suatu gagasan serantau yang bergerak secara kolektif atau
bersekutu dalam bidang peristilahan, terminologi sains dan teknologi serta
pemupukan universiti serantau dalam suatu jaringan meningkatkan penyelidikan
dan pembudayaan BM di peringkat tertinggi.
3 Kepakaran
dalam BM harus berada di dalam wilayah Nusantara dan tidak di Leiden, Hamburg
atau negara wilayah lain.
4 Sistem
persekolahan kita harus mengambil kira jurusan ilmu yang perlu mengeluarkan
buku-buku teks yang berasaskan ilmu. Pengajian peradaban Melayu serta
penerbitan jurnal tertinggi dalam bahasa Melayu hendaklah dikendalikan sendiri
oleh intelektual Nusantara bukan dan tidak oleh para sarjana di luar Nusantara
yang hanya bermegah dengan kendalian ISI (International Science Index), SCOPUS
dan pautan-pautan lain yang secara menggila hanya menumpukan perhatian kepada
sains serta teknologi tanpa mengambil kira betapa pentingnya sains sosial yang
mengandungi semua bahan kemanusiaan.
Pada hari ini
bahasa ilmu rata-rata dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Jepun, Perancis, Rusia,
Korea dan lain-lain. Penutur-penutur bahasa ini memang boleh berbahasa Inggeris
tetapi atas desakan dan kepentingan nasional dan sewilayah, mereka memilih
menjadikan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai bahasa ilmu.
Memang diakui
kesukaran utama ialah daya penterjemahan mesti tinggi. Dengan adanya Dewan
Bahasa masing-masing di Indonesia, Brunei dan Malaysia aral bayangan ini boleh
diatasi. Pokoknya azam perjuangan bahasa dan budaya mesti kental.
Seperkara lagi
yang amat penting ialah bahasa Melayu sebagai bahasa komersial atau bahasa
dagangan mesti wujud secara meluas. Pada masa ini semua kontrak, piagam,
kovenans, hubungan korporat dengan pelanggan dimonopoli bahasa Inggeris.
Sekurang-kurangnya kita ada dua laluan bahasa dalam perdagangan – Melayu dan
Inggeris.
Ingatkah kita
kepada Srivijaya (600–1370?) Bahasa Malayu atau Moloyo (sebutan Cina) ketika
itu di Nusantara menggunakan bahasa Melayu. Arab, India, Cina dan lain-lain
juga menggunakan bahasa Melayu. Bila Melaka muncul hebat mulai 1403 bahasa
Melayu terus utama sebagai bahasa perdagangan dan bahasa peristilahan utama.
Bahasa Malayu kuno di Wilayah Kantoli (sebelum Srivijaya), Minangkabau,
Dharmasraya semuanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perniagaan dan
perhubungan. Palembang, Jambi, Pasai, Aceh, Bugis, Jawa, Kalimantan, Brunei
semuanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pelabuhan dan urus niaga
koporat. Kenapa kini kita tak mampu lagi dan mengalah saja kepada keutamaan
bahasa Inggeris.
Kita ulangi –
kita jangan menolak bahasa Inggeris dalam apa jua jurusan tetapi seperti Cina,
Jepun, Korea kita mesti cintai bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa ilmu dan
bahasa perdagangan. Barulah anak cicit kita tidak kempunan kejuaraan bahasa
sendiri.
Tanpa
keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan, tahap masa
depannya tetap jatuh pada kedudukan di bawah. Ketidakupayaan BM sebagai bahasa
teknologi juga sedang dirasai kerana usaha masing-masing negara amat terhad
dalam hal ini lantaran pembelajaran kita berpusat ke Barat. Mahu tak mahu Barat
sedang dan akan terus mempelopori peristilahan sains dan teknologi. Begitu juga
dalam bidang matematik. Walaupun orang Islam yang mempelopori sebahagian
Algebra, Ibnu Sinna dalam perubatan, pendidikan Barat sudah mengambil alih
peranan peristilahan ini. Semenjak Abu Sina meninggal dunia 1038 dahulu, siapa
dan bagaimana mereka yang mencipta istilah-istilah perubatan dunia?
Justeru anak
bangsa yang lulusan tinggi dari mana-mana universiti Barat harus diraih ke
dalam perjuangan mewujudkan kamus peristilahan ke bahasa Melayu. Akan ada yang
senyum kambing lalu mendenguskan tak mungkin… sebab kita sudah begitu lama
ditinggalkan.
Sebenarnya
bukan kita ditinggalkan. Kita sendiri yang meninggalkan bahasa kita. Lihat saja
perangai berbahasa kita di universiti, kolej dan pergaulan seharian kita. Dalam
satu ayat, barang sudah tentu akan dibingkai oleh perkataan asing… biasanya
dari perbendaharaan kata Inggeris.
‘Penyakit’
ditelan bahasa Inggeris ini semuanya tahu dan faham tapi tidak pula tahu akan
ubat mujarabnya yang harus dimakan. Penyakit ini harus boleh diubati jika petua
Pendeta Zaaba dipatuhi: Dalam kelaziman bahasa Melayu, perkataan Inggeris boleh
dipakai tetapi mesti dipastikan terlebih dahulu sama ada perkataan itu ada
dalam bahasa kita. Jika ada, bahasa asing itu tak payah digunakan. Jika dalam
perbendaharaan kita tidak ada, barulah dipinjam perkataan orang lain, itupun
seharusnya melalui proses di Melayukan bunyinya.
Kedua, pada
masa ini kita sudah kehilangan latihan sebutan betul atau diksi (diction).
Cikgu kita tak mengajar pembudayaan bahasa Melayu lagi. Penulisan sastera kita
entah ke mana. Guru sendiri tak bercakap BM versi yang elok dan diterima pakai.
Beginilah banyak perkataan Melayu/Indonesia ditendang keluar daripada
perbendaharaan kata kita: perkataan “jadi” ditendang oleh “So”, “makan tengah
hari” oleh “lunch”, “kenapa” oleh “why”, “kemudian” oleh “then”. Contoh-contoh
lain sebenarnya bersepah dan beratus hingga tak terkemas dan tak terkira.
Kursus
pembudayaan bahasa Melayu mesti diperjuangkan kembali. Kelas-kelas asuhan
bahasa seperti sebelum dan selepas kemerdekaan negara-negara kita amat wajar
dipertimbangkan. Penggunaan peribahasa, perumpamaan, pepatah-petitih, bahasa
indah, persajakan, pantun, seloka, gurindam dan lain-lain harus diambil berat
oleh sistem pendidikan masing-masing. Kerjasma peristilahan serantau semestinya
kita perjuangkan kembali. Dengan kemudahan Internet kini, kerjasama ini lebih
mudah diadakan dan dipertingkatkan. Kerap kedengaran hujah bahawa bahasa
Melayu-bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris sama-sama dimajukan. Elok didengar
tetapi realitinya tidak begitu.
Dalam hal ini
kita harus tahniahkan Brunei kerana masih bertulisan jawi. Nama jalan, nama
bangunan nama taman dan lain-lain masih membudayakan bahasa Melayu dan skrip
jawi. Berbahasa Inggeris pandai, berbahasa Melayu pandai lagi. Nama-nama orang di
Brunei masih terasa kemelayuannya, keislamannya. Banyak tempat dan resam
sekarang di kawasan Nusantara nama Melayu pun sudah keciciran. Ini berpunca
daripada kelemahan proses pembudayaan bahasa kita yang kian melemah. Kita tak
yakin lagi dengan nama dan institusi asas kita lalu jadi pak turut dan hilang
identiti.
Memang, impian
kita ialah supaya bahasa Melayu/Indonesia menjadi bahasa serantau ASEAN atau di
peringkat antarabangsa sehingga menjadi salah satu bahasa dunia di PBB. Impian
ini mesti jangan dimundurkan. Cuma sementara impian itu dikejar, kita
langsungkan di peringkat sesama kita, kerajaan masing-masing mesti meyakini
keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa yang serba mampu.
Berbahasa
Melayulah dalam mesyuarat. Berbanggalah dengan ungkapan-ungkapan BM. Dalam hal
ini, ikut Jerman dan Rusia. Warganya boleh berbahasa Inggeris. Tapi bahasa
teknologi dan sains serta bahasa perdagangan mereka adalah bahasa Jerman dan
Rusia. Begitu juga Perancis, Cina, Jepun dan Korea. Mereka ada sistem pelajaran
yang mengutamakan pembudayaan bahasa sendiri.
Kita harum
dari sudut sebutan dan konsep serta dasar tetapi agak meleset di peringkat
amalan.
Kemelayuan
melalui bahasa di peringkat Nusantara terkenal selama lebih 1300 tahun
(600–2015). Persidangan bahasa Melayu di Brunei kali ini mesti berani kembali
kepada semangat pangkal milenium itu.
PENULIS ialah
Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/( 5 April 2015)