Khamis, 6 Ogos 2009

Posisi dalam ibadat solat beri kesan positif kepada kesihatan

KAJIAN saintifik fakta-fakta kebaikan solat menunjukkan ibadat itu bukan sahaja memberikan manfaat rohaniah tetapi juga manfaat fizikal dan mental apabila dilakukan dengan tekun serta postur yang betul.

Sekumpulan penyelidik bioperubatan dari Universiti Malaya (UM) telah membongkar fakta-fakta positif kebaikan solat daripada sudut saintifik antaranya menurunkan kadar denyutan jantung, mengurangkan sakit pinggang, memperbaiki disfungsi ereksi (DE) serta aktifkan otot lantai pelvik.

Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad dalam kajiannya menemui bahawa posisi sujud dalam solat dapat mengurangkan denyutan jantung sebanyak 10 kali seminit.

Katanya, kadar denyutan jantung nominal semasa sujud adalah baik untuk kesihatan jantung khususnya dan kesihatan keseluruhan badan amnya.

"Seseorang yang mempunyai kadar denyutan jantung 80 kali seminit dan ke atas, berisiko tinggi mengalami serangan jantung serta darah tinggi," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Sains Solat Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Seminar itu telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata pakar perubatan juga menasihatkan supaya pesakit jantung menjalankan senaman ringan selama 30 minit sehari namun tidak menyatakan bentuk senaman yang boleh dilakukan.

"Kami mendapati dengan mengamalkan solat sebanyak 12 rakaat sehari secara berturutturut boleh dijadikan senaman ringan itu," katanya.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan UM Prof Madya Dr Fatimah Ibrahim berkata pergerakan lazim solat boleh membantu mengurangkan sakit pinggang khususnya kepada wanita mengandung.

Katanya, kajian ini telah dilakukan terhadap pesakit pinggang yang normal dan ibu mengandung serta di kalangan kaum Melayu, India dan Cina.

Dalam kajian itu, mendapati posisi rukuk dan sujud boleh dijadikan terapi kerana dapat membuka ruang antara spina 'spina canal' yang akan mengurangkan risiko penghimpitan urat saraf.

"Bagi kaum Cina dan India, mereka hanya melakonkan posisi sembahyang dalam sesi terapi yang kita buat. Dalam tempoh sebulan, mereka telah menunjukkan ada pemulihan berlaku," katanya.

Dalam kajian lain, Dr Fatimah turut mendapati solat juga dapat memberikan kesan positif kepada seseorang yang menghidap penyakit DE.

Sebelum ini, terdapat satu kajian mengenai senaman pengaktifan otot lantai pelvik yang boleh membantu melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah DE oleh penyelidik Van Kampen.

Dr Faridah berkata daripada kajian awal ini, terbukti bahawa postur semasa solat boleh memberikan kesan positif ke atas pesakit DE di mana pergerakan itu dapat mengaktifkan otot lantai pelvik.

"Kami telah menjalankan kajian ke atas dua pesakit DE dengan sesi terapi menunaikan solat selama satu bulan dan ia berjaya menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan terhadap pesakit," katanya.

Kesemua hasil kajian ini boleh didapati dalam naskhah buku Solat Sains, Sakit Pinggang, Kaedah Rawatan melalui Prinsip Pemulihan Serta Postur dan Pergerakan Solat, Pencegahan Penyakit Jantung dari Perspektif Holistik dan Senaman Regangan dan Pergerakan Solat yang dijual di semua kedai buku dan telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris.

Sumber : http://www.bernama.com/

ISU SELESEMA BABI ( INFLUENZA A H1N1)

H1N1: Fahami prosedur rawatan

SUKACITA saya merujuk kepada Rencana Pengarang Utusan Malaysia 6 Ogos 2009 bertajuk Pelaksanaan cegah, rawat H1N1 perlu tindakan serius yang pada pandangan saya memberi ulasan yang kurang tepat.

Sebagai anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) barisan hadapan dalam menangani H1N1, saya rasa sedikit terkilan dengan ulasan berkaitan pihak hospital, khususnya doktor yang memeriksa dan merawat kes influenza (ILI) dan influenza H1N1 sekarang. Jelas bahawa ia senada dengan komen dan aduan orang ramai terhadap perkara sama yang disiarkan dalam beberapa akhbar akhir-akhir ini.

Menyatakan kami menjalankan tugas sambil lewa, tidak serius dan tidak prihatin dengan masalah pesakit adalah tidak benar sama sekali dan melukai hati kami yang bertugas bertungkus-lumus tanpa mengira waktu ketika ini.

Kebanyakan antara kami sudah tidak mampu untuk mengira berapa jam waktu lebih masa, bila waktu makan, waktu rehat, tengah malam, hari hujung minggu ataupun cuti umum semata-mata untuk memberi tumpuan kepada pengendalian pandemik influenza H1N1.

Ingin dimaklumkan bahawa perkara ini berbangkit kerana orang ramai tidak berapa tahu dan kurang faham bahawa kami bertugas mengikut prosedur kerja yang telah ditetapkan oleh KKM.

Prosedur ini dikeluarkan melalui Pekeliling dari Kementerian Kesihatan Malaysia, khususnya Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) Malaysia, Jawatankuasa Teknikal Pandemik influenza H1N1 (yang terdiri daripada pakar-pakar klinikal) dan Menteri Kesihatan Malaysia. Kami barisan hadapan perlu patuhi sepenuhnya kesemua prosedur berkenaan.

Dimaklumkan bahawa prosedur pengendalian ini diedar sebagai pekeliling ke seluruh institusi kesihatan di bawah KKM, termasuk hospital dan klinik swasta. Kami dapati prosedur pengendalian sering berubah-ubah bergantung kepada situasi H1N1 semasa serta data-data klinikal dan maklumat epidemiologi kes yang juga berubah-ubah.

Selain itu ia mengambil kira kemampuan pihak hospital, makmal, bekalan logistik dan anggota kesihatan yang ada. Perkara sama juga berlaku di negara lain dan sedang dialami di peringkat global.

Sebagai contoh, pekeliling terbaru meminta hanya kes influenza (ILI) yang dimasukkan ke wad sahaja diambil sampel kahak atau tekak untuk ujian H1N1. Sebab itu, pesakit batuk yang datang ke hospital atau klinik meminta diambil sampel untuk ujian H1N1 memang tidak dapat dipenuhi.

Inilah yang sebenarnya menimbulkan tuduhan mengatakan kami sambil lewa, tidak prihatin dan tidak serius merawat mereka. Mungkin ada masalah komunikasi semasa memberi penjelasan prosedur ini yang perlu diatasi.

Untuk makluman, kami diberi garis panduan terperinci jenis-jenis kes yang perlu diambil sampel kahak atau tekak; kategori kes yang perlu dimasukkan ke wad; kes yang perlu dirawat dengan ubat antivirus dan kes yang perlu diberi rawatan simptomatik dan dikuarantin di rumah sahaja.

Selain itu, tidak semua kes yang disahkan H1N1 perlu dirawat di hospital seperti sebelum ini. Mengikut prosedur, kes H1N1 tanpa komplikasi boleh dibekalkan ubat dan dikuarantin di rumah sahaja dengan beberapa panduan untuk dipatuhi. Dulu semua kes perlu dimasukkan ke wad. Itu antara perubahannya.

Semua panduan itu jelas kepada kami semua. Itulah yang kami patuhi. Namun malang sekali panduan klinikal seperti ini agak rumit untuk diterangkan kepada pesakit atau orang ramai menyebabkan timbul kekeliruan termasuk tohmahan yang dibuat oleh beberapa pihak.

Selain itu, rasanya orang ramai tidak berapa faham bahawa H1N1 sekarang adalah peringkat pandemik. Bermakna jangkitan H1N1 boleh berlaku di mana-mana, bukan setakat jangkitan dari luar negara semata-mata semasa mula-mula wabak ini berlaku. Tatalaku penyakit H1N1 secara klinikal dan epidemiologi berubah-ubah. Sebab itu KKM juga telah mengeluarkan garis panduan yang juga perlu untuk orang ramai patuhi bagi mencegah merebaknya H1N1 ini.

Kesimpulannya saya tegaskan bahawa pengendalian kes influenza dan H1N1 ini adalah tertakluk kepada prosedur yang dikeluarkan oleh KKM yang sentiasa dikemas kini setiap masa. Walaupun orang ramai ada yang kurang faham dengan prosedur ini, mintalah mereka patuhi arahan dan nasihat yang diberikan oleh anggota kesihatan.

Ketahuilah bahawa kami anggota KKM seluruh Malaysia sekarang sedang gigih bergelut dengan wabak H1N1 ini tanpa mengira penat lelah. Namun kerana tidak tahu dan tidak faham modus operandi kami, janganlah dilabel kami sesuka hati. Ia mengguris hati kami dan tidak setimpal dengan keringat dan penat lelah kami menangani wabak ini sekarang.

Sebaliknya marilah kita sama-sama bekerjasama menghadapi wabak ini agar ia boleh dikawal dan dihapuskan sepenuhnya dalam masa yang lebih singkat. Tuding menuding jari tidak menyelesaikan masalah.


Hospital Tengku Ampuan Rahimah
Klang, Selangor"

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SELESEMA BABI ( INFLUENZA A H1N1)

Buang tabiat tunggu kematian


orang ramai terutama mereka yang menunjukkan simptom H1N1 menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Pahang.


PERTENGAHAN Mei lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Margaret Chan memberi amaran kepada penduduk dunia tentang gelombang kedua wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Ketika itu virus HINI baru tersebar. Belum ada yang terkorban manakala kebanyakan mangsa yang dijangkiti selesema babi merupakan kes import.

Selepas lebih dua bulan amaran wakil badan dunia itu berkumandang, wabak selesema babi yang dulu berada pada tahap sederhana kini mencetuskan kebimbangan.

H1N1 bertukar menjadi pandemik. Korban yang dicatatkan akibat wabak tersebut meningkat secara mendadak.

Jumlah kematian di negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Argentina mencecah ratusan, sementara kes kematian (sekurang-kurangnya satu) mula dilaporkan di beberapa negara baru. Laporan WHO juga menunjukkan tidak kurang 30,000 kes selesema babi di seluruh dunia dan angka itu pantas menokok.

Paling menarik perhatian adalah trend kematian – kebanyakannya berpunca daripada jangkitan tempatan. Bermakna wabak yang bermula dengan bawaan dari luar kini tersebar di sesebuah negara secara dalaman.

Mangsa yang menyebarkan virus tersebut tidak lagi terdiri daripada pelancong atau rakyat sesebuah negara yang baru kembali dari negara lain di mana telah ada catatan kes H1N1.

Virus itu juga telah membuktikan bahawa ia mampu merebak dengan cepat dan tidak mustahil dalam masa yang singkat mengalami mutasi sehingga menjadikan wabak selesema babi berada pada tahap serius.

Apatah lagi dalam keadaan simptom wabak tersebut kini semakin pelbagai dan ia tidak terhad kepada ciri-ciri biasa seperti selesema, demam atau sesak nafas.

WHO mengesan ada kes di mana pesakit H1N1 tidak mengalami demam sebaliknya hanya cirit-birit. Perkembangan itu menyukarkan usaha untuk mengenal pasti mangsa wabak tersebut.

Di Malaysia, graf kematian akibat selesema babi selepas korban pertama pada bulan lalu menunjukkan peningkatan ketara. Bermula dengan kes kematian penuntut warga Indonesia yang kemudian diikuti rakyat Malaysia yang baru pulang dari Belgium. Korban seterusnya adalah kes tempatan termasuk yang terbaru kanak-kanak berusia enam tahun di Pahang semalam.

Perkembangan itu sememangnya kurang menyenangkan. Angka kematian turut dicatatkan di negara jiran – Brunei dan Thailand.

Usaha membendung wabak ini telah dilaksanakan sebaik-baik sahaja H1N1 muncul di negara ini. Amaran dan garis panduan mengenainya telah dikeluarkan.

Biar pun kerajaan dikatakan tidak bersungguh-sungguh namun pembendungan wabak ini hakikatnya tidak menunggu lama untuk dimulakan.

Cuti kakitangan Kementerian Kesihatan dibekukan. Antivirus diimport menggunakan peruntukan berjuta ringgit. Setiap hari amaran dikeluarkan kepada rakyat Malaysia supaya berhati-hati, menjaga kebersihan, segera mendapatkan rawatan dan jangan berkunjung ke negara-negara berisiko kecuali atas urusan yang tidak boleh ditangguhkan.

Namun rakyat negara ini kurang prihatin, tidak responsif dan ambil mudah. Jika mahu dikatakan wabak selesema babi masih baru dan kurang diketahui bahayanya menyebabkan rakyat tidak peka, senario yang sama berlaku dalam usaha membasmi wabak denggi.

Sangat terbukti denggi masih menjadi ancaman dalam masyarakat. Setiap hari ada saja nyawa yang terkorban akibat gigitan nyamuk aedes yang melarat membawa kepada demam denggi.

Puncanya hanya satu. Orang ramai alpa dan tidak pernah serius terhadap usaha serta ratusan juta ringgit yang telah dibelanjakan untuk menghapuskan aedes.

Persekitaran tidak dijaga, tapak-tapak pembinaan tidak diselia sehingga menarik minat nyamuk aedes untuk bersarang di situ.

Begitu juga dengan kawasan perumahan, pusat perniagaan, pasar-pasar gagal dipastikan paras kebersihannya menjangkau piawaian yang ditetapkan menyebabkan denggi terus menjadi wabak dan ancaman maut kepada rakyat negara ini.

Perkara yang sama jelas dilihat dalam kes selesema babi. Kebanyakan kematian disebabkan oleh kegagalan mangsa mendapatkan rawatan segera. Biar pun telah berkali-kali diingatkan (cuma tidak dibawa rotan dan dipaksa) sesiapa sahaja yang mengalami simptom-simptom H1N1 mendapatkan rawatan segera. Namun sindrom tidak kisah, tidak apa dan tunggulah – membawa kepada pengabaian yang berakhir dengan maut.

Ada juga pesakit yang cukup dengan sekali sahaja mendapatkan rawatan. Demam berpanjangan dibiarkan begitu sahaja, manakala nasihat supaya menjaga kebersihan diri langsung tidak diberi perhatian.

Begitu juga dengan nasihat supaya ditangguhkan perjalanan ke luar negara bagi tujuan yang tidak penting. Tidak ramai rakyat Malaysia mahu akur arahan tersebut menyebabkan usaha kerajaan membendung wabak itu tidak berjaya menampakkan kesannya.

Nasihat supaya memakai penutup hidung dan mulut juga kurang mendapat sambutan, menyebabkan virus yang tersebar menerusi udara khususnya di tempat tumpuan ramai itu merebak pantas terutama di kalangan mangsa yang berisiko tinggi dijangkiti wabak itu.

Begitu juga tahap pematuhan arahan kuarantin di rumah. Ramai yang ingkar dan memandang ringan arahan tersebut sebaliknya mengambil kesempatan berjalan-jalan dan membeli-belah.

Lebih memburukkan keadaan apabila sambil lewa itu berlaku juga di kalangan pengamal perubatan apabila ada pesakit dengan simptom selesema babi gagal diberi rawatan segera.

Ada pesakit H1N1 selamba disuruh pulang atas alasan dia menghidap demam dan selesema biasa. Sedangkan diketahui itu adalah ciri-ciri selesema babi yang mesti diberikan rawatan segera dan disusul perkembangan pesakit dari semasa ke semasa.

Sebab itu rakyat Malaysia mesti responsif. Bukan sahaja terhadap nasihat dan garis panduan yang disediakan oleh kerajaan malah bertindak balas dengan melaporkan segera sebarang pengabaian kepada pihak yang berkenaan.

Untuk menjadi responsif, rakyat mesti mempunyai pengetahuan dan peka terhadap perkembangan semasa. Lebih penting daripada itu segala-galanya mesti disusuli dengan tindakan segera tanpa memberi ruang kepada pengabaian masa.

Buang sikap tidak apa. Jauhkan juga tabiat ‘menunggu kematian’ (melibatkan darah daging sendiri) baru hendak bertindak. Sering kali kalangan rakyat Malaysia tidak menginsafi paparan angka nyawa yang terkorban baik disebabkan wabak, kemalangan mahu pun penyalahgunaan dadah.

Sebab itu jugalah angka-angka itu terus meningkat tanpa ada ruang untuk menoleh ke belakang. Jalan singkat adalah dengan menyalahkan kerajaan sebagai punca segala-galanya.

Kesanggupan para petugas di hospital untuk mendedahkan diri mereka kepada jangkitan maut yang dibawa oleh pesakit-pesakit yang dirawat tidak pernah diabaikan daripada ingatan.

Bukan hendak disimpulkan langkah-langkah kerajaan menangani wabak selesema babi lengkap dan sempurna kerana ruang penambahbaikan masih terbentang, namun segala usaha itu akan sia-sia jika rakyat tidak memainkan peranan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PEMBANTU RUMAH

Henti polemik pembantu rumah


kelonggaran dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang sedia ada banyak menyumbang kepada masalah pembantu lari dari rumah.


TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop baru-baru ini mendedahkan sebanyak 16 kes pembantu rumah asing mendera anak-anak majikan dilaporkan kepada pihaknya sejak 2006 sehingga Mei lalu.

Pada masa sama pula kes penderaan membabitkan majikan Malaysia terhadap pembantu rumah warga asing mencatatkan peningkatan sehingga lebih 130 kes sepanjang tempoh yang sama.

Isu pembantu rumah sememangnya bagai tiada titik penghujung. Soalnya sekarang, adakah terlalu kritikal keperluan terhadap khidmat pembantu rumah warga asing sehingga kita sanggup memperjudikan keselamatan dan masa depan anak-anak di tangan mereka.

Dari sudut lain pula, apalah agaknya 'merasuk' sesetengah majikan sehingga sanggup merendahkan nilai kemanusiaan dan berubah menjadi haiwan buas yang meratah, membakar serta mencacatkan fizikal pembantu rumah tidak berdosa.

Hinggakan negara jiran mengambil tindakan drastik menghentikan penghantaran pekerja domestik ke Malaysia disebabkan upah yang terlalu rendah dan kes penderaan membabitkan rakyat mereka.

Dikatakan kadar pendapatan pekerja domestik di Hong Kong dan Taiwan mencecah sehingga RM1,600 sebulan, Arab Saudi dan Singapura (RM900) tetapi pekerja Indonesia di Malaysia dibayar minimum RM600.

Cadangan NGO

Tuntutan keras itu memaksa kerajaan membuka ruang perbincangan dengan semua pihak terlibat termasuk NGO bagi menyemak semula sistem sedia ada dan mencari jalan penyelesaian untuk menangani isu berkenaan.

Selari dengan hasrat Indonesia yang menuntut perlindungan bagi pekerja asing domestik yang bekerja di Malaysia baru-baru ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bangkit menyeru kerajaan meminda Akta Pekerja demi melindungi hak semua pekerja domestik.

Lebih 80 wakil NGO dari seluruh negara hadir dalam pertemuan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Imigresen, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rata-rata meminta agar akta tersebut dikemas kini dan selaras, memastikan langkah perundangan yang komprehensif bukan sahaja untuk melindungi pekerja asing malah majikan warga tempatan.

Antaranya, Vivian Chong dari Koordinasi Kajian Bertindak bagi AIDS & Mobiliti (CARAM) Asia yang berpendapat, kes berhubung pekerja domestik hanya boleh ditangani menerusi perlindungan perundangan sah, bukan latihan semata-mata.

Tegasnya, cadangan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) agar majikan mengikuti kursus selama sehari berhubung tanggung jawab dan tugas sebagai majikan tidak akan mengurangkan kes membabitkan pekerja asing.

Peruntukan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) menegaskan bahawa pekerja domestik perlu dilindungi oleh undang-undang buruh dan layak mematuhi undang-undang upah, waktu bekerja, kod kesihatan dan keselamatan, cuti dan sebagainya.

Ia juga menyatakan undang-undang berkenaan harus melibatkan mekanisme untuk memantau keadaan tempat kerja wanita imigran.

Oleh itu kata Vivian, jika kerajaan boleh menahan pesalah laku atas keganasan terhadap wanita di rumah mereka sendiri jadi pihak berkenaan juga perlu memantau situasi membabitkan pekerja asing yang bekerja di rumah persendirian majikan warga tempatan.

"Tahun depan, Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) akan memulakan proses meningkatkan taraf pekerja domestik yang mungkin membawa kepada satu Persidangan Pekerja Domestik khusus.

"Jika negara meminda dan membuat tambahan kepada perundangan sedia ada berhubung pekerja domestik, ia merupakan langkah sejajar dengan pengiktirafan komuniti antarabangsa itu," tambah Vivian yang merupakan Pegawai Program Pekerja Asing Domestik CARAM Asia.

Reaksi Papa

Sementara itu Presiden Papa, Datuk Raja Zulkepley Dahalan menyifatkan kelonggaran dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang sedia ada banyak menyumbang kepada masalah pembantu lari dari rumah dan sebagainya.

Katanya, sehingga kini terdapat kira-kira 350 agensi pekerja asing berdaftar manakala ratusan lagi disyaki beroperasi tanpa permit atau secara haram, sekali gus meningkatkan risiko sindiket penipuan membabitkan pihak ketiga dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Kegagalan mendaftar sebagai ahli Papa bermakna mereka bebas daripada peraturan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), KDN dan Jabatan Imigresen serta membuka akaun khusus untuk pembantu rumah.

"Malangnya mereka tidak diwajibkan berdaftar lalu kebanyakannya bertindak sesuka hati dari segi menuntut deposit pembayaran terlalu tinggi sedangkan pembantu rumah langsung tidak diberi gaji," tambah beliau.

Majikan terpaksa menanggung kos lebih RM5,000 manakala warganegara Indonesia yang ingin bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia perlu membayar RM1,315 (3 juta rupiah) untuk menguruskan permit, dokumen perjalanan dan sebagainya.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nor, program perintis Home Managers (HM) atau Pengurus Rumah yang dilancarkan beberapa bulan lalu menerima seramai 157 peserta bagi mengikuti latihan di bawah jabatan berkenaan.

Program itu bertujuan menghasilkan pengurus rumah rakyat tempatan berkualiti dari segi ilmu pengetahuan dan boleh diamanahkan untuk menjaga bayi atau menguruskan kediaman.

"Kriteria pemilihan tidak terlalu ketat, hanya perlu memiliki minimum kelayakan sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan kemudiannya lulus ujian yang diberikan kepada mereka.

"Peserta seterusnya perlu mengikuti latihan intensif selama dua minggu melibatkan pengetahuan asas, mengasah kemahiran dan kesabaran," ujarnya.

Buat masa ini JPW sedang mencari penyedia perkhidmatan yang bersedia bekerjasama dengan kementerian terbabit untuk membuka saluran pekerjaan bagi para pelatih program HM dalam apa jua bidang yang dipilih termasuk kadar bayaran bersesuaian dengan kemahiran peserta HM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/