Oleh : Azrina Sobian
PERNAHKAH anda mengunjungi tempat awam yang sudah terpampang papan tanda
larangan merokok tetapi, ada sahaja orang yang tanpa segan silu merokok di situ?
Pernahkah anda melihat pemandu sambil lewa melanggar lampu isyarat atau memandu
di lorong kecemasan? Biasakah kita melihat orang membuang sampah merata-rata
termasuklah membuang sampah keluar daripada kenderaan mereka?
Semua ini adalah contoh pelanggaran peraturan yang biasa berlaku. Keadaan
sebegini boleh dilihat di mana-mana. Mereka yang melakukannya pula bukan sahaja
tidak menunjukkan rasa bersalah, tetapi turut tiada rasa malu terhadap perilaku
tidak sopan tersebut. Ini menimbulkan persoalan sama ada melanggar peraturan
itu satu perkara mudah atau adakah perbuatan itu menimbulkan rasa seronok?
Hakikatnya, kehidupan manusia penuh dengan peraturan. Keadaan ini telah
membentuk sikap manusia yang berbeza-beza terhadap peraturan. Ada yang tekun
mematuhi peraturan pada setiap masa. Orang sebegini kadangkala dipandang sinis
dan dianggap sebagai "lurus bendul." Anggapan sebegini sebenarnya
bukanlah anggapan positif tetapi lebih kepada anggapan berbentuk ejekan.
Ada pula yang bersikap acuh tak acuh atau sambil lewa terhadap peraturan.
Insan sebegini mematuhi peraturan "mengikut mood" atau dengan kata
lain, mematuhi peraturan bila perlu sahaja. Misalnya, jika ada polis, barulah
dia mengikut peraturan. Jika tidak, semua peraturan akan dilanggar.
Tidak ketinggalan juga mereka yang "ketegar" terhadap peraturan.
Bagi orang sebegini, peraturan tidak relevan atau tidak sesuai mengikut prinsip
hidupnya. Oleh itu, asal sahaja ada peraturan, akan dilanggarnya. Bagi individu
ini, melanggar peraturan adalah satu kemegahan.
Secara umumnya, ada peraturan yang bertulis dan ada juga yang tidak
bertulis. Peraturan bertulis merujuk kepada peraturan-peraturan yang disepakati
ahli masyarakat dan jika tidak dipatuhi, hukuman tertentu akan dikenakan.
Contoh peraturan bertulis adalah berkaitan lalu lintas, peraturan kerja di
pejabat, undang-undang dalam negara, hukum-hukum agama dan sebagainya.
Peraturan tidak bertulis pula lebih umum sifatnya. Peraturan jenis ini
berkait rapat dengan adat tradisi atau budaya masyarakat setempat. Bagi
peraturan jenis ini, jika berlaku ketidakpatuhan, hukumannya lebih berbentuk
hukuman sosial. Peraturan tidak bertulis ini amat berkaitan dengan hal-hal adab
seperti adab dalam hubungan kemasyarakatan seperti hubungan kejiranan,
suami-isteri, pelajar-guru ataupun adab tingkahlaku seperti adab makan, adab
menimba ilmu dan sebagainya.
Apakah pula tujuan peraturan? Matlamat peraturan ada kaitannya dengan
konsep maslahah. Amnya, maslahah membawa maksud "mencari manfaat dan
menolak kerosakan atau kebinasaan." Dalam pandangan hidup Islam, maslahah
membawa makna yang lebih besar iaitu "mencari manfaat dan menolak
kerosakan seperti yang ditentukan oleh Yang Maha Kuasa."
Ini bermakna kebaikan yang dicari dan keburukan yang cuba dielakkan
hendaklah selari dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT. Konsep maslahah
memberi keutamaan kepada masyarakat dengan kata lain, keutamaan diberikan
kepada masyarakat dan bukannya individu.
Oleh itu, mematuhi peraturan bertujuan membawa manfaat dan mengelakkan
kebinasaan. Sebagai contoh, orang yang tidak merokok akan memberi manfaat
kesihatan kepada dirinya dan dapat pula menghindarikan diri daripada keburukan
iaitu penyakit. Bukan sahaja kepada diri sendiri, kesihatan orang lain (ahli
masyarakat) dapat dipelihara. Malah, udara turut terjamin kebersihannya.
Ini bermakna peraturan mempunyai matlamat yang murni. Malah sebenarnya
manusia amat memerlukan peraturan. Al-Quran sendiri menunjukkan pelbagai bentuk
peraturan (hukum) yang perlu dipatuhi oleh manusia misalnya berkaitan minum
arak, zina, berhutang, solat dan sebagainya. Peraturan atau hukum ini dibentuk
oleh Allah SWT bukan dengan matlamat yang sia-sia. Paling utama adalah untuk
menyusun masyarakat agar menjadi masyarakat yang bertamadun dan hidup dalam
keharmonian.
Dengan itu, ungkapan bahawa "peraturan dicipta untuk dilanggar"
adalah tidak tepat sama sekali. Ungkapan ini amat sering disebut dan kadangkala
dinyatakan dengan penuh bangga. Jika merujuk kepada segala peraturan yang
dicipta Allah SWT itu, adakah ini bermakna Allah SWT mencipta segala peraturan
tersebut semata-mata untuk manusia mengingkari atau melanggarnya?
Segala peraturan itu dicipta Allah SWT kerana Dia Maha Mengetahui bahawa
manusia memerlukan peraturan tersebut. Tanpa peraturan, kehidupan manusia samalah
dengan kehidupan di alam haiwan. Jadi, adakah kita mahu merendahkan diri
sehingga ke tahap itu?
Oleh itu, peraturan sepatutnya dihormati dan tidak diingkari. Setiap
seorang daripada kita mempunyai tanggungjawab terhadap peraturan itu.
Malah, mematuhi peraturan memerlukan pengorbanan tertentu. Dalam hal ini,
kita perlu berkorban untuk tidak melakukan sesuatu yang mungkin amat kita
senangi, demi kebaikan diri mahupun orang lain.
Sesuatu peraturan yang diwujudkan perlu dipantau dan dikuatkuasakan. Oleh
itu, penguat kuasa amat diperlukan bagi memastikan peraturan dipatuhi.
Walau bagaimanapun, tugas penguat kuasa boleh diminimumkan jika ahli
masyarakat dengan sendirinya mempunyai kekuatan dalaman atau kekuatan diri
untuk mematuhi peraturan.
Kekuatan dalaman inilah yang nampaknya tidak melata dalam masyarakat
sehinggakan segala peraturan yang ada dilanggar tanpa rasa gundah. Dalam hal
ini, pendidikan, latihan diri, contoh teladan dan kata nasihat diperlukan untuk
membentuk kekuatan dalaman atau kekuatan diri agar kita menjadi insan yang
hormat dan patuh kepada peraturan.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)