Oleh Sharifah Haayati
Penerapan nilai murni dalam kalangan pekerja jamin kejayaan sesebuah organisasi
MINGGU lalu saya berkongsi pandangan mengenai kerajinan
sebagai asas kejayaan. Rentetan daripada itu, sering kali tanpa kita sedar
kerajinan dalam kalangan pekerja tidak diurus dengan baik sehingga kerajinan
pekerja tidak benar-benar membuahkan hasil diinginkan.
Dalam membangunkan sumber manusia, aspek nilai sememangnya
penting kerana dengan cara itu ia akan menjadi modal insan dan aset tidak
ternilai bagi organisasi. Selain kerajinan, nilai lain seperti amanah, ikhlas,
jujur, bertanggungjawab dan dedikasi perlu diterapkan.
Setiap nilai yang berjaya diterapkan perlu diurus atau
dipelihara majikan dengan baik supaya ia terus berkembang, konsisten dan tidak
pula sehingga membawa kemudaratan.
Justeru, membangunkan modal insan di tempat kerja, usaha
bukan sekadar membangunkan sahsiah melalui penerapan nilai murni tetapi
menguruskannya juga mesti diberi perhatian. Usaha ini dapat mengekalkan
momentum kerajinan sekali gus menjadikan pekerja rajin sebagai model.
Memastikan kerajinan pekerja berterusan dan benar-benar
membawa kebaikan hendaklah berdasarkan 3K iaitu keperluan, keutamaan dan
kualiti kerja yang ditetapkan. Ketiga-tiga dasar ini akan memandu kerajinan
supaya apa dilaksanakan menepati matlamat dan tiada kerja lebih utama terabai.
Keperluan kerja boleh ditentukan melalui matlamat,
kepentingan jangka pendek dan jangka panjang organisasi yang ingin dicapai
serta keperluan bertujuan mengelakkan kemudaratan. Kerajinan tanpa matlamat
jelas tidak akan menghasilkan pencapaian dan menjadikan kerja sia-sia kepada
organisasi.
Islam menekankan aspek keperluan supaya kerajinan yang ada,
diurus dan diletakkan pada tempat yang sesuai dan membuahkan kejayaan antaranya
mengikut pandangan Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam fiqh al-Awlawiyyat dan Imam
Ibn Abd Al-Salam dalam Qawaid al-Ahkam.
Keutamaan kerja bagi perempuan turut ditekankan dalam Islam
supaya umat Islam memahami apa yang perlu didahulukan atau dikemudiankan dalam
beramal.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Iman itu mempunyai
lebih daripada tujuh puluh tingkat; yang
paling tinggi antaranya ialah La ilaha illa Allah, dan yang paling rendah ialah
membuang halangan yang ada di jalan.”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Selain menunjukkan bahawa amalan yang kecil pun termasuk sebahagian daripada
iman, hadis ini juga menunjukkan tahap iman berdasarkan keutamaan beramal.
Dari aspek keutamaan ini, pertimbangan kerajinan bekerja
boleh dibuat dengan melihat kepada tempoh masa diperuntukkan, sulit atau
mudahnya tugasan, kemaslahatan pelanggan dan organisasi, keuntungan atau
kerugian.
Sebagai umat Islam, penumpuan kepada aspek keutamaan ini
dipelajari melalui pelaksanaan kewajipan ditetapkan berdasarkan hukumnya sama
ada wajib, sunat, makruh, harus dan haram. Kesemua kategori hukum menunjukkan
keperluan, kepentingan, keutamaan, kualiti suruhan, amalan dan larangan.
Kerajinan juga perlu dipandu ke arah kualiti supaya ia tidak
sekadar melaksanakan tugasan dengan cepat tetapi secara cuai dan sambil lewa.
Dengan kata lain, hasil kerjanya tidak sempurna, memuaskan dan menepati
standard ditetapkan.
Sedangkan Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya
Allah mencintai orang yang apabila dia melakukan sesuatu dia melakukannya dengan
sebaik-baiknya.” (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi)
Justeru, penekanan dalam bekerja bukan saja kerja keras
tetapi kerja secara cekap. Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘alang-alang
menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’, ‘alang-alang berdakwat,
biarlah hitam” menunjukkan pentingnya sesuatu kerja itu ditunaikan dengan
sempurna.
Amalan Islam amat menitikberatkan kualiti seperti sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila saya memerintahkan sesuatu perkara
kepada kalian, maka lakukanlah semampu kalian.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Kerajinan yang membawa kepada kemudaratan diri pula
dikategorikan sebagai kerajinan tidak berkualiti kerana Rasulullah
mengingatkan: “Jauhilah kalian sikap berlebih-lebihan (dalam melakukan
ibadat).” (Hadis riwayat imam al-Nasa’i)
Kerajinan tanpa hasil berkualiti menyebabkan kerja dan nilai
diri pekerja itu tidak dihargai organisasi. Ini perlu dielakkan berlaku kerana
apabila kerajinan tidak dihargai ia akan membantutkan nilai kerajinan itu
sendiri.
Walaupun rajin adalah tabiat, jika tidak dihargai, lama
kelamaan individu yang rajin sekali pun
tidak berminat meneruskan usahanya. Justeru, marilah kita memastikan nilai
kerajinan yang dibaja diletakkan pada tempatnya serta diurus dengan baik
sebagai jaminan kualiti kejayaan organisasi.
Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/