Khamis, 6 Ogos 2009

ISU PEMBANTU RUMAH

Henti polemik pembantu rumah


kelonggaran dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang sedia ada banyak menyumbang kepada masalah pembantu lari dari rumah.


TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop baru-baru ini mendedahkan sebanyak 16 kes pembantu rumah asing mendera anak-anak majikan dilaporkan kepada pihaknya sejak 2006 sehingga Mei lalu.

Pada masa sama pula kes penderaan membabitkan majikan Malaysia terhadap pembantu rumah warga asing mencatatkan peningkatan sehingga lebih 130 kes sepanjang tempoh yang sama.

Isu pembantu rumah sememangnya bagai tiada titik penghujung. Soalnya sekarang, adakah terlalu kritikal keperluan terhadap khidmat pembantu rumah warga asing sehingga kita sanggup memperjudikan keselamatan dan masa depan anak-anak di tangan mereka.

Dari sudut lain pula, apalah agaknya 'merasuk' sesetengah majikan sehingga sanggup merendahkan nilai kemanusiaan dan berubah menjadi haiwan buas yang meratah, membakar serta mencacatkan fizikal pembantu rumah tidak berdosa.

Hinggakan negara jiran mengambil tindakan drastik menghentikan penghantaran pekerja domestik ke Malaysia disebabkan upah yang terlalu rendah dan kes penderaan membabitkan rakyat mereka.

Dikatakan kadar pendapatan pekerja domestik di Hong Kong dan Taiwan mencecah sehingga RM1,600 sebulan, Arab Saudi dan Singapura (RM900) tetapi pekerja Indonesia di Malaysia dibayar minimum RM600.

Cadangan NGO

Tuntutan keras itu memaksa kerajaan membuka ruang perbincangan dengan semua pihak terlibat termasuk NGO bagi menyemak semula sistem sedia ada dan mencari jalan penyelesaian untuk menangani isu berkenaan.

Selari dengan hasrat Indonesia yang menuntut perlindungan bagi pekerja asing domestik yang bekerja di Malaysia baru-baru ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bangkit menyeru kerajaan meminda Akta Pekerja demi melindungi hak semua pekerja domestik.

Lebih 80 wakil NGO dari seluruh negara hadir dalam pertemuan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Imigresen, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rata-rata meminta agar akta tersebut dikemas kini dan selaras, memastikan langkah perundangan yang komprehensif bukan sahaja untuk melindungi pekerja asing malah majikan warga tempatan.

Antaranya, Vivian Chong dari Koordinasi Kajian Bertindak bagi AIDS & Mobiliti (CARAM) Asia yang berpendapat, kes berhubung pekerja domestik hanya boleh ditangani menerusi perlindungan perundangan sah, bukan latihan semata-mata.

Tegasnya, cadangan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) agar majikan mengikuti kursus selama sehari berhubung tanggung jawab dan tugas sebagai majikan tidak akan mengurangkan kes membabitkan pekerja asing.

Peruntukan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) menegaskan bahawa pekerja domestik perlu dilindungi oleh undang-undang buruh dan layak mematuhi undang-undang upah, waktu bekerja, kod kesihatan dan keselamatan, cuti dan sebagainya.

Ia juga menyatakan undang-undang berkenaan harus melibatkan mekanisme untuk memantau keadaan tempat kerja wanita imigran.

Oleh itu kata Vivian, jika kerajaan boleh menahan pesalah laku atas keganasan terhadap wanita di rumah mereka sendiri jadi pihak berkenaan juga perlu memantau situasi membabitkan pekerja asing yang bekerja di rumah persendirian majikan warga tempatan.

"Tahun depan, Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) akan memulakan proses meningkatkan taraf pekerja domestik yang mungkin membawa kepada satu Persidangan Pekerja Domestik khusus.

"Jika negara meminda dan membuat tambahan kepada perundangan sedia ada berhubung pekerja domestik, ia merupakan langkah sejajar dengan pengiktirafan komuniti antarabangsa itu," tambah Vivian yang merupakan Pegawai Program Pekerja Asing Domestik CARAM Asia.

Reaksi Papa

Sementara itu Presiden Papa, Datuk Raja Zulkepley Dahalan menyifatkan kelonggaran dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang sedia ada banyak menyumbang kepada masalah pembantu lari dari rumah dan sebagainya.

Katanya, sehingga kini terdapat kira-kira 350 agensi pekerja asing berdaftar manakala ratusan lagi disyaki beroperasi tanpa permit atau secara haram, sekali gus meningkatkan risiko sindiket penipuan membabitkan pihak ketiga dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Kegagalan mendaftar sebagai ahli Papa bermakna mereka bebas daripada peraturan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), KDN dan Jabatan Imigresen serta membuka akaun khusus untuk pembantu rumah.

"Malangnya mereka tidak diwajibkan berdaftar lalu kebanyakannya bertindak sesuka hati dari segi menuntut deposit pembayaran terlalu tinggi sedangkan pembantu rumah langsung tidak diberi gaji," tambah beliau.

Majikan terpaksa menanggung kos lebih RM5,000 manakala warganegara Indonesia yang ingin bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia perlu membayar RM1,315 (3 juta rupiah) untuk menguruskan permit, dokumen perjalanan dan sebagainya.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nor, program perintis Home Managers (HM) atau Pengurus Rumah yang dilancarkan beberapa bulan lalu menerima seramai 157 peserta bagi mengikuti latihan di bawah jabatan berkenaan.

Program itu bertujuan menghasilkan pengurus rumah rakyat tempatan berkualiti dari segi ilmu pengetahuan dan boleh diamanahkan untuk menjaga bayi atau menguruskan kediaman.

"Kriteria pemilihan tidak terlalu ketat, hanya perlu memiliki minimum kelayakan sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan kemudiannya lulus ujian yang diberikan kepada mereka.

"Peserta seterusnya perlu mengikuti latihan intensif selama dua minggu melibatkan pengetahuan asas, mengasah kemahiran dan kesabaran," ujarnya.

Buat masa ini JPW sedang mencari penyedia perkhidmatan yang bersedia bekerjasama dengan kementerian terbabit untuk membuka saluran pekerjaan bagi para pelatih program HM dalam apa jua bidang yang dipilih termasuk kadar bayaran bersesuaian dengan kemahiran peserta HM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan