Selasa, 31 Mei 2011

ISU PENDIDIKAN : Kementerian beri pelbagai insentif kekalkan guru berpengalaman di pedalaman

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian bertarikh 21 April 2011 – Khidmat guru tempatan terlatih diperlukan di Sabah, Sarawak.

Dalam situasi yang ideal, penempatan guru tempatan bagi sesebuah negeri mungkin menjadi satu kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu keperluan guru. Namun, hakikatnya, ia masih tidak dapat dilaksanakan seperti yang dicadangkan dan sedang ditangani secara berperingkat oleh KPM.

Berhubung permohonan guru dari Semenanjung yang ingin kembali berkhidmat di Semenanjung, ia adalah satu amalan biasa dan dalam hal ini sebarang permohonan diteliti secara individu dan diberi pertimbangan sewajarnya oleh KPM. Sungguhpun demikian, perlu diingati bahawa masih terdapat ramai guru berpengalaman dari Semenanjung yang masih kekal berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

Untuk memastikan guru berpengalaman ini kekal berkhidmat di kawasan pedalaman dan luar bandar, KPM melaksanakan pelbagai strategi termasuk menempatkan suami isteri di sekolah yang sama atau berhampiran di Sabah dan Sarawak disamping pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) sebagai salah satu insentif untuk mereka.

Ia juga mencerminkan satu bentuk pengiktirafan kerajaan terhadap khidmat bakti mereka selama ini terhadap pembangunan pendidikan pelajar di pedalaman dan luar bandar di seluruh negara.

Mengenai latihan guru pula, ia menjadi satu usaha berterusan yang dilaksanakan oleh KPM. Berhubung cadangan membina Institut Pendidikan Guru (IPG) baru di Sabah dan Sarawak, KPM berpandangan bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk berbuat demikian berdasarkan beberapa faktor.

Pertama, bilangan IPG sedia ada masih berupaya melatih bakal guru untuk keperluan pendidikan negara.

Kedua, pembinaan sesebuah IPG tidak hanya khusus untuk masyarakat setempat tetapi lebih menjurus kepada memenuhi keperluan pendidikan guru bagi seluruh negara.

Oleh itu, faktor lokasi IPG dilihat tidak begitu kritikal dalam hal ini. Selain itu juga, pemilihan anak tempatan Sabah dan Sarawak untuk menjalani latihan di IPG di Semenanjung seperti amalan sekarang harus dilihat sebagai satu perkara yang positif khususnya bagi mereka untuk menimba pendedahan dan pengalaman yang amat bermakna dalam pembangunan profesionalisme keguruan mereka sendiri.

Ini juga sejajar dengan matlamat gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan oleh kepemimpinan negara. Dari aspek jangka panjang, KPM berpandangan bahawa bagi memastikan lebih ramai guru tempatan terlatih di Sabah dan Sarawak, minat golongan belia tempatan perlu terus dipupuk untuk menyertai profesionalisme keguruan.

Sungguhpun begitu, KPM berpandangan bahawa faktor siapa dan dari mana asal negeri guru itu tidak begitu penting. Walau di sekolah mana pun mereka ditugaskan baik di Semenanjung, mahupun Sabah dan Sarawak, apa yang lebih penting adalah komitmen dan profesionalisme guru yang jitu terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan khususnya dalam mendidik dan melakar masa depan yang lebih cemerlang buat anak bangsa.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Sitkom perbetul bahasa Melayu disiarkan Ogos

Siri Popular Mind Your Language

KUALA LUMPUR: Sebuah rancangan komedi mirip siri popular Mind Your Language yang bertujuan memperbetul penggunaan bahasa kebangsaan akan diterbitkan menjelang sambutan kemerdekaan negara Ogos ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata rancangan yang diterbitkan secara usaha sama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pihak swasta akan disiar televisyen serta radio.
Katanya, penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul dalam rancangan selama 15 minit menampilkan pelakon semua kaum itu akan diperbetul menjelang akhir rancangan.

"Kita ingin jadikan ia program jenaka, tidak berat, dengan mereka yang menggunakan istilah yang tidak betul dijadikan sebagai sesuatu yang komedi yang pada akhirnya pembetulan terhadap kesalahan itu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Persatuan Editor Malaysia (PEM) di Seri Kembangan, semalam.

Rais berkata, bagi menarik perhatian penonton, pihaknya sedang berusaha mencari judul sesuai yang mempunyai ciri jenaka bagi program itu.

Pada seminar dua hari itu, Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan, Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Johan Jaaffar, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan membentangkan kertas kerja masing-masing.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Nota Hujung :

Sitkom ialah akronim bagi 'situasi komedi'. Genre komedi ini berasal dari radio, namun hari ini sitkom hampir hanya dapat dijumpai di televisyen. Sitkom biasanya terdiri daripada watak-watak yang berulang di suatu tempat yang sama seperti di rumah atau di tempat kerja.


Di Malaysia, istilah ini mula digunakan oleh Hatta Azad Khan yang mengarahkan sitkom Flat Seri Wangi yang disiarkan di TV3 sekitar tahun 1990-an.

Sitkom mendapat 'rating' yang baik daripada kalangan penonton terutama masyarakat Melayu yang mahukan hiburan ringan pada malam minggu.


Sitkom ini mudah diolah dan diskripkan kerana memakan masa selama 20 - 30 minit dengan topik yang berubah-ubah dari semasa ke semasa tetapi menggunakan set, lokasi, dekorasi dan watak yang hampir-hampir sama setiap kali muncul di TV.

(Sumber :

http://ms.wikipedia.org)

ISU ANTARABANGSA : Jerman tutup semua loji nuklear 2022

KOMBINASI gambar menunjukkan loji tenaga nuklear Jerman yang akan ditutup menjelang 2022.

Tindakan berikutan kesan buruk akibat gempa, tsunami di Jepun

BERLIN: Jerman menjadi kuasa besar industri pertama dunia yang bersetuju mengakhiri penggunaan tenaga nuklear menjelang 2022 selepas melihat bencana nuklear yang berlaku di Jepun akibat gempa bumi dan tsunami.

Menteri Alam Sekitar Norbert Roettgen mengumumkan keputusan itu awal semalam, yang dicetuskan krisis di loji nuklear Fukushima Daiichi di Jepun yang disifatkan sebagai tidak boleh dipulihkan.

“Selepas mesyuarat panjang, satu persetujuan dicapai kerajaan campuran ini iaitu untuk mengakhiri penggunaan tenaga nuklear,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat tujuh jam di pejabat Canselor Angela Merkel. “Keputusan ini konsisten, jelas dan tepat,”.

Jerman mempunyai 17 reaktor dan lapan daripadanya tidak menyalurkan kepada sistem rangkaian elektrik.

Tujuh daripadanya adalah reaktor nuklear paling tua di negara itu, dihentikan oleh kerajaan persekutuan selama tiga bulan untuk penyiasatan keselamatan selepas kecemasan yang berlaku di Fukushima Mac lalu.

Rektor kelapan ialah loji Kruemmel, utara Jerman yang mana dibekukan berikutan masalah teknikal yang berulang.

Keputusan semalam menjadikan Jerman negara kuasa besar industri pertama dunia yang mengumumkan rancangan untuk menghentikan penggunaan tenaga atomik secara keseluruhan.

Ini juga bermakna, negara itu perlu mencari 22 peratus bekalan elektrik yang pada masa ini dibekalkan loji nuklear dari sumber lain.

Roettgen menegaskan tiada kemungkinan bekalan elektrik akan terganggu.
“Kami akan memastikan bekalan elektrik sentiasa ada untuk semua pengguna,” katanya tanpa memberikan maklumat lanjut.

Jumaat, menteri alam sekitar daripada 16 wilayah Jerman dipanggil bagi menyaksikan penutupan tujuh loji secara kekal.

Roettgen berkata lapan reaktor itu tidak akan diaktifkan. Enam lagi reaktor akan ditutup penghujung 2021 dan tiga lagi loji yang paling moden akan turut ditutup operasi menjelang penghujung 2022.

Keputusan semalam secara berkesannya mengembalikan jadual yang ditetapkan oleh kerajaan campuran parti Sosial Demokrat – parti Green sejak sedekad lalu. – AFP.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/