SEBAGAI saluran komunikasi,
bahasa turut berperanan penting untuk mempengaruhi pemikiran dan perlakuan
masyarakat. Media pengiklanan produk umpamanya sering menggunakan ungkapan
“hadiah percuma” sebagai daya tarikan untuk melariskan sesuatu barangan.
Persoalannya, adakah ungkapan ini
menepati ciri bahasa yang gramatis? Bahasa yang gramatis bermaksud binaan
perkataan dan susunan ayat yang mematuhi peraturan atau tatabahasa serta
mempunyai makna yang logik.
Kesediaan pengguna bahasa untuk
mematuhi sistem bahasa bukan sahaja memaknakan imej bahasa yang tinggi, tetapi
juga untuk memastikan maklumat yang ingin disampaikan lebih berkesan.
Walau bagaimanapun, dalam
penggunaan bahasa yang sebenar, banyak kesalahan bahasa yang dilakukan oleh
masyarakat. Hal ini berlaku disebabkan kealpaan pengguna bahasa tentang
disiplin berbahasa dalam bahasa Melayu.
Penggunaan bahasa yang tidak
gramatis semasa berkomunikasi bukan sahaja menimbulkan imej yang kurang baik
terhadap bahasa Melayu, malah turut memberikan gambaran seolah-olah sistem
bahasa Melayu masih belum mantap.
Antara aspek kesalahan bahasa
yang sering dilakukan dalam kalangan masyarakat terutama para pelajar ialah
penggunaan kata yang bersinonim apabila membina ayat. Secara ringkasnya,
istilah sinonim berasal daripada perkataan Yunani bermaksud kata yang mempunyai
makna sama.
Tidak ramai pengguna menyedari
bahawa frasa hadiah percuma tidak gramatis kerana mengandungi makna yang
sinonim. Secara logiknya, setiap pemberian hadiah tidak menuntut apa-apa
bayaran daripada penerimanya sebab hadiah sememangnya percuma!
Untuk memudahkan pemahaman
khalayak pengguna bahasa, saya akan mengemukakan beberapa contoh perkataan
bersinonim yang sering diabaikan kewajaran penggunaannya, baik dalam komunikasi
lisan mahupun bertulis sekali gus membawa kelewahan makna.
i. Tempoh masa (salah) - Tempoh /
masa (betul)
ii. Kemudahan infrastruktur
(salah) - infrastruktur / prasarana / kemudahan asas (betul)
iii. Kos perbelanjaan (salah) -
kos / perbelanjaan (betul)
iv. Mengulangi peperiksaan semula
(salah) - mengulang peperiksaan / peperiksaan semula (betul)
v. Menyara hidup keluarga (salah)
- menyara keluarga (betul)
vi. Juga turut hadir (salah) -
juga hadir / turut hadir (betul)
vii. Hanya untuk murid sahaja
(salah) - Hanya untuk murid / untuk murid sahaja (betul)
viii. Demi untuk negara (salah) -
demi negara / untuk negara (betul)
Selain itu, terdapat
kecenderungan dalam kalangan pengguna bahasa yang menulis ayat seperti contoh
berikut:
i. Punca kemalangan itu disebabkan oleh kecuaian
pemandu.
Sebenarnya, ayat ini juga tidak
gramatis kerana mengandungi dua kata yang bersinonim, iaitu perkataan
“punca” dan “menyebabkan” dalam binaannya. Binaan ayat yang gramatis
sepatutnya adalah seperti yang berikut :
i. Punca kemalangan itu ialah
kecuaian pemandu.
ii. Kemalangan itu disebabkan
oleh kecuaian pemandu.
Begitu juga dengan perkembangan
situasi berbahasa dalam media cetak akhir-akhir ini, ada penulis yang
menggunakan perkataan sinonim dalam binaan ayat secara tidak tepat. Contohnya:
i. Nasi kerabu cukup sinonim
dengan negeri Cik Siti Wan Kembang.
ii. Piramid merupakan simbol yang
cukup sinonim dengan negara Mesir.
Kesimpulannya, sikap berhati-hati
ketika membina ayat perlu menjadi amalan supaya kita tidak terperangkap dengan
penggunaan kata yang bersinonim dan menyalahi peraturan bahasa Melayu.
Dalam hal ini, budaya merujuk
kamus perlu menjadi kelaziman dalam
kalangan masyarakat untuk memastikan pilihan kata yang tepat dalam komunikasi.
Sebagai pengguna bahasa, kita
bertanggungjawab untuk melestarikan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis dan
berkesan bukannya berbahasa mengikut selera dan perasaan. Dirgahayu Bahasaku.
* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah
Timur
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/ ( 9 April 2015)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan