Isnin, 18 Jun 2012

ISU BAHASA : Melayu tak ada kesedaran?



Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my

Sikap penutur asli bahasa rasmi negara lemahkan usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan

KEDEGILAN dan rasa kurang yakin bangsa Melayu terhadap kepentingan bahasa kebangsaan di Malaysia yang boleh dijadikan teladan dalam kalangan bukan Melayu negara ini dibangkitkan pada Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu-isu Bahasa Kebangsaan.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, membangkitkan perkara terbabit dalam usahanya menyedarkan betapa pentingnya kumpulan penutur bahasa Melayu mempunyai kesedaran terbabit.

 “Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi semakin sukar apabila ada penutur bahasa Melayu sendiri yang kurang yakin dengan kemampuan bahasa terbabit seperti dapat dilihat pada cadangan mengembalikan sekolah aliran Inggeris.

“Mereka seolah-olah lupa bahawa selama ini menerusi bahasa Melayu kita dapat memperoleh banyak ilmu dan kejayaan dari aspek sosioekonomi yang menyumbang kepada pembangunan negara sehingga ke hari ini,” katanya pada Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu-isu Bahasa Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Prof Teo turut mempertikaikan pandangan pihak tertentu yang mengatakan sekolah aliran Inggeris boleh dilaksanakan di negara ini dengan menjadikan kehadiran sekolah aliran Cina, India dan agama sebagai alasan berhujah.

“Pihak yang meminta diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris ini perlu dididik dengan nilai bahasa Melayu supaya mereka sedar setiap rakyat negara ini perlu memainkan peranan bagi memelihara bahasa kebangsaan,” katanya pada wacana yang dikendalikan Pengarah ATMA UKM, Prof Dr Abdul Latif Samian.

Kurangnya kesedaran mengenai kepentingan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan masyarakat turut diakui personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya yang mengemukakan penggunaan bahasa pengguna laman sosial internet di negara ini sebagai hujah.

“Mungkin mereka ingin menulis sesuatu dengan lebih ringkas, namun pada masa sama ia juga seolah-olah mengetepikan penggunaan bahasa dengan betul. Ia adalah perkara yang membimbangkan kerana kebanyakan mereka generasi muda.

“Saya berharap langkah yang diambil untuk menyedarkan kepentingan bahasa kebangsaan di negara ini dapat ditumpukan kepada golongan terbabit kerana tahap penggunaan bahasa mereka perlu diperbaiki,” katanya.

Ahmad Fedtri turut berkongsi pengalamannya yang mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan individu yang kurang fasih berbahasa Melayu ketika mengacarakan rancangan televisyen apalagi jika membabitkan program lintas langsung.

“Saya terpaksa mengikut gaya bahasanya walaupun tidak betul dan rancangan itu ditonton di seluruh negara. Apabila saya cuba bercakap seperti biasa, dia tidak dapat memahaminya. Ini antara masalah kepada pengemudi rancangan ketika ini dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

Setiausaha 1, Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Borhan Md Zain berkata, ketika ini organisasinya bergerak menerusi satu jawatankuasa untuk memantau dan menasihati penggunaan bahasa kebangsaan di sektor awam serta swasta.

“Tugas jawatankuasa terbabit hanya mengenal pasti dan memberi khidmat nasihat kepada pesalah bahasa kebangsaan yang melakukan kesalahan atau tidak mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan. Namun jawatankuasa kami tidak memiliki sebarang kuasa untuk menghukum,” katanya.

Borhan berharap pihak berkuasa memberi perhatian terhadap penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi yang masih tidak dilaksanakan sepenuhnya termasuk di mahkamah dan perkara terbabit memerlukan penegasan.

“Perkara ini timbul kerana sikap kita sendiri. Adakah kita sayang kepada bahasa kita dan apakah tindakan yang perlu dilakukan jika mahu ia dimartabatkan. Campur tangan pemimpin dan pihak berkuasa boleh mengatasi perkara ini,” tegasnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : 98,100 Pelarian, Pencari Suaka Berdaftar Di Malaysia


Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PETALING JAYA : Seramai 98,100 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Malaysia setakat April tahun ini.

Daripada jumlah itu, 1,249 pelarian dan pencari suaka merupakan mereka yang keluar dari negara-negara yang dilanda krisis seperti Sudan, Somalia dan Syria.

Ia terdiri daripada seramai 1,090 orang dari Somalia, 139 dari Sudan dan 19 orang (Syria).

UNHCR Malaysia berkata, jumlah keseluruhan 98,100 orang itu merupakan pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan agensi itu di negara ini.

“Daripada 98,100 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar (di negara ini), majoritinya dari Myanmar iaitu 89,900 orang,” katanya kepada mStar Online, Isnin.

Menurut UNHCR Malaysia, 8,200 pelarian dan pencari suaka lagi adalah mereka dari negara lain seperti Sri Lanka (4,480 orang), 1,090 (Somalia), Iraq (790) dan Afghanistan (440).

“71 peratus pelarian dan pencari suaka adalah lelaki, 29 peratus wanita manakala sebahagian 20,000 kanak-kanak di kalangan mereka yang berusia di bawah 18 tahun ke bawah,” agensi itu.

Difahamkan, terdapat sejumlah besar yang tidak mendaftar dengan UNHCR Malaysia dan komuniti pelarian sendiri menganggarkan mereka yang merupakan pelarian dan pencari suaka yang tidak berdaftar di negara ini adalah kira-kira 10,000 orang.

Sementara itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh UNHCR yang dipetik dari Associated Press (AP) pada Isnin mengatakan, daripada 10.4 juta pelarian yang dilindungi oleh agensi itu di seluruh dunia, 7.1 juta telah dipindahkan, sekurang-kurangnya untuk lima tahun.

UNHCR berkata, Afghanistan kekal sebagai jumlah pelarian yang paling tinggi di dunia, dianggarkan 2.7 juta orang.

Ia diikuti oleh Iraq seramai 1.4 juta orang, Somalia (1.1 juta orang), Sudan (500,000 orang) dan Congo (491,000).

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU SEJARAH : Melayu buka Pulau Pinang?



Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my

Sejarah buktikan penempatan di Batu Uban 90 tahun lebih awal dari Georgetown

PERTIKAIAN siapa membuka Pulau Pinang sering diperdebatkan dengan fakta diketengahkan sebagai bukti sama ada berpihak kepada Kapten Francis Light atau penduduk asal dan pertikaian ini tidak selesai sehingga kini.

Biarpun fakta awal yang dimasukkan dalam subjek Sejarah menyebut Light membuka Pulau Pinang selepas berlabuh di Tanjung Penaga (Georgetown) pada 1786, namun mengikut peninggalan sejarah lebih 90 tahun sebelum kehadirannya, bangsa Melayu sudah bertapak di Batu Uban.

Hujah yang memihak kepada penduduk asal adalah berdasarkan bukti  wujudnya masjid yang didirikan Nakhoda Nan Intan yang berasal dari Aceh pada 1734 masih wujud di tempat dinyatakan itu sehingga kini.

Batu Uban juga boleh ditemui dalam peta lakaran Kapten Walter Avis, peta pertama Inggeris pada 1763 sebelum Pulau Pinang dibuka Light, malahan bandar itu menjadi pusat pengajian dan tumpuan ulama, selain menjadi pelabuhan penghubung di antara Pulau Pinang dengan Alam Melayu.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Datin Dr Mahani Musa melalui kajiannya menemui penerokaan Telok Jelutong dan Batu Uban adalah bukti penting wujudnya masyarakat yang menetap di pulau ini, sebelum kedatangan Light.



"Kewujudan masjid, kawasan perkuburan dan keturunan peneroka awal di Batu Uban sememangnya menjadi bukti kukuh, malahan saya sendiri berpeluang menemubual waris keturunan yang menjadi penghubung antara saya dan masa lampau.

"Apabila Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) mendarat di Georgetown dan berlaku pembentukan masyarakat baru yang lebih rencam, sejarah masyarakat awal menghakis sehingga menjadikan Light seorang pengasas," katanya pada Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi 26 bertema Penempatan Awal Di Pulau Pinang yang yang dirasmikan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM), Daresah Ismail di Kompleks Pustaka Warisan Seni, Pulau Pinang.

Dr Mahani berkata, kemunculan masyarakat campuran iaitu Peranakan Arab sering dikaitkan dengan sebahagian hasil kegiatan penerokaan ekonomi barat sedangkan ia sudah bermula sebelum kedatangan SHTI yang bermula di Batu Uban.

"Apabila perkahwinan campur antara orang Arab dengan wanita Batu Uban, ia sekali gus mengikis sedikit demi sedikit ciri Minangkabau yang sebenarnya sudah ada di bandar terbabit sejak dulu," katanya ketika membincangkan Sejarah Yang Terpinggir: Penempatan Awal Melayu Pulau Pinang pada majlis yang dipengerusikan Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Prof Madya Dr Mohd Isa Othman.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Nabir Abdullah, membangkitkan bilangan orang Eropah yang sedikit, tetapi mendapat habuan tanah yang banyak berbanding orang Asia yang ramai, tetapi habuan diterima sedikit hingga menyebabkan hal pemilikan tanah dalam kalangan orang Melayu terpinggir.

“Catatan 1792 menunjukkan bilangan kecil orang Asia dalam SHTI berlarutan sehingga abad ke-19, namun bilangan bangsa Melayu yang merangkumi orang Acheh, Batu Bara, Minangkabau dan Bugis besar untuk menjadi kumpulan majoriti.

"Persaingan kaum lain dalam hal pemilikan tanah termasuk luar bandar menjadikan bangsa Melayu terus terpinggir, malahan pemilikan asal sebelum 1786 diambil dengan pembayaran pampasan," katanya ketika merincikan Penempatan dan Isu Lord of the Soil Sebelum dan Sewaktu Pendudukan Inggeris di Pulau Pinang.

Bagi Pensyarah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Ahmad Murad Merican, Batu Uban ialah pelabuhan pertama sebelum adanya Tanjung Penaga yang kini dikenali Georgetown dengan permulaan masyarakat Jawi Pekan atau Jawi Peranakan hasil perkahwinan Melayu dengan Arab.

"Tidak ketinggalan Batu Uban juga menjadi kawasan bermulanya peradaban terawal, termasuk pusat pentadbiran dan kosmopolitan Alam Melayu, Nusantara dan Lautan Hindi hingga ke Hadramaut.

"Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu bahawa Batu Uban, Bukit Jenaton dan Gelugor yang terletak kira-kira lima kilometer di selatan tanjung (Georgetown) dan berhadapan dengan Pulau Jerejak adalah penempatan awal masyarakat Melayu," katanya ketika membedah Wajah Dan Warisan: Identiti Melayu Awal Pulau Pinang Yang Dilupakan.

Dr Ahmad Murad berkata, akibat tiada usaha bersungguh-sungguh dalam mengetengahkan sejarah sebenar maka salasilah dan pensejarahan Melayu dipadamkan dari peta sejarah dunia apabila pembicaraan perkara terbabit dilakukan dari sudut asing.

"Lalu lahirlah perbincangan masyarakat Melayu yang sebenarnya penduduk asal disifatkan sebagai pendatang dan kesilapan dalam wacana kewujudan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu atau di mana-mana Alam Melayu berterusan," ujarnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Hayati misi agung Rasulullah SAW ke langit


Oleh MOHD ALI MUHAMAD DON

DI SEBALIK kemeriahan EURO 2012 yang semakin hampir ke penghujungnya, umat Islam di seru tidak terleka menghayati tarikh mulia 27 Rejab sempena peristiwa Isra' dan Mikraj Baginda Nabi Muhammad SAW. Ini kerana detik bersejarah perjalanan Nabi Muhamad SAW daripada Mekah ke Baitulmaqdis kemudian ke petala langit ke tujuh dan bertemu Allah SWT adalah peristiwa agung yang sangat menakjubkan.

Malah perjalanan tersebut turut diwarnai dengan pelbagai pengajaran dan peristiwa aneh yang boleh dijadikan iktibar untuk semua Muslimin.

Ini kerana perjalanan pada waktu malam bermula dari Mekah melalui ruang udara Madinah, kemudian transit di Palestin sebelum dibawa Buraq hingga naik melepasi langit ke tujuh bertemu Allah SWT adalah sesuatu yang di luar jangkauan logik akal manusia.

Perkara ini boleh diperhatikan kepada firman-Nya yang bermaksud; "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". ( Surah al-Isra':1)

Selain daripada itu, Allah SWT turut menunjukkan bukti-bukti kebesaran-Nya melalui peristiwa-peristiwa aneh yang menakjubkan. Antaranya diperlihatkan akan sekelompok manusia yang perut mereka besar seumpama sebuah rumah yang dipenuhi dengan cacing dan boleh dilihat dari luar perut. Lalu Malaikat Jibril yang menemaninya sepanjang perjalanan mengatakan itulah balasan kepada pemakan riba yang diharamkan.

Baginda juga dipertontonkan dengan segolongan manusia yang menanam tanaman dan menuai hasilnya pada hari yang sama. Dikatakan kepadanya itu adalah balasan baik bagi orang yang berjihad di jalan Allah SWT. Terdapat pula gelagat manusia yang dengan sendirinya menghantukkan kepala ke dinding lalu pecah dan bercantum semula kemudian dihantuknya lagi sehingga pecah dan bercantum semula sebagai azab Allah SWT terhadap orang yang malas dan meninggalkan fardu sembahyang.

Oleh itu sempena memperingati peristiwa agung ini umat Islam sewajarnya tidak terlalu leka dan terkesima dengan pelbagai hiburan dan berjenaka sepanjang masa sehingga lalai melaksanakan ibadah yang difardukan. Sebagai contohnya kewajipan solat yang difardukan secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW ketika bertemu Allah SWT pada malam Isra' dan Mikraj. Ini berbeza dengan ibadat lain seperti zakat dan haji yang diwahyukan menerusi perantaraan Malaikat Jibril.

Hal ini sekali gus menunjukkan betapa solat ibadah paling penting  dan sama sekali tidak patut diabaikan. Malah ia merupakan ibadat yang pertama sekali akan dipersoalkan semasa di dalam kubur. Keengganan sesetengah masyarakat Islam untuk melaksanakan solat pada masa kini dikhuatiri bakal menyumbang kepada gejala sosial dan moral yang semakin meruncing kerana tiada benteng penampan yang dapat mengawal mereka daripada melakukan perkara-perkara tersebut.

Selain itu,  penglibatan umat Islam dalam transaksi kewangan dan perbankan yang berteraskan riba juga adalah wajib dihindari. Ini kerana ia diharamkan sama seperti meminum minuman keras dan memakan babi. Malah dengan situasi masa kini yang mana di negara kita telah terdapat pelbagai produk pembiayaan dan kewangan yang patuh syariah, hukum darurat bermuamalah dengan perbankan konvensional sepatutnya tidak lagi terpakai.

Begitu juga keterlibatan segelintir umat Islam yang kurang ilmu agama sehingga sanggup memperolok-olokkan produk-produk perbankan Islam yang bebas riba juga dilihat tidak selari dengan ketentuan syariat. Adalah lebih molek jika idea-idea yang bernas disalurkan kepada pihak berwajib sehingga urusan penambahbaikan dapat dilakukan demi manfaat bersama.

Selari dengan itu juga penghayatan terhadap peristiwa Isra' dan Mikraj perlu diterjemahkan dengan hanya memilih produk pembiayaan dan pelaburan yang patuh syariah dan bukan memburuk-burukkan sistem Islam sendiri.

Bagi menghayati peristiwa Isra' dan Mikraj ini juga jihad dalam skop yang lebih luas boleh diterapkan kepada jihad melawan hawa nafsu dan jihad daripada belenggu kemiskinan. Hal ini kerana hampir setiap hari ada sahaja berita berkaitan jenayah pembunuhan, penindasan terhadap kanak-kanak dan warga emas, jenayah rogol, merompak, bersekedudukan dan berzina dibicarakan di sana sini. Ia seolah-olah seperti  lahar dalam gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletuskannya keluar dek kerana kroniknya masalah sosial dan moral yang berlaku.

Justeru umat Islam diseru mengambil iktibar daripada peritiwa Isra' dan Mikraj yang disambut setiap tahun bukan hanya dengan menghabiskan cuti berehat bersama keluarga mahupun ke majlis ceramah agama dan pulang begitu sahaja. Ia perlu dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian bagi membentuk ummah yang berkualiti dari sudut akidah, syariah dan akhlak.

Ini kerana peristiwa Isra' dan Mikraj jelas membuktikan betapa kehebatan dan keagungan Allah SWT sama sekali tidak mampu ditandingi. Justeru setiap hamba harus tunduk dan taat mengabdikan diri kepada-Nya. Malah Allah SWT sentiasa memantau setiap gerak-geri  manusia dan kemudiannya mampu pula mengenakan azab dan siksa atas setiap inci kesalahan yang dilakukan semasa di dunia.

Sedarlah juga betapa kehidupan di dunia hanya sementara. Oleh itu usahlah dihabiskan dengan hanya berseronok dan bersuka ria tanpa memikirkan apa yang telah dipersiapkan untuk bertemu hari pembalasan.

Lebih daripada itu sambutan hari kebesaran Islam yang silih berganti diraikan sepanjang tahun ini perlu dihayati dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan seharian agar ia benar-benar mencapai matlamat yang diharap-harapkan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Siswazah mampu selesaikan masalah pengangguran


Oleh ROZAINAH ABDUL RAHIM

Kadar pengangguran di kalangan siswazah di negara ini kian  hari kian bertambah, apa puncanya dan adakah ia relevan berlaku kepada pelajar lepasan universiti? Apakah sebenarnya masalah yang menyebabkan mereka menjadi penganggur?

Antara faktor yang menyebabkan pengangguran ialah sikap siswazah yang terlalu memilih pekerjaan atau tidak berminat dengan sesuatu pekerjaan yang ditawarkan kerana beranggapan tidak setaraf dengan kelulusan mereka semasa menuntut di universiti malah lebih suka tinggal di rumah tanpa melakukan apa-apa pekerjaan daripada bekerja yang bukan dalam bidang mereka.

Minda graduan yang beranggapan lebih baik menganggur selagi belum ada kerja yang sesuai seharusnya dibuang kerana sikap ini merugikan diri sendiri dan sektor pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja.

Jika dilihat, banyak sebenarnya peluang pekerjaan ditawarkan tetapi para graduan tidak pandai mengambil peluang yang ada. Selain itu, mereka juga boleh memperolehi pekerjaan dengan pelbagai cara selain bergantung pada sektor pekerjaan sedia ada.

Sebagai contoh, mereka boleh memulakan perniagaan sendiri dengan menggunakan ilmu yang telah dipelajari semasa menuntut di universiti. Ini kerana, pelajar universiti telah sedia dilatih dengan ilmu semangat keusahawanan yang membolehkan mereka berniaga sendiri yang ternyata boleh membawa keuntungan tanpa bergantung kepada majikan kerana pendapatan adalah atas hasil usaha sendiri.

Sememangnya persaingan antara graduan merupakan salah satu masalah besar yang mendorong kepada pengangguran siswazah terutama faktor kelulusan yang tidak sesuai dengan permintaan dunia kerjaya. Terdapat senarai kriteria yang dispesifikasikan oleh majikan dalam memilih graduan yang diingini.

Graduan yang mempunyai kelulusan yang tidak memuaskan atau cemerlang akan menghadapi masalah dan terpaksa menganggur dalam masa yang lebih lama.

Pengangguran di kalangan siswazah akan terus terjadi sekiranya mereka tidak berusaha mencari alternatif membina kerjaya sendiri atau menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti bidang keusahawanan yang boleh membantu menggerakkan ekonomi di samping dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan lain.

Peluang bagi golongan siswazah menceburi pelbagai bidang pekerjaan persendirian, perniagaan dan keusahawanan amat luas. Bidang-bidang yang boleh diceburi ini bagaimanapun memerlukan inisiatif dan kegigihan selain pemikiran yang kreatif untuk menuju kejayaan.

Penguasaan penggunaan bahasa Inggeris dengan baik juga merupakan faktor penting yang memudahkan seseorang graduan itu mendapat peluang pekerjaan yang diinginkan selain kebanjiran para siswazah dari institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta yang terlalu banyak sehinggakan jumlah penganggur dan kerja kosong tidak sama rata.

Kemahiran bahasa ketiga merupakan bonus kepada diri siswazah kerana ia satu kelebihan yang melengkapi pakej seseorang dalam urusan kerja yang memerlukan perhubungan dengan pihak luar seperi bahasa Mandarin, Jepun, Perancis, Jerman, Arab dan Korea. Majikan semestinya akan memilih untuk mengambil pekerja yang mempunyai kelebihan seperti penguasaan bahasa ketiga yang akan menyumbang kemudahan kepada syarikatnya pada masa akan datang.

Para siswazah juga hendaklah membiasakan diri dengan aktiviti luar dan sosial seperti aktiviti kemasyarakatan dan tidak menumpukan pada akademik semata-mata. Mereka juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang akan melatih diri bagaimana menghadapi khalayak ramai, menyelesaikan masalah, berorganisasi, dan melakukan tugas dengan baik.

Aktiviti bersosial  boleh memberi banyak kelebihan pada diri seseorang berbanding duduk di rumah sahaja menunggu panggilan kerja yang belum tentu. Pihak majikan biasanya mementingkan pengalaman berbanding dengan akademik kerana jika mereka mengadakan latihan intensif untuk pekerja baru, ia akan memerlukan perbelanjaan dan mengambil masa.

Pengangguran siswazah tidak memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara. Masalah ini haruslah dibendung segera oleh siswazah dengan bersikap tidak terlalu memilih pekerjaan dan berfikir secara profesional terhadap sesuatu pekerjaan dan mempunyai sikap bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Selain itu juga, pihak kerajaan dan IPTA turut memainkan peranan penting dalam menangani masalah pengangguran dengan melaksanakan program di sekolah atau universiti berkaitan kerjaya. Kursus-kursus dan perancangan mengenai kerjaya perlu diadakan untuk graduan dalam pelbagai bidang bagi mewujudkan modal insan yang terlatih.

Para pendidik juga memainkan peranan besar dalam membimbing para pelajar yang masih di bangku sekolah atau di IPT supaya bersedia dan merancang lebih awal untuk memilih bidang kerjaya sesuai dengan kemahiran dan kehendak persaingan di pasaran supaya mendapat tempat dalam pekerjaan yang sesuai.

Oleh itu, graduan perlu berfikir secara profesional dan bijak merancang masa hadapan dan tidak salah jika bermula dari bawah untuk memperolehi pengalaman dan bukannya terus berada di atas.

PENULIS ialah pelajar di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Di sebalik kenaikan had umur persaraan


Oleh : Nur Syahidah Binti Abd Jalil

KADAR jangka hayat manusia di Malaysia kini adalah sekitar 75 tahun. Angka ini dilihat bertambah baik tahun demi tahun seiring dengan perkembangan dalam amalan dan polisi kesihatan negara, begitu juga gaya hidup yang lebih sihat oleh rakyatnya.

Umumnya, individu akan mula bersara pada usia sekitar 55 tahun. Ini menjadikan secara kasarnya, kita mempunyai hingga 20 tahun untuk terus hidup selepas bersara.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan cadangan umur persaraan minimum bagi pekerja swasta di negara ini dilanjutkan sehingga 60 tahun bermula Januari 2013 berbanding 55 tahun sekarang. Ini dikatakan selaras dengan amalan kebanyakan negara maju dalam meningkatkan produktiviti negara.

Pertambahan tempoh perkhidmatan ini dilihat sebagai satu peluang yang menarik bagi sesetengah individu dan sebaliknya bagi yang lain. Ini kerana sesetengahnya masih memerlukan pekerjaan pada usia emas bagi menampung keperluan keluarga ataupun semata-mata kerana masih lagi komited kepada kerjaya manakala sebahagian lain mula menurun produktivitinya sekali gus tidak lagi boleh menyumbang dengan baik kepada majikan.

Persoalan yang timbul daripada penguatkuasaan akta ini sekiranya diluluskan adalah berkenaan kesannya terhadap masyarakat dan negara umumnya.

Perkara pertama dikhuatiri masyarakat adalah peluang pekerjaan kepada generasi muda semakin kurang. Hal demikian boleh sahaja berlaku sekiranya peluang pekerjaan yang baru kepada generasi muda tidak diperbanyakkan.

Kedua, pekerja yang melewati usia persaraan dikatakan tidak lagi boleh menyumbang dengan baik sebaliknya menjadi liabiliti kepada organisasi. Perkara ini tidak semestinya benar terutama sekali melibatkan individu yang mempunyai kemahiran atau kepakaran yang khusus seperti guru bahasa dan sebagainya.

Realiti tenaga kerja di Malaysia yang terdiri daripada 80 peratus berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberi maklumat kepada kita bahawa umur mula bekerja bagi sebahagian besar rakyat negara ini adalah sekitar 18 tahun.

Namun begitu, angka ini harus mengambil kira juga individu yang bekerja menggunakan kelulusan SPM biarpun mempunyai kelulusan yang lebih tinggi atas pelbagai alasan.

Antara sebab mengapa perkara ini berlaku adalah dikatakan bahawa peluang pekerjaan di pasaran adalah kurang berbanding jumlah graduan yang dikeluarkan oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Disebabkan peluang terhad dan persaingan sengit, ramai graduan memilih untuk melibatkan diri dalam kerjaya yang tidak sepadan dengan kelulusan.

Selain itu, para graduan juga dikatakan tidak memiliki ciri-ciri yang diperlukan majikan seperti berkemahiran, berkeyakinan, rajin dan berani mengambil risiko. Sikap tidak yakin dan tidak berani mencabar diri menyebabkan ada graduan yang memilih kerjaya yang tidak sepadan.

Jika masalah ini berterusan, kita akan dapati bahawa agak sukar untuk menjadikan umur 60 tahun sebagai umur yang kompetitif untuk bersara. Sebaliknya, ia bakal mengundang lebih banyak masalah pada masa hadapan.

Cadangan pertambahan had umur persaraan juga sebenarnya memberikan kita petunjuk bahawa gaya hidup rakyat Malaysia telah berubah. Walaupun had persaraan yang semakin panjang dapat memperbanyakkan simpanan, ramai antara kita masih lagi memerlukan pekerjaan pada usia emas disebabkan menanggung anak yang masih kecil, membayar ansuran pinjaman rumah dan sebagainya.

Ini adalah satu petunjuk bahawa ramai telah memilih untuk berkahwin pada usia sedikit lewat maka kebanyakan daripada mereka masih mempunyai anak yang kecil ketika umur persaraan.

Selain itu, tempoh membayar balik pinjaman yang panjang melewati usia persaraan menunjukkan trend berhutang yang tinggi berlaku dalam masyarakat.

Dalam perkara ini, kerajaan perlu meneliti polisi perbankan sedia ada bagi mengekang trend membayar balik pinjaman yang panjang akibat jumlah hutang yang tinggi kerana pada dasarnya, had umur persaraan dinaikkan tidak sama sekali dengan tujuan menggalakkan orang ramai berhutang dalam tempoh yang lama.

Sekiranya perkara ini terlepas pandang, kita akan dapati gaya hidup berhutang akan semakin galak dipromosi secara tidak langsung.

Dalam masa beberapa tahun lagi, Malaysia dikatakan akan mengalami krisis populasi tua di mana sebahagian besar rakyat adalah warga tua dan tidak berada dalam peringkat produktif kepada negara.

Walaupun kenaikan had persaraan adalah sebahagian daripada penyelesaian perkara ini, usaha-usaha ke arah keseimbangan umur dalam populasi perlu dilaksanakan bermula dari sekarang antara lain ialah dengan menyediakan sokongan kepada institusi kekeluargaan.

Jika ini tidak dilakukan, negara pada masa akan datang terpaksa mengeluarkan belanja yang besar bagi menampung keperluan populasi tua yang tidak berkeupayaan untuk menyumbang lagi.

Selain itu, penyediaan prasarana ke arah pemantapan kualiti hidup tenaga kerja berusia perlu dimantapkan. Ini termasuklah polisi kesihatan yang ditambah baik dengan memberikan pelepasan kepada pekerja berusia 50 ke atas untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sekerap yang diperlukan.

Rombakan cara kerja berpasukan juga perlu dilakukan bagi memastikan kepakaran yang ada pada seseorang pekerja itu dapat dikongsi dengan yang lain terutama sekali oleh generasi muda dengan pengenalan sistem pembimbing yang tersusun di tempat kerja.

Penambahan usia had persaraan tenaga kerja di Malaysia adalah satu manifestasi penghargaan kepada warga kerja yang berdedikasi. Namun begitu, pelan jangka masa panjang yang berkesan perlu dilakukan bagi menampung golongan ini untuk bekerja dalam persekitaran yang mesra usia selain daripada membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Seterusnya, baki usia sekitar hingga 15 tahun setelah persaraan dapat dinikmati dengan lebih berkualiti.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Sumber : http : //www.utusan.com.my/