Isnin, 28 Disember 2009

Spad mesti sedia laksana transformasi sistem pengangkutan awam

Oleh Jamhariah Jaafar dan Jami’ah Shukri
bhnews@bharian.com.my

TEMPAT menunggu lama hingga terpaksa berbaris panjang antara masalah utama sistem pengangkutan awam.

Model diguna pakai sekarang sudah lapuk menyebabkan mutu perkhidmatan di takuk lama, jadi sasaran kritikan

PENGANGKUTAN awam adalah keperluan asas kepada masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah, sederhana dan pelajar untuk menghubungkan mereka ke pelbagai destinasi. Penggunaan pengangkutan awam seperti bas, sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan komuter, sekarang dianggap lebih popular kepada golongan terbabit.

Senario sebenar di Malaysia, ramai pengguna yang masih resah dengan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara khususnya di Lembah Klang yang dianggap berada pada takuk lama walaupun banyak alternatif pengangkutan awam lain.

Sistem operasi pengangkutan awam khususnya bas, seharusnya berasaskan kepada kecekapan, keselesaan dan mengikut jadual perjalanan. Isu kepenggunaan seperti tempoh menunggu lama, tidak mengikut laluan, kerosakan, kekotoran, kesesakan, memandu secara berbahaya, tiada perhentian selesa juga masih membelenggu pemasalahan utama pengangkutan awam.

Isu pengurusan seperti keperluan bas tidak mencukupi, persaingan tidak sihat, kadar tambang berbeza, tempoh menunggu lama, tempat meletak kenderaan, kesesakan akibat aliran keluar masuk bas yang tidak terkawal dan tiada perkhidmatan laluan sosial perlu disusun semula secara menyeluruh.

Sistem laluan terbuka yang diamalkan sekarang sebenarnya tidak mampu menyelesaikan masalah kerana bas akan berpusu di laluan aktif dan bukan di laluan sosial serta pengurusan mengatur perjalanan bas terlalu dinamik hingga menimbulkan situasi lambakan di sesuatu lokasi.

Bagi pengguna, kekerapan, kelancaran dan kecekapan perkhidmatan awam adalah faktor utama menarik mereka untuk setia menggunakan kenderaan terbabit. Bagaimanapun, ramai pengguna mempertikaikan perkara itu dan menganggap ia masih jauh ketinggalan berbanding negara maju, malah negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

Contohnya, jika bas itu cepat sampai, ada penghawa dingin, ada tempat duduk, muzik, tidak terbabit kemalangan jalan raya, tidak buruk, selesa dan tambang murah ia dianggap sebagai perkhidmatan yang bagus dan berkualiti.

Justeru, pengguna tidak akan ambil pusing apa pun masalah dihadapi kerajaan, agensi dan syarikat pengendali bas pengangkutan asalkan mereka mendapat perkhidmatan sempurna dan berkualiti. Malangnya, sehingga ini, tiada satu agensi pengangkutan awam yang khusus dipertanggungjawabkan untuk memantau kualiti perkhidmatan dan menjalankan penyelidikan terhadap sebarang kelemahan kenderaan awam itu.

Sudah tiba masanya, semua pihak iaitu kerajaan, pengendali syarikat pengangkutan awam dan pengguna sendiri dan penyelidik duduk bersama berbincang mengenai perkara berkaitan untuk merealisasikan sistem pengangkutan awam bertaraf kelas pertama.

Jumlah sebanyak RM35 bilion khusus untuk mengubah serta meningkatkan tahap perkhidmatan awam untuk tempoh 2009 hingga 2014 yang diperuntukkan kerajaan perlu dipergunakan sepenuhnya bagi tujuan itu dan bukan sebagai 'cakap-cakap kosong' yang akhirnya meletakkan industri ini berada pada tahap sama.

Penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) yang akan beroperasi tahun depan sebagai sebagai kuasa tunggal mengawasi dan menguatkuasakan piawaian pengangkutan awam lebih cekap harus dilaksanakan dengan matlamat yang lebih jelas supaya ia tidak hilang taringnya serta terus menjadi sasaran kritikan masyarakat.

Transformasi memantapkan pengangkutan awam menerusi Spad akan lebih bermakna dengan menjadikan suruhanjaya itu sebagai sistem pemantau terhadap kualiti perkhidmatan bas dari segi sistem, prestasi, jadual perjalanan, disiplin pemandu sendiri. Semua hasil pemantauan itu dijadikan penanda aras untuk menambah baik sistem pengangkutan awam ke tahap yang sepatutnya.

Mengulas isu berkaitan kemelut berkenaan, pakar pengangkutan yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, menjelaskan ketika ini wujud pertembungan antara kerajaan, syarikat bas dan pengguna.

Pengguna sentiasa mahukan tambang paling murah, syarikat jika boleh ingin naikkan kadar tambang setiap tahun manakala kerajaan pula tidak kisah itu semua, sebaliknya hanya mahukan sistem itu bagus dan memenuhi matlamatnya.

"Ketika ini dasar sistem pengangkutan awam adalah berbeza di Lembah Klang dan bandar lain. Di Lembah Klang sistem pengangkutan mendapat sokongan kerajaan (bagi RapidKL saja), tetapi di bandar lain ia diken-dalikan syarikat swasta. Kerajaan sepatutnya memberi sokongan kepada syarikat bas lain supaya dapat memberi perkhidmatan di laluan lain khususnya laluan sosial yang masih daif dalam segala hal termasuk kecekapan dan kekerapan perkhidmatan bas," katanya.

Model sistem pengangkutan awam yang diamalkan selama ini sudah lapuk dan memerlukan pengubahsuaian untuk memberi nafas baru kepada pengangkutan awam negara. Justeru, Abdul Rahim mencadangkan supaya model baru diwujudkan dengan mengadakan perkongsian bijak antara sektor kerajaan, syarikat bas, pengguna dan penyelidik dengan mendalami secara mendalam serta menyeluruh isu yang menghimpit permasalahan terbabit.

Spad mungkin mampu menjadi penanda aras kepada penyediaan dasar yang komprehensif bagi pengangkutan awam di seluruh negara. Pada masa sama, kita perlu ada modul yang mantap di Kuala Lumpur sebelum ia diperluaskan di bandar lain.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/