Selasa, 31 Mac 2015

Harimau Mati Meninggalkan Belang...


Oleh : TAN SRI RAFIDAH AZIZ

DALAM kehidupan seseorang manusia, pasti akan memberi sedikit-sebanyak kesan semasa hayatnya. Kesan dalam pelbagai bentuk dan ke atas pelbagai pihak.

Ada yang memberi impak sebegitu besar kepada mereka di sekelilingnya, melalui pengaruh-pengaruh tertentu, atau melalui tindakannya semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab, iaitu biasanya semasa memegang sesuatu jawatan atau melaksana sesuatu tugas yang diamanahkan. Ada pula yang memberi impak melampaui batasan masyarakat dan negara sendiri, kerana apa yang dilakukannya memberi kesan kepada dunia amnya.

Sejarah banyak mencatatkan kesan-kesan tindakan individu seperti yang dikatakan itu dari zaman ke zaman.

Ada yang meninggalkan legasi atau warisan, yang menggoncang dunia kerana telah mencetuskan perbalahan dan peperangan seperti Hitler. Begitu juga mereka yang berada dalam kedudukan berkuasa, telah membawa segala yang negatif dan merosakkan, kepada negara dan rakyat mereka. Kebanyakannya didorong oleh ketiadaan kualiti ke­pimpinan, dan kegagalan melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Ataupun kerana tidak mampu, atau tidak mahu, menggunakan kuasa dengan betul dan baik.

Ada pula yang semata-mata berjaya membawa masyarakat dan negara masing-masing ke arah kemunduran berterusan.

Akhirnya warisan dan legasi mereka hanyalah kesusahan dan kedaifan rakyat, tersisih dari arah aliran dunia yang telah terdedah kepada kemajuan serba bentuk teknologi.

Sebaliknya ada yang diamanahkan untuk memimpin, telah membawa segala kemajuan kepada rakyat di negara mereka, dan membawa serta mendorongkan perubahan-perubahan yang diperlukan, untuk mencapai kemajuan tersebut.

Antaranya kemajuan da­lam pemikiran, supaya tidak dihalang oleh kesempitan dan keusangan. Tetapi sebaliknya sedia menerima apa yang baru dan baik, serta yang membawa kesan-kesan dan hasil-hasil yang positif. Melalui kesan-kesan positif ini wujud generasi baharu masyarakat, yang benar-benar berminda global, dan yang tidak mudah untuk diperkotak-katikkan oleh orang luar. Mereka menjadi peneraju dan penggerak untuk kemajuan dan pembangunan negara mereka serta benteng masyarakat.

Saya sentiasa teringat akan pesanan orang tua-tua se­perti yang diingatkan oleh emak saya iaitu, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Semasa kecil saya berkata kepada emak bahawa seme­mangnyalah manusia apabila mati meninggalkan nama. Emak segera menjelaskan iaitu nama itu buruk atau nama itu baik akan bergantung kepada apa yang manusia itu lakukan.

Apabila dewasa fahamlah saya bahawa ‘nama’ itu berkaitan dengan banyak perkara antaranya:

Apa yang telah dilakukan semasa hidupnya, tidak kira dalam apa jua kedudukan, seperti dalam keluarga dan dalam mana jua bidang masyarakat dan negara

Apa jasa yang dibuat yang dihargai oleh mereka yang menerima kebaikan daripadanya

Sumbangan tertentu yang diberi dalam pelbagai bentuk seperti buah fikiran, pandangan dan cadangan, yang menghasilkan kebaikan dan manfaat

Hasil yang memberi faedah, yang timbul daripada apa yang dilakukan oleh seseorang itu

Pendek kata ‘nama’ itu sama erti dengan ‘reputasi’, dan ‘maruah’. Sama ada reputasi yang baik atau yang buruk. Agaknya untuk lebih berkesan untuk saya fahami, emak menggunakan istilah-istilah sama ada nama yang wangi atau pun nama busuk. Lebih senang untuk saya ingati antara ‘wangi’ dan ‘busuk’.

Memang sebenarnya ‘nama’ yang kita tinggalkan tidak ada kaitan dengan berjela-jelanya gelaran dan pangkat; atau betapa banyaknya akronim ijazah dan kelulusan yang telah diperoleh, atau apa jua yang diletakkan pada hujung nama seseorang itu.

Yang penting ialah, apa yang telah dilakukan dan dilaksanakan semasa hayatnya oleh individu yang memiliki nama tersebut. Tidak perlu mengejar gelaran, jawatan dan kedudukan, jika niatnya semata-mata untuk ‘menghias’ atau ‘memperkukuhkan’ nama.

Apa sebenarnya yang ada pada nama? Seorang yang putih melepak dan cantik, yang telah diberi nama ‘Hitam’ tidak akan terjejas kecantikannya semata-mata kerana namanya.

Sebaliknya, seorang penyangak dan pemutar belit, tidak akan bertukar menjadi sebaik-baik manusia semata-mata kerana namanya ‘Tulus al Ikhlas!’

Kita semua akan suatu hari pergi menemui Allah Yang Maha Esa.

Sebelum sampai masa tersebut, kita berusahalah sedaya upaya untuk melakar dan mencatat, dan akhirnya meninggalkan nama yang sebaik mungkin.

Tidaklah perlu nama kita dicatat dalam rekod sejarah. Atau dirakam dengan tinta emas.

Memadailah kita menyedari akan tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat, dengan peranan-peranan ter­tentu, dan insaf bahawa apabila kita sudah pergi, nama kita diingati oleh mereka yang kita tinggalkan, dalam konteks yang positif, baik dan harum.

Amat rugi jika tidak dapat melakukan apa yang baik semasa hidup, sehingga nama yang kita tinggalkan kelak akan hanya disebut selari dengan apa yang tidak positif dan tidak baik.

Kadangkala semasa kita masih hidup akan ada manusia yang sama ada akan menjulang atau menentang kita; atau sebaliknya mencerca dan membenci kita, iaitu berasaskan penilaian dan motif masing-masing di sekeliling kita.

Tetapi fakta tidak boleh diubah. Yang betul tetap be­tul. Dan yang tidak betul tetap tidak betul. Itulah yang sebenarnya menentukan nama yang kita tinggalkan.Sememang­nya harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Penulis pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/