Selasa, 31 Mei 2011

ISU BAHASA : Sitkom perbetul bahasa Melayu disiarkan Ogos

Siri Popular Mind Your Language

KUALA LUMPUR: Sebuah rancangan komedi mirip siri popular Mind Your Language yang bertujuan memperbetul penggunaan bahasa kebangsaan akan diterbitkan menjelang sambutan kemerdekaan negara Ogos ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata rancangan yang diterbitkan secara usaha sama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pihak swasta akan disiar televisyen serta radio.
Katanya, penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul dalam rancangan selama 15 minit menampilkan pelakon semua kaum itu akan diperbetul menjelang akhir rancangan.

"Kita ingin jadikan ia program jenaka, tidak berat, dengan mereka yang menggunakan istilah yang tidak betul dijadikan sebagai sesuatu yang komedi yang pada akhirnya pembetulan terhadap kesalahan itu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Persatuan Editor Malaysia (PEM) di Seri Kembangan, semalam.

Rais berkata, bagi menarik perhatian penonton, pihaknya sedang berusaha mencari judul sesuai yang mempunyai ciri jenaka bagi program itu.

Pada seminar dua hari itu, Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan, Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Johan Jaaffar, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan membentangkan kertas kerja masing-masing.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Nota Hujung :

Sitkom ialah akronim bagi 'situasi komedi'. Genre komedi ini berasal dari radio, namun hari ini sitkom hampir hanya dapat dijumpai di televisyen. Sitkom biasanya terdiri daripada watak-watak yang berulang di suatu tempat yang sama seperti di rumah atau di tempat kerja.


Di Malaysia, istilah ini mula digunakan oleh Hatta Azad Khan yang mengarahkan sitkom Flat Seri Wangi yang disiarkan di TV3 sekitar tahun 1990-an.

Sitkom mendapat 'rating' yang baik daripada kalangan penonton terutama masyarakat Melayu yang mahukan hiburan ringan pada malam minggu.


Sitkom ini mudah diolah dan diskripkan kerana memakan masa selama 20 - 30 minit dengan topik yang berubah-ubah dari semasa ke semasa tetapi menggunakan set, lokasi, dekorasi dan watak yang hampir-hampir sama setiap kali muncul di TV.

(Sumber :

http://ms.wikipedia.org)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan